POTRET PENJAJAHAN DAN SADISNYA GADIS BADWI- PART 4 (AKHIR)
Dalam kembara Adania, setelah melihat papan tanda, hatinya bersuara: Aku telah mendengar banyak cerita tentang penjara ini pada beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi ini kali pertama aku melihatnya. Ia agak baru, dibina pada tahun 2002, ketika gelombang serangan berlaku pada musim bunga tahun itu. Waktu itu, tentera mengumpulkan sesiapa saja yang berusia enam belas tahun sehingga lima puluh tahun di medan-medan awam lalu membawa mereka ke sini. Antara mereka yang dibawa ketika itu adalah rakan kerjaku di tempat kerja barum yang begitu baik. “ (hal.87)
Pelbagai cabaran dihadapi oleh Adania dalam kembara mencari makna di sebalik pembunuhan gadis remaja itu. Namun, dengan semangat cekal, biarpun ketakutan tetap berselang-seli, Adania menulis:
“Kini baru aku menyedari bahawa aku sudah menghampiri pos pemeriksaan, sehingga aku dapat melihat seorang askar memeriksa kertas-kertas seseorang. Suatu kesakitan yang tajam mencucuk jantungku, sehingga kebas terhasil merebak ke seluruh badan. Labah-labah ketakutan kembali merayap di atas kulitku, perlahan-lahan melumpuhkan aku.
“Aku melihat sekeliling seperti hendak gila, mencari-cari kelibat gadis tadi [gadis penjual gula-gula getah], dengan harapan dia datang kembali dan menemaniku, lalu melegakan ketakutan yang menguasaiku.
“Malangnya dia telah menghilang. Jadi aku menumpukan penglihatan kepada kumpulan orang pejalan kaki yang beratur untuk melepasi pos pemeriksaan. Aku merenung seorang demi seorang, tatkala mereka merentasi laluan batang-batang besi lawang putar yang serba sempit, sementara aku cuba untuk menarik nafas panjang perlahan-lahan.
“Mereka ini orang yang cukup bertuah untuk melepasi pos pemeriksaan, walaupun terpasa berdiri dan tunggu; ,ereka diizinkan untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain bila-bila masa, tanpa perlu meminjamkan kada pengenalan dari rakan kerja yang baik di tempat kerja baru mereka. \
“Kemudian aku menguap. Aku benar-benar keletihan, memandangkan semalam aku tidak tidur hampir langsung. Aku penat melayan kerenahku yang semberono, serta kesusahan yang telah aku timpakan ke atas diri sendiri, Aku penat dengan rasa takut, risau dan minda yang bergelora. Celaka aku jika mereka mendapat tahu apa yang cuba aku lakukan, akibatnya begitu besar sehingga aku tidak sanggup membayangkannya.
“Tetapi jika mereka tidak dapat tahu apa yang aku lakukan, aku akan terus pulang ke rumah selepas melalui pos pemeriksaan ini; ya, itu saja cara untuk menamatkan sengsara, Itu janjiku, sebelum aku menguap lagi. Sedang aku menguap, seorang askar menghampiri keretaku. Aku nampak tanganku yang menggeletar, tatkala ia menghulurkan kad pengenalan biru kepada askar tersebut……
“Kemudian askar itu mengetuk bumbung kereta, seolah-olah ingin membangunkanku. Aku menumpukan perhatian, Dia memulangkan kad pengenalan lalu menyuruhku untuk bergerak. Aku bergerak ke hadapan. Terus dan terus lagi, kerana ajy takut jika aku memusingkan keretam askar tadi bersama seluruh tentera keselamatan di pos pemeriksaan itu akan menyedari keadaanku.” (hal.83-84).
Namun, bagi Adania terlalu banyak sempadan yang muncul dalam fikiran. Ia menimbulkan pelbagai dilemma, hatinya terus berkata: …aku tidak boleh berpatah balik
“Aku menyedut nafas dalam-dalam. Baiklah aku tidak boleh berpatah balik, selepas aku melepasi sempadan yang begitu banyak. Sempadan tentera, sempadan geografi, sempadan fizikal, sempadan psikologi, dan sempadan mental. Aku melihat sekali lagi kepada peta Israel tadi, untuk mencari lokasi pertama yang ingin kutujui.
