MENYAHKAN KEPIKUNAN PERADABAN DAN MEMAKNAKAN PERADABAN ISLAM
PENGENALAN
Istilah ‘kepikunan peradaban’[1] telah diutarakan oleh Prof Dr Samsul Nizar, Guru Besar Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN), Bengkalis, Riau Indonesia cukup besar maknanya kepada peradaban Islam yang dilihat semakin ‘bingung’ dan ‘bercelaru’. Biarpun gagasannya dilihat begitu sederhana, ia menampilkan kelesuan intelektual masyarakat Islam sekarang yang bukan sahaja tidak mengembangkan pandangan semesta yang mengkagumkan bahkan menolak perspektif ilmiah kerana lebih bersedia menjadi pengikut (follower) berbanding mengkaji sejarah peradaban yang sangat mengkagumkan dalam rentang waktu yang sangat lama.
Kepikunan adalah satu keadaan yang sangat kuat kaitannya dengan usia[2] menurut salah satu pengertian manakala satu pengertian lain, bermakna ‘nyanyuk’ atau senility.[3] Ia ditakrfikan dengan maksud: menderita kelemahan badan atau mental kerana usia tua; nyanyuk. Manakala senility ialah keadaan nyanyuk. Berdasarkan pengertian tersebut bolehlah diterima andaian bahawa kepikunan peradaban berlaku kerana kelemahan manusia (fizikal dan mental) disebabkan oleh peningkatan usia, dan dalam Dr Samsul Nizar merumuskan: Mungkin dunia sudah tua, seirama semakin anehnya perilaku isi alam. Bagai kepikunan menerpa, ternyata aktivitas isi alam (termasuk manusia) meski tua, namun berperilaku seperti anak-anak.”[4] Jelas, pikun itu selari dengan fenomena nyanyuk. Tingkah laku ‘orang tua’ seperti kembali kepada perilaku kanak-kanak. Makanya, kerana ‘ketuaan’ itulah menyebabkan peradaban mengalami kemundurannya selepas sampai di tahap kemuncaknya. Ia selari dengan pendapat Ibnu Khaldun.
Menurut Ibnu Khaldun (1332 – 1406), konsep ‘Umran membawa maksud peradaban dan dikonsepsikan sebagai ‘organisasi sosial’. Karyanya[5] diterima secara cukup menarik sebagai stau kajian terperinci mengenai peradaban manusia, iaitu kehidupan masyarakat primitif (nomad), kehidupan masyarakat berperadaban tinggi, corak pemerintahan (termasuk sistem khalifah) dan diakhiri dengan melihat faktor bangun dan jatuhnya sesebuah peradaban manusia. Berkenaan dengan kejatuhan sesebuah peradaban, Ibnu Khaldun melihatnya dalam konteks pucuk pimpinan sesebuah kerajaan atau pemerintahan, yang membabitkan pengabaian agama sebagai faktor pengikat. Sebab itulah Ibnu Khaldun sangat yakin bahawa faktor agama menjadi pengikat dan sekaligus penyelamat, justeru itulah lahirnya kehebatan empayar-empayar Islam yang didirikan atas asas tersebut. Beliau turut menganalisis perkembangan peradaban dengan memperincikan kitarannya: peringkat kelahiran (tahap awal), kemuncak (tahap menetap atau berperadaban (zaman muda) dan kehancuran (tahap nyanyuk).[6] Mengenai tahap nyanyuk, Ibnu Khaldun menulis:
“Pada tahap ini kita dapati, rakyat telah lupa tahap normadisme dan kekasaran, seolah-olah mereka tidak pernah mengenalinya sebelum ini. Mereka juga hilang nilai kemuliaan dan asabiya sebab mereka menjadi biasa dengan penindasan. Mereka mencapai kemewahan yang paling tinggi dan menjadi korup olehnya dan bergantung pada negara sebagaimana wanita dan kanak-kanak yang perlu diberi perlindungan. Asabiya runtuh sama sekali dan mereka lupa cara-cara pertahanan, perlindungan dan peperangan.[7]
Pada peringkat kelahiran, sesebuah peradaban itu berlangsung sejurus selepas berlakunya peralihan kuasa daripada tampuk pemerintahan sebelumnya, pemerintah menjadi contoh dan teladan kepada rakyat: bersikap adil dan saksama; menyesuaikan diri dengan sentimen dan kehendak rakyat; dan berkongsi kuasa sehingga melahirkan semangat kekitaan yang cukup dihormati (espirit de corps, solidariti sosial dan group feeling). Ia mewujudkan hubungan yang cukup sinergi antara rakyat dan penguasa.[8] Keadaan ini selari dengan apa yang dijelaskan dalam al-Qur’an: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada manusia dan apabila kamu berhukum maka hendaklah kamu menghukum dengan seadil-adilnya. (al-Nisa, ayat 58).
