POTRET PENJAJAHAN DAN SADISNYA GADIS BADWI -PART 1
13 Ogos 1949.
“Gadis itu berlari sambil meratap, kemudian dia rebah ke atas pasir sebelum bunyi tembakan senapang kedengaran. Suasana kembali hening.
“Darah mencurah-curah daripada pelipis kanannya ke atas pasir yang menelannya secara berterusan, sementara cahaya matahari tengahari menyinari bahagian bawah badannya yang telanjang warnanya sama dengan warna pasir.
“Pegawai itu meninggalkan pengawal, yang terus menggali lubang, serta timbalannya dan pemandu menghampirinya sebentar kemudian, dan berkata bahawa mungkin gadis itu belum mati. Mereka tidak boleh meninggalkannya begitu, lebih baik kematiannya dipastikan. Dia terus menggigil, kaku dengan sakit seolah-olah mnarikkan ususnya, Akhirnya, dia menggerakkan mulut dan mengarahkan pemandu untuk memberitahu timbalannya untuk menyelesaikan misi itu. Sebentar kemudian, detusan enam das tembakan kedengaran di udara, kemudian suasana kembali sunyi.” (Perincian, hal.57-58)
Gadis itu, remaja perempuan Badwi (usia sebenar tidak diketahui dengan jelas) yang dianggarkan dalam usia 15 hingga 20 tahun. Gadis itu ditemui oleh sekumpulan tentera Israel (IDF) yang ditugaskan membersihkan kawasan di padang pasir Naqab (Negev). Ia ditemui pada 12 Ogos 1949, setelah melakukan rondaan tanpa henti selama tiga hari (bermula 9 Ogos 1949).
“Apabila kakinya mendarat di dasar cerun, dia menghala ke arah tumbuhan-tumbuhan tadi, menyelak rantingnya, dan lalu segera tersingkap sekumpulan Arab yang sedang berdiri kaku di sebelah mata air. Matanya bertembung dengan mata mereka yang terbeliak, dan mata unta-unta yang terkejut. Unta-unta melompat-lompat dan berlari benerapa langkah sebaik saja anjing mula melolong. Kemudian terdengar bunyi tembakan bertalu-talu.
“Lolongan anjing akhirnya terhenti, dan kawasan itu kembali agak tenteram. Kini, yang tersisa hanya suara esakan seorang gadis yang mengerekot di dalam pakaian hitamnya seperti seekor kumbang, juga bunyi gesekan daun akasia berduri, tarbantin, dan rumput buluh sewaktu setompok kawasan hijau yang dikelilingi bukit pasir tandus tidak berpenghujung itu diredah oleh para askar yang memeriksa kalau-kalau ada senjata di sana, manakala dia sendiri berdiri di situ dan meneliti tahi unta.
“Kemudian dia berjalan di sekeliling unta-unta yang terbaring di atas tanah persis bukit kecil ditutupi rumput kering. Ada enam ekor semuanya. Meskipun semuanya sudah mati, dan pasir pelan-pelan meresap darah mereka ke perut bumi, sebahagian anggota badan mereka masih sedikit bergerak. Pandangannya terhenti pada segenggam rumput kering yang berhampiran mulut salah seekor unta; ia telah dicabut sehingga ke akar yang masih melekat padanya butiran pasir.
“Tiada senjata ditemui. Dua orang sarjan dan anggota lain memeriksa kawasan itu beberapa kali tanpa sebarang hasil. Lama kelamaan, dia berpaling ke arah gumpalan hitam yang masih merintih dan menerpa ke arahnya, mencekaknya dengan kedua-dua belah tangan dan menggoncangnya keras. Anjing menyalak lebih kuat, dan gadis itu meraung lebih lantang.
“Kedua-dua suara menyatu tatkala dia membenamkan kepala anak gadis itu ke tanah, menekup mulut dengan tangan kanan, sehingga air liur dan hingus yang melekit serta air matanya melekat di tangannya sendiri. Bau anak itu mencucuk hidungnya, memaksanya memalingkan kepala. Tetapi seketika kemudian dia memandangkan semula, kemudian mendekatkan tangan kiri ke mulut dan mengisyaratkan diam menggunakan jari telunjuk, lalu merenung tajam ke dalam mata gadis itu.” (Perincian, hal.24-25).
