KERANA CINTA, TIDAK BERERTI MENYERAH TETAPI BERSERAH!

Itulah hakikat sebuah kehidupan yang sentiasa disirami emosi resah dan gelisah yang kental menyelinap ke seluruh pembuluh darah, selagihayat dikandung badan. Rumi tidak pernah menyesal, kerana hati dan jiwanya hidup kerana cinta dan cintailah yang mengantarkan dia ke jantung kehidupan. Walaupun jasadnya sudah lama berpisah, untaian kata-kata terus ghairah dicuba oleh ramai orang menyelaminya, biarpun arah dan jalannya banyak simpang-siurnya, kadangkala tersesat dalam dilema, simpang manakah yang akan dipilih secara tepat atau benar-benar membawa ke destinasi.

Dari segi istilah, menyerah bermakna "mengaku kalah" dan atas pengakuan itu, seseorang akan mengikuti apa sahaja yang dikenakan ke atasnya. Menyerah lebih bersifat menghambakan diri, tanpa ada ruang untuk melihat ke dalam diri apa yang sebenarnya akan didapati, kerana ia ditentukan oleh orang lain. Seseorang yang menyerah diri tidak dibenarkan menyoal atau peluang untuk menanyakan untuk apakah dia melakukan apa yang diarahkan oleh orang yang memiliki dirinya. Ia suatu bentuk ikatan yang tidak dapat diputuskan, kecuali setelah dirinya dibebaskan. Dalam konteks agama, menyerah diri boleh jadi sesuatu yang baik dan juga tidak baik, kerana menyerah diri berlaku dalam situasi yang tidak diredhainya, kerana terpaksa.

Berserah pula membawa maksud, mengakui kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya dalam penyandaran diri yang sedar, dan dalam konteks agama, berserah lebih bermakna tawakal. Berserah diri lahir dari keinsafan, insaf bahawa kudrat manusia adalah begitu kerdil dan diatas kekerdilan itu ada kuasa yang lebih besar atau Maha Besar. Kuasa yang Maha Besar itu adalah Allah SWT, kerana kita lahir atas kehendak-Nya, dan kerana itu kita wajib mentaati-Nya tanpa curiga. Ketika kita berserah itulah kita memiliki cara, cara yang sesuai dengan apa yang diperintahkan-Nya, dan Dia akan sentiasa memberikan kita peluang untuk bersama-Nya.

Menyerah diri, kadangkala dilihat sebagai tindakan dungu dan bodoh, kerana menyerah diri bukan dengan kerelaan sendiri. Antara menyerah dan berserah, garis pemisahnya dilihat cukup tipis, tetapi berserah itu lebih positif berbanding menyerah. Berserah bukan merupakan kebodohan, tetapi ia adalah satu bentuk kebijaksanaan, kerana berserah dengan hati yang rela dan tulus ikhlas. KEIKHLASAN menjadi titik terbesar dalam keyakinan beragama, kerana keikhlasan itulah yang akan membawa kita menemui kebahagiaan, jiwa yang tenang, tidak terjerumus ke lembah overthinking, dan juga narsisitik.

Kita berserah, kerana kita ingin mengubah hidup menjadi lebih baik. Tentunya, lebih baik itu dalam konteks hubungan kita dengan Maha Pencipta, dan dalam masa yang sama tidak mengusir jauh hubungan kita sesama makhluk. Dalam Islam, kita menjaga diri untuk tidak melupakan tanggungjawab tunduk kepada-Nya, dan ketundukan itu bermakna kita rindukan rahmat-Nya, walaupun rahmat itu sentiasa ada dan tidak pernah berkurangan sepanjang masa.

Contoh paling asas ialah kita diberikan nafas. Dalam hela nafas itu kita sentiasa menghirup udara yang Dia tebarkan dalam setiap ruang dan sisi. Tanpanya, kita akan kelemasan dan lemas itu membawa kita kepada kematian. Dia memberikan nafas dan udara yang kita hirup secara percuma. Dia tidak meminta sebarang bayaran, tetapi yang Dia minta ialah sentiasa menjaga kelestariannya, tidak merosakkan apa sahaja yang ada dan mengganggu sistem semulajadi. Jangan menjadi perosak dan mengganggu ekosistem.

