ULAMA ADALAH TUKANG KEBUN TUHAN (II)
Bahaudin Walad dalam satu renungannya menceritakan perihal "pelarian" seluruh ahli keluarga dari Balkh adalah perselisihan dengan Fakharuddin Razi. Ceritanya:
"Aku telah berkata kepada si kasar Fakharuddin Razi dan si bodoh Raja Kharazamsyah serta beberapa filosuf yang tidak berbahagia: "Dengan cara kalian itu, bererti kalian telah meninggalkan keindahan bunga-bunga, kalian telah mengabaikan kedamaian dan berjalan menuju kegelapan. Kalian telah melupakan keajaiban dari pelbagai hal yang nyata dan menggantinya dengan asap dan hantu.
"Ego diri kalian yang keliru itulah yang lebih banyak berperanan dalam membuat sesuatu keputusan. Kalian merasa bingung dan terkurung, tapi orang-orang yang bijak tahu bahawa benda-benda material di dunia ini adalah pintu menuju hal-hal spiritual. Kerana itu, kita memerlukan kaedah-kaedah khusus untuk memasuki spiritual secara pasti, sehingga kita boleh berbahagi kesedaran kepada para sahabat kita.
Sambung Sultan al-Ulama: "Kita hidup di sebuah tempat yang penuh duri dan racun dari pelbagai tanaman liar. Namun, jangan membuat kesedaran kita terpaut hanya kepada pelbagai hal yang seolah relatif negatif. Lihatlah pula kepada pelbagai hal yang bersifat positif: lihatlah kepada buah-buahan, sayur-sayuran, dan bunga mawar - kesemuanya memiliki manfaat bagi kehidupan kita, kerana itu perlu dirawat dengan sempurna."
Kenapa Bahaudin Walad pekerjaan sebagai "Tukang Kebun Tuhan?." Seorang tukang kebun, ia lebih mengenali perihal tanah, kerana ia penting untuk pertumbuhan tanam-tanaman. Tukang kebun pula perlu memilih benih yang baik untuk membolehkan pokok tumbuh dengan sempurna. Setelah benih itu bercambah, tukang kebun akan menjadikan anak pokok itu hidup subur: dibaja dan dirawat agar tidak ada virus atau serangga perosak menyerang, kerana ia boleh merosakkan pokok, dan mematahkan harapan untuk menikmati buah atau melihat bunganya berkembang mekar.
Merawat bererti mengajar dengan pelajaran agama bukan sekadar bentuk pengetahuan, ia wajib merangkumi amalannya sekali. Jika dipisahkan, ia tidak akan menghasilkan buah yang baik, mungkin juga buah akan menjadi busuk. Dalam pekerjaan itu, kata Bahaudin Walad:
"Aku berpendapat bahawa pekerjaan pertanian yang dilakukan penuh ketekunan dan kesabaran adalah salah satu bentuk kebajikan - tetapi Fakhrudin Razi dan Kwarazamsyah tidak setuju dengan hal itu. Mereka seperti belalang yang hinggap dan memakan hasil tuaian. (Maksud al-Qur'an, surah al-Qamar (54), ayat 7).
[(Pada saat itu) masing-masing - dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan - keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.]
"Oleh kerananya, daripada membantu mereka, maka aku pun menghiasi tubuhku dengan jubah yang sangat indah dan kelembutan budi pekerti Nabi Muhammad [surah al-Muddaththir (74) ayat 1]
"Aku menghiasi kepalaku dengan serban yang sangat indah dari Kehadiran Ilahi. Aku tumbuh mengikuti takdirku sendiri dan aku tidak tahu ke mana semuanya ini akan berakhir. Aku sedar bahawa aku harus ikhlas menjalani kehidupanku saat ini untuk mencapai spiritual berikutnya.' (BW Maarif, Kitab 1, bab 16).
Tentunya, apabila kita memahami dunia sufi, segala sesuatu bersumberkan Allah SWT, material dan spiritual. Seorang sufi tidak menganut materialisme, dan juga kebenaran fikiran semata-mata. Mereka sedar bahawa segala sesuatu yang bersifat material atau yang hanya nampak pada pandangan mata dan dirasa oleh pancaindera, adalah pintu kepada jendela spiritual.
Hubungannya sangat simbiosis, kerana spiritual juga membuka pintu kepada material, tetapi tidak dalam posisi material menguasai segala-galanya. Material hanya sekadar melengkapkan, kalau pun tidak sebagai tujuan besar, untuk memberikan kita 'kehidupan" agar jasad terus terpelihara. Jasad yang terpelihara akan menjadikan jiwa yang aman dan tenteram, jiwa yang mendekati Jalan Cinta.
Pada Bahaudin Walad, dengan cinta itulah kita hidup, tetapi cinta yang menghidupkan makhluk ialah cinta dari Maha Pencinta. Kerana itu, Bahaudin Walad berkata: Adalah benar bahawa cintaku kepada Tuhan telah meluaskan kesedaranku, sehingga tubuhku pun meluas bagai cahaya dan menyatu dengan semesta.