Setelah ditawan, gadis itu dibawa ke khemah IDF. IDf hadir di Negev adalah melaksanakan misi ‘menawan’ secara fizikalnya seluruhnya sebagaimana diarahkan oleh pihak berkuasa negara haram Israel yang dibentuk secara rasminya menerusi pengisytiharan keputusan PBB pada 14 Mei 1948.
Sehari selepas itu, bendera Union Jack diturunkan dan ini bermakna, dengan rasminya berakhirlah pemerintahan British di Palestin. British mendapat mandat tersebut setelah dua kuasa penjajah utama - Britain dan Perancis – secara rahsia bersetuju untuk membahagikan antara mereka wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Daulah Utsmaniah.
Persetujuan itu terkandung dalam Perjanjian Skyes-Picot (1916). Ia kemudiannya disusuli oleh Deklarasi Balfour (1917). Deklarasi Balfour menjadi pemacu kepada terbentuknya sebuah negara haram Israel, yakni persetujuan British untuk menyelesaikan masalah diaspora Yahudi. Setelah berakhirnya Perang Dunia I (28 Julai 1914-11 November 1918), Daulah Utsmaniah yang menyebelahi Jerman terpaksa ‘berputih mata’. Jerman dan sekutunya diisytiharkan kalah.
Dengan kekalahan tersebut, Utsmaniah hilang kuasa ke atas wilayah kekuasaannya manakala Jerman dipaksa menandatangani Perjanjian Versailes (29 Jun 1919 dan berkuatkuasa mulai 10 Januari 1920), yang dianggap sebagai ‘grand design’ Pakatan Yahudi Antarabangsa (WZO yang ditubuhkan pada tahun 1897). Akibat tekanan dan syarat perjanjian berat sebelah itu, telah mencetuskan kemarahan Jerman terhadap keturunan Yahudi sehingga mengheret kepada Perang Dunia II (1 September 1939 - 2 September 1945).
Dari perspektif sejarah, Negev adalah padang pasir yang berada dalam wilayah Palestin dan apabila diisytiharkan terbentuknya sebuah negara haram Israel melalui rampasan dan penjajahan, ia memunculkan tentangan yang hebat dalam kalangan negara-negara Arab. Peristiwa itu dikenali sebagai Nakba (malapetaka).
Pada tahun 1948, terdapat tujuh buah negara Arab merdeka (Arab Saudi, Iraq, Jordan, Lubnan, Mesir,, Syria dan Yaman). Negara-negara itu sepakat menubuhkan Liga Arab (al-Jami’a al-Arabiyya), kecuali Yaman. Liga Arab tidak mengiktiraf Israel, dan mengundi membantah Resolusi 181 (II), yang mengisytiharkan penubuhan negara haram Israel.
Liga Arab didakwa memulakan serangan. Realitinya, sejak diisytiharkan negara haram Israel, Israellah yang memulakan serangan kerana ingin meraih lebih banyak kawasan, melanggar ketetapan yang dibuat oleh PBB di mana Israel menguasi 57 peratus keluasan tanah manakala Palestin 42 peratus dan 1 peratus (Jerusalem) diletakkan sebagai ‘milik antarabangsa’.
Israel berusaha melaksanakan apa yang dirancangnya dalam Plan Dalet. iaitu mengusir penduduk Arab daripada kampung-kampung Arab yang dimiliki sejak ribuan tahun sebelum Mandat British. Selain mengusir penduduk asal, Israel menggalakkan penghijrahan masuk keturuan Yahudi dari seluruh dunia ke Palestin. Dasar itu dilakukan dengan dua tujuan: (1) meningkatkan populasi Yahudi dan secara demografinya penduduk Palestin akan dikuasai oleh keturunan Yahudi (bangsa imigran); dan (2) Peningkatan jumlah pendudukan menjadi asas untuk merampas lebih banyak tanah-tanah, dan dokongan tentera haram, para penghijrah dilindungi setiap tindakannya membakar kebun, rumah dan merampas tanah selain digunakan alasan oleh elit politik negara haram, atas kepentingan pembinaan infrastruktur awam dan kem tentera. (Ilan Pappe, The Biggest Prison on Earth: A History of the Occupied Territories, New York: Simon and Schuster, 2017)
Untuk rekod, serangan yang dimulakan oleh Israel pada 9 April 1948 (sebelum PBB mengisytiharkan pembentukan negara haram Israel, yakni dalam proses penentuan yang ditekan oleh Amerika Syarikat), seramai 107 penduduk kampung Deir Yassin telah dibunuh kejam oleh militant Irgun dan Lehi (kebanyakannya wanita dan kanak-kanak). Militan Irgun dan Lehi ini kemudiannya diserap sebagai anggota IDF setelah negara haram Israel dibentuk.
