BERJALAN DI "JALAN CINTA" (I)

Dalam episod cinta, kisah Layla dan Qays cukup melagenda biarpun sudah berlalu lebih seribu tahun. Antara Layla dan Qays (nama lengkap Qays bin al-Mulawwah), yang kemudian digelar "lelaki gila" atau Majnum terasa sangat hidup dalam jiwa setiap manusia yang ada jiwa dan emosi, kerana pasangan kekasih yang setia sampai akhir hayat biarpun mereka tidak berakhir sebagai suami isteri. Menurut susur galur beritanya, kisah itu terjadi di Lembah Nejd di utara Semenanjung Arab (Hijaz) pada zaman Dinasti Umayyah, iaitu di abad ke-7.

Layla dan Majnum tidak berasal dari kampung tetapi dari segi nasab, ia boleh dihubungkan dengan Bani Amir. Qays dilahirkan dalam kabilah Bani Amir manakala Layla Ibnu al-Amiriyah dari Bani (?). Benih-benih cinta antara mereka telah tumbuh sejak awal perkenalan lagi.

Namun, benih-benih cinta itu telah menjelma menjadi pokok yang subur tetapi "tidak berbuah". Sebaliknya, Layla dikahwinkan dengan pemuda lain, Ibnu Salam. Perkahwinan itu tidak bahagia, kerana Layla tidak mencintai suaminya, bahkan enggan disentuh. Dalam hatinya, yang berhak ke atas dirinya hanyalah Qays.

Halangannya ialah kerana ayah Layla melihat penampilan Qays cukup tidak sempurna, berdasarkan nilai kelompok bangsawan. Sebab kedua ialah keluarga Layla merasa malu apabila kisah cinta Layla dan Majnum tersebar luas, yang ketika itu cinta sebelum berkahwin dan berlaku secara terbuka menjadi sesuatu yang "tidak bermoral".

Qays yang sempurna sifatnya kecewa, lalu memisahkan diri daripada kehidupan normal dan memilih kehidupan baharu dengan bertemankan binatang buas di hutan. Penampilan dirinya semakin tidak terurus, bahkan adakalanya bercakap-cakap dengan apa sahaja yang menggetarkan nuraninya. Pakaiannya compang-camping dan wajahnya kusut masai.

Qays adalah harapan ayahnya, Syed Omri yang merupakan ketua Bani Amir. Pada awalnya, Syed Omri yang memiliki kekayaan, hidupnya terasa kosong kerana tidak dikurniakan seorang anak (makhluk hidup) sebagai pewaris. Namun, Syed Omri tidak henti berdoa, setiap hari dimohon agar dikurniakan seorang anak lelaki sebelum meninggal dunia. Syed Omri sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan zuriat, termasuk membawa isterinya berjumpa tabib dan para alim untuk sama-sama berdoa.

Bagi Syed Omri, "seluruh kekayaan "belum menghibur gundah gulana dan lara hati yang lama terpendam. Hari-harinya dirundung kesedihan dan kepedihan. Kala siang, kesedihan itu menjadi kawan. Kala malam, kepedihan itu berubah menjadi mimpi yang menyeramkan. Puluhan tahun ia mendambakan seorang putera mahkota dari seorang permaisuri yang elok, cantik rupawan. Namun, waktu belum jua memberi jawabnya....ia merasa hidupnya sia-sia, tanpa guna dan tanpa harapan."

Setiap saat Syed Omri berdoa agar suatu hari dikurniakan seorang putera. Putera dari "seorang lelaki yang sudah uzur, sangat diharapkan menjadi pelipur lara...intan permata... belaian jiwa, darah daging dan penerus keturunan."

Akhirnya, Tuhan perkenan doa Syed Omri. Setelah isterinya hamil selama sembilan bulan, lahirlah seorang putera "nan tampan rupawan, laksana bintang kejora di antara bintang-gemintang di langit biru. Kulitnya kemerah-merahan, rambutnya ikal, matanya sebening embun pagi, lesung pipit menambah pesona setiap insan yang menendang."