Bagi Ibnu Khaldun, sesebuah pemerintahan atau peradaban tidak akan runtuh atau mati secara mengejut, prosesnya berlaku secara beransur-ansur. Benih kemusnahan sebenarnya sudah pun ada pada masa sesebuah peradaban itu muncul, namun disebabkan kedudukan semangat kekitaan yang cukup kuat, ia seperti sedikit terbantut sehinggalah dapat bergabung dengan anasir luaran. Antara faktor atau benih yang memusnahkan sesebuah peradaban dari dalam ialah asabiyyah, kezaliman dan ketidakadilan sosial, terjerumus dalam budaya egalitarian (kemewahan dan sombong dengan kuasa) dan menipisnya kesedaran agama. Hal ini dilihat oleh Ibnu Khaldun sebagai perkara yang lazim apabila para wazir atau menteri akan menguasai takhta kerajaan (setelah raja yang memerintah mangkat dan putera raja yang masih kecil dilantik). Wazir atau menteri yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal kedudukan raja yang masih kecil telah menggunakan kesempatan bagi mendapatkan kedaulatan penuh. Tindakan yang dilakukan ialah memanjakan putera raja dengan pelbagai kemewahan dan mempengaruhinya untuk tidak memikirkan masalah pentadbiran dan kehidupan rakyat. Pengabaian peranan itulah akhirnya menyebabkan konflik dan resah rakyat yang kemudiannya digunakan oleh pihak luar untuk menjatuhkan sesebuah pemerintahan. Hal ini berlaku di akhir pemerintahan Empayar Abasiyyah apabila segelintir pemimpin yang tidak senang dengan penguasa (unsur atau pengaruh Parsi) mengundang kehadiran tentera Mongol untuk menghancurkan Baghdad (1258)[9].
Sekurang-kurangnya, Islam muncul sebagai sebuah peradaban yang bukan sahaja tersebar daripada tanah lelulurnya (Jazirah Arab) hingga ke Sepanyol di bahagan barat, sempadan Rusia di bahagian timur, ke Afrika di bahagian selatan dan sekarang telah membentuk komuniti yang besar, yakni kedua tertinggi dari segi penganut selepas Kristian.Anggaran tahun 2000, jumlah penganut Islam ialah 1.26 bilion dan dijangka mencapai 2.46 bilion pada tahun 2025. Kadar pertambahan penduduk Islam ialah 2.7 peratus, iaitu mengatas kadar purata pertambahan penduduk dunia, 1.7 peratus. Sehingga kini, penduduk beragama Islam dianggarkan seperempat penduduk dunia.[10]
Pew Research Center (PEW) pada tahun 2015 mengeluarkan laporan berjudul The Future of World Religions: Population Growth Projections 2010-2050[11] bahawa jumlah penduduk dunia beragama Kristian ialah hampir satu pertiga penduduk dunia (6.9 bilion) manakala yang beragama Islam ialah 23 peratus. Lebih membimbangkan ialah komposisi penganut Islam sangat dipengaruhi oleh golongan muda, dan ini memberikan petunjuk bahawa dalam tempoh yang singkat, dengan kadar kelahiran atau kesuburan yang tinggi, maka akan sampai pada satu tahap (pada tahun 2070 atau 2075[12]) keseluruhan umat Islam lebih besar daripada penganut Kristian.[13] Purata setiap keluarga muslim ialah 3.1 berbanding bukan Islam di tahap 2.3 anak setiap keluarga. Data tahun 2020, jumlah penganut Kristian ialah 2,382,750,000 (31.1 peratus) pengikut; Islam seramai 1,907,110,000 (24.9 peratus); Hindu 1,161,440,000 (15.2 peratus) pengikut; Buddha dengan 506,990,000 (6.6 peratus) orang; agama rakyat (pagan dan sebagainya) dengan 429,640,000 (5.6 peratus) pengikut; lain-lain agama dengan 60,990,000 (1 peratus) pengikut; Yahudi dengan 14,660,000 (1 peratus) pengikut; dan tanpa agama 1,193,750,000 (15.6 peratus) orang[14]. Ini bermakna, selain pertambahan jumlah penganut Islam yang pesat, jumlah bilangan yang tidak dapat dihubungkan dengan kepercayaan beragama (melebih jumlah penganut Hindu) dijangka menurun, terutama dalam kalangan masyarakat barat dan juga kumpulan yang mereka yang menunjukkan sikap agnostik. Dianggarkan lebih kurang 4,200 agama yang ada dan masih diamalkan oleh manusia buat masa ini.[15]
Disebabkan oleh tekanan ke atas Islam (Islamofobia) telah menarik minat sebahagian daripada mereka mempelajari Islam, dan seterusnya membuat pilihan bahawa Islam adalah satu sistem kepercayaan yang dapat memenuhi pencarian akibat kekosongan spiritual, terutamanya selepas masyarakat barat memahami apa sebenarnya yang dilihat sebagai satu bentuk ‘deception’ Tragedi World Trade Center pada 11 September 2001.
Kepikunan peradaban secara mudahnya dapat dilihat daripada kebekuan intelek kalaupun tidak berhenti berfikir. Maksud berfikir di sini ialah menjadi pencipta (innovator), bukan sekadar mengagumi lain-lain kemajuan dan peradaban kerana peradaban-peradaban itu sedang dilihat ‘sangat sakit’ dan mewabakkan keruntuhan moral, di mana setiap tindakan yang diambil hanyalah atas ketetapan ‘perut dan saku’.[16] Gambaran lain yang turut dikutip oleh Profesor Dr Yusuf Qardawi ialah pandangan seorang wartawan Amerika Syarikat, John Genter, iaitu: Orang-orang Inggeris menyembah bank selama enam hari seminggu dan pada hari ketujuh [Ahad] mereka pergi ke gereja.”[17]
Maknanya, dalam masyarakat barat, persoalan agama dan keagamaan bukanlah asas yang sangat mempengaruhi pola kehidupan mereka, ia telah berjaya membangun peradaban materialisme, satu bentuk peradaban yang semakin menekankan kepada budaya kepenggunaan atau konsumerisme. Budaya ini sekarang sedang menjangkiti umat Islam. Atas kesan dan pengaruh tersebut, ada dalam kalangan pemikir-pemikir Islam merumuskan, kekuatan umat Islam tidak akan memberikan kesan secara sistemik dalam pembentukan peradaban yang lebih baik, kerana umat Islam terus merelakan dirinya untuk menjadi pengguna, dan bukannya membangunkan produk berteknologi tinggi serta mengatasi apa yang dihasilkan oleh peradaban barat. Ia memberikan contoh yang cukup menarik, kenapa sistem kewangan Islam yang lebih bebas dan tidak meniru model perbankan barat masih belum hadir. Apa yang ada kini ialah hanya menukarkan orientasi atau kaedah pengiraan, bukan sepenuhnya bebas daripada riba atau faedah. Perkiraan akhir masih berlandaskan jangkaan keuntungan, yang sama dikerangkakan oleh prinsip faedah yang dipraktikkan oleh sistem kewangan konvensional. Apa yang ditukar ialah dari segi pengucapan atau dipanggil akad, tetapi kontraknya tetap meniru terma dan syarat sistem konvensional.
