MARAH DAN BENCI: MENGAPA ADA DALAM DIRI?
"Jangan menghukum seseorang yang memilih jalannya menuju Tuhan. Tuhan tidak menilai kata-kata. Dia menilai ke dalam lubuk hati kita, bersih atau tidak." (Elif Shafak, Forty Rules of Love, 2010).
Tidak ada hari yang tenang. Hari yang tenang sudah digugat oleh pelbagai masukan, dari rasukan cerita lisan hinggalah naratif media sosial. Kita hidup dalam dunia digital yang semakin menjauhi adab, susila dan kebenaran, kerana yang ingin ditegakkan ialah pembenaran.
Walaupun pembenaran itu tersimpang dari landasan kebenaran, kebenaran sudah jauh membentuk langkau kebenaran (post-truth). Ia membawa kepada kebenaran budaya, bukan realiti kebenaran berpaksikan agama yang hakiki. Sebabnya, agama dilihat sebagai kerangka kepercayaan, bukan harapan dan keyakinan mutlak, yang tidak boleh dikompromikan baik dalam mikrokosmos mahupun makrokosmos.
Dalam situasi ini menyebabkan sebahagian besar daripada kita semakin keliru: dikeliru atau terkeliru. Keliru dengan apa yang dinginkan sehingga sanggup "mencurah air di tempayan" yang dahulunya kita angkut dan tambah sentiasa apabila dilihat ada kekurangan, untuk "membasuh kaki", yang bermakna mengeluarkan daki yang melekat di kaki. Tidak ada lagi tempayan di tangga rumah, dan sudah menjadi budaya hampir semesta, rumah tidak lagi bertangga, dan kita hidup dalam ruang "terkurung" oleh dinding pemisah, bahkan antara jiran tidak pernah bersapa-sapaan. Kalau pun ada, kisahnya lebih bersifat gosip dan membawang. Kita lebih kenal jiran melalui kereta yang mereka miliki berbanding hubungan interpersonal.
Sekarang, kita ikut membawa "daki" masuk ke dalam rumah, hingga ke dalam bilik yang sepatutnya ditata rapi dan bersih. Kita hanya sekadar membuang debu dan sawang yang ternampak, tetapi kita tidak siraminya dengan "air yang jernih" dan bau kasturi yang harum. Kita gantikan dengan aroma sintetik yang mudah dibeli, kerana tertarik dengan gaya luaran yang sensual dan berahi (kosmetik).
Jika berlaku sesuatu keramaian atau majlis, maka akan ada hujah yang berbalas antara realiti dan fantasi. Hujah dalam bentuk ilusi muncul oleh mereka yang mencari "tangga untuk didaki" biarpun pendakinya memang berdaki. Kita cenderung membasuh kaki di dalam rumah, bukan di luar rumah. Ia kemudiannya, akan diterjemahkan apa yang dialaminya sebagai sesuatu yang besar dan mampu menenggelamkan beda kehidupan, dan juga politik beradab.
Kalaupun ramai yang hadir meraikan kemenangan, mereka yang tidak hadir ada yang tidak senang. Dalam tidak senang itu, mereka menyimpan nilai yang mungkin berlawanan, atau rasa kesal kerana tidak dapat hadir bersama. Mereka yang hadir bersama pun tidak semua pulang dengan hati yang tenang, malah ada macam-macam nilai yang tidak kena, tidak sesuai dengan jiwa dan aspirasi. Kalau ada pun, hanya sekadar kepuasan semua.
Amat kecil manusia yang mampu melihat semuanya sebagai suatu ketentuan, juga sebagai cabaran sama ada untuk memperbaiki apa yang ada dalam dirinya, atau menyesuaikannya menjadi sebuah kerangka yang lebih baik, bukan sekadar dalam bentuk pemikiran, tetapi juga sebagai norma kelakuan. Jarang di antara kita yang mahu melihat dan menilai apa yang ada dalam diri sendiri, tetapi lebih mudah mencari kesalahan di luar diri sendiri. Di situlah munculnya situasi "kambing hitam" dan 'punching bag".
Kerana asyik mencari kesalahan di luar diri, maka muncullah pelbagai bentuk aksi kemarahan: meledak sebagai ekspresi menghina, maki hamun, adu domba, mengajak kepada demonstrasi, dan tidak kurang pula yang menuduh sesat, menyebabkan fitnah tersebar melata dan muara akhirnya ialah membunuh karakter.
