JANGAN BERSELISIH
Oleh: Luqman Hakim
Pada suatu kali Rasulullah s.a.w. menyuruh Amru Bin Al As agar bersiap-siap akan maju ke medan pertempuran. Temannya yang sama masuk Islam sudah ikut bertempur, iaitu Khalid Bin Walid yang terkenal dengan gelaran "Saifullah" iaitu "Pedang Allah".
Rasulullah s.a.w. sudah tahu akan komplot yang bermaksud hendak menyerang kaum Muslimin. Baginda tidak akan membiarkan pihak Islam digempur musuh, apalagi musuh mendekati Madinah, ibu kota Islam.
"Hai Amru, engkau akan kukirim ke garis depan medan pertempuran," kata Nabi s.a.w. seraya menggembirakan hati Amru bila dia menang nanti dengan mendapat penghargaan kebendaan.
"Aku memeluk Islam bukan kerana harta," jawab Amru, kerana difikirnya tentu kalau menang perang akan dapat harta benda dari rampasan perang.
"Tidak mengapa hai Amru, harta yang baik memang patut bagi orang yang baik," jawab Rasul menjelaskan kepada Amru agar ia dapat melihat harta benda itu dengan baik pula.
Persiapan sedang berlangsung. Bendera perang pun dikibarkan, warnanya ada yang putih dan hitam. Angkatan Amru Bin Al As ini segera berangkat. Mereka berjalan secara diam-diam. Siang hari bersembunyi, dan kalau malam baru berjalan.
Setelah dekat ke tempat yang dituju maka Amru pun mengetahui bahawa komplot musuh itu banyak sekali. Kemudian ia mengirim utusan kepada Rasul s.a.w. untuk mengabarkan. Maka berangkatlah Rafi Bin Makits Al Jahny, selaku utusan menemui Rasul akan meminta bantuan.
Sesampai didepan Rasul, maka Rafi menyampaikan pesanan Amru Bin Al As. Kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengirimkan satu angkatan yang besar di bawah pimpinan Abu Ubaidah Bin Jarrah. Mereka semua ada dua ratus orang dan dalam angkatan itu ikut serta Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq dan Umar Ibnul Khattab r.a.
Nabi s.a.w. menasihati Abu Ubaidah agar bertemu dengan Amru dan kedua-duanya hendaklah bersatu, jangan berselisih.
Kemudian kedua pihak ini bertemu; angkatan Amru Bin Al As dan Abu Ubaidah. Mula-mula terjadi perselisihan tetapi akhirnya baik kembali. Mulanya Abu Ubaidah hendak mengimami iaitu memimpin orang banyak, sedang Amru enggan. Kata Amru:
"Sebenarnya tuan datang ke sini sebagai pembantu sedang akulah yang memimpin."
Kata Amru Bin Al As kepada Abu Ubaidah.
"Tidak," jawab Abu Ubaidah. "Aku memimpin rombonganku, dan engkau dengan rombongan engkau sendiri."
Namun demikian, perselisihan tidak jadi panjang kerana Abu Ubaidah adalah orang yang berlapang hati dan ingat kepada pesan Nabi s.a.w. Jangan berselisihan, apalagi didepan musuh yang sedang dihadapi.
"Hai Amru! Rasulullah berpesan kepadaku agar kita jangan berselisihan. Jika engkau menentangku aku tetap akan tunduk kepadamu," demikian tegas Abu Ubaidah. Lalu ia pun mengikut sahaja pendapat Amru.
Kemudian Amru bersolat bersama-sama. Sesudah itu mereka meneruskan perjalanan sampai mendekati pihak musuh. Maka terjadilah peperangan antara kedua belah pihak. Akhirnya menanglah pihak Islam setelah bertempur sejam lamanya.
Berita kemenangan ini dilaporkan kepada Baginda Rasul, dan tidak lama kemudian angkatan Islam kembali ke Madinah.
Mengertilah kita betapa Rasulullah mendidik para sahabat dan pahlawan-pahlawan Islam. Mereka diserahi satu atau berbagai urusan yang penting sampai kepada berperang melawan musuh. Kepada mereka ditanamkan rasa kasih dan bersatu hati agar tercapai kemenangan. Sebab itu para sahabat dan pahlawan-pahlawan Islam selalu menjunjung tinggi nasihat dan perintah Nabi s.a.w., walau mereka sering berlainan fikiran. Tunduk kepada ajaran Allah dan Rasul, adalah pokok kebahagiaan dan keselamatan kita semua.