“Ia berbentuk titik hitambersiaz sederhana, tidak jauh dari tempatku sekarang, ditandakan dengan perkataan “Jaffa” dalam huruf Inggeris yang kecil tetapi tebal. Ada beberapa muzium dan arkib ketenteraan di sana yang menurut penulis artikel itu [Laporan hasil penyiasaran tentera tentang pembunuhan kejam gadis Badwi di Nirim, yang disiarkan dalam Haeretz pada 29 November 2003] aku boleh dapatkan maklumat asas tentang kejadian tersebut [rogol berkumpulan dan pembunuhan kejam gadis Badwi oleh platun yang ditugaskan ‘membersihkan’ padang pasir Negev].” (hal.86).
Namun apa yang dikesalkan oleh Adania, “…semua peta, baik yang miliki atau tidak, tidak menunjukkan lokasi pos pemeriksaan sementara. Ia juga tidak dikemaskini dengan kawasan pembinaan Tembok yang sedang berjalan, yang tentunya akan menutup lebih banyak jalan.” (hal.86). Itulah cabaran yang wajib dilalui oleh semua orang yang memasuki wilayah sempadan Israel, juga beberapa kampung tradisi milik Palestin, kerana adalah satu bentuk “kawalan keselamatan” yang diisitilahkan sebagai ‘model penjara’ oleh Profesor Ilan Pappe.
Selain perlu mempunyai semangat dan keinginan yang tinggi, cabaran yang besar setelah memulakan perjalanan tersebut ialah “sempadan psikologi” dan “sempadan mental”. Dua sempadan itulah yang menjadi bahan penulisan yang panjang oleh Adania dalam bahagian kedua novel Perincian, tetapi tidak bermakna kembara itu tiada manfaatnya, Biarpun tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehnya, melengkapkan pelbagai maklumat mengenai tragedi itu dan pencerahan yang segar daripada ‘mereka yang tahu’, kekuatan nobel ini sebenarnya terletak pada kegigihan mencari.
Kegigihan itu membawa kepada maklumat yang lebih mendekati apa yang dilakukan oleh pemerintah haram Israel, prejudis, disinformation dan membuli sesiapa sahaja yang sehaluan dengan dasar pemerintah, yang mendabik dada sebagai sebuah pemaknaan sebuah ideologi politik paling kejam dalam sejarah tamadun manusia, bahkan lebih kejam daripada apa yang dilakukan oleh Adolf Hitler terhadap masyarakat Yahudi semasa Perang Dunia II.
Sedangkan dalam kamus politik dan jenayah antarabangsa pada zaman moden, kekejaman sebenar yang berlaku adalah oleh Israel yang didokong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah, kerana cuba menipu dunia bahawa Palestin adalah ‘hak mutlak Israel’. Atas kehendak dan tujuan tersebut, Israel sedang dilindungi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, dengan menggunakan dalih ‘mempertahankan keselamatan’ walhal yang dipertahankan ialah settler-colonialism, genosid dan kekejaman yang dilakukan. Ianya sudah dibuktikan, dan akan terus berlaku selagi Israel terus kebal mengganas, dan Amerika Syarikat mendokongnya.
Jadi, peradaban kejahatan lebih terakam dalam sejarah, demi menegakkan zionisme, semuanya boleh atas nama ‘pembohongan’ dan ‘eksploitasi’. Inilah yang dapat bayangkan apabila Israel mengharamkan beberapa agensi antarabangsa membantu Palestin, termasuk UNRWA, dan Amerika Syarikat pula mengambil keputusan keluar daripada UN Human Right, hanya kerana ‘sedang mendakwa Israel”, perihal genosid yang diajukan oleh Afrika Selatan. Afrika Selatan pula dimansuhkan sebagai penerima USAID, danagensi USAID sudah dimansuhkan oleh Donald Trump setelah menduduki Rumah Putih bagi penggal kedua (20 Januari 2025). .