Ketika ini, sedang sibuk beberapa orang daripada kita cuba memahami Pendidikan Karakter, muncul pula ujaran kebencian untuk membunuh karakter Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang dikatakan tidak layak untuk membangun generasi pelajar kerana beberapa insiden yang menakutkan berlaku dalam kalangan komuniti sekolah: pelajar, guru, pegawai keselamatan dan sistem itu sendiri. Walhal insiden, tragedi dom sekolah sudah lama berlaku, bukan sahaja dalam kalangan komuniti sekolah moden, juga dalam komuniti sekolah agama mahupun rumah-rumah ibadat.
Ada yang menulis seolah-olah "kita tidak perlukan lagi kepada pendidikan karakter, kerana karakter itu telah dibunuh." Jadi, apakah "pembunuhan karakter" itu menjadi suatu penamat, walhal pelbagai karakter akan terus muncul selagi manusia bernafas. (https://www.facebook.com/share/19wpLsLJ2W/).
Ertinya, biarpun "pembunuhan karakter" terus berlaku selagi manusia cukup terpesona dengan "pesona dunia", pendidikan karakter tetap menjadi acuan yang ampuh untuk manusia dalam budaya hidup yang penuh kecelaruan, krisis dan konflik. Itulah sebenarnya yang diperjuangkan oleh para pejuang, pendidik, aktivis kemanusiaan dan yang pernah hadir dalam pentas sejarah, termasuk dalam sejarah Islam.
Kecelaruan fikiran, akidah dan perilaku cuba diatasi dengan cara memperkuatkan jiwa dan membina watak yang sempurna dan boleh diterima, dari sisi agama.
Contoh yang cukup hebat dengan kaedah ini antaranya Imam al-Ghazali (1058-1111), Jalaludin Rumi (1207-1273), Syed Abul Hasan Ali an-Nadwi (1913-1999), Hamka (1908-1981), Prof Dr Yusof Qardhawi (1926-2022), Dr Said Ramadan al-Bouti (1929-2013) dan Syeikh Abdullah Alawi al-Haddad (1634-1720).
Terlalu ramai yang bersuara, seolah-olah mereka itu cukup berpengalaman dalam bidang pendidikan, walhal untuk membina ekosistem pendidikan tidaklah semudah formula susunan aksara dan nombor dalam turutannya (yang betul). Pendidikan bukan seperti sebuah permainan "puzzle" atau "roadblox". Ia perlukan dedikasi, pemahaman dan tindakan yang berterusan, di mana pada setiap peringkat yang dilihat tidak kemas diperkemaskan sentiasa. Tetapi, usaha memperkemaskannya bukan boleh dibuat semalaman, kerana ada eviden yang perlu diteliti, ada prosedur yang perlu dipatuhi dan ada konsekuan yang mungkin dihadapi.
Namun, lebih ramai yang melihat ekosistem pendidikan cukup mudah dilaksanakan. Ia mula membuat perhitungan, seperti mencampurkan beberapa nombor, kemudian akan terhasillah seperti jumlah yang dikehendaki. Cukup mudah formulanya, kerana mereka melihatnya seolah-olah ekosistem pendidikan itu seumpama memasang alat penyejuk di dalam bilik untuk mengatasi kehangatan suhu bilik. Jika sedia sejuk, boleh sahaja laraskan suhunya tanpa perlu bangun, dengan menggunakan "remote control".
Apatah lagi dalam dunia yang semakin dilanda "kecerdasan buatan"; arahan boleh dilakukan dengan arahan lisan seperti "Hai Proton, belok kiri". Atau dihubungkan dengan wifi, maka pintu pagar rumah boleh tertutup atau terbuka, dan tidak lagi perlu menekan tombol, semuanya adalah berkata kepintaran manusia mencipta teknologi dan merekayasa pelbagai inovasi.
Tetapi, sedarkah kita bahawa teknologi apa pun yang kelihatan cukup canggih dan menepati keinginan manusia, ia belum mampu menjadikan hidup kita semakin tenang, dan terjamin dengan kebahagiaan, tidak terjerat oleh prasangka, cemuhan, kekesalan dan penguncupan.
Teknologi telah menguncupkan kita daripada nilai kemanusiaan, yakni nilai empati dan motivasi ruhani untuk orang lain mencontohi. Kita hanya lebih memberikan perhatian kepada orang yang berjaya membentuk populariti, walhal, populariti itu muncul dengan cara yang "menghina orang lain" atau "membunuh karakter" lawannya. Populisme menjadikan kita tidak melihat hal yang sesungguhnya perlu, tetapi menjadikan sebahagian kita sebagai generasi "pak turut" atau sahaya yang hanyut bersama arus.