PERADABAN ISLAM
Peradaban berasal daripada istilah adab. Dalam bahasa Inggeris, peradaban itu datangnya daripada istilah civilization. Perkataan civilization berumbikan perkataan civil. Menurut kamus, civil membawa maksud: (1) berkenaan atau berkaitan rakyat sesebuah negara; awam; (2) berkenaan atau berkaitan rakyat biasa dan bukan angkatan bersenjata dan pihak Gereja’ (3) sopan dan suka membantu; dan, (5) melibatkan undang-undang sivil bukan undang-undang jenayah. Manakala civilization ditakrifkan sebagai: (1) menjadi atau membuat seseorang bertamadun; (2) keadaan perkembangan sosial manusia; budaya dan cara hidup sesuatu bangsa , negara dan zaman yang dianggap sebagai peringkat perkembangan masyarakat yang terkelola; tamadun; dan (3) keadaan atau masyarakat yang bertamadun.[18] Jelasnya, makna peradaban itu sangat sinonim dengan tamadun, bererti peradaban muncul setelah lahirnya tamadun.
Tamadun pula bermaksud: (1) keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain) yang tinggi, peradaban; (2) negara dan penduduknya yang telah mencapai taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain) yang tinggi, peradaban; (3) budaya atau cara hidup orang-orang (negara, kawasan atau sesuatu zaman) tertentu, peradaban; dan (4) keadaan pemikiran (budaya dan moral) yang halus, peradaban.[19] Ertinya, ukuran tamadun terletak kepada ukuran kebendaan dan perkembang pemikiran. Sesebuah masyarakat atau negara yang mencapai tahap ukuran tinggi daripada perspektif kebendaan dan pemikiran, akan disebut bertamadun, walaupun daripada perspektif nilai agama dan praktis ritual adalah rendah.
Daripada takrif ini, kita lebih memahami bahawa peradaban itu berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang dibentuk menerusi tatakelola (budaya, sistem kemasyarakatan dan bernegara) yang berusaha membina kehidupan yang lebih baik (bertamadun). Kehidupan yang lebih baik itu bermakna, saling hormat, mempunyai kebebasan (bersyarat dan bukan kebebasan mutlak), kreativiti dan inovatif dalam memenuhi keperluan kehidupan sebagai individu, masyarakat dan bernegara berdasarkan tatakelola yang dibenarkan. Ini bermakna, proses yang melahirkan sesuatu tamadun bukan boleh berlangsung secara ‘overnight’. Ia memerlukan proses yang panjang, usaha yang gigih dan dedikasi, keupayaan dan matlamat yang jelas. Sesebuah tamadun atau peradaban tidak akan hadir atau dapat diciptakan hanya sekadar seruan atau slogan, ia menerusi satu bentuk perancangan dan penterjemahan dalam bentuk tingkah laku dengan pembentukan mekanisme yang jelas dan sesuai.
Peradaban, dalam konteks bahasa Melayu sangat berkait rapat dengan adab atau tatakelola. Adab dibentuk menerusi penerima norma dan nilai-nilai yang hidup dalam sesebuah masyarakat. Nilai-nilai pula bergantung kepada pengetahuan dan amalan yang hidup dan sedang dipraktiskan secara sejagat. Ini bermakna, sesuatu peradaban itu dianggap tidak sempurna atau lengkap tanpa nilai keadaban. Adab, dalam ertikata (1) tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan; (2) cara seseorang berkelakuan dalam sesuatu situasi tertentu manakala ‘beradab’ itu pula (1) mempunyai (menunjukkan) adab, berbudi bahasa, bersopan; dan, (2) telah maju tingkat kehidupan (jasmani dan rohani), bertamadun. Peradaban ialah “telah mencapai tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani (sesuatu bangsa atau masyarakat) pada aspek jasmani dan rohani.”[20]
Tentunya, dalam istilah bahasa Melayu, peradaban dan tamadun mempunyai perbezaan walaupun kadangkala digunakan secara silih berganti. Dalam bahasa Inggeris, peradaban dan tamadun hanya dirangkumkan dalam istilah civilization. Peradaban Melayu sangat tertakluk kepada kerangka agama, iaitu Islam kerana Islam bukan sekadar kepercayaan atau agama sebagaimana difahami oleh masyarakat barat. Islam adalah cara hidup bukan sekelumit daripada budaya. Dalam masyarakat barat, agama adalah sekelumit amalan budaya. Dalam Islam, bentuk dan imej budaya ditentukan oleh agama. Hal inilah yang sangat membezakan makna peradaban dalam Islam, dan jika ingin disilihgantikan dengan perkataan tamadun, ia tetap membawa nilai adab dan keadaban Islam.