Banyak pengakuan dan penyelidikan ilmiah yang telah dibuat, banyak kisah pembohongan tentang holocaust yang dilakukan oleh pihak Nazi, namun kapitalis Yahudi terus membentuknya sebagai satu bentuk industri, termasuk mencari laba meraih sokongan masyarakat antarabangsa. (Norman Filinstein. Holocaust Industry: Reflections on the Exploitaton of Jewish Suffering, USA: Verso Books, 2000; atau terjemahan versi bahasa Melayu, Pembantaian Yahudi Holocaust: Penipuan Yahudi Dalam Mewujudkan Simpati Dunia, Petaling Jaya, Selangor, Hijaz Records Publishing, 2015).
Dalam kembara itu, dengan pelbagai rintangan dan halangan, akhirnya Adania mengakui: “Sia-sia saja aku ke sini [Muzium Angkatan Pertahanan Israel]. Aku tidak menemui apa-apa yang aku cari, dan perjalanan ini tidak menambah apa-apa kepada pengetahuanku tentang kejadian kejadian tersebut ketika aku bermula. “ (hal, 113).
Adania masih belum berputus asa, setelah ‘kecewa’ pulang semula ke Ramalah dengan mengambil ‘jalan’ sebagaimana ditunjukkan dalam “peta versi Israel, Jalan 232 ke Jalan 34, pusing ke kiri, terus ke Lebuh Raya 40, pusing ke kanan, terus memandu sehingga memasuki Jalan 443,” dan “sebaik saja aku bergerak memnadu dan meninggalkan tempat tadi, aku bertenang sedikit. Sebenarnya, jika aku kekal di sini lebih lama, aku akan menemukan sesuatu, atau suatu benang yang boleh mendorongku ke perincian-perincian baru tentang kejadian itu, yang boleh membantu membentuk sejenis gambaran tentang yang dihadapi leh gadis itu.” (hal. 113-114).
Adania kemudiannya melintasi Nirim. Nirim merupakan kawasan petempatan yang didirikan oleh pemukim Yahudi dan batu asasnya diletakkan “pada malam Yom Kippur. Tahun 1946. Ia mrupakan salah sebuah daripada sebelas petempatan yang diasaskan oleh ahli Hashomer Hatzair [pertubuhan sekular pemuda Yahudi Austria-Hungari pada tahun 1913, juga dikenali sebagai The Youth Guard] yang dibentuk dan pemuda-pemuda Eropah yang telah tiba di negara ini pada penghujung Perang Dunia Kedua, Mereka mula mendirikan petempatan di Naqab. Ketika itu matlamat operasi mereka adalah untuk meluaskan petempatan Yahudi di selatan.
“Tindakan itu mendapat perlindungan serta pimpinan Haganah, tiga ratus buah trak yang membawa lebih seribu orang bertolak ke Naqab, tanpa ditentangi dan dihalangi oleh sesiapa. Termasuk pihak berkuasa British yang tidak tahu menahu tentang operasi tersebut, memandangkan ia diaturkan secara rahsia sepenuhnya.” (hal, 104-105).
Adania berusaha untuk bermalam di situ [Nirim] dan akhirnya dengan bantuan seorang pemuda, berjaya mendapatkan sebuah bilik di Jalan Narsius, sebuah rumah tamu yang terletak di atas bukit. Pemilik rumah itu cukup pemurah, meletakkan ‘sebiji kek dan dua buah bekas berisi yogurt’ di dalam peti sejuk tetapi “aku tidak mengetahui apakah aku diizinkan mengambilnya atau tidak.’ Makanan terakhir Adania pada hari itu adalah ‘gula-gula getah’, jadi ia makan sedikit kek. (hal. 116). Dalam kepenatan dan suasana bertukar malam, Adania merasakan adalah perlu untuk membersihkan dirinya setelah melalui perjalanan yang sukar dan berdebu seharian.
Walaupun berteka-teki untuk melakukannya, Adania akhirnya merasakan dia perlu lakukan untuk mengurangkan ‘bau petrol, serta peluh dan debu’. Ada sesuatu habit yang muncul “ Begitu sukar untuk aku memaksa diri menutup paip dan keluar dari bilik mandi, sehingga aku hampir pasti bahawa aku telah menggunakan air yang lebih banyak pada mandi kali ini berbanding jumlah air yang aku biasa gunakan dengan mandi setiap hari sepanjang seminggu.” (hal.118).
