BILA ANAK MUDA DIHINGGAPI PENYAKIT ZINA
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” - (Surah Al-Isra-32)
Di dalam surah Al-Isra’ ayat 32, Allah SWT telah menegaskan tentang kejinya perbuatan zina serta Faahisyah, iaitu secara am bermaksud zina, perbuatan lucah dan seangkatannya. Zaman ini, setelah tamadun barat membawa kedatangan revolusi seksual pada era 70an, hubungan seksual, intimasi, budaya songsang, dan pergaulan bebas sudah menjadi sesuatu yang normal untuk masyarakat dunia.
Malah, masyarakat Islam juga tidak terselamat darinya, kerana dengan kedatangan internet serta teknologi perhubungan, umat Islam terdedah dan terikut-ikut budaya yang mengangkat Faahisyah ini.
Menurut kajian yang dijalankan oleh pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Noor Azimah Muhammad, didapati 75 peratus remaja Malaysia pernah menonton video atau melihat gambar pornografi.
Dr. Noor Azimah berkata kajian yang dijalankan pada tahun 2021 itu menunjukkan bahawa kebanyakan yang terlibat adalah remaja lelaki dan mereka telah terjebak ketika seawal menuntut di sekolah menengah, serta kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian.
Justeru umat Islam tidak boleh hidup di dalam penafian bahawa Faahisyah masih belum menjejaskan atau mempengaruhi anak remaja muslim. Perbuatan menonton pornogarafi ini menyebabkan sebahagian dari remaja kita mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti AIDS atau HIV.
Terkini, jangkitan baru HIV di Malaysia semakin beralih daripada pengguna dadah suntikan (PWID) kepada jangkitan melalui hubungan seksual, terutamanya dalam kalangan lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki (MSM). Berdasarkan unjuran, MSM dijangka menjadi kumpulan utama jangkitan HIV menjelang tahun 2030. Dalam kajian terdahulu, prevalensi HIV dalam kalangan MSM adalah sekitar 8.9%. Walaupun angka ini dari beberapa tahun lepas, trend semasa menunjukkan peningkatan ketara kes baru di kalangan MSM, terutamanya dalam kumpulan umur muda, iaitu antara 20-39 tahun.
Lebih menjijikan lagi, industri hiburan dan pempengaruh dalam negara sendiri, seolah-olah meraikan budaya songsang. Acara Anugerah Juara Lagu ke 39 baru-baru ini, telah memperagakan beberapa pempengaruh media sosial lelaki yang berpakaian dan bergaya seperti wanita.
Di dalam Bahasa Arab, Tasyabbuh secara lughawiyah bermaksud menyerupai sesuatu. Dari segi perbahasan fiqh pula, ianya bermaksud seorang lelaki yang menyerupai perempuan atau sebaliknya.Penyerupaan ini termasuk perkara-perkara berikut, iaitu; Pakaian, Perhiasan, Percakapan dan suara, Gaya berjalan dan gerak badan, dan Mengubah bentuk fizikal badan.
Hukum tasyabbuh adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar, kerana telah sabit nas-nas syar’ie bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya dengan lisan Nabi SAW. Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”
Di Malaysia, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan serta fatwa Majlis Agama Negeri telah lama memutuskan bahawa budaya songsang ini adalah haram. Misalnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Oktober 2008, memutuskan bahawa pengkid iaitu wanita berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama.
Justeru mengapa sesetengah orang Islam dalam negara seperti tidak pedulikan kesucian hukum agama? Adakah mereka ini buta dan pekak terhadap amaran Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran?
Penyakit media sosial zaman ini, iaitu mengumpul dan meluaskan pengaruh di alam maya, telah menjatuhkan martabat ramaisaudaraIslamdidalammahupun luar negara. Mereka yang berperangai pelik diangkat sebagai idola, dan Faahisyah semakin lama semakin dinormalisasikan, hingga menjadi sesuatu yang biasa.
Faahisyah zaman moden lahir dari dunia barat, dan kini ia telah meranapkan budaya dan tamadun mereka. Namun apa yang dilalui oleh barat, kini dialami juga oleh dunia Islam. Hal ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW yang bermaksud; Kamu akan mengikut jalan orang yang terdahulu darimu. Sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hinggalah kalua mereka masuk kelubang biawak, nescaya kamu akan turut masuk. Sahabat bertanya adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Jawab Baginda: Siapa lagi kalau bukan mereka? - [HR Bukhari dan Muslim]
Bermula dengan berpakaian seperti wanita, kemudian memendam perasaan dan nafsu terhadap kaum sejenis. Bermula dengan adegan tidak senonoh di media, kemudian kepada pornografi. Inilah realitinya, perkara yang diambil ringan, hingga terjerumus ke dalam dosa zina.
“Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika dia berkata kepada kaumnya:"Mengapakamu mengerjakan Faahisyah (perbuatan keji) itu sedang kamu memperlihatkannya?”
-(SurahAn-Naml,Ayat54)
Tidak dinafikan bahawa kehinaan dan kelemahan yang ditimpakan oleh Allah SWT berpunca kerana ramai umat Islam hari ini yang lalai, merasa tidak bersalah apabila melakukan kemaksiatan. Ada dianatara mereka juga berpura-pura tidak mengetahui bahawa ini akan menyebabkan ancaman daripada Allah SWT.
Catatan: Ibnu Majid