Menurut Nasr dan Smith, “Islam is not only religion; it is also creator and living spirit of major world civilization with a long history stretching over fourteen century.”[21] Ertinya, Islam dan peradaban lahir dalam kesatuan yang tidak boleh dipisahkan. Dalam konteks Islam, peradaban (madani) juga mengandungi perihal pemikiran (al-fikriyyah), kerohanian (ar-ruhiyyah), instuisi (al-wijadniyyah) dan etika (al-sulukiyyah). Ia dapat dilihat atau dibuktikan menerusi pencapaian nilai-nilai (qiyam), contoh-contoh (perumpamaan, peribahasa, atau ungkapan) dan prinsip-prinsip.[22] Manakala Dr Yusuf al-Qardhawi memberikan takrif yang cukup ringkas mengenai peradaban, iaitu “Sekumpulan bentuk-bentuk kemajuan; baik yang berbentuk kemajuan material, ilmu pengetahuan, seni, sastera ataupun sosial, yang ada dalam satu masyarakat atau pada masyarakat yang serupa.”[23]
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa peradaban mempunyai dua aspek yang penting, iaitu kemajuan yang hadir dalam bentuk kebendaan (fizikal) seperti sistem perdagangan, sistem pertanian, perindustrian, kemahiran rakyat dan hasil-hasil seni (senibina, seni pengucapan, seni penulisan, seni lukis dan sebagainya yang dikategorikan sebagai objek kreativiti); dan kemajuan daripada sudut kejiwaan seperti (nilai-nilai spiritual, sistem moral, bentuk pemikiran, pengungkapan budaya dan sastera, jati diri dan kemantapan peribadi). Oleh itu, sesuatu peradaban yang benar-benar membawa makna kepada manusia ialah penghasilan yang bukan sahaja megah daripada kekuatan dan keindahan fizikal, ia juga tinggi nilai kemanusiaannya.
Hal ini telah dibuktikan dengan sangat jelas dalam peradaban Islam yang berlangsung begitu lama kerana itulah Islam sangat identik dengan konsep ‘rahmatalil alamin’ sejak Nabi Muhammad SAW diberikan tanggungjawab untuk mengukirnya dengan menghapuskan kejahilan manusia pra-Islam, yang dikenali sangat dikawal oleh kabilah (suku dan kepuakan), keras kepala dan bertuhankan kebendaan (misalnya, kelahiran bayi perempuan dianggap sebagai punca masalah, monopoli kawasan atau tempat, dan sebagainya).
KANVAS SEJARAH PERADABAN ISLAM
ISLAM mekar sebagai sebuah peradaban yang cukup kuat memberikan sumbangan kepada manusia sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW diberikan peranan sebagai pesuruh Allah SWT atau Rasullullah. Peradaban yang muncul pada masa awal Islam dan peranan Nabi Muhammad SAW memimpin umat manusia memperlihatkan suatu perubahan yang besar bukan sahaja dalam corak pemikiran, bahkan tindakan keseharian manusia.
Sepanjang memimpin umat Islam, Nabi Muhammad SAW berjaya membenteras budaya jahiliyah masyarakat Arab, membentuk sebuah komuniti masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat madani (period Madinah), membentuk sebuah pola pemerintahan (antara kaum dan agama) yang harmoni, dan membangun sistem kehidupan berasaskan akhlak dan keyakinan tauhid.
Selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW pada tahun 632 M, masyarakat dan sistem pentadbiran Islam dicorakkan dengan pembentukan pola kepimpinan yang dikenali sebagai khalifah, dengan Abu Bakar as-Siddik sebagai pemulanya.[24] Pemilihan Abu Bakar berjaya menyelesaikan perebutan kuasa dan menyekat daripada krisis politik pertama dalam sejarah Islam (krisis politik yang kini dikenali sebagai Krisis Perlembagaan), dan seterusnya, tiga khalifah selepasnya, dipilih berdasarkan keputusan musyawarah antara para sahabat.
Umar al-Khattab ditunjuk oleh Abu Bakar as-Siddik selepas mendapat pandangan dan persetujuan ramai pihak, begitu juga bila Umar al-Khattab memilih Uthman bin Affan sebagai penggantinya. Namun, pada period pimpinan Uthman, gelora politik bersifat sekterianisme mula muncul kembali, yang akhirnya menyebabkan Uthman dibunuh oleh kumpulan pemberontak (al-Sabaiyyun) yang termakan hasutan Abdullah bin Saba, iaitu Sudan bin Humran, Qutairah dan al-Ghafiqi, yang berjaya menyerbu masuk ke rumah khalifah menjelang Maghrib pada hari Jumaat, 18 Zulhijjah 35H.
Pemberontak al-Sabaiyyun kemudiannya memanggil semua penduduk Madinah berkumpul di Masjid Nabawi dengan memberikan amaran yang keras enam hari kemudian (24 Zulhijjah): Jika pada hari esok, umat Islam tidak dari penduduk kota Madinah tidak mengumumkan atau melantik khalifah yang baharu, maka kami (pemberontak) akan melaksanakan misi kami yang seterusnya, iaitu dengan membunuh Ali bin Abi Thalib, Zubair al-Awwam dan Talhal bin Ubaidillah.”