Kemusnahan dan penghancuran Palestin sudah dimulai sejak WZO melaksanakan dasar kemasukan orang Yahudi ke Palestin sebaik sahaja mendapat persetujuan British yang mentadbir Palestin. Proses penghijrahan itu dikenali sebagai aliyah. Aliyah pertama bermula antara tahun 1881-1903. Ia dilihat kurang berjaya kerana masih mendapat tentangan daripada sebahagian besar masyarakat Yahudi. Namun pada aliyah kedua, 1904-1914, sejumlah 35,000 orang Yahudi memasuki Palestin. Pada 1909, ibu kota negara haram Tel Aviv mula dibina dan pendatang Yahudi menubuhkan sekolah tinggi Yahudi pertama di Palestin.
Selepas sembilan bulan berperang, Liga Arab dan Israel masing-masing merasakan mereka tidak akan mencapai kemenangan mutlak. Atas sebab itulah Israel bersetuju menandatangani Perjanjian dengan Mesir (Februari 1949), dengan Lubnan (Mac 1949), Jordan (April 1949), dan Syria (Julai 1949). Perjanjian tersebut telah membentuk Garisan Hijau (Green Line), iaitu sempadan sementara dan secara realitinya, Liga Arab kekal tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagai negara yang sah, walaupun disahkan oleh PBB.
Selepas itu, ia membuka jalan penjajahan seterusnya, tanpa henti hingga sekarang. Ertinya, sejarah pergolakan dan konflik Palestin-Israel sudah bermula sejak akhir Abad ke-19, bukannya bermula sebaik sahaja negara haram Israel direalisasikan pada tahun 1948. Gerakan merancang kemasukan orang Yahudi menjadi semakin diperluaskan semasa Palestin ditadbir oleh British dan menjadi rangka dasar yang diuruskan oleh Chaim Waiseman, sekitar tahun 1920-an. (Muhammad Asad, Jalan Ke Mekah, Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2017).
Kesemua perjanjian itu bertujuan menamatkan perang, namun Israel tidak mematuhi sebarang syarat yang dipersetujui dan kerana itulah mereka melaksanakan gerakan pembersihan di Negev mulai bulan Ogos 1949. (Untuk memahami sejarah konflik Palestin-Israel, bacaan mudah, ringkas dan cukup bermaklumat terdapat dalam Ayman Rashdan Wong, Palestin: Dari Sungai ke Segara, Kuala Lumpur: Patriots Asia Sdn. Bhd., 2025).
Novel Perincian ditulis dalam bahasa Arab, Tafsil Thanawi oleh Adania Shibli (lahir 1974 di Palestin). Novel itu selesai ditulis pada tahun 2017. Ia mendapat perhatian meluas dalam komuniti sastera antarabangsa dan telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Minor Detail oleh Elizabeth Jaquette (2020); bahasa Jerman, Eine Nebensache oleh von Gunther Orth (2022); bahasa Sepanyol, Un Detalle Menor oleh Hoja de Latta Editorial (2019), bahasa Perancis, Un Detail Mineur (2020); bahasa Itali, Un Dettaglio Minore oleh Monica Roucco (2021); bahasa Portugis Um Detaille Menor (2022); bahasa Indonesia, Detail Kecil oleh Zulfah Nu Alimah (Oktober 2024); dan bahasa Melayu, Perincian oleh al-Mustaqeem M. Radhi dan Abdul Jabbar Md Salleh (diterbitkan oleh IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2025).