Bayi itu diberi nama Qays dan Syed Omri semakin bersemangat untuk meneruskan hidup di usia tua "tidak tertarik lagi dengan hobi-hobi yang selama ini ia jalani, misalnya melakukan perjalanan jauh dan berniaga. Tiap detik waktunya hanya dimanfaatkan untuk menimang permata hatinya."

Setelah bertahun menimang putera kesayangannya, Qays yang membesar penuh kasih sayang dan menjadi seorang lelaki yang dapat dibanggakan, ayahnya memasukkan ke sekolah. Qays dimasukkan ke sebuah pusat pengajian dan pengasuhnya adalah kalangan guru terbaik di Jazirah Arab.

Di situlah Qays bertemu dengan seorang gadis yang cantik rupawan berusia belasan tahun. Gadis itu seorang yang cantik menawan, anggun, lembut budi bahasanya dan penampilannya amat bersahaja: " bersinar terang laksana cahaya mentari pagi, tubuhnya bak biola, dan bola matanya hitam laksana mata rusa. Rambutnya hitam tebal bergelombang."

Gadis itu bernama Layla. Setiap lelaki yang memandangnya, "akan gelisah... dan paras nan elok tersebut akan sentiasa terkenang hingga ajal pun tiba. Apa lagi menatap pipinya yang seperti rembulan menerangi gurun Arab, pasti jantung akan berdetak, seperti Zulaikha yang terkesima menatap wajah tampan Yusuf."

Qays sejak pertama kali bersua dengan Layla, jiwanya bergetar (kimia cinta), sehingga membantut hasratnya untuk belajar. Qays jatuh cinta pada mawar jelita, Layla. Qays tidak bertepuk sebelah tangan, kimia cinta Layla ikut mengalir setelah itu. Percintaan mereka berlangsung beberapa ketika, tetapi akhirnya cinta itu tidak kesampaian (jinjang pelamin).

Layla, walaupun sudah berkahwin, tidak pernah membenarkan suaminya menyentuh dirinya, kerana hari dan seluruh jiwa adalah untuk Qais, atau pemuda gila yang sudah menjauhkan dirinya setelah fizikal mereka semakin berjarak. Qais mengetahui batas adab dan adat, tidak cuba mengganggu Layla dan mengharapkan kekasihnya bahagia dengan suami pilihan orang tuanya. Namun, antara mereka "hubungan cinta" tidak pernah terpadam, bahkan semakin bergolak dalam hati masing-masing.

Setelah beberapa bulan bernikah, Layla tetap dengan "jalan cinta" dan "kesetiaan" kepada Qais. Suatu hari, Layla menulis sepucuk surat, yang menceritakan segalanya yang berlaku, termasuk emosinya yang masih kental "setia", dengan harapan dapat kembali bersama Qais.

"Aku tahu, kau belum terlepas dari belenggu, kau sulut sendiri ladangmu dan kau serahkan dirimu hanya untukku. Segala olok-olok, kesengsaraan, penderitaan kau pikul sendiri. Namun, apalah erti dari semua itu bagimu, bagiku?

"Kita tetap bersama walaupun tidak dekat. Kita tetap setia walau aku hanya boleh merasakan apa yang sedang kau lakukan. Dengan segenap cintaku, kita selalu ada bersama. Katakan padaku! Dengan siapakah kau bahagia? Walaupun aku terpisah darimu, meskipun aku jauh darimu, aku tetaplah di sisimu.

"Benar adanya aku sudah bersuami. Hanya seorang suami, bukan kekasih, kerana tak pernah ku biarkan ia menyentuhku barang sedikit pun! Hari-hariku terasa begitu sesak, tapi tiada seorang pun yang dapat merenggut berlianmu ini.

"Percayalah! Kan kujaga cinta ini tetap suci dari noda, seperti kuncup bunga yang tidak pernah mekar. Dengan putus asa suamiku menungguku di depan pintu, yang tak akan pernah kubuka untuknya selamanya...

