KEMBARA KEROHANIAN MUHAMMAD ASAD (AKHIR)
Muhammad Asad pernah mempersoalkan kewajaran Zionis untuk menjadikan wilayah-wilayah yang pernah dinaungi oleh Empayar Utsmaniah sebagai mitos ‘Tanah Yang Dijanjikan’, yakni ketika berbahas dengan Dr Chaim Weisseman dalam satu pertemuan di Jerusalem. Zionis akan melakukan apa sahaja ‘penipuan sejarah’ demi mencapai matlamatnya membentuk sebuah negara haram di Palestin, jelas Muhammad Asad:
” ...beberapa idea romantika dan salah faham; dan jika dia benar-benar jujur, mereka terpaksa mengakui bahawa mereka tidak tahu apa-apa tentang Arab,…Zionis tidak berminat untuk memberikan perhatian tentang fakta bahawa Arab adalah majoriti di situ; tidak juga mereka hiraukan pertentangan masyarakat Arab terhadap Zionisme
“….Deklarasi Balfour 1917, yang menjanjikan orang Yahudi sebuah ‘tanah air kebangsaan’ di Palestin, aku lihat satu tindak licik politik zalim yang direka untuk menyemai prinsip lama yang lazim bagi semua kuasa kolonial, ‘pecah dan perintah’
“…..Walaupun aku seorang Yahudi, aku dari awal membantah keras Zionisme. Selain dari rasa simpati peribadi aku terhadap Arab, aku menganggap ia sebagai tidak bermoral, mengambil kira tujuan golongan pendatang yang dibantu oleh Kuasa Besar asing, bersama niat jelas untuk menguasai majoriti penduduk, merampas tanah yang telah lama menjadi tempat tinggal mereka untuk tempoh yang cukup lama. Dengan itu, aku lebih cenderung untuk menyebelahi orang Arab bila mana persoalan Yahudi-Arab dibakgkitkan – yang pastinya kerap berlaku. “ (Jalan ke Mekah, hal. 92-94).
Sikap itu termasuk ketegaran hasrat dan dominasi pemikiran yang cuba diindoktrinasikan oleh Dr Chaim Waisseman, pemimpin gerakan Zionisme yang tersohor, yang sejak kekalahan Utsmaniah berulangkali memasuki Palestin untuk merencanakan langkah membawa masuk imigran Yahudi, menterbalikkan komposisi demografi dan merangka pembentukan Israel.
Petikan itu sebagai gambaran sikap dan pendirian Muhammad Asad, beliau yang ketika itu masih belum bersyahadah, tetapi sudah memiliki pemikiran yang cukup berbeza dengan sekompok kaum sebangsa dan seagamanya, dalam memperkatakan perihal Palestin dan penipuan sejarah yang berlaku untuk membolehkan masyarakat dunia bersimpati dengan Zionisme yang mendakwa dizalimi (hidup dalam situasi diaspora), dan sebagai satu bangsa tanpa tanah air.
Mitos yang diciptakan sejak akhir Abad ke-19, masih kekal dipropagandakan hingga kini. Perihal Mitos kenapa negara haram Isreal perlu ditubuhkan dapat dibaca dalam, Ilan Pappe, Tenth Myths About Israel (2017) dan Roger Garaudy, The Founding Myths 0f Modern Israel, (2000). Menariknya, kedua-dua pengarang itu adalah keturunan Yahudi yang sangat bencikan Zionisme.
Roger Garaudy (ahli akademik dan falsafah Perancis, lahir 17 Julai 1913 di Marsaille) akhirnya memeluk Islam (1982 dan menukar namanya kepada Ragaa. Meninggal dunia pada 15 Jun 2012 dalam usia 98 tahun). Illan Pappe (lahir di Haifa, Israel pada 7 November 1954) walaupun mendapat pendidikan di Israel (sehingga ijazah pertama) melihat tindakan Israel dalam konteks settler-colonalism cukup membingungkan dan akhirnya beliau membuat keputusan menyelarnya. Kini beliau menjadi salah seorang tokoh akademik Britain-Israel yang lantang mengecam dasar Tel Aviv dalam tindakannya memenjarakan Palestin dan genosid.
