KETIKA DAMAI MENJADI KEKUATAN
Mari kita perhatikan firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud:
Barangsiapa yang membunuh manusia bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan ia telah membunuh manusia seluruhnya. Ayat ini menjelaskan bahwa Islam adalah agama yang cintakan perdamaian dan antikekerasan.
Sejarawan Barat Philip K. Hitti pernah berkata, ''Agama Islam telah berjaya menakluki musuh-musuhnya tatkala kekuatan senjata mereka (umat Islam) gagal menaklukkannya. Demikian juga sejarah mencatat bahawa Rasulullah s.a.w dalam sepanjang sirahnya tidak pernah menggunakan cara kekerasan dalam menyebarkan dakwah Islamiah. Peperangan dalam Islam berlaku semata-mata untuk mempertahankan diri dan sedaya upaya mungkin cuba dielakkan.
Ini sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 190 yang bermaksud:
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang menerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.
Jelas bahawa daripada lafaznya saja Islam bermakna damai. Islam agama perdamaian dan antikekerasan. Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa Allah tidak suka kepada kekerasan atau tindakan-tindakan yang merosakkan. Kerana pada dasarnya tindakan seumpama ini mengancam kehidupan bermasyarakat dan menyebabkan hilangnya harta benda dan akhirnya kehidupan manusia menjadi porak peranda.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. -- (Surah al-Baqarah: 205).
Sesungguhnya sifat kekerasan akan menimbulkan rasa kebencian siapa sahaja yang cintakan kedamaian. malah sifat antikekerasan akan melahirkan perasaan cinta. Kekerasan adalah pintu menuju kehancuran sementara antikekerasan adalah jalan menuju pembangunan. Kekerasan akan melahirkan ramai musuh manakala anti kekerasan menimbulkan suasana persahabatan.
Islam menginginkan agar kedamaian wujud di dunia. Agama Islam telah meletakkan suatu undang-undang untuk memupuk hubungan baik sesama manusia walaupun berlainan agama. Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Namun demikian, umat Islam wajib mempertahankan maruah dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya daripada sebarang tindakan biadab. Hanya satu bentuk perang yang dibolehkan dalam Islam iaitu perang defensif. Bermakna jika sesuatu bangsa itu diserang, maka saat itulah perang untuk mempertahankan diri boleh dilakukan.
Damai adalah dasar agama. Marilah kita berusaha sekuat tenaga dan kemampuan untuk menghadirkan kedamaian di dunia ini. Justeru, hal ini merupakan batu landasan di mana kemajuan manusia banyak bergantung kepadanya. Terbukti dalam sejarah bahawa kemenangan Islam yang mengagumkan yang bermula dari Sepanyol, melintasi Asia Tengah hingga ke India telah memberi satu keistimewaan iaitu setiap agama yang ada di bawah kekuasaannya boleh menikmati kebebasan kehidupan beragama. (Lihat Encyclopedia Britania, jilid 9 hal 912).
H.C. Wells dalam The Outline of History berkata: ''Kaum Muslimin telah membangun sebuah masyarakat yang bebas daripada kejahatan serta tekanan sosial yang dilakukan oleh orang-orang yang hidup sebelumnya''. H.C. Wells menjelaskan bahawa Islam tidak hanya menganjurkan umatnya tentang keadilan dan persamaan bahkan pada saat yang sama Islam berjaya melahirkan keadilan dan persamaan dalam kehidupan para pemeluknya.
Sumber: alfalahmadani.my