"Cintaku, betapa aku berharap kita membangun mahligai bersama di dunia ini! Tetapi, mereka menolak penyatuan kita. Apakah itu salahku? Aku tidak mampu melawan tiupan badai yang begitu besar dan aku terhempas olehnya. Oh Sayangku, hatiku yang tidak mampu membuatmu bahagia menangis sedih atas nasib yang menimpa kita ini.

"Sayangku, kirimlah aku satu duri yang berada di jalan setapakmu, sebab ia akan menjadi mawar yang merekah di taman jiwaku. Kirimlah aku sehelai rambutmu, kerana itu darimu mewakili seluruh isi dunia ini.

"Wahai, yang dikirimkan Allah untukku, Khidir-ku, di mana kau menapak jejak, gurun pasir gersang akan merelakan bunga-bunga. Akulah rembulan yang melihatmu dari kejauhan, yang menerima sinarmu, oh matahariku. Jadilah air kehidupan abadiku."

Seluruh kisah cinta tidak kesampaian itu saya kutip hasil karya Syeikh Nizami Ganjavi, Layla Majnun: Kisah Cinta Mengguncang Dunia, saduran dari versi bahasa Inggeris, The Classic Love Story of Persian Literature oleh Ummu Kusmawati dan Lathifatul Izzah, Yogyakarta: Diva Press, 2023. Versi tulisan Nizami Ganjavi merupakan versi yang popular dan paling banyak dibaca kerana bahasanya cukup puitis dan mudah difahami

Apa hubungan petikan itu, kisah cinta tidak kesampaian Layla dan Majnum dengan Jalaludin Rumi? Ada beberapa hubungan yang dapat saya ambil setelah selesai membaca buku Maulana Jalaludin Rumi: Biografi, Karya-Karya, dan Perjalanan Spiritual Maulana Jalaludin Rumi karya Aulia Rahmat SM terbitan terbaharu Khazanah Pedia, Yogyakarta, Indonesia (2026) yang cukup menarik ini.

Buku setebal 430 halaman ini cukup menarik "ghairah membaca" sehingga saya terlupa dengan bacaan saya sebelumnya, yang sudah saya baca sepenuh, iaitu buku yang memerihalkan persoalan masa depan geopolitik dunia Islam, khususnya Timur Tengah yang ditulis oleh Ustaz Rohidzir Idris, Revolusi Arab 1916-1918: Gerakan Yang Mengubah Geopolitik dan Peta Timur Tengah dan Dunia Islam, terbitan Sinar Azhari Resources, Port Dickson (2026) yang lebih tebal (564 halaman).

Tulis Ustaz Rohidzir, buku tulisannya ini adalah "teks wajib bagi subjek Geopolitik di Sekolah Islam Sinar al-Azhar (SINAR)." Ia dibangunkan atas hadapan para pelajar "perlu dididik membaca berita semasa dengan ingatan sejarah yang panjang. Mereka mesti mampu membezakan antara fakta dan propaganda, antara sekutu dengan saudara, antara kemerdekaan pada nama dengan kedaulatan yang sebenar, dan antara kesatuan yang hidup dengan kesatuan yang hidup dengan kesatuan yang hanya disebut dalam ucapan."

Saya lebih berminat membaca Maulana Jalaludin Rumi terlebih dahulu sehingga selesai. Buku yang saya baca sebelumnya (Revolusi Arab), masih dapat saya teruskan dan kalau tiada halangan, insya Allah akan selesai sebelum berakhirnya bulan November. Penangguhan itu bukan kerana ia cukup tebal, tetapi saya mudah jemu kerana atur hurufnya yang terasa cukup padat dan meletihkan mata biarpun isinya "bagus". Mungkin kerana usia saya, yang sudah menjengah 70.

Kenapa saya memetik petualangan cinta Layla dan Majnum bagi melayari sedikit perkongsian yang saya peroleh tatkala selesai membaca buku Maulana Jalaludin Rumi karya Aulia Rahmat? Saya memetiknya kerana Layla dan Majnum mewakili kisah cinta antara manusia yang tersohor dan menjadi ilham kepada banyak penulis besar termasuk William Shakespeare ketika menulis Romeo and Juliet.

