KESIMBANGAN DUNIA DAN AKHIRAT
Bagaimana caranya seorang Muslim dapat mengubah setiap pergerakan, setiap nafas, dan setiap fikiran menjadi ibadah? Adakah ia mampu dilakukan?
Jika difahami dengan teliti, sebenarnya tiada keseimbangan antara Ad-Deen atau agama dengan dunia. Yang ada hanya Ad-Deen dalam realiti ini. Kerana secara asasnya, jika seseorang ingin mengimbangi antara dua perkara, maka perkara itu wajib terpisah. Seperti contoh dua barangan di atas penimbang, dibahagi 50-50.
Justeru mustahil untuk memisahkan Deen dan Dunya kerana agama Islam ini cara hidup. Jadi ia disepadukan ke dalam setiap aspek dunia. Dunya adalah fungsi kepada deen. Maka apabila kita memahami anjakan paradigma ini, setiap perkara yang kita lakukan, jika ia diselitkan dengan niat kerana Allah SWT, ia menjadi satu ibadah.
Dunia ini adalah rumah kepada Hak. Allah SWT mempunyai hak ke atas setiap manusia di dunia. Tetapi nafsu kita juga mempunyai hak ke atas diri kita, iaitu supaya kita menyelamatkannya dari Jahannam. Itulah hak nafsu ke atas diri seseorang.
Isteri-isteri dan anak-anak mempunyai hak ke atas diri kita, supaya menjaga dan melayan mereka dengan adil dan baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isteri-isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.” - Hadith riwayat Ibn Majah, 9:2053
Seorang Muslim yang bertaqwa sudah tentu akan mempunyai kesedaran tinggi bahawa Allah SWT akan bertanya kepadanya tentang segala-galanya. Kitab amalan setiap manusia tidak meninggalkan apa-apa pun, sama ada besar atau kecil, melainkan ia tercatat. Justeru Deen adalah cara hidup, dan tidak boleh dipisahkan dengan dunia.
Bagaimana pula dengan perkara-perkara yang Mubah, iaitu dibenarkan? Seperti tidur, kita tidak mendapat pahala dan tidak pula mendapat dosa. Namun jika tidur kita disertakan dengan niat ke dalamnya, ia bertukar menjadi Ibadah. Kita perlu berniat bahawa kita tidur kerana Allah SWT menyuruh kita tidur. Kita berbuat sesuatu kerana Allah suruh kita buat.
Seorang manusia menghabiskan 1 per 3 hidupnya dengan tidur. Justeru ia sangat membazir jika tidak berniat supaya tidur itu bertukar menjadi ibadah. Contoh niat yang betul untuk tidur adalah seperti tidur untuk bangun dan kemudian menyembah Allah, untuk membantu orang, untuk pergi bekerja kerana ingin meneruskan beribadah.
Dari Umar RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda; “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahi-nya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah,” - (HR. Bukhari, Muslim, dan empat imam Ahli Hadits).
Itulah keindahan dan rahmat dari Allah SWT. Malah jika seseorang berniat untuk melakukan dosa dan kemudian tidak melakukannya, dosa itu bertukar menjadi pahala untuknya. Itulah ganjaran dari Yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.
Intipati kepada ad-Deen itu ialah setiap manusia adalah hamba kepada tuannya. Tugas tuan adalah memerintah hambanya, dan tugas hamba adalah taat kepada tuannya. Jika segala perbuatan dilaksanakan dengan perspektif bahawa Allah SWT telah memerintahkan kepada kita, dan berniat kerana Allah memerintahkannya, kita akan sentiasa wujud dalam kehambaan, dalam 'ubudiyyah Allah SWT.
Tetapi seseorang itu perlu mempunyai ‘ilm, kerana jika kita tidak tahu, bagaimana untuk menzahirkan niat yang betul? Sebagai contoh, bagaimanakah kita tahu cara-cara yang betul untuk minum air? Hanya melalui Rasulullah SAW.
Maka rahsianya adalah dengan berniat makan dan minum kerana Allah telah perintahkannya. Ia merupakan sebahagian daripada Lailahaillallah. Cara untuk makan dan minum dengan betul adalah sebahagian daripada Muhammadur Rasulullah.
Apabila Baginda SAW minum, baginda akan duduk. Dan sebelum baginda minum, baginda akan melihat dahulu ke dalam air. Itulah sunnahnya. Kemudian baginda akan mengambil tiga teguk kecil. Baginda tidak akan menelan air liur. Maka praktikkan semua sunnah Nabi SAW ini, dan jadikannya garis panduan kepada segala perbuatan kita.
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya)...” - (Surah Al-Hadid, Ayat 20)
Maka berpegang dengan niat bahawa kita lakukan segala sesuatu kerana diperintahkan oleh Allah SWT, dan kemudian dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Jika digabungkan kedua-dua ini, maka setiap langkah yang diambil,setiap pergerakan yang dibuat, setiap fikiran yang ada, akan bertukar menjadi ibadah. Dengan itu, hidup serta dunia ini menjadi sangat mudah bagi setiap Muslim.
Petikan alfalahmadani.my