TOK SELEHOR: BIOGRAFI ULAMA REFORMIS YANG MEMAGAR AKIDAH ISLAM (IV-AKHIR)
Tentunya tidak lengkap memerihalkan Tok Selehor tanpa menilai perubahan-perubahan atau pembaharuan yang dilakukan sepanjang hayatnya sebagai seorang ulama. Sebagaimana diceritakan, Tok Selehor menghabiskan masa yang panjang untuk menuntut ilmu, yakni hampir suku abad (25 tahun): 7 tahun di Patani dan 18 tahun di Mekah.
Semasa belajar di Mekah, beliau belajar dengan beberapa orang ulama yang berasal dari Patani yang banyak menghidupkan kaedah bertalaki di anjung masjid. Ulama-ulama tersebut bukan sahaja sebagai pemudah cara, oleh sebab ada hubungan psikologi dan kedekatan lokasi yang melatarbelakangi menjadi "minat untuk berguru".
Hal ini telah dibuktikan oleh beberapa catatan sejarah, kenapa pelajar-pelajar Tanah Melayu lebih memilih bergurukan ulama yang ada kaitan dengan Patani manakala para pelajar dari Indonesia cenderung memilih guru-guru mereka yang ada kaitan sejarahnya dengan Indonesia.
Mereka berasa ada kedekatan (proximity) dan cukup senang kerana ada persamaan budaya, bahasa dan sejarah sedikit sebanyak. Bahkan, ada rekod mengatakan pengajian di sana banyak didominasi oleh Bani Jawi (guru dan pelajar dari Alam Melayu) manakala di Madinah, banyak dikuasai oleh pelajar dan guru yang berasal dalam naungan wilayah Arab (Yaman, Israk, Syria dan Arab Saudi sendiri). (Ahmad Fathy al-Fatany, Ulama Besar dari Patani, Bangi: Penerbit UKM, 2002; Farid Mat Zain, et.al., Ulama Patani: Ketokohan dan Keilmuan, Bangi: Penerbit UKM, 2016; Adhi Maftuhin, Sanad Ulama Nusantara, Depok, Indonesia: Sahifa Publishing, 2018; dan William R Roff, Studies on Islam and Society in Southeast Asia, Singapore: NUS Press, reprint 2005).
Antara nama-nama besar yang menjadi guru dan pembimbing Tok Selehor ialah Syeikh Wan Ahmad Wan Muhammad Zain al-Fathani (ada hubungan darah dengan Bani Hashim, dan Quraisy); dan Syeikh Wan Daud Mustafa al-Fatani (bapa saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fatani, yang terkenal dengan kitab Munyatul Misali. (Transliterasi tulisan jawi ke tulisan rumi oleh Norainie Abu, Idaman Orang Yang Sholat, Batu Caves: Al-Hidayah Publisher, 2010, dan beberapa edisi terjemahan dan syarahan yang lain).
Menariknya lagi, setiap apa yang dipelajari oleh Tok Selehor semuanya akan dicatat sebagai "bahan pengajian" yang kemudiannya menjadi "khazanah ilmu" tatkala kembali ke tanah air. Tok Selehor kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1921, dan terus membangunkan sebuah pusat pengajian ilmu-ilmu Islam sebagai permulaan dakwah dan menyemai akidah Islam.
Catatan yang menjadi khazanah Tok Selehor pernah dirujuk oleh rakan karibnya, Tok Kenali bahkan Tok Kenali cukup menghargai sumbangan tersebut. Oleh kerana Tok Selehor cukup berminat dengan genre sastera, terutama syair, Tok Kenali memanggilnya sebagai "Penyair Kita" (hal.87).
Selain mempunyai bakat kreatif, Tok Selehor juga mempunyai suara yang merdu, dan kerana itulah setiap kali beliau melantun syair-syair (berzanji) di majlis sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW, sangat berkesan dan kedengaran mendayu-dayu. Mengingat sambutan kelahiran Rasulullah SAW, Tok Selehor akan diingati sebagai pelopor yang telah menempa sejarah, memperkenalkan sambutan itu secara besar-besaran.
Sebelumnya, ada yang beranggapan menyambut tarikh kelahiran sebagai bida'ah, sedangkan bida'ah itu tidak semuanya wajib ditolak. Ada bida'ah yang digalakkan, misalnya mengingati hari kelahiran Rasulullah adalah satu tindakan dalam mengingati sejarah dan perjuangan baginda dalam dakwah.
