BUTA MATA BUKAN BUTA HATI
Oleh: Luqman Hakim
"Marhaban biman àtabani rabbi", demikianlah ucapan Rasul s.a.w. setiap kali baginda melihat orang itu. Hanya orang itu sahajalah yang baginda perlakukan demikian dari sahabat yang banyak.
"Selamat datang, untuk orang yang olehnya aku mendapat teguran Allah," itulah ertinya ucapan Nabi di atas.
Tentu ada sebabnya, maka Nabi s.a.w. mengucapkan demikian.
Waktu itu baginda masih di Mekah dan Islam dalam gangguan terus menerus. Baginda sedang melakukan dakwah kepada tokoh-tokoh Quraisy agar mereka suka masuk Islam. Diantaranya ada Abu Jahal, Utbah Bin Rabiah dan lain-lain lagi yang merupakan pemuka golongan musyrikin.
Tiba-tiba datang seorang buta, Ibnu Ummi Maktum. Ia mendekati orang banyak itu seraya berkata kepada Rasul s.a.w." Ajarkanlah padaku, ya Rasul Allah, apa yang diajarkan oleh Allah kepada engkau."
Nabi tidak memperdulikannya! Rupanya baginda sangat mengharapkan orang besar Quraisy itu dahulu sehingga belum sempat memperhatikan sibuta ini. Kalau mereka masuk Islam tentu yang lainnya akan mengikut, demikian fikiran Rasul ketika itu.
Sikap itu tidak dibenarkan Allah!
Datanglah teguran Allah dengan segera kepada Rasul. Turunlah ayat yang menghendaki Rasul s.a.w. mengubah sikap baginda.
"Muhammad bermuka masam dan berpaling. Kerana orang buta datang kepadanya. Barangkali, siapa tahu dia ingin membersihkan jiwanya. Atau ingin mendapat pelajaran maka bermanfaat (untuk dirinya).
Adapun orang yang merasa dirinya kaya itu, engkau tampil menghadapinya. Tidak ada (celaan) pada engkau bila dia tidak membersihkan jiwanya. Orang yang datang pada engkau dengan sanggup susahnya sedang ia takut kepada Allah, maka engkau tidak mempedulikan.
Sekali-kali tidak (begitu hendaknya)! Sesungguhnya (ajaran-ajaran Allah) itu adalah suatu peringatan."
Demikianlah bunyi teguran Allah. Akhirnya disebutkan dalam Quran dengan nama surah 'ABASA yang berjumlah 27 ayat panjangnya. Teguran Allah itu menyebabkan Rasul kembali menghormati Ibnu Ummi Maktum. Setiap baginda bertemu, selalu baginda ucapkan:
"Marhaban biman àtabani rabbi"
Nabi s.a.w. ajarkan kepadanya agama Islam seperti pada sahabat-sahabat yang lainnya. Pada suatu kali Jibril datang mengunjungi Nabi s.a.w. sedang Ibnu Ummi Maktum ada dekat baginda.
"Sejak bila engkau tidak melihat," demikian ditanyakan kepadanya.
"Sejak saya masih anak," jawabnya.
Lalu disampaikan kepadanya Hadis Qudsi!
"Bila Aku (Allah) ambil yang dimuliakan hambaku, gantinya ialah syurga (kalau ia sabar)."
Waktu Rasulullah s.a.w. maju ke medan perang lain waktu, Ibnu Ummi Maktum diangkat baginda menjadi Gabenor Tentera Madinah. Ditangannya pimpinan waktu itu, sampai dalam solat Jumaat dia sendiri yang membaca khutbah. Begitu tingginya penghargaan baginda.
Kenapakah tidak dihargai, sedang Allah sudah menghargainya? Namun demikian Ibnu Ummi Maktum tahu diri. Ia tidak lupa daratan, atau menyombong.
Waktu berkhutbah Jumaat, ia tidak mahu menaiki mimbar yang selalu dipakai Nabi s.a.w. Cukup dia berdiri sahaja di samping mimbar itu. Tapi jabatan sebagai muazzinļah yang selalu ada dipundaknya. Nabi s.a.w. mempunyai muazzin yang lain iaitu Bilal. Baginda memberi ketentuan waktu bagi masing-masingnya.
"Bilal azan waktu malam, maka makan dan minumlah kamu (untuk puasa), sehingga tiba giliran Ibnu Ummi Maktum di azan Subuh."
Teguran Allah pada Nabi s.a.w. harus kita camkan baik-baik. Orang cacat, atau orang kecil, si miskin sekalipun, sekali-kali jangan diabaikan. Siapa tahu mereka juga beriman kuat pada Allah dan Rasul, dan berkorban untuk agama Islam. Kita menghormati orang-orang besar yang baik, tetapi jangan dianggap rendah orang kecil atau cacat. Kejadian yang dialami Nabi s.a.w. perlu dijadikan tauladan yang baik hendaknya.