"Dengan cara yang sama - seperti juga hasrat seksual membuat anggota tubuhku lebih hidup dan bergelora- maka begitu juga kesedaran dalam diriku meluas, dan pada saat yang sama mampu berada di mana-mana" (BW Maarif, Kitab I, Bab 17).
Apa yang menjadi tumpuan seorang ahli sufi ialah meningkatkan kesedaran atau jiwa dalam setiap denyut nadi agar Jati Diri tidak terpenuhi dengan lumpur dan gejala. Harus dibuang segala ilusi dan berusaha untuk bersatu dengan semesta. Segala-galanya bermula dengan kesedaran, bukan bermula dengan tubuh.
Tubuh hanyalah alat atau bentuk (umpama kenderaan) sementara, sedangkan kesedaran tidak akan menjadi alat, ia akan bertindak sebagai pemandu. Bila kesedaran bersatu dengan tubuh, maka tubuh akan bangkit dalam posisi yang lebih bertenaga, Jati Diri mengental dengan keamanan, ketenangan dan keindahan. Dan, dari situlah hadirnya cinta yang murni, cinta yang kekal sampai bila-bila. Cinta itu tidak berakhir setelah tubuh menjadi jasad, dan jasad mereput sebagaimana sifatnya sebagai material. Cinta tanpa syarat.
Pada kisah Laila dan Majnun kita temukan cinta sejati, cinta yang hadir dalam keluhuran jiwa pada yang satu, biarpun banyak rintangannya, ia kental menyatu dalam makna cinta. Cinta Majnun bukan pada keindahan pandangan mata, kerana ada yang lebih cantik daripada Laila. Cinta Laila juga bukan kerana kedudukan, kerana suaminya juga adalah seorang yang berharta. Hatinya tetap untuk Majnun, walaupun Majnun dikatakan "gila". Ia tetap teguh dan kental, tidak tergoda kepada orang lain.
Cinta Majnun dan Laila adalah cinta yang tidak mampu dihalang oleh sesiapa atau apa pun. Bahkan, Majnun sanggup tidak menerima rawatan yang dicadangkan ke atasnya, kerana dia melihat (berfirasat), pisau bedah itu nanti akan menyakitkan Laila, walhal ketika itu, Laila sudah pun meninggal dunia. Ini menunjukkan cinta sejati kekal dipertahankan, walaupun jasad sudah berpisah dan tembok pemisah dibina. Cinta itulah sepatutnya ada dalam diri setiap manusia, kerana dengan cintalah makhluk hidup dan merasa aman.
Cinta Laila dan Majnun merupakan lambang atau simbol dalam dunia sufi, kerana cinta bukan dijalin dengan syarat dan prasangka. Cinta hadir dalam ketelusan jiwa dan kemurnian naluri, untuk mencapai tahap "menyatu dengan Tuhan". "Menyatu" bukan bermakna hidup bersama seperti kita faham sebagai makna cinta lelaki dan perempuan. Ia menyatu dalam semangat, fikiran, jiwa dan emosi, lalu diterjemahkan sebagai tindakan dan setiap denyut nadi bergerak dalam aliran air yang tidak pernah menyoal asalnya.
Air tidak pernah bertanya, ke mana dirinya akan pergi untuk apa-apa pemergiannya. Namun, ia tetap memenuhi ruang-ruang bumi sehingga memberikan nyawa kepada pokok, haiwan dan manusia. Kerana itu, apabila kita mendengar saja kata "air", maka dengan spontannya ia menimbulkan rasa nyaman, sejuk dan kerendahan diri. Jika tiada air, kita akan merasa panas, rimas dan sebagainya sehingga mewujudkan kekacauan serius.
Begitulah politik. Kalau air boleh menyejukkan dan membuat setiap daripada kita merasa nyaman, maka sang politikus hendaklah berperanan seperti air, bukan seperti api. Namun, dalam politik terlalu banyak politikus yang berperanan sebagai "batu api" dan kadangkala, atau seringkali "mencurah minyak ke unggun api".
Siapakah mereka? Kenalilah mereka kerana mereka inilah yang mencari kekayaan melalui politik, seperti titah Sultan Selangor, kalau nak mencari kekayaan, jangan berada dalam politik. Sejarah Islam mengajarkan kita, pemimpin yang adil adalah yang benar-benar berkorban demi rakyat: membahagikan kekayaan diri untuk membantu rakyat, tidak menggunakan apa sahaja milik atau hak rakyat untuk menabung kekayaan peribadi, dan lebih penting, tidak membodohkan rakyat dengan pelbagai retorik dan "janji syurga."
Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman Affan, Umar Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayyubi dan ramai lagi menjadi contoh yang cukup segar dalam sejarah kepimpinan umat Islam. Mereka hidup dalam kebaikan dan pengorbanan yang cukup besar untuk rakyat. Mereka sanggup berkorban harta dan kekayaan dengan harapan: Semoga Allah SWT membalasnya dengan syurga, dan seluruh kehidupannya sebagai pemimpin dijalani penuh cinta, sehingga kemunculan mereka menjadi rahmat bagi alam semesta, kerana mereka benar-benar memahami Islam dan meneladani Nabi Muhammad SAW.
(bersambung)
MONOSIN SOBRI
