SARAH LIHAT KEINDAHAN ISLAM DI MALAYSIA

Oleh: Nurul Aien

Sukar untuk orang percaya bahawa wanita cantik berkulit putih ini beragama Islam. Mereka tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan mat saleh Australia ini boleh memeluk agama yang penuh dengan imej keganasan. Istilah kotor Jihad, IS, 9/11, perempuan berselubung hitam dari kepala hingga kaki, tidak dibenarkan ke sekolah, dilarang memandu, tidak boleh mengundi, semua itu imej yang hanya ada pada Islam. Tapi kenapa wanita ini tetap memilih Islam sebagai agama barunya? Begini cerita wanita berkenaan, Sarah Price…

Benar, memang ramai yang datang kepada saya dan bertanya, “Kenapa awak peluk agama Islam?” Ada yang menohmah konon saya lakukannya kerana lelaki. Tidak. Saya tidak peluk agama ini kerana lelaki.

Pun begitu, saya sangat suka menjawab pertanyaan ini, kerana dengan cara itu saya dapat menjelaskan dan memberikan jawapannya dengan lebih terperinci. Kepada merekaini ingin saya beritahu, saya memeluk Islam kerana tiga faktor. Inilah cerita saya yang berlangsung selama kira-kira dua tahun, hinggalah saya mengucap dua kalimah syahadah.

Untuk pengetahuan anda, Malaysia adalah tempat mula saya mengenali Islam. Semasa melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Kewartawanan di Universiti Monash, saya memutuskan menyertai satu program pertukaran pelajar ke negara ini. Program itu berlangsung dari Jun hingga Disember 2013 dan saya ditempatkan di bahagian editorial Yahoo! Malaysia.

Waktu itu saya langsung tidak terfikir bahawa di Malaysia nanti saya akan bertemu dengan sesuatu yang sangat asing, yang tidak pernah langsung saya temui sepanjang hidup.

Saya lahir dan membesar di Gippland, sebuah bandar kecil di New South Wales, Australia. Di sana, saya langsung tidak tahu apa-apa tentang Islam. Seingat saya, saya tidak pernah bertemu dengan seorang Muslim.

Apabila disebut Islam dan Muslim, yang tergambar di fikiran hanya satu iaitu penganutnya di Asia Barat yang memakai pakaian labuh berwarna hitam. Mereka hidup jauh daripada tamadun. Wanita-wanita ini ditekan dan ditindas. Mereka tidak boleh ke mana-mana tanpa ditemani suami. Mereka tidak dibenarkan bekerja dan sepanjang masa hanya memakai pakaian berwarna hitam.

Namun saya terkejut, apabila sampai di Malaysia, ternyata apa yang saya bayangkan itu sebenarnya silap. Saya sebaliknya menjadi terpegun melihat kecantikan wanita Muslim di Asia Tenggara yang memakai pakaian serta hijab berwarna-warni.

Di negara ini, saya berkenalan dan seterusnya bersahabat dengan ramai gadis-gadis yang belajar di universiti dan mempunyai kerjaya yang baik. Ada yang memakai hijab, ada yang tidak. Mereka ini wanita-wanita bijak yang sayangkan agama mereka. Ini semua membuatkan saya berasa sangat ingin mengenali Islam dengan lebih dekat.

Kebetulan saya mengambil jurusan kewartawanan. Apabila melakukan tugasan dan menulis artikel-artikel berkaitan Islam, semakin banyak keindahan agama itu yang saya temui. Secara tidak langsung pengetahuan saya berkaitan Islam juga semakin berkembang dan mendalam.

Dari situ barulah saya tahu bahawa wanita Islam bukannya ditindas, sebaliknya mereka mempunyai hak yang sangat banyak. Mereka diberikan hak yang diperakui oleh undang-undang dalam hal rumahtangga, pemilikan harta pusaka, kewangan, perceraian, memilih bakal suami, perkahwinan dan sebagainya, yang semua ini dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis, lebih seribu tahun sebelum wanita Barat menikmatinya!

Kali pertama menjejakkan kaki ke masjid, perasaan saya menjadi cukup tenang dan damai. Alunan azan yang lembut mendayu begitu menusuk ke jiwa, suatu perasaan yang tidak pernah saya rasai sepanjang hidup saya. Pertama kali bersujud mengadap ke arah kiblat, saya terasa seperti berada di rumah sendiri.

Oh… jangan keliru, ketika itu saya belum memeluk Islam. Saya hanya melakukannya lebih kurang setahun kemudian, tetapi bukan di Malaysia. Malaysia adalah tempat yang memperkenalkan saya terhadap keindahan agama tersebut dan konsep keesaan Tuhan.