Ketika ini sedang bergerak ke satu dakyah untuk membunuh karakter Menteri Pendidikan, mereka mahukan Fadhlina Sidek meletakkan jawatan atau digantikan dengan tokoh-tokoh tertentu. Ada yang berani dan secara terbuka menyebut nama dan ada yang mahukan bakal penggantinya adalah mereka yang boleh mengadunkan dua atau lebih dimensi tindakan: Mazlee Malik dan Asyraf Wajdi.
Mazlee ditonjolkan atas keengganannya untuk bertolak ansur dengan sistem yang rosak. Sistem yang rosak itu ialah kegagalan BestariNet dan pembelajaran maya, VFrog. Asyraf pula disokong kerana ketangkasan dan ketegasannya dalam menentukan prosedur disiplin, spesifikasi kontrak makanan di asrama MRSM dan tindakan cepat yang lebih berani.
Mazlee dengan semangat Hang Tuah - kembalikan jawatan kepada sang Maharaja - dan Asyraf Wajdi dengan semangat Hang Jebat -melawan ketidakakuran dan cepat membuat keputusan. Di antara dua tokoh itu, muncul satu lagi nama, yang dikatakan cukup berpengalaman dalam kapasiti pengurusan, termasuk juga memahami senario pendidikan negara, iaitu Dr Samsul Anuar Nasrullah. )https://www.facebook.com/share/1GjRW8Gh2U/)
Dari segi kelayakan, Asyraf namanya sudah tercampak jauh, kecuali beliau PRU ke-16 dan gabungan PH-BN masih berkuasa. Asyraf dah tiga kali kecundang (2008 di Tumpat, 2018 di Pasir Puteh dan 2022 di Gerik). Beliau juga sudah tidak layak untuk dilantik senator, kerana pernah dilantik untuk tempoh tiga tahun sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri era Najib Razak.
Samsul Anuar Nasrullah mungkin calon yang ada harapan, tetapi ia sangat tertakluk kepada persetujuan PMX. Ia merupakan prerogatif PMX. Sama ada PMX bersedia menggantikan Fadhlina dengan Samsul Anuar itu adalah haknya sebagai PM. Kita hanya boleh mencadangkan atau berteka-teki kerana Fadhlina mempunyai jawatan tertinggi dalam parti PKR yang diterajui oleh Anwar Ibrahim.
Tidak perlu bertegang leher siapakah yang patut dilantik sebagai Menteri Pendidikan, tetapi harus sedar bahawa mendidik itu bukan sekadar belajar ilmu pengetahuan, ia juga meliputi pendidikan sahsiah atau dipanggil pendidikan karakter. Pendidikan karakter lahir daripada pemaknaan hubungan antara guru dan murid, guru dan ibu bapa. Sebab itu pada masa dahulu, guru cukup disanjing oleh masyarakat sebagai pendidik generasi, kerana guru boleh menegur dan menasihati para pelajar. Ibu bapa harapkan begitu kerana ibu bapa sedar, anak-anak yang membesar di depan mata tidak selalunya "baik dan sopan" bila berada di luar rumah.
Sokongan ibu bapa menjadikan pelajar cukup hormati guru, tetapi sekarang hubungan itu semakin terjejas, bahkan ada kes, ibu bapa mempersoalkan. Ibu bapa hanya mengharapkan, guru mengajar untuk jadikan anaknya pandai, boleh kumpul seberapa banyak A. Lainnya, ibu bapa agak marah bila diberitahu anaknya nakal, suka ganggu pelajar lain dan sering tidak buat kerja sekolah (homework) dan sebagainya. Guru yang sering menegur, dianggap seorang yang "busy body" dan "kekwat".
Sebenarnya itulah yang membawa kepada "kehancuran nilai" dalam pendidikan, yang kini, ramai pula yang mahukan disiplin ketat ditetapkan di sekolah, termasuk diberikan kuasa merotan. Kuasa merotan tidak pernah dihentikan, tetapi dihadkan. Guru besar atau pengetua sahaja yang boleh melakukannya. Guru besar dan pengetua semakin enggan melakukannya, kerana ada tindakan ibu bapa yang melihat hukuman itu tidak wajar dan manusiawi.