Penduduk Madinah kemudian memujuk Ali bin Abi Talib agar menerima bai’ah sebagai sebagai khalifah menggantikan kekosongan akibat pembunuhan Uthman bin Affan. Keesokannya (25 Zulhijjah), Ali bin Abu Talib yang awalnya mengambil sikap berkecuali dengan fitnah yang disebarkan ke atas Uthman bin Affan, akhirnya menerima jawatan tersebut dan puak pemberontak al-Sabaiyyun turut menyatakan bai’ah menyokong.
Peristiwa tersebut telah menggambarkan bahawa kemunafikan Abdullah bin Saba semakin jelas, yang kemudiannya cuba digunakan untuk menghasut Muawiyah bin Abi Suffyan, gabenor Syam ketika itu melancarkan penentangan terhadap keputusan Ali bin Abu Talib mengenai proses tahkim.
Muawiyah tidak mengiktiraf pelantikan Ali bin Abu Talib, kerana menganggap penerimaan puak pemberontak tanpa mengambil tindakan ke atas pembunuh-pembunuh Uthman bin Affan, dan seterusnya mendesak Ali bin Abu Talib mengenakan tindakan qisas kepada para pembunuh. Difahamkan terdapat lebih 2,000 orang pemberontak yang menyatakan sokongan kepada Ali, sedangkan keputusan untuk tidak ‘membalas dendam’ itu adalah keputusan bersama yang dilakukan antara Ali, Zubair al-Awwam, Aishah bin Abu Bakar, Amru al-Ash dan Talhah.
Puak pemberontak kemudiannya mendesak Muawiyah bin Abu Sufyan dipecat di atas keengganan menerima tahkim tersebut. Pemecatan tersebut turut menyebabkan Ali tidak diiktiraf oleh penduduk Syam (Syria). Bagaimanapun, Muawiyah dikembalikan jawatannya sebagai gabenor Syam dan menangguhkan pelaksanaan hukum qisas ke atas pembunuh Uthman.
Ijtihad Ali (menangguhkan hukum qisas) tidak disokong oleh Zubair dan Talhah, dengan membuat keputusan meninggalkan Madinah untuk ke Mekah dengan alasan ‘menunaikan fardhu haji’, walhal tujuan sebenarnya ialah menemui Aishah, Abdullah bin Amir, Marwan al-Hakam dan Ya’la bin Umayyah. Aishah kemudiannya mencadangkan mereka bergabung dengan Muawiyyah di Damsyik, tetapi ditolak oleh Abdullah bin Amir agar ke Basrah untuk mendapatkan sokongan penduduk di sana. Akhirnya mereka bergerak ke Basrah membawa satu keinginan, menghukum semua pesalah yang membunuh Uthman.
Akhirnya pertempuran saudara –Aishah dan pasukannya berganding dengan Muawiyyah dan Ali bin Abu Talib yang disokong oleh kumpulan pemberontak dan Abdullah bin Saba—berlaku pada akhir bulan Rabiulawal 36H. Perang saudara ini (Perang Jamal) tentera pimpinan Aishah dapat dikalahkan, Ali kembali ke Kufah selepas itu (Januari 657) dan mengambil keputusan memindahkan pusat pemerintahan dari Madinah ke Kufah.
Kufah dipilih kerana ia adalah lebih strategik untuk menghalang kemaraan pasukan yang menyokong Muawiyyah bin Abi Sufyyan. Sebagai langkah penyelesaian, Ali menghantar rombongan untuk memujuk Muawiyyah melafazkan ikrar menyokong pemerintahannya. Cadangan itu ditolak oleh Muawiyyah yang secara tegasnya tidak akan membai’ah Ali sebagai khalifah selagi kesemua mereka yang membunuh Uthman tidak dihukum.
Ali kemudiannya menghantar tentera untuk menyerang Muawiyyah. Ali pada mulanya bercadang menggunakan laluan utara untuk ke Syria, tetapi mengubahnya kea rah selatan melalui padang pasir Mesopotamia. Sebaik sahaja tiba di Riqqa, di tebing Sungai Furat mereka bertembung dengan pasukan utama Muawiyyah. Bagaimanapun, tidak berlaku pertempuran.
Tentera Ali kemudiannya menyeberangi Sungai Furat sehingga bertemu pula dengan sekumpulan kecil tentera Syria di Sur al-Rum. Pertempuran tersebut tidak mematahkan semangat tentera Ali untuk meneruskan perjalanan menuju ke Damaskus. Tentera Ali kemudiannya bertembung dengan tentera Muawiyyah di satu tempat bernama Siffin, yang kemudiannya mencetuskan Perang Siffin pada 8 Safar 36H (26 Julai 657). Dalam pertempuran itu, Ali hampir berjaya dibunuh. Dalam keadaan terdesak itu, Ali terus mengobarkan semangat tenteranya sehingga hampir menyebabkan tentera Muawiyyah berundur. Ia sudah berlangsung tanpa henti selama dua hari, dan pada hari ketiga, menyaksikan lebih ramai yang terkorban dan kedua-dua pasukan hampir kehabisan senjata.
Menyedari kemungkinan tentera Muawiyyah hampir kalah, Amru Al-Ash mencadangkan agar digunakan al-Quran untuk memaksa tentera Ali berhenti berperang dan memulakan rundingan. Muawiyyah bersetuju dengan menggunakan meletakkan 500 nashkah Quran di hujung tombak dan berteriak: "Undang-undang Tuhan! Ini akan memutuskan di antara kita!"