Kenapa saya masih tidak mengucap syahadah? Sebab saya adalah seorang penganut Kristian yang patuh. Kristian adalah panduan hidup saya, dan jangan terkejut kalau saya katakan, tanpanya tidak mungkin saya menjadi seorang Muslim. Malah, kecintaan kepada Nabi Isa merupakan salah satu sebab utama yang membawa saya kepada Islam.

Ironi, bukan? Biar saya jelaskan. Bagi saya, Kristian adalah agama yang sangat hampir dengan Islam, baik dari segi teologi mahupun sejarah. Bagaimanapun terdapat banyak salah tanggapan terhadap agama itu. 

Islam rupa-rupanya tidak memusuhi penganut agama lain dan ingin menzaliminya. Sebagai contoh, Nabi Muhammad sa.w. pernah menulis surat bagaimana umat Islam patut melayan orang-orang Kristian. Kata baginda, kita perlu melayan orang Kristian dengan rasa hormat, sekalipun lelaki Islam itu berkahwin dengan wanita Kristian, si isteri tidak boleh disekat dan dihalang daripada menunaikan tanggung jawab kepada agamanya. Islam juga mengkategorikan penganut Kristian dan Yahudi yang benar-benar mengikuti ajaran kitab yang diturunkan kepada kaum mereka, sebagai ahli kitab. 

Saya juga terkejut kerana agama Islam turut mempercayai Nabi Isa. Malah nama Nabi Isa lebih banyak kali disebut di dalam al-Quran berbanding Nabi Muhammad s.a.w. Selain itu, Islam percaya kepada kesucian Mariam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa. Ringkasnya, Nabi Isa adalah tokoh yang sangat penting dan kita tidak boleh menjadi Muslim tanpa mempercayai kehidupan serta kerasulan baginda.

Perbezaan antara Islam dengan Kristian adalah kerana Islam mempercayai Nabi Isa adalah rasul, bukannya tuhan yang wajib disembah. Dia bukan anak Tuhan, tetapi manusia biasa seperti kita. Islam mengajar kan keesaan Tuhan, hanya Dia satu-satunya yang patut disembah, manakala Nabi Isa adalah rasul yang menyampaikan ajaran-Nya.

Saya sukakan setiap aspek yang ada di dalam agama lama saya. Saya sukakan konsep kesabaran, kasih sayang, keprihatinan dan semua nilai-nilai baik yang perlu kita amalkan. Ia sangat menarik dan gereja-gereja begitu aktif menjalankan aktiviti berkaitan konsep itu untuk manfaat masyarakat sekeliling.

Selepas program pertukaran pelajar tamat pada Disember 2013, saya tinggalkan Malaysia dan kembali ke Australia. Namun, apabila berada di kampung halaman sendiri, saya berasa suatu kehilangan yang amat sangat.

Saya mula membuat kajian terhadap perkara-perkara pokok dan yang menjadi asas kepada agama Kristian. Saya kaji apa yang diajar oleh St. Paul, apa yang dirumuskan oleh para pengkaji sejarah serta pendeta selepas kematian Nabi Isa. Saya baca kembali setiap helaian kitab Injil.

Saya kaji juga apa yang yang dikeluarkan oleh para pendeta ini daripada Injil, apa yang dimasukkan kemudiannya, percanggahannya, juga kebenaran yang terkandung di dalam kitab itu. Semuanya saya ambil kira. Apa yang saya temui pada peringkat itu ialah terdapat banyak persamaan antara al-Quran dan Injil.

Saya dengar perdebatan antara tokoh-tokoh terkenal Kristian dan Islam, yang mana mereka ini merupakan pengkaji hebat kedua-dua kitab berkenaan. Bagaimanapun, saya dapati, setiap kali diadakan perdebatan, al-Quran memberikan saya jawapan yang lebih meyakinkan. Keyakinan saya kepada Islam semakin teguh.

Pun begitu, sekalipun sudah meyakini akan kebenaran yang terdapat di dalam Islam, saya berasa terlalu sukar untuk meninggalkan agama lama saya. Seperti yang saya katakan, agama merupakan perkara yang sangat penting dalam hidup saya dan saya mahu benar-benar pasti bahawa saya hanya akan memeluk Islam dengan sepenuh hati bersama alasan yang betul-betul sahih.

Memeluk Islam bermakna saya perlu melaksanakan tanggung jawab yang diwajibkan ke atas umat-Nya, seperti solat lima kali sehari, menderma, memakai pakaian yang menutup aurat dan berhenti daripada meminum minuman keras.