Malam itu, sebelum tidur, Adania fikiran Adania menerawang jauh sehingga muncul beberapa anekdot yang dinamakan sebagai ‘jenaka hitam’, yang di jumpainya dalam sebuah buku, yang disediakan oleh tuan rumah sebagai bahan bacaan dan panduan tetamu. Antara perkara yang mengusik minda Adania ialah: (1) “sepucuk surat bertarikh 8 Jun 1915, yang merakamkan sebuah tanah perkuburan yang hancur dimusnahkan oleh bom”, (2) sepucuk surat lain bertarikh 21 Mei 1915, memerihalkan parit-parit yang memandang seperti luka berbentuk garisan yang berkelok-kelok”; seperti fiksyen “seorang lelaki menggoreng ubi kentang di atas sebuah kubur bersebelahan parit perlindungannya. Adanya kehidupan di sini sudah menjadi jenaka hitam; dan (3) sebuah lukisan menggambarkan seorang gadis telanjang, tertiarap di atas pasir, seolah-olah dia terjatuh ke atasnya. Jasadnya kuning, seperti pasir, rambutnya yang kusut dan pendek itu hitam.” (hal.119)
Menjelang waktu subuh, Adania tedengar bunyi letupan yang kuat, yang kemudiannya diukuti dengan beberapa letupan seterusnya. Dalam hati, Adania ‘berperang dengan emosi’ tetapi yang jelas ‘dirinya bukan bermimpi’, letupan itu benar-benar berlaku pada lokasi yang jauh daripada bilik penginapannya. KAtanya, “Ia jauh, di sebalik Tembok. Di Gaza, atau mungkin di Rafah. Bunyi pengeboman kedengaran berbeza, bergantung kepada betapa dekat atau jauhnya seseorang dari tempat yang dibom.” (hal. 120)
Walaupun bunyi itu tidak kuat, tidak menggoyahkan, kata Adania, “ia dalam dan sarat, seperti ketukan yang tidak laju ke atas dram yang besar.” Setelah bangkit dari katil, dan membuka tingkap, “bilik itu tidak dipenuhi asap tebal yang menjijikkan; sebaliknya, yang masuk adalah angin lembut yang menyenangkan.” (hal.120).
Tentunya, petikan-petikan menggambarkan realiti hidup dalam kehidupan di Palestin. Seperti kata Atef Abu Saif, A Diary of Genocide (edisi terjemahan bahasa Indonesia, Jakarta” Penerbit Noura, 2024) kehidupan di Palestin bagi orang-orang Palestin seumpama kontrak yang akan diperbaharui apa terbangun daripada tidur esoknya, dan kontrak hidup itu boleh tamat bila-bila masa sejak Israel menjajah.
“Aku belajar tidak membuat rencana apa-apa, bahkan untuk esok hari. Kita hidup untuk hari ini, begitu kata ibuku” (hal.20) dan “Perang menggerogoti hidup kami. Hari-hari kami berangsur-angsur lenyap, bagai matahari di balik tirai awan gelap. Kami fikir kami sedang menunggu perang berakhir, tap sebenarnya yang kami tunggu adalah hidup kami akan berakhir.” (hal.388)
Kematian bukan lagi sesuatu yang menakutkan dalam diri setiap anak Palestin, sebaliknya perjuangan diteruskan demi sebuah kemerdekaan yang dicari, dengan jihad dan pengorbanan. Kebimbangan, kehilangan dan kematian merupakan lingkaran kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh setiap penduduk Palestin akibat penjajahan dan perjuangan tanpa henti. Dalam adalah pengalaman terperangkap selama 85 hari di Gaza (7 Oktober hingga 30 Disember 2023), yang cukup memaksa untuk tidak lagi mengharapkan apa pun, Atef menulis: “kematian telah kehilangan kuasanya atas dirimu. Ia tidak lagi mengejutkanmu seperti dulu.” (hal.94).
Adania yang berani mengembara seorang diri dalam kepungan Israel di Palestin, seringkali mengingat apa yang ditemuinya, termasuk sebuah tulisan yang cukup memperkuatkan nalurinya “Bukan kereta kebal yang bakal menang, tetapi manusia”. Namun, perasaan takut, curiga, bimbang dan cemas tetap menjadi sahabat baik di setiap hari berada di bumi Palestin, tanah leluhurnya yang ditinggalkan kerana “…yang kujumpai hanyalah kenyataan bahawa semua hal tentang ‘Palestina’ telah lenyap.”
