BAHAYA MAKSIAT

Dalam kehidupan yang penuh dengan godaan dan kemewahan dunia, manusia sentiasa berdepan dengan pilihan antara ketaatan dan kemaksiatan. Dunia yang kelihatan indah sering menjadi perangkap apabila hati mula lalai daripada mengingati Allah s.w.t. Di sinilah syaitan memainkan peranannya, membisikkan godaan, membangkitkan hawa nafsu dan perlahan-lahan menjauhkan manusia daripada jalan kebenaran.

Sejak sekian lama umat Islam telah diperingatkan oleh Allah s.w.t menerusi ayat-Nya bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Hai dunia, tipulah orang lain selain aku. Aku telah menceraikanmu dengan talak tiga. Umurmu pendek, perhiasanmu sulit dan bahayamu sangat besar. Betapa sedikit bekalku, betapa panjang perjalananku dan betapa sunyi jalanku.”

Justeru, di dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, manusia ini juga dapat digolongkan kepada dua golongan.

Golongan pertama,  mereka yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah s.w.t, dan golongan kedua adalah mereka yang ingkar dengan ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 24 yang bermaksud:

Bandingan dua golongan itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; Adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya, maka tidakkah kamu mengambil peringatan.

Orang-orang yang beriman, mereka menyerahkan kehidupannya hanya kepada Allah s.w.t dan bukan kepada selain daripada Allah.

Mereka lebih mementingkan keredaan Allah daripada bermewah-mewah dengan kehidupan dunia, menjaga solat melakukannya dengan khusyuk, menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tidak berguna, menafkahkan harta mereka ke jalan Allah, menjaga kemaluan atau kehormatan daripada berbuat kemungkaran, tidak melampaui batas dalam bertindak dan mereka juga sentiasa menjaga amanah. Begitu juga sebaliknya bagi yang ingkar dan maksiat, mereka berpegang teguh dengan tali syaitan yang menguasai dalam kehidupan mereka.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah ayat 19:

Maksudnya: Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.

Musuh Allah s.w.t, iaitu syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ke lembah maksiat, iaitu dengan  lisan ataupun perbuatan. Cara lisan lebih penting daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.

Saidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah s.a.w memegang lidahnya sendiri lalu bersabda: “Hendaklah kamu menjaga ini.”

Selanjutnya baginda bersabda: “Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita perkatakan.

Allah s.w.t telah menyingkap rancangan-rancangan musuh-Nya sebagai jalan atau pintu masuk yang akan merosakkan manusia antara lain adalah: Ajakan kepada kejahatan, menanam rasa takut miskin, menyemai nilai-nilai dusta, menanamkan permusuhan antara individu, keluarga, masyarakat hinggalah ke sesuatu bangsa, mencegah daripada mengingati Allah s.w.t sama ada dengan kesenangan atau kesulitan, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t,  menanam rasa putus asa, takjub, ego, takbur dengan diri sendiri, memperbanyakkan harta untuk sekadar disimpan bukan untuk kepentingan umum.

Hasil daripada Allah s.w.t menyingkap pintu-pintu musuh Allah ini, maka lahirlah manusia yang terpaut dengan ajakan serta bisikan yang mendatangkan kerosakan pada kehidupan manusia itu sendiri. Dengan pujuk rayu dan godaannya, maka akhirnya ramailah manusia yang bergabung menjadi pengikut kemaksiatan ini. Dengan demikian, mereka yang di bawah takluk dan lemas dalam godaan maksiat akan jatuh ke dalam lumpur dan lembah kesesatan.  Manusia yang hidup di dalam kemaksiatan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah s.w.t sedikit pun.

Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t. Saidina Ali berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”  

Pelaku maksiat sudah tentu mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati, mereka melupakan Allah s.w.t semasa melakukan maksiat dan dikuasai oleh para syaitan. Maka ingatlah bahawa musuh Allah ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa maksiat tidak akan dilakukan semasa hati seseorang itu beriman kepada Allah s.w.t.

Rasulullah bersabda dengan maksudnya: “Tidaklah beriman seseorang penzina itu ketika berzina, tidak beriman seorang pencuri itu ketika mencuri, tidak beriman seorang peneguk arak itu ketika ia meneguknya dan tidak beriman orang yang merampas harta yang tinggi nilainya itu ketika merampasnya.” (Riwayat Bukhari)

Manusia sentiasa berdepan dengan godaan dunia, hawa nafsu dan bisikan syaitan yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kemaksiatan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., menjaga hati, lisan dan perbuatan serta tidak mudah terpedaya dengan kesenangan dunia. Jangan biarkan hawa nafsu menguasai diri sehingga kita lupa kepada Allah dan kehidupan akhirat.

Catatan: Ibnu Majid

 

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com