Menurut kenyataan dua orang penterjemah Perincian ke bahasa Melayu, proses menterjemah dan mendapat persetujuan pengarang (termasuk rekabentuk kulit buku), Adania Shibli mengambil masa hampir setahun sebelum boleh dicetak (akhir 2024). Sebabnya, Adania Shibli cukup hati-hati dan sangat mengutamakan ‘detail kecil’, termasuk ketika menulis dan memberikan kebenaran untuk terjemahan karyanya. (“Jejak Peristiwa Sadis”, Selangorkini, 13-19 Februari 2025).
Adania Shibli meraih ijazah kedoktoran dari University of East London dengan kajian ‘keganasan visual’ atau dalam bidang semiotika mengenai siaran media televisyen Britain dan Perancis berkaitan serangan 11 September 2001, “War on Terror”. Beliau merupakan pensyarah dalam bidang sastera dunia di beberapa buah universiti, termasuk di Jerman. Buat masa sekarang, Adania berulang-alik antara Berlin dan Palestin, selain menjadi professor tamu di beberapa universiti di Eropah.
Karyanya yang lain ialah Keep Your Eye on the Wall: Palestinian Landscape (2013); We Are Equally far From Love (2012) dan Touch (2010). Novel Perincian adalah yang paling mendapat perhatian dan memunculkan kontroversi, pemboikotan oleh negara-negara Arab, Turkiye, Indonesia dan Malaysia pada Frankfrut Book Fair 2023, di Jerman, yang berlangsung pada 18 hingga 23 Oktober 2023.
Frankfrut Book Fair merupakan acara tahunan komuniti buku terbesar antarabangsa. Edisi 2003 merupakan edisi ke-75. Ia menghimpunkan pelbagai penerbit buku tersohor dunia, para penulis dan menjadi medan penerbitan silang budaya, di mana berlakunya perjanjian atau kerjasama penerbitan antarabangsa (perundingan hak cipta, hak penterjemahan dan penerbitan).
Malaysia turut mengambil bahagian dengan tujuan memperkenalkan buku-buku Malaysia ke peringkat antarabangsa. Namun, tahun 2023, Malaysia mengambil keputusan menarik diri, kerana penganjurnya telah menampakkan kecenderungan yang jelas menyokong Israel.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, penarikan diri itu dibuat kerana “Kementerian tidak akan berkompromi dengan keganasan Israel di Palestin, yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Keputusan Kementerian Pendidikan adalah selaras dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin.”(Astro Awani, 17 Oktober 2023). Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan urusetia tetap delegasi Malaysia ke mana-mana pesta buku antarabangsa, termasuk Frankfurt Book Fair . Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) merupakan dua pemain utama dalam penyertaan tersebut. Kedua-dua agensi itu berada di bawah KPM.
Pada 7 Oktober 2023, meletusnya Taufan al-Aqsa, di mana Hamas memulakan serangan ke Israel setelah sekian lama ‘kemarahan terpendam’ tidak lagi dapat dibendung. Ia kemudian diikuti serangan balas oleh Israel sehingga membabitkan pembunuhan tanpa henti ke atas penduduk awam.
Israel yang tidak mengendahkan seruan masyarakat antarabangsa, terus melakukan penjarahan, pembunuhan dan mengebom secara membabi-buta sehingga mengakibatkan lebih 47,000 orang terkorban, lebih 110,00 tercedera, ribuan rumah dan bangunan ranap, menyebabkan rakyat Palestin sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan dan kesihatan yang fatal.
Konflik itu akhirnya dapat dihentikan dalam perjanjian gencatan senjata yang rapuh pada 19 Januari 2025. Tetapi, gencatan senjata dengan Hamas itu tidak menghentikan kebrutalan Israel, bahkan Israel mula mengambil peluang menyerang penduduk Tebing Barat, Lubnan dan seterusnya cuba ‘menakluki selatan Syria’ selepas berakhirnya regim Bashar al-Asad pada 8 Disember 2024.
Pesta buku itu berlangsung pada 18 hingga 22 Oktober 2023. Pada 20 Oktober 2023, Adania dijangka akan menerima Anugerah LiBeraturpreis 2023 bagi novel terjemahan daripada penulis wanita Asia dan Afrika untuk Perincian. Anugerah dibatalkan beberapa hari sebelum bermulanya pesta buku tersebut, dan menurut pihak penganjur menerusi ungkapan Jurgen Boos, Presiden dan CEO Frankfurt Book Fair, ia dibatalkan kerana menghormati Israel ketimbang Palestin. Oleh kerana novel Perincian mengisahkan tentang kebrutalan IDF, maka anugerah tersebut terpaksa ditangguhkan.