Awalnya, Muawiyah dan Amr tidak terfikir bahawa Ali akan menerima tawaran tersebut, tetapi tetapi yakin ia akan mempengaruhi tentera Ali. Helah itu mencapai sasarannya, tentera Ali bersetuju untuk berhenti menyerang dan memulakan rundingan dengan Muwaiyyah. Persetujuan itu menyebabkan sebahagian tentera Ali tidak berpuas hati. Bahkan berlaku perdebatan panjang antara Ali dan al-Ashtar.
Kededuanya mendapat tentangan, Ali diugut akan dihantar kepada Muawiyyah sebagai ‘tawanan perang’ manakala al-Ashtar digelar ‘penghasut’ kerana ‘gila perang’. Ali tidak mempunyai pilihan, akhirnya menerima untuk berunding dengan Muawiyyah. Bagaimanapun, keputusan perundingan lebih menguntungkan Muawiyyah.
Kekuatan pengikut Ali semakin berpecah. Akhirnya, Ali dibunuh oleh kelompok khawarij pada tahun 661H. Pembunuhan tersebut mengakhiri era pentadbiran Khalifah ar-Rasyidin. Menurut istilah, rasyidin itu bermaksud mendapat petunjuk Allah SWT. Namun apa yang menariknya, selepas runtuhnya khalifah ar-Rasyidin, institusi kekhalifahan sentiasa kekal sebagai sebuah sistem politik Islam yang berpengaruh dalam tahun-tahun selepasnya sehingga empayar Islam berkembang hampir menguasai seluruh Eropah, iaitu dari Sepanyol hinggalah ke sempadan China.
Dari perspektif teori politik, institusi khalifah mempunyai sumbangan yang sangat besar sebagai simbol penyatuan Islam dan juga faktor kekuatan semangat dalam membangunkan sebuah peradaban yang sangat besar,[25] bahkan lebih besar daripada peradaban-peradaban sebelumnya, termasuk peradaban Mesir, Hindu, Buddha dan Kristian. Kini, selepas peradaban Islam mula dihancurkan setelah jatuhnya Uthmaniyyah selepas Perang Dunia I, peradaban barat yang nyah agama berjaya menguasai pemikiran dan geopolitik antarabangsa menerusi kaedah kolonialisme dan imperialisme.
Menerusi kolonialisme, barat membahagi-bahagikan negara berdasarkan kehendak dan persetujuan antara mereka: Britain, Perancis, Sepanyol dan Belanda. Selepas Perang Dunia II, kedudukan kuasa Amerika Syarikat lebih menonjol, dan menerusi dasar imperialisme, dunia dibahagikan berdasarkan ideologi politik: demokrasi, komunisme, sosialisme dan Islamisme.
Hanya negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam dikatakan Islam sebagai satu ideologi politik, manakala agama-agama lain bukan bersifat ideologi. Ia sangat memperlihatkan prejudis dan tindakan untuk menghina Islam sebagai sebuah agama yang cukup bertoleransi dan telah menyumbang kepada peradaban besar kepada manusia, termasuk peradaban barat sendiri.
Kini, Islamisme itu pula dikecam sebagai pencetus kepada keganasan, terrorism dan diperkuatkan dengan serangan ke atasnya, yakni Islamofobia.[26] Segala-segalanya dikaitkan dengan Islam dan pernah muncul istilah ‘green menace’ bagi menggantikan musuh ideologi barat terhadap komunisme, ‘red menace’ selepas berakhirnya Perang Dingin (1989) dan kemuncaknya ialah penyatuan semula Jerman (Jerman Barat dan Jerman Timur) bila Tembok Berlin diruntuhkan pada 9 November 1989. Red menace merujuk kepada warna merah yang menjadi simbol perjuangan komunisme manakala warna hijau menjadi simbol beberapa buah negara Islam, terutama dalam kalangan negara Arab (kecuali Qatar, Tunisia, Yemen dan Bahrain) dan Afrika Utara (kecuali Mesir), serta Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan.
Kini, Turki dilihat sebagai kekuatan baharu bagi Islam selepas berakhirnya pemerintahan yang dibayangi oleh dasar sekularisme semakin tidak berpengaruh dan kepimpinan politik Islam yang dirintis oleh Necmettin Erbakan (1926-2011) pertengahan 1990-an. Ia disambung oleh Tayyib Erdogan selepas parti pimpinannya AKP berjaya memenangi Pilihan Raya Turki 2002.
Selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1923, negara-negara Islam bukan sahaja berpecah, bahkan mengalami kemunduran yang sangat ketara. Ia menjadi lebih menakutkan ialah apabila negara-negara Arab dan Afrika Utara semakin kehilangan jati diri Islam, dan terpaksa ‘menyerah’ kepada kuasa imperialisme walaupun sebahagian besarnya dianugerahkan dengan kekayaan hasil bumi.
Mesir menjadi negara Islam pertama yang majoriti penduduknya Islam tetapi menjadi boneka Barat selepas dijajah oleh Perancis, dan kemudian dilanjutkan oleh British dan kemudiannya ditelunjuki oleh Amerika Syarikat. Kuasa-kuasa barat (termasuk Amerika Syarikat) melihat Mesir sebagai pengkalan strategik utama selepas Terusan Suez berjaya dibuka 1869, dan Amerika Syarikat pula menggunakan Mesir untuk menenggelamkan Nasionalisme Arab ekoran keputusannya menubuhkan negara Israel selepas Perang Dunia II.
