CERAI JUGA JALAN KEBAHAGIAAN? (II)
Kita ingin hidup dalam lingkaran dan cahaya kasih sayang.
Bagi seorang lelaki, pendamping yang paling rapat, mesra dan setia ialah wanita. Bagi wanita, pendamping yang paling diharapkan sehingga muncul frasa ‘sehidup semati’ ialah lelaki.
Jadi, berdasarkan sifat alami atau fitrah itulah rangkaian ulasan buku kali ini akan membincangkan perihal bagaimana menghadapi (mengawal emosi dan membina fikiran positif) ketika berada di persimpangan, antara meneruskan kehidupan berumah tangga atau jika mungkin, ia perlu diselesaikan melalui penceraian.
Suatu kaedah penceraian yang baik, bukan saling mendedahkan rahsia dan keburukan. Ia bukan sebuah pertandingan kekuatan dan perang saudara. Ia adalah sebuah kaedah penyelesaian yang tidak meninggalkan kesan psikologi yang mendalam dan terus dibuai dalam arus penghinaan atau rasa kesal.
Saya lihat kes yang berlaku (penceraian) antara Didie Alias dan Ridzuan Hashim cukup menarik dan sangat membanggakan.
Biarpun mereka sudah lama bercerai, Didie Alias tetap mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan hutang-hutang bekas suaminya, jika ada dan diberitahu, seperti apa yang dimuatnaik dalam media sosial setelah mendapat tahu Ridhuan Hashim meninggal.
Didie Alias tetap mendoakan keampunan dan menziarahi jenazah bekas suaminya itu. Ia bukan seperti beberapa cerita yang pernah kita dengar, bila salah seorang meninggal dunia, ada yang berkata “padan muka”, itu adalah karma (balasan) yang patut si fulan itu terima.
Apakah keputusan itu cukup membahagiakan atau pun merupakan satu malapetaka? Apakah kesannya, jika penceraian terpaksa diambil dan rumah tangga dilihat tidak lagi boleh diteruskan sebagai jalan menuju kebahagiaan?
Setelah harapan itu berkecai, apakah penceraian itu merupakan satu penderitaan? @silebahjingga berusaha memberikan jawapan. Jawapan berasaskan pengetahuan budaya, psikologi dan pilihan-pilihan yang ada.
Turut diberikan ialah hasil-hasil penyelidikan yang sangat menarik, yang boleh membuka minda diri (selfperception) dan pasangan, agar mampu membuat keputusan yang tepat dan bermakna, bukan membangunkan keluhan dan penyesalan.
Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Tetapi, ia boleh membangunkan semangat dan jiwa yang kental sekiranya seseorang itu mampu belajar daripada kegagalan yang pernah dialaminya.
Ia juga dapat membantu kita memahami bahawa kehidupan berumah tangga itu jika tidak lagi dapat diselamatkan, bagaimana untuk kita menghadapinya dan mengharungi kutukan sosial.
Paling rawan berlaku ialah di pihak perempuan, walhal tidak semua kesalahan itu berpunca daripada perempuan atau isteri.
SELESAIKAN KONFLIK
Pada setiap keruntuhan rumah tangga, banyak hal yang dituding jari, dan yang paling tertekan ialah perempuan, apatah lagi jika perpisahan itu melibatkan anak-anak. Ada yang kata, isteri tak pandai jaga suami.
Apakah benar isteri tidak pandai jaga? Siapakah sebenarnya yang patut menjadi isteri dan menjadi pemacu sebuah rumah tangga yang bahagia?
Dalam perspektif patriarki, perempuan selalu dipersalahkan jika rumah tangga tidak bahagia, sedangkan yang ikut bersalah ialah suami yang diberikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga atau rumah tangga.
Jadi, kenapa begitu malang sekali wanita dibebankan dengan persoalan-persoalan sedemikian?
Perpisahan atau ‘penceraian’ adalah juga jalan menuju kebahagiaan, tulis @silebahjingga. Penceraian atau pembubaran sesebuah perkahwinan dikatakan ‘jalan kebahagiaan’, berasaskan kepada kaedah penyelesaian sebuah konflik rumah tangga, biarpun ada perbezaan pendirian seperti terungkap pada peribahasa atau perumpamaan ‘retak membawa belah’.