Walaupun semasa hayat Rasulullah SAW, sambutan hari kelahiran tidak pernah diraikan, ia dilihat "tidak ada keperluan" kerana para sahabat dan umat Islam sentiasa boleh bertemu serta bertentangan mata dengan baginda.(hal.151).
Namun selepas wafatnya baginda, para ulama merasakan ia menjadi suatu keperluan, dalam keadaan populasi umat Islam semakin berserakan di serata pelosok, jauh dari Madinah dan Mekah, usaha membaca, menghayati dan mengenang kembali sejarah perjuangan Rasulullah SAW dilihat sangat perlu dilakukan.
Atas keperluan itulah lahirnya sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji, garapan Syeikh Jaafar al-Barzanji, yang turut mengandungi sirah Rasulullah SAW sebagai motivasi "membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya." (hal.152).
Ia bukan sahaja perlu dilakukan oleh diri sendiri, malah keperluan melakukan secara beramai-ramai dilihat sebagai "taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan" (hal.152).
Permulaan yang dilakukan oleh Tok Selehor tetap mendapat reaksi pelbagai, tetapi jiwa kental Tok Selehor telah menjadikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan rasional melakukannya secara beramai-ramai (berarak dari satu lokasi ke sebuah lokasi sambil berselawat) telah menarik perhatian umum.
Hari ini, sambutan Maulidur Rasul telah diraikan dan mendapat perhatian kerajaan serta diterima sebagai majlis rasmi keagamaan (cuti umum). Tidak sekadar perarakan dan berselawat, malah ditambah dengan siri penghargaan kepada tokoh dan orang perseorangan yang berjasa, termasuk bukan rakyat Malaysia.
Sambutan Maulidur Rasul dimasukkan dalam "adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan daripada membiarkan hati-hati berlaku dengan kelekaan duniawi" (hal.173). Jika niatnya jelas, cenderung kepada peningkatan penghayatan sirah, para ulama ikut memutuskan bahawa ia adalah satu keperluan, tetapi jika berunsurkan "pemujaan seseorang" tindakan tersebut perlu dihalang.
Ini kerana dalam ajaran Islam tidak ada konsep pemujaan dan kultus peribadi sebagaimana berlaku dalam budaya kuno sehingga memunculkan watak atau karakter dewa-dewi. Misalnya, Islam menolak upacara mengingat Hari Kekasih (Valentine Day) kerana ia berlandaskan nafsu dan kegilaan terhadap seseorang sehingga hilang batas daripada hakikat fitrah untuk apa manusia diciptakan. Ia merupakan pemasukan nilai kapitalisma yang berpaksikan budaya kepenggunaan (consumerism).
Begitu juga dengan perayaan Halloween yang turut disertai oleh muda-mudi Islam, kerana selepas kematian ulama-ulama besar, pemugaran akidah Islam menjadi semakin bersimpang siur, termasuklah proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih cenderung memenuhi kapitalisme yang menganggap lepasan sekolah sebagai sumber tenaga manusia separa atau sepenuhnya terlatih, untuk memenuhi tuntutan industri dan budaya konsumerisme.
Ketika ini, masyarakat kembali menyoal apakah sistem pendidikan bertujuan "mencetak pekerja" atau melahirkan insan yang berbudi pekerti? Walaupun muncul pelbagai kajian, telahan dan pandangan, kerosakan sistem pendidikan terus dilihat menyumbang kepada pelbagai isu sosial, jenayah dan ketidakadilan sosial, kerana inti pendidikan menjauhi hakikat "manusia suci"; apa yang dikejar ialah "manusia bijak dan pandai", biarpun kosong nilai ruhaninya.
Pendidikan lebih mengutamakan ilmu bantu (teknik), bukan ilmu yang dapat membangun jiwa dan sahsiah. Fakta ilmu lebih bersifat spekulatif dan emperis, bukan menuju kepada kebenaran. Sedangkan dalam sejarah Islam, kita didedahkan lahirnya tokoh-tokoh dan cendekiawan yang digelar polymath, dan hal itu sukar dicapai dalam sistem pendidikan moden. Tokoh ilmuan Islam yang dikategorikan sebagai polymath (menguasai ilmu agama dan pelbagai ilmu teknik) antaranya Ibnu Sina, al-Kindi, Al-Idrisi, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi dan al-Biruni.