Hal itulah yang menyebabkan Amerika Syarikat cukup terpukul dengan kemenangan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1948 dan mendesak Mesir tidak mengiktiraf, merancang pembunuhan Hasan al-Banna dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut. Selepas Revolusi Arab, Hosni Mubarak yang menjadi boneka Amerika Syarikat berjaya ditumbangkan, pengaruh Ikhwanul Muslimin kembali meningkat dan memenangi Pilihan Raya Presiden pada tahun 2012.
Bagaimanapun, kemenangan secara demokrasi itu dipunahkan dengan rampasan kuasa (3 Julai 2013) oleh Jeneral Abdul Fatah al-Sisi, yang didalangi oleh Amerika Syarikat. Kemenangan Ikhwanul Muslimin disifatkan sebagai permulaan baharu yang buruk untuk Israel, setelah Amerika Syarikat berjaya menghancurkan kekuatan Saddam Hussein, Muammar Gadafi dan mengenakan pelbagai sekatan ke atas Iran.
Hal yang sama turut dilakukan oleh Israel apabila mengepong Gaza (9 Jun 2009) dan menggunakan senjata kimia (fosforus) selepas lima bulan Hamas memenangi Pilihan Raya Palestin (25 Januari 2006). Palestin diperintah oleh dua kumpulan, Fatah di Tebing Barat dan Hamas di Gaza. Pembentukan Pihak Berkuasa Palestin yang didokongi oleh Fatah dilihat oleh Hamas semakin liberal dan tidak lagi membawa mandat pembebasan Palestin, kerana terlalu tunduk dan mengikut kemahuan Israel. Israel pula hanya mengiktiraf PLO atau Fatah sebagai penguasa rasmi Palestin.
Arab Saudi mula berkecamuk apabila penguasa Mekah bersengkongkol dengan British untuk menjatuhkan Khalifah Utmaniyyah pada dua dekad terakhir Abad ke-19.[27] Ia diperkuatkan dengan rancangan Pesuruhjaya British di Mesir, Henry McMahon dan Syarif Husain sehingga tercetusnya Revolusi Arab pada tahun 1916. Dibantu oleh T E Lawrence, British berusaha menentang Turki dan sebelumnya, Sir Percy Cox dan Ibnu Saud telah menandatangani satu perjanjian pada tahun 1915. British akan mengiktiraf wilayah Najd, Ahsa, Qatif dan Jubail sebagai wilayah kekuasaan Dinasti Saud, dengan syarat tidak menentang British. Ini bermakna, Ibnu Saud (Abdul Aziz bin Abdul, 1902-1953) memberikan ruang yang besar kepada British untuk menjatuhkan Empayar Uthmaniyyah[28], dan sebagai imbuhannya, akan diberikan bantuan 5,000 pound sterling sebulan, 1,000 pucuk senapang dan hadiah wang sebanyak 20,000 pound sterling.[29]
Keadaan menjadi semakin bermasalah apabila negara-negara Eropah (khususnya bank-bank keturunan Yahudi) yang memberikan pinjaman kewangan kepada pemimpin Empayar Uthmaniyyah mula menekan Sultan Abdul Hamid II (berkuasa mulai 31 Ogos 1876 hingga 27 April 1909) ekoran keengganan untuk menyerahkan satu kawasan di Palestin bagi menubuhkan sebuah negara Israel yang didokongi oleh Britain dan Perancis.
Hasrat itu telah dikemukakan oleh Theodore Herzyl (1860-1904) dalam satu beberapa pucuk surat (sejak 1897. Yakni selepas Persidangan Zionis Antarabangsa ke-II pada tahun 1897) kepada Sultan Abdul Hamid II (21 September 1842 - 10 Februari 1918) dan kemuncaknya pada tahun 1899 dengan menawarkan pengurangan hutang terkumpul berjumlah 190 juta lira Turki (hutang sejak tahun 1881); menubuhkan sebuah Universiti Uthmaniyyah (al-Quds); menyelesaikan krisis di Armenia; membantu mengembalikan Cyprus kepada Uthmaniyyah; dan memberikan hutang segera sebanyak 8 juta lira Turki.[30]
Kejatuhan Uthmaniyyah menurut kajian Dr Khalid al-Awasi, Pengarah Eksekutif Islamic Jerussalem Research Academy (ISRA) dan penulis buku Mapping Islamicjerusalem: a Rediscovery of Geographical Bounderies (2007) disebabkan oleh:
“Banyak orang Islam yang berlumba-lumba untuk mendapatkan kepercayaan dari komplotan musuh. Di masa lalu, hubungan oportunistik semacam ini terjadi juga. Misalnya adanya kerjasama pemimpin Muslim dengan kaum Salib demi mengamankan kursi singgahsana. Bagi yang masih waras akal fikirannya, seharusnya mustahil demikian. Namun semua itu terjadi kerana akal fikiran mereka telah dijajah.
Siapa yang pertama kali mempopulerkan istilah Nakbah (bencana)? Istilah Nakbah dalam konteks lepasnya tanah Palestin, pertama kali dipopulerkan oleh penyair Mesir bernama Ahmad Muharram, dalam gubahan syairnya tentang Deklarasi Balfour. Istilah itu juga disinggung oleh sejarahwan Syria, Kostantin Zirriq, dalam bukunya Makna ‘Nakbah’ tahun 1948. Katanya, “Inggris tidak menjajah sendirian, melainkan bersama dengan bangsa Arab yang menjalin ikatan kerjasama dengan mereka, yang bergerak menggelar revolusi besar untuk membebaskan negeri mereka (dari jajahan Turki).”