Tidak semua ‘retak’ boleh dicantumkan semula dan tidak semua ‘belah’ tidak akan hadir pilihan-pilihan penggantian yang lebih baik dan menarik. Bukan semua penceraian itu adalah penderitaan.
Penceraian sebenarnya adalah ‘jalan keluar’ dari kemelut yang sangat menyakitkan, jalan penamat sebuah konflik yang berpanjangan (syiqaq), yang mungkin dimulai dengan perilaku nusyuq (pengabaian tanggungjawab), bahasa lisan yang kasar dan sinis, sama ada dalam perucapan dan juga tindakan (atau bahasa badan).
Secara psikologinya, bahasa badan sangat berpengaruh kerana ada ketika seseorang itu kelu untuk berkata-kata, tetapi tidak mati dengan tindakan atau aksi anggota badan, termasuk cara pandang, pergerakan dan mengetap bibir.
“Retak membawa belah” pada asasnya membawa makna ‘kehancuran’, kemusnahan seumpama sebuah cermin.
Bila sesebuah cermin pandang atau alat yang kita jadikannya untuk melihat wajah sendiri daripada biasan cahaya, kita sekurang-kurangnya kenal diri kita sendiri secara fizikal.
Kadangkala kita turut bermonolog bila ada sesuatu yang kita lihat diri kita sendiri (biasan cermin yang retak), muncul atau ada tanda-tanda tertentu, termasuk tanda penuaan dan wajah yang sedikit muram, riak wajah yang cukup mengental.
Tetapi, pada cermin yang retak itu, wajah kita mungkin jadi lebih teruk atau ikut ‘tercalar’ dan terpencar-pencar.
Apatah lagi bila cermin itu terbelah. Ia akan menyebabkan wajah yang kita cukup sayang dan kenali (diri sendiri) itu ikut ‘terbelah’. Dan, kadangkala sukar pula untuk difahami urutannya semula. Ia semakin kusut dan kadangkala ‘tidak lagi menarik’.
Ada juga mula membenci diri sendiri atas wajah-wajah yang dilihat daripada cermin yang retak itu.
Kadangkala, akibat cermin yang retak sudah terbelah, kita tidak mengenali diri sendiri dengan munasabah dan memadai. Kita berteleku dalam ‘duka’, ‘kehampaan’, dan tabularasa. Tabularasa inilah yang sangat sakit dan kadangkala berbahaya, boleh mengundang tragedi.
Itu adalah situasi semasa, ‘cermin yang kita gunakan itu sudah terbelah’. Ia tidak bermakna, walaupun cermin itu tidak boleh dicantumkan kembali, kekusutan yang dihadapi tidak boleh dilupa mahupun diperbaiki lagi. Tempatnya, cermin yang pecah itu adalah di dalam tong sampah.
Ada ungkapan yang sudah berlegar di media sosial. Ungkapan itu berbunyi: Gunakan cermin untuk menilik diri, tapi jangan gunakan kanta untuk mencari kesalahan orang lain. Ertinya, dalam mencari kebahagiaan kita hendaklah melihat apa yang ada pada diri sendiri sebelum melihat potensi yang ada pada orang lain.
Apabila kita bermuhasabah, kita akan menemui kelemahan dan kekuatan yang kita ada. Kita tampungi kelemahan atau kekurangan itu dengan kekuatan yang ada pada pasangan kita.
Tetapi, jangan pula kita gunakan kekuatan yang kita miliki itu untuk mendominasi pasangan kita dan menekan kelemahannya.
Apabila ini berlaku, ia akan menjalar akar ‘kebencian’ dan perseteruan. Ia seperti menggunakan kanta untuk memperbesar-besarkan isu. Isu itulah yang menjadi ‘bahan bakar’ kepada munculnya konflik.
Ia bermula dengan sangkaan dan jangkaan. Sangkaan dan jangkaan pula melumpuhkan iklim komunikasi yang berkesan.
Apa yang kita perlukan dalam kehidupan berumah tangga ialah komunikasi yang dipanggil asertif, yakni meraikan orang lain dan tidak mengetepikan hak sendiri. Kita mesti ingat, Allah SWT memberikan kita satu kaedah yang cukup baik dalam kehidupan berumah tangga, dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Mereka (isterimu) adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.” Surah al-Baqarah, ayat ke-187)
Saya kutip pandangan Aiman Azlan dan Dr Harlina Halizah Siraj:
“Naratif bahawa suami sahaja yang perlu dilayani dan diberikan khidmat oleh isteri sama sekali tidak benar, bahkan bercanggahan dengan prinsip perkahwinan dalam Islam.