Sebab itulah bila ekologi terganggu, kita akan berhadapan dengan masalah, musibah dan gangguan. Kita boleh menikmatinya, tetapi kita tidak boleh menyombong diri dan menyakatnya sehingga ia membawa kepada tindakan melampaui keperluan, yakni cuba memonopoli. Kita boleh menebang pokok, tetapi kita diharamkan menebang semahu-mahunya. Perbuatan itu akan mengurangkan bekalan oksigen, kerana pokok mengeluarkan oksigen hasil fotosintesisnya, setelah menyerap karbon yang terampai di ruang atmosfera. Karbon dioksida, karbon monoksida akan menyesakkan nafas kita, maka Tuhan jadikan pokok-pokok sebagai penapisnya.

Sebagai sebuah perjalanan hidup dari Cinta-Nya, Jalaludin Rumi menasihatkan setiap orang dengan sebuah wawasan kesedaran diri yang lebih mendasari, bahkan mendahului teori psikologi yang kita agungkan dan pelajari daripada rumusan ketekunan psikolog. Dengan melihat mekanisma alam dan hikmah penciptaan, ada tujuh nasihat besar Jalaludin Rumi yang patut kita dengar dan jadikan ia sebagai jalan kehidupan.

1) Sungai.

Sungai mengalir antara dua tebing, di antaranya ada yang curam dan ada yang landai. Namun, air yang mengalir di antara dua tebing tidak pernah mengatakan dirinya tersiksa. Ia akan terus mengalir walaupun kita melihatnya seperti terseksa, melalui simpang siur, bebatuan dan juga berliku. Ia tetap terus mengalir, ia tetap menuju ke kuala, walaupun kadangkala memudek ke hulu memenuhi ruang yang timbul dengan pelbagai ragam dan bentuknya. Sungai terus mengalir, dan air yang mengalir itu adalah petunjuk sifat kedermawanan.

Nasihat Jalaludin Rumi: Dalam kedermawanan dan menolong, jadikan seperti sungai."

2) Matahari.

Ketika menumpahkan cahayanya, matahari tidak pernah memilih arah dan ruang untuk memberikan cahaya kerana cahaya itu adalah keperluan yang tidak boleh disekat. Cahayanya bukan sahaja diperlukan oleh manusia untuk mendapatkan vitamin K, juga oleh pokok-pokok untuk membolehkan berlakunya fotosintesis. Tanpa cahaya matahari, pokok akan layu dan juga banyak kehidupan akan mati.

Dalam kehidupan, seperti juga cahaya matahari, kita tidak boleh memilih untuk membuat kebaikan, kerana kebaikan itu beragam dan cukup banyak, termasuklah kata-kata dan tindakan. Matahari tidak pernah memikirkan apa laba yang dia akan dapat ketika menyimbahkan cahayanya, semua makhluk memerlukannya.

Nasihat Rumi: Dalam kebaikan dan ketulusan, jadilah seperti matahari.".

3) Malam.

Malam bagi sebahagjan orang, sesuatu yang hiba dan menakutkan. Allah SWT jadikan malam kerana Allah tahu, jika tiada malam kehidupan tidak ada warna-warninya. Malam akan ada kehidupan lain yang akan tangkas dalam kegelapan, kerana pada tubuhnya ada sensor cahaya.

Tetapi, bagi kehidupan yang ada sensor malam atau kegelapan, kehidupan itu perlu berehat seketika untuk memulihkan tenaga. Malam yang hening, adalah detik-detik yang sangat dinantikan oleh sang pencinta, kerana ketika itu dia akan kekal berjalan bersama arus Cinta-Nya. Dia akan berqiyamulail, berzikir, berdoa dan merintih pada Yang Maha Esa di atas keterlanjurannya di siang hari. Dalam terang, kehidupan penuh aneka wajah dan watak, kerana masa itulah ramai yang bergerak dalam pelbagai rentak dan irama, irama keimanan dan kemaksiatan.

Selain itu, Rumi mengatakan jika seseorang itu berhasrat untuk menjaga hubungan sesama manusia, dalam kaedah ibadat, maafkanlah seseorang itu dengan sepenuhnya, bukan hanya sebahagiannya sahaja. Apa dia simbolik malam dalam hubungan itu? Malam membawa maksud tidak lagi melihat kesalahan orang yang kita maafkan itu kerana semuanya sudah menjadi gelap (terselindung). Semua aibnya tertutup dan semua kesalahannya telah kita maafkan, maka kita akan melihat cahayanya nanti.

Nyampuk Rumi: Dalan kesederhanaan dan kerendahan hati, jadilah seperti malam."

4) Mayat (orang mati).

