BILA UMAT ISLAM HILANG 'RASA'
Oleh Mohd Shauki Abd Majid
SEJARAH pernah mencatatkan satu peristiwa yang melanggar hukum logik. Tahun 1258, Baghdad runtuh. Perpustakaan agung dibakar, dan sungai Tigris bertukar hitam dengan dakwat para ulama. Secara fizikal, Islam sudah tewas. Leher ummah ini sudah berada di bawah pedang Mongol. Tetapi, apa yang berlaku selepas itu adalah satu keajaiban. Si penakluk yang ganas itu akhirnya tunduk. Bukan kepada pedang pahlawan Islam, tetapi kepada agama kita. Mereka memeluk Islam.
Mengapa? Kerana pada waktu itu, walaupun jasad umat Islam hancur, namun “Ruh” Islam itu masih hidup. Ibn Khaldun pernah menulis dalam Muqaddimah:
“Suatu bangsa itu tidak akan hancur hanya kerana kekalahan fizikal. Tetapi ia akan hancur apabila ia mengalami kekalahan jiwa (psychological defeat).”
Hari ini, kita melihat cermin yang telah retak beribu-ribu keping. Masjid kita tersergam indah, menara kita tinggi mencakar langit. Bilangan ummah kini mencecah 2 billion manusia. Tetapi kita tidak digeruni. Kita hanya dibuat sebagai bahan jenaka, dipandang rendah, dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Kamu akan menjadi ramai pada hari itu, tetapi kamu hanyalah seperti buih di lautan.
Para sahabat bertanya: “Adakah kerana kami sedikit?”
Nabi menjawab: “Tidak, kamu ramai. Tetapi Allah telah mencabut rasa gerun dari dada musuh kamu, dan mencampakkan penyakit ‘Wahan’ ke dalam hati kamu.”
– (Hadis Riwayat Abu Daud & Ahmad)
Penyakit Wahan, cinta kepada dunia dan takut mati. Inilah tanda awal hilangnya “Ruh” Islam.
Punca VS Gejala
Kita sering terkeliru antara simptom dan penyakit. Kita sering melaungkan bahawa kejatuhan umat ini bermula apabila Khilafah Uthmaniyah runtuh. Kita percaya, jika kita kembali memegang tampuk kuasa politik, segala masalah akan selesai. Tetapi mari kita renung dalam-dalam. Adakah Khilafah itu jatuh kerana musuh terlalu kuat? Atau ia jatuh kerana kita yang sudah lama “sakit” dalaman?
Allah SWT telah meletakkan satu formula abadi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri.” – Surah Ar-Ra’d, ayat 11
Kejatuhan empayar-empayar Islam, kehilangan Palestin, perpecahan sempadan geografi, semua ini adalah akibat. Tetapi ramai yang tidak memahami bahawa puncanya adalah kerana kita telah memisahkan “Ruh” daripada “Jasad” agama ini.
Sejarah menjadi saksi. Apabila pusat pemerintahan berpindah jauh ke Istanbul, dan kemudiannya Tanah Haramain iaitu Makkah & Madinah bertukar tangan menjadi hak milik negara berasaskan satu keluarga, kita terpisah dari kesatuan hati. Kita menjadi umat yang parokial, umat yang hanya mementingkan kelompok sendiri, dan bukan lagi Ummatan Wahidah.
Islam Tanpa Rasa
Dan apabila “Ruh” itu sudah dicabut keluar, apa yang tinggal pada kita ini?
Yang tinggal hanyalah rangka. Islam hari ini hanya hidup dalam serpihan fikiran. Kita menjadi umat yang “hyper-rational”. Agama menjadi sekadar debat hukum-hakam, hujah logik, dan falsafah yang kering. Tanpa sedar, kita telah terperangkap dalam apa yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai “The Confusion of Knowledge” atau Kekeliruan Ilmu. Kita ada maklumat, tapi kita hilang adab. Kita ada fakta, tapi kita hilang hikmah.
Imam Al-Ghazali, Hujjatul Islam, pernah memberi amaran keras tentang hal ini. Beliau mengingatkan bahawa hati manusia itu umpama cermin. Jika ia tidak digilap dengan Tasawuf, ia akan berdebu. Cermin yang berdebu tidak akan mampu memantulkan Nur, walau sebanyak mana kitab yang kita hafal.
Inilah realiti kita hari ini. Kita ada Al-Quran di lisan, tapi tidak sampai ke kerongkong. Malah kita menggunakan ayat Al-Quran dengan pemahaman akal sendiri yang penuh keangkuhan, dan dijadikan ia sebagai senjata untuk menyerang sesama sendiri.
Kita ada undang-undang Islam di atas kertas, tapi tiada keadilan di dalam jiwa. Kita menyembah “Logika” ciptaan syaitan, dan melupakan “Rasa” kurniaan Allah.
Perangkap Samar
Musuh-musuh Islam tahu bahawa kekuatan sebenar kita bukan pada minyak, dan bukan pada senjata nuklear. Kekuatan kita terletak pada kerohanian yang mendalam.
Maka strategi mereka adalah dengan menyuburkan gerakan-gerakan sesat seperti Batiniyah, Qadiani, Pseudo-Salafi, Islam Ekstrem, dan golongan Anti-Hadis. Tujuannya adalah untuk memomokkan masyarakat Islam, supaya apabila disebut perkataan “Tasawuf”, apabila disebut “Tarekat”, apabila disebut “Pembersihan Jiwa”, umat Islam awam akan terus melompat dan menjerit “SESAT!”.
Kita membuang permata kerana takutkan kaca. Kita meninggalkan tradisi ulama silam yang hebat, seperti Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani, Imam Al-Ghazali, Imam Junaid Al-Baghdadi, hanya kerana kita takut dikaitkan dengan ajaran sesat moden.
Akhirnya, musuh Islam berjaya menjauhkan kita dari sumber kekuatan kita sendiri. Mereka berjaya menjadikan kita umat yang Literal, umat yang hanya nampak kulit, tapi buta isinya.
Kebangkitan Hakiki
Sudah tiba masanya untuk kita berhenti menuding jari ke luar. Kita perlu kembali kepada definisi agama yang sebenar, seperti yang diajar oleh Jibril a.s. kepada Rasulullah SAW. Agama itu bukan hanya Islam, iaitu Rukun dan Fizikal. Ia bukan hanya Iman, iaitu Aqidah dan Mental. Tetapi ia mesti disempurnakan dengan Ihsan iaitu Spiritual. “Ihsan itu adalah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak mampu (merasakan seolah-olah) melihat-Nya, maka yakinlah bahawa Dia melihatmu.” – Hadis Jibril (Riwayat Muslim)
Inilah “Ainun Basyariah“—mata hati yang perlu kita celikkan semula.
Wahai umat Islam yang sedang tidur, bangkitlah. Bukan sekadar bangun untuk solat subuh. Tapi bangunlah untuk menghidupkan jiwa. Kerana jasad tanpa roh adalah mayat. Dan mayat, tidak mampu membebaskan sesiapa. – Al Falah Madani
Sumber: bebasnews.my