“Jika dalam konteks hubungan intim, kebanyakan orang sering menganggap bahawa hanya suami yang memerlukan hubungan intim; isteri tidak perlu. Oleh itu, suami berhak memintanya bila-bila masa atau dengan apa cara sekalipun kepada isteri, dan isteri mesti patuh dan memberi. Kebenaran ini tidak benar sama sekali.
“Seperti mana suami, isteri juga berhak dilayani dan diberikan khidmat terbaik oleh suami. Dalam konteks hubungan intim, isteri juga mahu dilayani dengan baik oleh suami.
“Hal ini kerana pada akhirnya, jika pasangan suami istei melihat hubungan intim ini sebagai ibadah, sudah tentu kedua-duanya mahu melakukan yang terbaik untuk pasangan demi meraih pahala ibadah terbaik daripada ibadah tersebut.”
(Aiman Azlan dan Dr Harlina Halizah Siraj, Sekufu: Bina Keserasian dan Bentuk Persefahaman Dalam Rumah Tangga, Kajang, Selangor: Iman Publication, cetakan ketiga 2022, hal.75).
Kita masih ada peluang untuk membaiki, bahkan memilih kaedah terbaik untuk mengubah keadaan atau kekusutan sehingga menjadi sesuatu yang sangat besar dan bermakna, menggantikan semula ‘cermin yang terbelah’ itu dengan ‘cermin baharu’ dengan ‘bingkai yang lebih kukuh’.
Kita gunakan semangat dan kecekalan itu untuk melakukannya.
Sebabnya, setiap manusia ada harapan untuk bahagia, walaupun pernah alami rasa kecewa atau ketidakbahagiaan beberapa kali sebelumnya.
Inilah semangat dan harapan yang cuba dibina oleh @silebahjingga menerusi buku yang cukup bermotivasi ini.
Di halaman awal, pengarang menulis:
“Tapi satu hal yang pasti: Kamu berhak mendapatkan kebahagiaan yang kamu cari terlepas [setelah, sic] berapa lama kamu bersama pasanganmu atau berapa lama kamu terjebak dalam perasaan tidak sedar yang saling bertentangan terhadap situasi atau seseorang pada waktu yang sama.
“Ada khabar baik dan juga khabar buruk....
“Jika yang terbaik bagimu adalah untuk tetap tinggal dan bertahan, kamu akan memiliki pengalaman yang memuaskan dalam menghadapi semua masalah dan menemukan [menumbuhkan semula, sic] bahawa hubunganmu benar-benar layak untuk tidak ditinggalkan.
“Kamu tahu bahawa hatimu adalah rumahmu sendiri dan bukan [di, sic] tempat lain.
“Namun jika yang terbaik bagimu adalah pergi dan mencari kebahagiaan yang lain, kamu akan mendapatkan kepastian yang datang dari pemahaman mengapa hubunganmu terlalu buruk untuk dipertahankan.
“Saat kamu mengakhiri hubungan yang pantas untuk diakhiri, kamu akan membebaskan dua orang untuk melanjutkan hidupnya masing-masing dengan caranya sendiri-sendiri [masing- masing] demi kehidupan yang lebih baik. “ (hal.iii)
TIDAK SEMUDAH JANJI
Memang hidup ini bukanlah semudah seperti yang kita janjikan (bayangkan). Lantun suara sayu seorang lelaki apabila melagukan harapan dan impian kepada seorang perempuan: (Lagu: Kopratasa, Permata (Untuk Isteriku), lirik/puisi: Abdul Aziz HM).
Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang
Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami
Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Kerana kau isteriku.”
Lirik dari puisi itu cukup mengandungi harapan: harapan hidup bersama sebagai pasangan yang bukan sahaja saling ‘kenal mengenali’, juga saling bertanggungjawab bagi meraih kebahagiaan bersama.
Ia mestilah berlangsung dalam suasana yang realistik dan tidak lagi sangat cenderung kepada sesuatu yang dipanggil ‘idealis’. Ia mungkin boleh kita jadikannya sebagai petunjuk antara ‘janji manis’ dan ‘realiti’, setelah disatukan dalam sebuah pernikahan.
(BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