Atas sebab itulah badan penerbitan Arab mengambil reaksi balas, menarik diri daripada Frankfurt Book Fair 2023, kemudiannya diikuti oleh Indonesia dan Malaysia, sebagai negara yang cukup konsisten menyokong Palestin, dan tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan negara haram Israel. Jurgen Boos kemudiannya mengulas (16 Oktober 2023):
“We are sad to see that some exhibitors from the Arab region withdrew their participation in this year fair.
“To dispel false reports and misunderstandings that may have arisen in the past days: millions of innocent people in Israel and in Palestine are affected by this war, and our sympathy goes out to all of them. We truly hope that ways can be found to bring them out this violence.
“Frankfurter Buchmesse stands for the peaceful encounter of people from all over the world. With people from more than 100 countries coming together in Frankfurt every year, the book fair has always been about humanity and its focus has always been on peaceful and democratic discource.”
Maknanya, pihak penganjur tidak sepatutnya membatal atau menangguhkan anugerah tersebut, kerana kisah yang dijadikan tema novel Perincian bukanlah cerita rekaan, ia adalah kisah benar, kisah yang berlaku pada pertengahan Ogos 1949.
Perihal pembabitan IDF telah pun diakui oleh pemerintah negara haram Israel, dan hasil penyiasatan didedahkan kepada umum 20 tahun sebelum Frankfurt Book Fair 2023, dan novel itu ditulis berdasarkan laporan tersebut, yang dibuat oleh Adania dalam kembaranya mencari ‘jiwa dan roh’ cerita itu di Nirim dan padang pasir Negev. Ia selesai ditulis pada tahun 2016/2017, yakni selepas lebih 15 tahun laporan itu dikeluarkan dan lebih enam dekad (67 tahun) peristiwa itu berlaku.
Bagi ramai penulis antarabangsa, sekitar 350 orang yang membantah pihak penganjur. Hal itu jelas menunjukkan Jurgen Boos (lahir 9 Mei 1961 di Lorrach, Jerman), mahu menyembunyikan kebobrokan IDF, kerana dia adalah penyokong tegar Israel, dan Zionis.
Tahun 2009, Boos turut mencetuskan kontroversi setelah cuba ‘meminggirkan’ China sebagai ‘guest country’, menolak dua orang penulis China daripada simposium, yang diadakan sempena dalam Frankfurt Book Fair 2009. Tindakan itu diprotes oleh deligasi China.
Akhirnya, Boos mengubah pendirian, dan menjelaskan bahawa tujuan pameran buku itu adalah ‘marketplace for freedom”. Boos dilantik sebagai penggerak utama Frankfurt Book Fair sejak tahun 2005, dan juga Presiden LiProm (Society for the Promotion of African, Asian and Latin American Literature) , organisasi yang bersetuju memberikan anugerah kepada Adania Shibli.
Melihat kepada perspektif kontroversi tersebut, ada yang cuba menyatakan bahawa Boos mempunyai pertalian darah dengan Yahudi, dan ada kaitannya dengan beberapa orang pemukim haram Yahudi di negara haram Israel.
Apa istimewanya novel Perincian? Ceritanya adalah kisah seorang gadis Badwi, yang ditemui semasa rondaan sekelompok tentera penjajah (IDF) dalam keadaan sedih dan lemah setelah beberapa hari ‘tersadai’ di sebuah kawasan di Nirim, gurun pasir Negev. Setelah ditemui, hanya gadis remaja itu sahaja yang masih hidup, manakala yang lainnya sudah meninggal dunia, ia ditawan oleh pihak tentera penjajah.
Gadis itu kemudian dibersihkan –dimandikan- oleh pihak tentera penjajah sebaik sahaja dibawa ke khemah, dan kemudiannya dipakaikan seragam tentera. Malamnya, gadis itu dirogol secara bergilir-gilir, termasuk oleh ketua pasukannya sendiri yang kesakitan akibat digigit labah-labah. Walaupun gadis itu merayu dan cuba mengelakkan diri, tidak siapapun yang bersimpati.