Mayat, jenazah atau orang mati, tidak lagi bergerak, mendengar bahkan memerlukan apa-apa lagi. Ertinya, dalam kehidupan kita, diam itu adalah bermakna jauh daripada keriuhan. Kadangkala, ketika kita diam, ia lebih menakutkan orang yang memerhatikan, bahkan boleh mematahkan ego seseorang yang banyak bercakap atau cukup berusaha menonjolkan diri. Lihat sahaja dalam kehidupan kita sendiri, bila ada yang cukup samah bercakap, ia akan berhenti dengan sendirinya jika kita yang mendengar terus mengekalkan diam.

Orang yang bertindak berdasarkan ego, orang yang sedang marah biasanya sedang kehilangan akal yang waras. Mereka tidak dapat mengawal diri. Namun, tidak sedikit pun orang itu akhirnya menyesal, kerana keterlanjurannya, atau keceluparannya. Untunglah kalau dia menyesal dan memohon maaf. Kalau terus dengan kebodohannya itu, biarkan sahaja kerana ia tidak akan berhasil, semua daripada faham diam itulah lawannya yang paling berkesan. Orang itu akhirnya "mati akal". Tetapi, jangan terlalu sangat diam, kerana diam itu sudah dibudayakan sebagai setuju. Sesekali memberikan reaksi, reaksi yang mampu mematahkan kemarahan dengan cara lemah lembut dan dalam bahasa yang tepat.

Tutur Rumi: Dalam hal kemarahan dan keriuhan tanpa asasnya (mudah tersinggung), jadilah seperti mayat."

5) Bumi.

Bumi adalah kita hidup dan mencipta pelbagai aktiviti kehidupan. Bumi juga membekalkan kita banyak keperluan untuk kita membina kehidupan dan bumi juga akan menjadi tempat akhir kita. Dalam imajinasi, bumilah pentas yang sentiasa mementaskan opera kehidupan, dan mempamerkan apa yang kita buat. Di atas bumi, kita tinggal dan mengusahakannya untuk menanam tumbuh-tumbuhan agar kita boleh makan. Di atas bumi itulah juga juga kita berjalan, dalam ruang udara antara langit dan awan.

Di perut bumi ada hunian lain yang membantu permukaan bumi menjadi stabil dan kukuh. Hunian lain di dalam tanah menunaikan tanggungjawabnya sendiri yang tidak kita ketahui, tetapi ikut menyumbang kepada kehidupan kita. Dari situlah kita akan peroleh air yang mengalir, yang menyuburkan tanah dan memberikan kita sumber kehidupan. Di dalam tanah berlaku proses pereputan, dan proses itu akhirnya menghasilkan pelbagai sumber mineral yang semakin sehari semakin kita perlukan.

Apa yang ada di perut itu semakin menjadi rebutan, kerana menghasilkan tanah yang subur, mineral yang berharga, yang kadangkala kita menjadi tamak haloba. Akhirnya, bumi berlubang dan tanah tidak lagi stabil. Kita tahu akibatnya, tetapi tetap kita lakukan dengan sekejam-kejamnya tanpa peduli, bahkan kadangkala menjurus kepada malapetaka dan permusuhan.

Benar, bumi tidak mampu mengeluarkan kata-kata, berhentilah daripada menyiksanya. Tetapi, bumi yang semakin sakit, walaupun tidak pernah menyombongkan diri, akhirnya boleh berontak apabila kita terlupa di atas kesakitannya. Bumi, mengajarkan kita, hidup yang lebih baik ialah kesederhanaan dan rendah hati, dalam masa yang sama kita tidak harus merasa terlalu pintar daripadanya.

Kejadian tanah jerlus, adalah isyarat buat manusia untuk tidak menyombongkan diri, kerana kepintaran apa pun yang kita ada, ia tidak mampu melawan bumi yang marah. Bumi yang marah adalah Takdir dan amaran dari-Nya.

Ya! Tentunya, kita masih dirundung misteri. Sampai kini kehilangan seorang wanita yang terjatuh di Jalan Masjid India (23 Ogos 2024) belum terjawab. Jasadnya belum ditemui, walaupun pelbagai kaedah digunakan untuk mencarinya. Khabarnya belum muncul, tetapi tanah jerlus terus berlaku, walaupun tidak ada korban kali ini. Apakah ini merupakan petunjuk dari Yang Maha Esa untuk kita beringat-ingat agar tidak jadi seperti hilangnya kaum Ad dan tenggelamnya kota Iram yang dibina sebagai replika syurga di bumi?

Sebenarnya, kita tidak ada kecekapan yang cukup untuk merasakan diri cukup pintar, biarpun bergelar pakar geologi atau berbukit-bukit buku habis dibaca, beratus kajian dibuat, bertahun-tahun meneliti struktur tanah dan bebatuan, kerana setiap kali bumi mengamuk, kita akan berfikir, apakah salahnya kita sehingga tragedi sebegitu berlaku. Kenapa bumi terus mengamuk dalam pelbagai bentuk dan situasi?