Ia lenyap kerana Israel akan melakukan apa sahaja untuk tidak mengekalkan warisan Palestin, dengan apa yang diistilahkan oleh Nur Masalha sebagai “toponyms”, nama tempat, sejarah dan budaya yang pernah berlangsung di sesebuah lokaliti milik asal keturunan Arab Palestin (Nur Masalha, Palestine: A Four Thousand Year History, London: Zed Books, 2020; dan dibincangkan secara mudah, berfakta dan menjadi tema kupasan sejarah Palestin oleh Syed Ahmad Fathi, Resistance Sudah Berbunga, Sungai Petani, Kedah: Tochka Press, 2024).
Sejarah Palestin tidak pernah terhenti daripada kekejaman. Di atas kekejaman itulah pelakunya akan berusaha kerasa untuk menyembunyikan bukti bahkan dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan pandangan awam, atau realiti semasa. Propaganda sedemikian – disinformation dan red herring – menjadi amalan strategi yang sangat lazim, namun tidak semuanya mampu bertahan untuk selama-lamanya. Kebrutalan IDF akhirnya terbongkar, dan pembongkaran tersebut memotivasikan Adania mencari dan cuba menyelongkar dalam kepayahan diri, diselubungi ketakutan dan rasa cemas, bertarung dengan emosi dan kecekalan, kesemuanya digambarkan dengan jelas dalam novel yang cukup bermakna ini biarpun agak tipis.
Menurut Jasmin Floretta, Adania mencuba menulis melalui pendekatan bearing witness, yang menjadi subjek kajian Profesor Tahrir Hamdi, Universiti Terbuka Jordan, Bearing Witness in Palestinian Resistance Literature (2011), sebagai sebuah sub-genre yang dikenali sebagai bearing witness, atau menjadi saksi. Sub-genre sedemikian bertindak sebagai aksi komunikasi masa kini tentang masa silam, yang sengaja dijadikan nalar dan dibungkam oleh naratif dominan. Ini menyebabkan “ narasi yang coba dibangun dalam sub-genre ini difokuskan pada peristiwa masa lalu yang tragis dan berdampak pada realitas masa kini.
“Dalam kes Palestin menurut Hamdi” sebagaimana dijelaskan oleh Jasmine Floretta, “ bearing witness bermaksud menggabungkan reportuer [istilah asal dari bahasa Perancis, bermaksud komen atau pelaporan] yang tidak hanya merakam kebenaran dari masa lalu Palestin yang tragik…tetapi juga melakukan interogasi [penyiasatan secara sistematik, pertanyaan lisan] secara menyeluruh terhadap masa lalu tersebut yang ditujukan kepada para pelaku dan mereka yang menjadi korban.
“Hamdi mencatat karya penulis Palestin selalu dilatarbelakangi oleh ancaman penghapusan identity [etnik], serta hilangnya tanah dan sejarah Palestin. Oleh tu, bearing witness menjadi alat perlawanan penulis Palestin terhadap pembunuhan kebebasan setiap warga Palestin. Bearing witness juga tak luput digunakan oleh Adania Shibli untuk memperlihatkan kekejaman pendudukan Israel terhadap Palestin. Ia melakukannya dengan cara mengangkat narator perempuan Palestin di bagian kedua.
“Melalui usaha narator perempuan Palestin yang melakukan investigasi [penyiasatan] terhadap pemerkosaan dan pembunuhan perempuan Badui, Shibli menceritakan realitas Palestina yang berada dalam kondisi isolasi permanen. Mengunjungi arsip museum yang terdengar mudah dan lumrah dilakukan hampir setiap warga dunia justru berubah jadi malapetaka bagi tokoh perempuannya.” (Jasmine Floretta VD, “Ulasan ‘Minor Detail’: Kami Orang Palestina Dianggap Setengah Binatang” dalam https://magdalene.co/story/ulasan-novel-minor-detail/ 10 November 2023).
