ADAB KEPADA PENGUASA
Dalam tradisi keilmuan Islam, sikap terhadap penguasa diatur dengan prinsip.
Agama Islam telah melarang pemberontakan selagi mana penguasa masih menegakkan solatnya. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang bermaksud; “Barangsiapa melihat sesuatu yang tidak disukai dari penguasanya, hendaknya bersabar. Sebab, siapa yang memisahkan diri dari jamaah (pemerintah) lalu mati, ia mati seperti kematian jahiliyah.” (HR. Bukhari-Muslim)
Islam tidak melarang kritikan, namun ia mestilah di atas dasar intelektual dan beradab, bukan dengan mengutuk atau mencaci seperti anak-anak kecil. Ummah dilarang memberontak selagi penguasa masih Muslim dan menegakkan solatnya.
Kritikan juga mestilah di atas perkara yang benar. Ketika Imam Ahmad bin Hanbal RH menentang doktrin Mu'tazilah semasa Khalifah Al-Ma'mun, beliau menggunakan hujjah-hujjah yang kuat, dan tidak menghasut supaya berlakunya pemberontakkan meskipun Imam Ahmad telah diseksa.
Melebih-lebih dalam kritikan kepada penguasa, beserta motif peribadi tersembunyi hanya akan memecah-belah Ummah, seperti puak Khawarij yang mengkafirkan penguasa kerana cita-cita politik mereka. Kritikan melampau juga akan membuka ruang bagi musuh-musuh eksternal mengambil kesempatan, seperti yang terjadi kepada Kesultanan Aceh yang diprovokasi oleh kolonial Belanda.
Menurut para ulama’ Ahlus Sunnah wal Jamaah, pemberontakkan hanya dibolehkan jika; Penguasa itu jelas murtad, misalnya menjatuhkan penguasa komunis Afghanistan. Jika penguasa itu masih muslim tetapi berlaku zalim, dia hanya boleh dijatuhkan dengan kekerasan jika sudah bersedia dengan pengganti yang tidak akan menimbulkan fitnah lebih besar. Ia kerana Islam tidak mahu situasi menjadi seperti yang berlaku di negara-negara benua Afrika, di mana penguasa silih berganti namun masalah negara tetap berulang.
Ummah hari ini harus meneliti dan mempelajari sejarah pemberontakan terhadap Khalifah Uthman ibn Affan RA, yang dipicu ketidakpuasan atas tuduhan nepotisme. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan terhadap khalifah Uthman disebabkan kurang senang atas tindak laku dan corak pentadbirannya, yang dikatakan berunsur Bid’ah dari sudut ‘Ubudiyah serta amalan nepotisme dan kronisme dalam melantik pegawai-pegawai pemerintahan. Sekali puntuduhan-tuduhan itu dijelaskan tujuannya dengan panjang lebar, namun tidak memberi kesan kepada mereka yang terlalu emosi dengan tindakan Saidina Uthman yang tidak disenangi, disamping penyusup anasir-anasir tertentu yang turut memainkan peranan mengikut agenda tersendiri.
Ibnu Taimiyah RH adalah di antara pemikir Islamyang melarang pemberontakan kecuali ke atas penguasa yang jelas kafir. Beliau bernasihat; “60 tahun dibawah pemimpin yang zalim adalah lebih baik daripada satu malam tanpa pemimpin atau autoriti, dan sejarah telah membuktikan bahawa ini adalah benar.” Ulama’ kontemporari seperti Yusuf Al-Qaradawi RH pula berpendapat bahawa demonstrasi secara damai untuk menuntut reformasi adalah dibolehkan, namun beliau menolak kekerasan atau kudeta tanpa syarat-syarat syar’ie.
Sememangnya mengkritik pemimpin atau penguasa itu dibolehkan, tetapi wajib dilakukan dengan adab dan ilmu. Kritikan tidak boleh bersifat untuk memecah-belah, dan tidak boleh wujud kerjasama dengan musuh-musuh eksternal. Solusi yang terbaik adalah dengan Islah atau reformasi secarainternal, melalui ulama’ yang tidak mementingkan pangkat dan harta.Pendidikan berkualiti serta meningkatkan ekonomi rakyat juga merupakan faktor penting, supaya rakyat tidak mudah diadu domba.
Negara Islam akan kuat ketika ada keseimbangan antara ketaatan pada pemimpin dan juga pengamalan konsep Hisbah, atau Amr Ma’ruf Nahi Munkar, di dalam masyarakat. Negara Islam akan runtuh jika salah satu daripada faktor ini bertukar menjadi ekstrem; sama ada pemimpin terlalu autoritatif atau rakyat terlalu obses dengan membangkang.
Maka apabila negara Islam runtuh dari dalam, musuh-musuh eksternal yang terstruktur akan mengalahkannya dengan mudah. Ketika Perang Salib pertama, musuh Katolik di bawah Pope Urban II, datang ke Baitul Maqdis dengan persiapan cukup, aliansi antara keluarga diraja di Eropah, logistik serta kekuatan semangat keagamaan. Sementara itu, dunia Islam terpecah-belah antara Khilafah Abbasiyah yang sedang lemah, Kerajaan Fatimiyah di Mesir dan Kerajaan Seljuk di daerah Anatolia. Hasilnya, Baitul Maqdis jatuh ke tangan penjajah yang kejam, selama 88 tahun.