Inilah perubahan serta keputusan besar yang perlu saya pilih. Ia menuntut komitmen dan tekad yang betul-betul jitu. Hari berlalu, semakin saya enggan meninggalkan Kristian, semakin saya rasa bahawa saya perlu menurut kata hati saya yang tidak dapat lagi menafikan akan kebenaran hakiki yang terdapat di dalam Islam.

Dan akhirnya saya berasakan bahawa memeluk Islam bukanlah perubahan drastik daripada Kristian, sebaliknya ia akan menyempurkan kepercayaan saya itu. Ya, Islam adalah agama sempurna dan menyempurnakan.

Maksud saya, misalnya, Kristian mengajar saya agar mencintai Tuhan. Ia mengajar saya tentang kemanusiaan, kasih sayang, prihatin kepada nasib orang di sekeliling kita, tentang Nabi Isa. Semua itu bukan saja ada, malah amat ditekankan dalam ajaran Islam. Sebab itu saya katakan, saya tidak akan mengucap syahadah dan jadi diri saya yang ada pada hari ini kalau saya tidak pernah menganut agama Kristian.

Perkara paling saya suka tentang kewartawanan ialah kerjaya itu memberi ruang kepada pengamalnya untuk mengubah dunia. Kewartawanan membolehkan kita memberi peluang kepada masyarakat untuk membuat pilihan, belajar tentang manusia dan kemanusiaan serta dunia di sekeliling kita. Kerjaya itu juga membuka jalan untuk saya belajar tentang Islam.

Di Malaysia saya berkesempatan bertemu dan menemu bual pelbagai pelbagai golongan masyarakat, termasuk tokoh-tokoh gerakan kewanitaan. Mereka ini bijak, mempunyai fikiran yang sederhana tetapi progresif dan menghormati semua golongan masyarakat. Mereka mengajar saya akan pengertian `Satu manusia yang hidup di atas bumi yang sama.’

Walaupun kita berbeza pegangan politik, warna kulit, agama, budaya dan geografi, tetapi kita mempunyai darah yang sama dan bernafas dengan udara yang sama.

Namun menjadi seorang saudara baru bukan semudah yang disangka. Saya melaluinya serta mempelajarinya setiap hari. Orang disekeliling saya menghakimi saya, termasuk yang beragama Islam sendiri. Semua ini benar-benar menguji kesabaran saya, malah sesetengahnya melangkaui tahap yang dapat saya bayangkan.

Tapi mereka kata, untuk menuju kebenaran, kita pasti akan diuji. Benarlah, tidak kira bagaimana besar dan sukarnya ujian yang terpaksa dihadapi, ia juga membawa ketenangan kepada hati dan hidup saya. Ini semua membuatkan saya berasa gembira, menangis, dan bertanya tentang pelbagai perkara berkaitan dengan masyarakat dan kehidupan ini.

Semua ini menjadikan saya menjadi manusia yang redha dan berserah diri kepada Allah s.w.t.. Melalui Islam, tidak kira apa yang saya tempuhi, saya sentiasa berasakan bahawa saya tidak pernah bersendirian. Inilah yang saya rasakan setiap kali saya menunaikan solat kepada-Nya. Benarlah seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t.,“…setiap kesusahan dan ujian itu pasti ada kesenangan”. - (Al-Inshirah 94: 6)

Islam benar-benar memberikan saya kedamaian dan kebahagiaan. Apabila berdepan dengan ujian atau didatangi tohmahan, saya ambil al-Quran dan membacanya. Ia adalah kitab yang menjadi panduan hidup saya. Di dalam al-Quran tidak terdapat ayat yang mengajar umatnya untuk bergaduh, membunuh, menyeksa dan menzalimi manusia lain. 

(SARAH PRICE, 23, kini sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana Kewartawanan di Universiti Monash, Australia).

Cerita Sarah Price ini sepatutnya menyedarkan kita, betapa tanahair yang tercinta ini, yang sering diperlekehkan dan dihina oleh golongan-golongan tertentu yang berfikiran ekstrem, sebenarnya memaparkan wajah keindahan Islam dengan caranya yang tersendiri.

Selain Sarah Price, sebenarnya ramai lagi saudara baru dari luar negara yang tertarik dengan Islam selepas melihat keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa dan di negara ini. Mereka tidak dapat melihat fanatisme dan penindasan, seperti yang dimomok-mokkan oleh media Barat, sebaliknya mendapati keindahan Islam itu terpancar dalam kesederhanaan yang menjadi amalan warganya.

Pertahankanlah apa yang kita ada. Jangan sampai keindahan dan keharmonian yang kita nikmati di negara tercinta ini hancur, kelak imej agama akan tercemar dan orang seperti Sarah Price akan membenci Islam.

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com