Lupakah kita kepada firman-Nya,.surah ar-Rum, ayat 41: "Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Kerana itu, jika seseorang itu tinggi ilmunya, ia tidak akan ke mana kecuali ilmunya membumi. Orang sering berkata, kalau pandai sekali pun biarlah kepandaian itu boleh dimanfaatkan untuk seluruh atau kebanyakan manusia, bukan hanya untuk diri sendiri, kerana bumi yang kaya dengan pelbagai sumber, tidak pernah berkata, akulah yang sangat kaya, tetapi Allah SWT menyeru kita, berjalanlah di muka bumi mencari rezeki asal kita tidak melampaui batas. (Surah al-Mulk, ayat 15; dan Surah al-Jum'ah, ayat 10 dan 11). Kesombongan dan sikap melampau itu akan menyebabkan kita juga yang akan tersiksa dan dihukum kerana karma tetap muncul ketika kita lupa dan hilang akal yang waras.

Nasihat Rumi: "Dalam kesederhanaan dan kerendahan hati, jadilah seperti bumi."

6) Laut.

Kenapa laut? Laut menjadi perjalanan air sampai ke hujungnya setelah menghilir mudek. Air sungai, berbeza dengan air laut, tetapi bila sampai di batasan muara air sungai bertukar menjadi payau, yakni separuh masin. Bila terus mengalir ke laut, selepas bertukar menjadi payau, air sungai itu bertukar masin. Laut, walaupun habitatnya tidak sama dengan air sungai, ia tetap menerima tanpa ada rasa benci. Laut tidak pernah menolak apa-apa pun yang dialirkan kepadanya.

Bila air sungai bercampur dengan air lautan, warnanya kebiru-biruan, sedangkan warna air sungai itu sedikit hijau dan sedikit kuning. Lihat pula air Sungai Kelantan, di Kampung Kuala Besar dan Pantai Mek Mas, (yang menjadi medan pelancongan baharu, di Pulau Suri) berwarna teh tarik, tetapi apabila tiba di muara, ia bertukar warna.

Ia membawa maksud, laut penuh dengan empati, dan bersimpati dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh sungai. Jika laut tidak bersimpati, bererti segala sampah yang mengalir keluar dari sungai akan ditolaknya, dan menyebabkan muara lama kelamaan akan terkumpul. Muara akhirnya bertukar menjadi lagon, air tidak mengalir keluar lagi.

Kita mungkin boleh membersihkan sampah sarap itu, tetapi kita tidak dapat membersihkan ampaian pelbagai bahan kecil yang larut di dalam air dan kemudian mendap di dasar sungai. Jika mendapan itu menghasilkan plankton, ia cukup berguna untuk hidupan di situ. Jika sebaliknya, butiran-butiran yang hanyut itu mendap sebagai toksik, ia akan mematikan seluruh penghuni sungai, airnya akan membusuk dan penuh jelaga, alga dan racun.

Bukankah Allah SWT menciptakan apa sahaja yang ada di bumi ini sebagai amanah untuk manusia? Allah SWT mengamanahkan manusia menjaga bumi, dan di bumi inilah ada sungai dan laut. Di dalam sungai dan laut ada kehidupan, kehidupan yang menjadi sumber makanan untuk manusia.

Ertinya, kehidupan ini sangat bahu membahu, bukan kau adalah kau, aku adalah aku. Di situlah munculnya empati dan simpati, saling memerlukan. Benar, antara kau dan aku berbeza, tetapi kita mesti belajar memahami perbezaan itu adalah nikmat daripada kehidupan yang bermakna, laut menjadi muara bagi sungai, dan sungai menjadi tangan-tangan bagi air laut ketika air pasang.

Sebut Rumi: "Dalam toleransi, jadilah seperti laut".

7) Dalam Diri.

Nasihat ketujuh ini boleh dianggap sebuah rumusan pemerhatian Rumi tentang sebuah kehidupan yang harmoni dan setiap daripada kita sentiasa mencerminkan diri sebelum mencerminkan diri orang lain. Ertinya, untuk menilai orang lain, kita tidak perlu memakai topeng untuk menyembunyikan wajah kita sendiri yang sebenarnya.

Kerana kita suka memakai topeng, maka kita seringkali bersembunyi di sebalik imej yang cantik, walhal imej yang ada pada diri sendiri cukup buruk. Tampillah seadanya. Ya! tentunya cukup sederhana tetapi sangat berkesan..jika inilah yang berlaku dalam kehidupan berumah tangga, tentunya masalah atau konflik dapat dihindari.