Zaman ini, negara-negara Islam sedang berhadapan dengan ancaman Islamofobia Sistematis, dilahirkan oleh think-tank Barat seperti MEMRI dan Politico-EU. Badan-badan ini merancang naratif anti-Islam dan menyebarnya melalui akademia, atas talian dan di media sosial. Institusi Islam dimomokkan sebagai sebuah entiti peninggalan zaman kuno, dan ketika umat Islam mula berorganisasi, terus dikecam sebagai terorisme.
Strategi jahat ini dipermudahkan juga dengan penguasaan teknologi dan media oleh kuasa-kuasa Barat Islamofobia ini. Di saat mereka dengan mudah mendominasi naratif dan minda audiens awam dengan perkataan-perkataan terorisme, radikal, Mullah dan sebagainya, media umat Islam ketinggalan,akibat kelemahan kewangan, kepakaran dan ketandusan kreativiti.
Sesungguhnya umat Islam hari ini tidak ada kesatuan visi, yang mampu mengeluarkan kita dari kejahilan dan kelemahan ini. Ummah disibukkan dengan konflik Sunni -Syiah, Nasionalisme atau Khilafah, Ahlussunnah atau Salafiyyah. Ummah terpecah dalam isu-isu sekunder, dan setiap kali ia bergerak ke hadapan, muncul golongan-golongan yang mahu menarik umat Islam kembali ke belakang, menghentikan kemajuannya.
Secara keseluruhan juga, Ummah ini hanya bersifat reaktif dan tidak proaktif, khususnya dalam arena geopolitik. Negara-negara Islam hanya bergerak apabila berlakunya tragedi seperti keganasan Israel di Palestin, penghinaan Rasulullah SAW dan sebagainya. Pemimpin Islam tiada halatuju pencegahan, masing-masing sibuk dengan urusan politik dalam negara, atau hanya mementingkan kekayaan peribadi.
Ketika kuasa Barat sudah capai penggunaan AI dalam pembunuhan ke atas rakyat Palestin, umat Islam masih sangat lemah dalam memaksimumkan data dan penyelidikan untuk pembangunan masyarakat. Dunia Barat mempunyai RAND Corporation, Cambridge Analytica, untuk mengkaji psikologi umat Islam, namun apa yang kita ada? Bahkan Ummah tidak mampu melahirkan suatu think-tank bagi memerangi ancaman Islamofobia, dan media anti-Islam yang berlegar hari ini.
Maka apakah solusinya untuk ummah zaman ini? Ia harus bermula dengan pembangunan institusi Islam yang berstruktur dan teratur. Bermula dengan pendidikan asas agama yang solid, kemudian pengamalannya, terutama sekali dalam bab Adab dan pembangunan sosial. Pendidikan duniawi seperti subjek-subjek STEM juga diutamakan, dengan menumpukan belanjawan negara dalam pembangunan fasiliti sekolah dan dan pendidikan tertiari yang berkualiti.
Kemudian perlu membangunkan jaringan media yang kukuh, kreatif dan berpaksikan kebenaran hakiki. Kebenaran harus ditonjolkan untuk melawan kepalsuan naratif Islamofobia, dan pencipta kandungan persendirian yang membawa mesej kebenaran harus diberi sokongan.
Dari sudut ekonomi sejagat, menguatkan perdagangan antara negara-negara Islam, dan memanfaatkan perbankan Islam yang betul-betul anti-riba, industri Halal, serta teknologi baharu. Melabur dalam pembangunan AI, teknologi baharu dan media,dan berusaha supaya kekayaan tidak berlegar dikalangan orang-orang terkaya di dunia.
Hentikan perdebatan dalaman tentang isu-isu sekunder, dan fokus pada ancaman eksternal. Biarkan perdebatan fiqh dan sebagainya diuruskan oleh ilmuwan Islam yang memiliki kepakaran. Hidupkan juga think-tank khusus untuk lawan Islamofobia dan naratif palsu tentang Islam. Salahuddin Al-Ayyubi berjaya menakluk Baitul Maqdis kerana berjaya menyatukan Mesir, Damsyik dan Baghdad. Beliau juga mengaturkan strategi berasaskan kepakaran logistik supaya tenteranya sentiasa bersedia. Prinsip Salahuddin yang tidak berlaku zalim kepada musuh, wanita dan kanak-kanak serta memperlakukan tawanan perang dengan baik, membuatkan dirinya lebih senang diterima awam.
Masalah utama umat Islam bukanlah kurangnya pemimpin dan orang-orang baik, tetapi lemahnya organisasi. Musuh Islam berjaya bukan kerana kebenaran di pihak mereka, tetapi kerana mereka lebih berstruktur. Jika umat Islam tidak merancang masa depan, maka musuh yang akan mencorakkannya untuk kita. Ummah ini harus belajar dari sejarah bahawa; “Kemenangan bukan milik yang paling kuat, tetapi milik yang paling bersedia.”
Petikan alfalahmadani.my