Bagaimana mungkin seorang Muslim ikut menyumbang dalam penjajahan Tanah Suci dan kiblat pertama mereka? Itulah akibat akal yang terjajah.
Inggris berjaya memanfaatkan propaganda nasionalisme untuk mengajak sebahagian bangsa Arab berperang melawan saudara seaqidah —Utsmaniyyah— dengan memberikan harapan palsu. Terjadilah kekeliruan fatal: Turki dianggap sebagai musuh, sedangkan penjajah Inggeris sebagai saudara.
Akibatnya, ketika tentera Inggeris sampai di Baitul-Maqdis, bukannya dilawan, tetapi justeru disambut sebagai “pembebas”. Umat Islam berbondong-bondong menyalami mereka penuh keakraban dan kehangatan. Demikian seterusnya, Inggris dan gerakan Zionis sukses menipu tokoh-tokoh al-Quds.”[31]
Oleh : Prof Dr Samsul Nizar, Guru Besar Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN), Bengkalis, Riau Indonesia
[1] Prof Dr Samsul Nizar, ‘Kepikunan’ Peradaban, Riau Pos, 10 Mei 2021.
[2] Kamus Dewan (Edisi Keempat, Cetakan 2007, hal. 1207 mentakrifkannya ‘sangat tua’tanpa dikaitkan dengan nyanyuk. Hanya digambarkan sangat lemah atau tidak terdaya.
[3] Oxford English-Malay Andvanced Learner’s Dictionary, 2007, hal. 1335.
[4] Prof Dr Samsul Nizar, ibid.
[5] Ibnu Khaldun, Mukaddimah, K. Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.
[6] Saleh Faghizadeh, terjemahan Mohd Fauzi Yaacob, Sosiologi Sosiologi, K.Lumpur: ITNMB,2004, hal. 63-68
[7] Dipetik dari Saleh Faghirzadeh, ibid., hal.66.
[8] Muhsin Mahdi, Falsafah Sejarah Ibnu Khaldun: Kajian Tentang Dasar Falsafah Ilmu Budaya, terjemahan Amilah Awang Abd Rahman, Kuala Lumpur: ITBM, 2014, hal.220-235.
[9] Prof Dr Ali Muhammad Ash-Shallabi, Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol, terjemahan Dody Rosyadi, Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2018, hal. 59-61
[10] Dr Taufik Yusuf al-Waei, Dunia Islam Kini: Pahitnya Pengalaman Bersama Harapan, (edisi terjemahan), Batu Caves: Pustaka Salam Sdn. Bhd., 2012, hal. 14-18.
[11] https://www.pewforum.org/2015/04/02/religious-projections-2010-2050/
[12] https://www.99.co/blog/indonesia/agama-terbesar-di-dunia/
[13] https://www.republika.co.id/berita/qihr8j320/alasan-pew-simpulkan-jumlah-muslim-kalahkan-kristen-2070
[14] https://news.detik.com/berita/d-5279850/agama-terbesar-di-dunia-2020-berdasarkan-jumlah-pemeluknya
[15] https://www.99.co/blog/indonesia/agama-terbesar-di-dunia/
[16] Pendapat Prof George dari Britain dan dikutip oleh Yusuf al-Qaradwi, Islam Teras Tamadun Masa Depan, (terjemahan Asri Ibrahim), Kuala Lumpur: ITBM, 1998, hal.14.
[17] Ibid.
[18] Oxford English-Malay Compact Advanced Learner’s Dictionary, 2007, hal. 237.
[19] Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal. 1583.
[20] Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal.7.
[21] Sayyid Hossein Nasr and Houston Smith, Islam: Religion, Histroy and Civilization, 2005, hal. xi.
[22] Abdullah Nasih al-Ulwan, Ma’alim al-Hadharah fi al-Islam wa Atrasuha fi an-Nahdhah al-Awrubbiyyah, 2003, hal. 4 (dipetik dari Qasim Nursheha Dzulhadi, Fiqh Peradaban:Upaya Membangun Kembali Peradaban Islam, 2020, hal. 11.
[23] Dipetik dari Qasim Nurheha Dzulhadi, ibid, hal.12.
[24] Mohd El-Moctar el-Shinqiti, Pertelingkahan Politik Dalam Kalangan Para Sahabat, terjemahan Muhd Thufail Sayuti, K.Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2019; dan Nasihun Amin, Paradigma Teologi Politik Sunni: Melacak Abu al-Hassan al-Asy’ari (W 324H/935) Sebagai Perintis Pemikiran Politik Islam, Semarang: Pustaka Pelajar, 2015.
[25] Dr Muhammad Sayyid al-Wakil, Wajah Dunia Islam: Dari Bani Umayyah Hingga Imperialisme Moden, terjemahan Fadhil Bahri, Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2009 (cetakan keenam), hal.313-315.
[26] John L Esposito, Ancaman Islam: Mitos atau Realiti?, terjemahan Nor Azita Omar, K.Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2004.
[27] Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Arab Saudi, P.Jaya: Hijaz Records Publishing, 2021.
[28] Eugene Rogan, The Fall of Khalifah, terjemahan Fahmi Yamani, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2016, (cetakan ke-6), hal. 467-495.
[29] Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, 2021. Ibid., hal.147-148.
[30] https://www.islamituindah.my/sultan-abdul-hamid-ii-1876-1909-mempertahankan-palestin/
[31] https://www.hidayatullah.com/berita/wawancara/read/2021/06/11/209932/peneliti-batas-baitul-maqdis-dr-khalid-el-awaisi-sebut-kini-banyak-orang-islam-berhati-zionis.html.a