Saya mengambil secebis kisah cinta Layla dan Majnum kerana dalam karya Rumi, cerita itu dikisahkan dengan cukup berkesan dan kemudiannya menjadi kerangka analisis falsafah cinta dan Cinta dalam bingkai sufistik (tasawuf), yang menjadikan puisi-puisi Rumi cukup dikenali. Untuk memahami puisi-puisi Rumi bukan satu perkara mudah, kerana di dalamnya cukup mendalam pengalaman batin. Rumi menulis dalam bahasa cinta yang mistik dan di luar nalar biasa, ia memasuki makna batin.

Apa pun, yang lebih mendekati pemahaman saya tentang falsafah cinta Rumi ialah memahami terlebih dahulu "jalan cinta" Layla dan Majnum. Mereka memiliki "jalan cinta" yang mudah dihayati dan ditelusur berbanding "Jalan Cinta" Rumi yang dikumpulkan dalam pelbagai puisi dan kumpulan ceramahnya. Pemikiran Rumi cukup dalam, sehingga kita terpaksa memahami gejolak batin seorang manusia yang telah mengubah perspektif "jalan cinta" yang sementara (percikan nafsu) menjadi "Jalan Cinta" abadi dan mendekati makna tauhid.

Jadi, sebab cinta itu hadir dalam setiap jiwa manusia yang sempurna sifatnya, maka ia menjadi mudah untuk mengerti "apa itu cinta dan Cinta, bagaimana merasai cinta dan Cinta, dan ke mana cinta dan Cinta itu akan pergi." Maksud "cinta" adalah hubungan kasih sayang antara manusia, manakala "Cinta" ialah hubungan dan kedekatan diri dengan Allah SWT, kerana Dialah kita lahir dan diberikan kesempatan menjalani hidup, dengan kasih sayang-Nya kita menikmati segalanya dan dalam rahmat-Nya kita dijaga "selamat dan sejahtera".

Kita tahu, dalam dunia tasawuf untuk memahami makna Cinta ia bukanlah satu hal mudah, bahkan kadangkala boleh menyebabkan khalayaknya tersasar jauh dari maksud sebenar. Kerana itulah beberapa puisi Rumi mengalami "hakisan nilai dan makna Cinta" apabila para pengagumnya lupa secara sengaja atau merancang untuk melepaskan ikatannya dengan keyakinan terhadap tauhid, dan mengambilnya dalam maksud bebas daripada bingkai agama. Itulah yang dilakukan oleh segelintir pencari makna cinta dalam kalangan orientalis dan pemuja "agama tiruan" yang digelar New Age.

"Agama tiruan" hanya melihat sesuatu yang bersifat universal tetapi menyahkan kehadiran Tuhan dalam kehidupan mereka, kerana bagi mereka, jejak-jejak spiritual itu tidak ada hubungan langsung dengan agama, ia sebagai satu amalan psikologis sekadar mengisi kekosongan yang berlaku. Merekalah yang kemudiannya memintas kerangka agama dengan metod yang dibuat dengan acuan "memenuhi kekosongan" melalui "healing", "meditasi", mengambil bentuk "yoga" dan sebagainya. Bagi mereka, agama tidak penting, tetapi pemenuhan spiritual itu adalah penting sebagai jawapan kepada kekalutan hidup dalam zaman moden yang penuh dengan prasangka, ketidaktentuan arah dan kemenangan material.

Tidak kurang juga metod-metod pemenuhan spiritual itu diperdagangkan seluas-luasnya dalam bentuk "pasar mistik", latihan olahan jiwa untuk memenuhi hasrat mencapai kebahagiaan dan ketenangan, dengan mengambil unsur-unsur daripada kehebatan sufi dan ajaran mistik yang dipelajari daripada masyarakat timur. Akhirnya, kejernihan nilai dan makna tercabut daripada akarnya, termasuklah ajaran-ajaran Rumi semakin luas dieksploitasi di "Mystical marketplace". (misalnya, kajian Sophia Rose Arjana, Buying Buddha, Selling Rumi: Orientalism and the Mystical Marketplace, London: Oneworld Publications, 2020).

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com