Mereka mencabar hukuman tersebut, dan kes dua orang guru dari sebuah sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Confucian di Pulau Pinang masih belum muktamad. Kes meroyan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ini berlaku pada bulan Disember 2023. Menurut Pekeliling Ikhtisas Bil. 7 Tahun 2003, hukuman rotan adalah hukuman kedua terberat selepas buang sekolah. Ia masih kekal hingga kini. Segelintir masyarakat mahukan kuasa itu diberikan semula kepada sebahagian guru, tidak memadai hanya sekadar guru besar atau pengetua dan guru disiplin.
Namun, desakan untuk menggantikan Menteri Pendidikan tidak boleh diterima oleh kebanyakan orang, kecuali dalam kalangan politikus yang berada di pihak pembangkang. Sebabnya mudah, mereka memang sudah lama bertukang, dan pernah memberikan jaminan kerajaan sekarang akan tumbang dalam tempoh kurang enam bulan. Ketukangan mereka tidak menjadi, kerajaan sudah memasuki tahun ketiga, usaha mematahkan tiang kerjasama politik antara parti yang dahulunya "bermusuh" tidak menjadi.
Sebab itu bila ada sahaja isu, mereka terus membuat desakan agar tukar menteri, dan juga PMX letak jawatan. Gambaran seolah-olah kerajaan secara umumnya telah gagal, walhal dakwaan tersebut adalah gambaran sebenar parti pembangkang yang tidak lagi dianggap cukup matang dan mampu mengambil alih kerajaan ikut pintu belakang.
Mereka sentiasa bercakap dalam nada marah, benci, mengecam seolah-olah seluruh sistem sudah "koyak", walhal gandingan parti politik antara merekalah yang benar-benar koyak sehingga perlu membentuk gabungan baharu yang lebih besar. Namun, gabungan baharu ini pun tidak menampakkan bakal melonjak sokongan sebabnya sebahagian daripada pemimpin yang bergabung mempunyai legasi yang cukup buruk sebelumnya.
Dalam keserabutan imaginasi itulah kadangkala kita akan bertanya: kenapa orang cepat marah dan menyalahkan orang lain? Apakah orang itu sedang mengalami gangguan keperibadian? Stress atau skizofrenia? Mungkin ya, kerana tompokan kekecewaan cukup banyak terpendam.
Mungkin juga kerana mereka yang sangat bercita-cita besar itu "merasa terancam" kerana apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang dilihat lebih berjaya. Kelompok itu melihat ia sebagai cabaran yang sukar untuk diatasi, yakni cukup takut dengan prestasi selanjutnya. Mereka takut prestasi pada PRU ke-26 nanti akan menjadi lebih buruk; sebab janji mereka banyak yang tidak mampu dilaksanakan, walaupun sudah menawan empat buah negeri. Mereka takut dakwaan, kalau inginkan 'kemunduran", pilihlah parti itu. Kalau inginkan "kemajuan", jangan silap pilih sekali lagi.
Saya teringat pesan beberapa orang ulama sejati, bukan ulama politik: seseorang yang mampu menjaga lidahnya akan selamat. Kebalikannya, kejatuhan seseorang itu kerana tidak menjaga lidahnya..kisah turut bermaksud pena, yakni apa yang ditulisnya dalam media, termasuk media sosial yang dikatakan cukup berpengaruh sekarang
Syeikh Nawawi al-Bantani (Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar Ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani, 1813-1897) dalam bukunya, Nashaihul Ibad menulis begini (hal.45-46) : Orang yang paling banyak membawa dosa pada Hari Kiamat ialah mereka yang banyak bercakap perkara-perkara yang tidak berguna. Tidak ada anggota tubuh yang paling berat, selain lidah atau mulut atau lisan.
"Lidah bertanya: "Wahai Allah, mengapa Engkau menyiksakanku melebihi siksaan-Mu terhadap anggota tubuh yang lain?
"Allah menjawab: Darimu keluar dan memyebar ke seluruh penjuru bumi kata-kata yang mengakibatkan pembunuhan antara manusia, perompakan, penjarahan dan kekerasan seksual. Demi kemuliaan-Ku, Aku akan menghukummu jauh lebih berat daripada menghukum bahagian anggota yang lain." Kutipan itu berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Nu'aim.
Lidah dan pena cukup berkesan, untuk menyeru kepada kebaikan dan juga keburukan. Jadi, jagalah literasi sebagaimana kita diperintahkan menjaga lisan dan pena, agar tidak dipersoal dan dihukum dengan seberat-beratnya hukuman ketika diadili oleh-Nya nanti.
Ingatlah: Allah menilai hatimu, bukan identitimu. Bersihkanlah hati jika tidak mahu disiksa dan dihentam hukuman oleh-Nya.
MONOSIN SOBRI