Setelah ditogol secara kejam, keadaan gadis itu menjadi semakin lemah. Akhirnya diarahkan gadis remaja itu dihapuskan. Dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, gadis itu diheret keluar dan dituntut ke ruangan yang terbuka di luar khemah. Ketika itulah gadis remaja Badwi itu ditembak dengan beberapa das tembakan, dan dikuburkan di dalam liang lahat yang sangat cetek oleh IDF. Ia berlaku pada 13 Ogos 1949.
Dua puluh lima tahun kemudian, akhbar Israel, Haaretz (29 Oktober 2003 “I Saw Fit to Remove Her From the World”) melaporkan kejadian tersebut. Berdasarkan laporan itu, Adania cukup bersemangat mencari jejak-jejak gadis Badwi sehingga kematiannya.
Ketika itu, Adania sudah pun meninggalkan Palestin, bermastautin di Eropah. Namun, hati kecilnya cukup mendesak, lalu mengambil keputusan untuk mencari jejak-jejaknya. Pencarian jejak-jejak itu ditulisnya dalam bahagia kedua novel Perincian, daripada perspektif seorang perempuan Palestin sedangkan dalam bahagian pertama, ia menceritakan apa yang dilihat, diusaha dan berlaku sehingga kematian gadis Badwi di tangan tentera pengganas.
Adania mengunjungi semula tempat di mana gadis malang itu dikuburkan selain mencari maklumat kenapa ianya dibunuh kejam. Dalam bab pertama, diceritakan bahawa ‘pegawai itu’ (Leftenan Kedua, Moshe, berdasarkan laporan penyiasatan Israel) menyediakan giliran untuk merogol dan memperkosakan gadis itu dalam tempoh tiga hari, dan selepasnya, gadis itu akan dihapuskan. (“Israel learns of a hidden shame”, https://mg.co.za/article/2003-11-04-israel-learns-of-a-hidden-shame/).
Novel ini dibahagikan kepada dua bab. Bab pertama menceritakan mengenai aktiviti penghapusan jejak orang Arab di Nirim dan penemuan seorang gadis remaja Badwi, yang menjadi pokok persoalan novel ini.
Pada bab kedua, Adania mengisahkan perjalanannya ke Muzium Tentera, padang pasir Negev untuk mencari bukti/ Novel ini seolah-olah merupakan kisah penyiasatan seorang wartawan, yang ditulisnya hampir menyamai bentuk kewartawanan penyiasatan (investigative reporting) sebagaimana saya pernah rasakan ketika membaca hasil siasatan Truman Capote, In Cold Blood (1966) dan Ben Ehrenreich, The Way to Spring: Life abd Death in Palestine (2016).
Namun, yang cukup berbeza dengan Perincian selain latar peristiwa ialah teknik penulisan yang dilakukan oleh Adania Shibli. Saya tidak menemukan sebarang bentuk dialog secara langsung, semuanya diceritakan dalam bentuk deskripsi, seumpama sebuah esei atau rencana, dan tidak ada nama tokoh yang disorotinya. Hanya ada panggilan ‘gadis itu’, pegawai itu, dan ganti nama ‘orang ketiga’. Begitu juga dirinya, Adania menaratifkan sebagai “aku”.
Novel ini cukup tipis, dan ada yang mengkatgorikannya sebagai novella. Dalam edisi bahasa Melayu, tebalnya sekitar 132 halam, manakala edisi Indonesia, setebal 128 halaman, edisi bahasa Inggeris (United Kingdom) 112 halaman (edisi USA, 105 halaman dan edisi Australia, 176 halaman dengan nota kaki serta ulasan) dan edisi berbahasa Perancis, 120 halaman.
Bagaimanapun, pembaca mungkin kecewa jika mengharapkan novel ini ditulis dalam bahasa yang berbunga-bunga dan berpintal-pintal seperti lazimnya sebuah novel. Adania tidak menggunakan cara begitu, ia lebih langsung dan sesekali ada diselit metafora.
(ADANIA SHIBLI, Perincian, terjemahan dari novel berbahasa Arab, Tafsil Thanawi (2017) oleh Al-Mustaqeem M Radhi dan Abdul Jabbar Md Salleh, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2025, 132 halaman).
(BERSAMBUNG)
Kamarun KH
Petikan dari alfalahmadani.my