Penegasan tersebut merupakan rumusan yang saya dapat tatkala membaca buku Tok Selehor: Waliullah Dunia Akhirat, kerana di dalamnya ia bukan sahaja membincangkan pola pendidikan pondok, ia ikut mengantarkan setiap para pelajar kepada mempraktikkan apa yang dipelajari. Benarlah kata Imam al-Ghazali, ilmu tanpa amal adalah suatu kebodohan, amal tanpa ilmu adalah suatu kesesatan.
Ilmu dan amal wajib berpadu, kerana dengan ilmu itulah yang akan memandu manusia mengenali "yang hak dan yang batil", "yang baik dan yang buruk" walaupun ramai yang berpendapat, dunia sekarang bukan sekadar "putih dan hitam", di tengah-tengahnya ada "benang merah". Sebenarnya, siapakah yang menciptakan "benang merah"?
Pencipta "benang merah" ialah mereka yang sangat memuja kepada idealisme dan falsafah kebendaan, stoikisme, nihilisme dan cuba menidakkan hakikat ketuhanan. Mereka cukup menganggap akal adalah segala-galanya sedangkan Islam, setiap tafsiran oleh akal perlu dilihat apakah selari dengan wahyu, sunnah dan pandangan para ulama yang meletakkan sesuatu berdasarkan ijtihad yang luhur dan benar.
Para ulama terdahulu tidak cuba mencari kekayaan dan populariti, tetapi mereka berjuang dengan semangat dakwah, menegakkan keyakinan terhadap ilmu-ilmu Islam berdasarkan lunas yang benar dan mengikut pandangan yang sesuai terhadap sesuatu yang dikhaskan kepada manusia untuk menyelesaikannya, yakni yang bersangkutan dengan budaya dan amalan hidup dalam hakikinya adalah satu kaedah, menjadi "manusia suci dan bertakwa."
Biarpun buku ini ada kelemahan, seperti pengulangan naratif, sehingga saya menganggap ia sebagai "kumpulan cerita" yang hendak disambungkan setelah dilatari oleh masa penceritaan yang berbeza. Mungkin telahan saya itu salah, tetapi itu adalah kesan sepanjang menghayati karya ini, yang kadangkala melihat secara luaran tanpa memberikan tumpuan yang mendalam aspek dalam diri tokoh terbabit.
Saya kira, biografi ini akan menjadi lebih menarik sekiranya pemikiran, olahan kata-kata dan ingatan para murid Tok Selehor dicungkil sedalam-dalamnya untuk menggambarkan inti falsafah pendidikan yang dilaksanakan. Jika itu berjaya dilakukan, buku ini akan menjadi lebih menarik dan mendekati sifat dan nilai sebuah biografi yang berkesan.
Walaupun kekurangan tersebut, saya harus memberikan pujian kepada mereka yang berusaha untuk menulis dan mengumpul maklumat untuk menaskhahkannya menjadi sebuah buku. Ia bukan sahaja sebagai rakaman sumbangan dan imbasan sejarah, boleh juga membawa pembaca menyelami beberapa kutipan, pandangan dan natijah tentang apa yang dilakukan oleh Tok Selehor dalam memagar akidah umat Islam yang berjaya dijangkau dalam tempoh hampir 15 tahun sebagai pendidik.
Dan, dalam masa yang sama, saya tetap melihat Tok Selehor telah berjaya berikan sumbangan yang besar dalam "memagarkan akidah Islam", sehingga kini namanya dikenang sebagai seorang tokoh pendidik dan ulama yang karismatik dan berjaya memekarkan syiar Islam semasa hayatnya.
Secara jujurnya, Tok Selehor menepati makna "seorang ulama" yang menggunakan ilmunya untuk mendidik jiwa insan agar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan peradaban. Walaupun ada orang melihatnya tidaklah sebesar jasa seorang elit politik, Tok Selehor akan dikenang membawa kesan yang cukup berharga terhadap kebangunan umat dan pencerahan jiwa, atau hati nurani. Membersihkan hati menjadi hal yang cukup banyak memanfaatkan waktu, dan kreativiti kerana dari hati yang bersihlah akan lahirnya "insan yang suci", jauh daripada nilai-nilai bobrok dan keserakahan diri.
"Ulama adalah ahli ilmu. Ahli ilmu adalah penjaga amanah Allah SWT di muka bumi." Jadi, jika ada mereka yang berilmu tetapi tidak amanah, maka dirinya bukanlah boleh dipanggil ulama sejati.
Wallahu a‘lam
KAMARUN KH