Kita pernah dengar ada yang berkata: wanita (isteri) bukan memerlukan seorang lelaki (suami) yang tampan dan kaya, tetapi seorang yang boleh menjadi iman. Alhamdulillah, jika pegangan itu sampai ke akhir nyawa. Sebaliknya apa yang berlaku, setelah sekian lama berlangsung, muncul dalam kamus psikologi keluarga, fasa konflik, kerana perebutan kuasa.

Kalau di peringkat awal, isteri sangat mematuhi kehendak dan taat kepada suami, setelah bertahun, kenapa pula suami perlu tunduk kepada isteri. Ertinya, makmun berusaha merampas tugas Iman. Sedangkan kita tahu, walaupun isteri bergaji besar, berpangkat tinggi, setianya tetap kepada suami. Beruntunglah jika isteri sentiasa mengekalkan kesetiaan dan meletakkan suami di kedudukan yang tinggi, kerana syurga itu ada di kaki suami selagi suami tidak membelakangkan keluarga sendiri.

Kenapa ada selingkuh? Kenapa ada hidup serumah tetapi tidur di bilik berlainan? Kenapa berlaku, bila anak-anak sudah dewasa, isteri lebih melayan cucu daripada suami? Sudah jemukah isteri terhadap suaminya? Sudah pudarkah pesona cinta yang menghidupkan rumah tangga sebelum itu? Apakah cucu itu ladang pahala buat si isteri selagi dia masih bersuami?

Begitu juga dalam persekitaran di luar keluarga. Betulkahlah kedudukan keluarga kita sendiri terlebih dahulu sebelum berkata, orang ini salah dan orang itu tidak betul. Dalam diri sendiri ada apa? Kalau nak bersila, bersilalah dengan sopan. Kalau nak membantu, bantulah dengan ikhlas, dengan menunjukkan sikap dan perasaan sebenar, apa yang kita alami dan bagaimana menyelesaikannya. Bukan hanya melihat cermin orang lain yang retak, tetapi cermin sendiri sudah pun terlalu berhabuk, berdaki dan pudar pantulan cahaya atau imejnya, biarpun belum kelihatan retak, bingkainya masih kuat.

Bebel Rumi: "Jangan melihat ke luar.Lihatlah ke dalam diri sendiri. Jadilah engkau apa adanya."

Seluruh hidup adalah kerana cinta, kata Rumi "setiap saat aku membentuk nasibku dengan pahat. Akulah tukang kayu jiwaku." Untuk itu, "kucelupkan jiwaku dan menarik dekat (mendakapnya). Setiap titisan darahku menjerit rindu kepada tanah. Kita menjadi teman , campurkannya menjadi satu."

Kerana semuanya perlu difahami, dari keinginan kepada menemukan, cinta hadir dalam pelbagai rasa, kecamuk dan gembira, ya atau tidak, "cinta tegak seumpama sebatang pokok; bukan tertanam di atas tanah, bukan tertegak di atas pokok, bahkan bukan di mahkota syurga". Sebaliknya, menemui cinta, "akal lumpuh kakinya", kerana "cinta menyimpan tindakan dalam diam".

Apa pun, kerana Tuhan menempatkan cinta dalam setiap jiwa, kata Erich Fromm, manusia tidak akan dapat hidup tanpa cinta, walaupun sehari. Sebab, bagi Rumi, "cinta itu hadir" seolah-olah berlangsungnya "transaksi keindahan." Ketika bertransaksi itulah pencinta akan berserah, bukan sepenuhnya menyerah kepada yang dicintainya, kerana dia berserah dengan rela hati bagi menghirup "anggur" dan sentiasa berada dalam "mabuk cinta": mabuk cinta itu adalah cinta yang amat tinggi, Cinta kepada Maha Mempunyai dan Memberikan Cinta.

" Oh, bersihkan seluruh jiwamu

dari debu keangkuhan

bebaskanlah dirimu

dari sifat pentingkan diri sendiri

sehingga kau sendiri lihat

hakikat dirimu

bersih tanpa noda

lihatlah ke dalam lubuk hatimu

pengetahuan para nabi

tanpa buku

tanpa perantara

tanpa guru.

...

"Jadilah seperti kematian

bagi amarah

bagi angkara murka.

Jadilah seperti bumi

untuk kerendahan hati.

Jelmalah seperti dirimu.

Jadilah sebagaimana munculmu."

MONOSIN SOBRI

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com