Bagi saya, biarpun mengambil masa sehari semalam atau dua waktu siang, novel kecil Adania Shibli, Perincian cukup membuka beberapa persoalan yang jarang ditemui dalam beberapa penulisan akademik (ilmiah) mengenai Palestin. Sebabnya, dalam penulisan ilmiah, tidak melibatkan ‘naratif perjalanan’ yang cukup mempengaruhi emosi, kecuali catatan-catatan kewartawanan yang hadir sendiri di setiap lokasi yang menjadi latar belakang pelaporan mereka. Sebab itu, saya sentiasa mengimbangi pembacaan saya dalam bingkai ilmiah dengan catatan kewartawanan terhadap sesuatu tragedi ataupun ruang konflik dan tragedi.
Saya melihat apa yang dirakamkan oleh Adania Shibli yang bergelut dengan permainan emosi dan resah peraturan yang dilaluinya, cukup menarik dan hal yang sama turut dialami oleh Trias Kuncahyono (wartawan Kompas), ketika melaporkan Konflik Gaza dalam Gaza: Tanah Terjajah, Intifadha dan Pembersihan Etnis (2007), Ben Ehrenheigh, The Way to the Spring: Life and Death in Palestine (2016), dan Joe Sacco, Palestine (1995).
Bezanya, Adania Shibli menggunakan gaya penulisan dalam novel deskriptif (tiada dialog langsung dan sesekali muncul monolog dalam diri penulis), Ben Enrenheich sebagai laporan kewartawanan apa yang disaksi, dialami dan difikirkan hasil pembabitan dalam peristiwa itu bersama rakaman-rakaman tokoh tertentu beradasarkan sudut pandangan yang dipilih, manakala Joe Sacco menjadikan apa yang disaksikan dan diketahuinya mengenai Palestin dalam bentuk novel, grafik.
Sama ada ia merupakan secebis kisah (pembunuhan gadis Badwi dalam Perincian) atau lokasi tertentu (Nabi Saleh, dalam The Way to the Spring) dan lebih meluas (dalam Palestine) ia cukup berjaya menancakkan emosi marah, benci, meluat (Israel dan kuasa-kuasa besar) sekali gus simpati dan ihsan (rakyat Palestin). Namun, mungkin semangat itu tidaklah sekental semangat juang penduduk Palestin ‘fight for freedom’, dalam keadaan dan situasi apa pun meraka terus dengan azam dan berjuang untuk membebaskan tanah air mereka.
Adania memperjuangkan menerusi penulisan sastera, dengan merakamkan kisah gadis Badwi yang dirogol bersiri dan akhirnya dibunuh kejam sebagai perjuangan menyedarkan khalayak sastera tentang kekejaman IDF, rakaman genosid. Hamas berjuang menerusi politik dan ketenteraan, menggantikan Fatah yang dilihat semakin jelas menjadi alat bagi Israel bagi menekan rakyat Palestin.
Ahed Tamimi, menjadi tokoh remaja (kini sudah dewasa, lahir 31 Januari 2001) yang digeruni kerana mampu mempengaruhi masyarakat dunia dengan hantaran-hantaran visual di media sosial selain komen-komennya yang matang dan bermakna, manakala seorang lagi wira perempuan perjuangan Palestin, Dalia Nassar (anak pejuang PFLP, Maha Nassar).
Sekitar akhir 1960-an hingga 1970-an, nama Leila Khalid (lahir 9 April 1944, kini bermastautin di Amman, Jordan) cukup dikenali setelah menjadi wanita pertama dalam sejarah perampasan pesawat komersial, yang berjuang bersama PFLP (Popular Front for the Liberation of Palestin, pertubuhan pembebasan Palestin aliran sosialis yang ditubuhkan oleh Goerge Habash dan Nayef Hawatmeh pada tahun 1967, selepas Perang Enam Hari 1967 (5-10 Jun 1967) untuk mendesak Israel agar berundur daripada bumi Palestin.
Sebuah novel kecil yang menarik, dan terjemahan juga cukup mudah difahami oleh khalayak umum. Di kulit belakang, tertera catatan Faisal Tehrani, yang memuji novel Perincian dan menganggap “Karya Adania ini adalah pencapaian sasterawi yang penting dan mesti dibaca semua.”
(ADANIA SHIBLI, Perincian, terjemahan dari novel berbahasa Arab, Tafsil Thanawi (2017) oleh Al-Mustaqeem M Radhi dan Abdul Jabbar Md Salleh, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2025, 132 halaman).
Kamarun KH
Petikan dari alfalahmadani.my