Itu persoalan yang bersifat politik, bukan ruang dan bahan kajian Salsabila Rosli. Saya hanya cuba menyentuh perihal banyaknya perkara yang dibincangkan oleh Muhammad Assad dalam catatan perjalanannya (autobiografi atau dalam istilah sekarang dikenali sebagai tavelog) ini, yang Salsabila kategorikan sebagai novel autobiografi (PRSY, hal.21).
Saya hanya boleh mentafsirkan (menerima) bahawa istilah ‘novel autobiografi’ kerana di dalamnya terdapat ungkapan-ungkapan yang bersifat imaginasi, yang hadir setelah seseorang itu tertekan, hadapi masalah dan menjentik memori sama ada pengalaman sebenar, pengalaman yang dipinjamkan mahupun pengalaman khayali.
Ertinya, ada unsur-unsur fiksyen dalam penulisan tersebut, yang hadir dalam pelbagai situasi ‘berkhayal’ mahupun ‘sudut pandangan’ yang berasaskan rasional akal atau ‘kata hati’. Sayangnya, saya tidak melihat apa yang digambarkan oleh Muhammad Asas dalam travelog ini sebagai sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai fiksyen, kerana ada asasnya dan cukup bukti ia bukan ‘cerita rekaan’.
Itu tanggapan pertama saya, yang mungkin saya tidak bersetuju apabila Salsabila menganggap JKM sebagai novel autobiografi. Mungkin kerana Muhammad Asad pernah bayangkan ‘emosi’nya ketika sesat dan terjatuh daripada kuda semasa mengembara di padang pasir, yang turut menyebabkan ‘rasa sakit’ dan ‘seram’.
Period kembara dalam travelog ini menjangkau masa sekitar 23 hari di padang pasir Arab Saudi, yang disifatkan oleh Ahmad Nabil Amir dalam Kata Pengantar mengimbas catatan Asad sebagai:
“Dan di sinilah ia: bukan kisah tentang seluru kehidupan aku, tetapi hanya dari tahun-tahun sebelum aku meninggalkan tanah Arab ke India – tahun-tahun yang mengasyikkan itu yang dihabiskan dalam penjelajahan mengharungi hampir seluruh negara-negara antara Gurun Libya dan puncak Pamir yang berselimut salju, antara Selat Bosporus dan Lautan Arab. Ia diceritakan dalam konteks dan, harus diperhatikan, dari jenjang waktu dari perjalanan padang pasir aku dari pedalaman Tanah Arab ke Mekah pada akhir musim panas dari 1932; kerana sepanjang dua puluh tiga hari itulah di mana pola dari kehidupan aku sepenuhnya menjadi ketara kepada diriku.” (JKM, hal. xxi)
Dalam membicarakan buku kajian ini (PSRY, Pengembaraan Kerohanian Si Orientalis Yahudi), kita diberikan suatu kerangka yang cukup menarik oleh pengarang, bagaimana mereka menterjemahkan pemikiran, emosi dan pengetahuan Muhammad Asad tentang pengalaman spiritualnya sebagai seorang mualaf, yang kemudiannya menjadi seorang yang cukup bernas pemikirannya, sama ada dalam perihal pemenuhan kerohanian dalam diri, perubahan sikap dan tingkah laku masyarakat Islam untuk membina pemikiran yang bertepatan dengan makna al-Qur’an dan as-Sunnah.
Juga, perilaku yang perlu direvolusikan dalam kerangka pemerintahan selaras dengan kehendak Islam, dan paling menarik ialah mengkritik pemimpin-pemimpin Arab yang semakin terpedaya dengan peradaban barat sehingga tidak ada ‘kesatuan’, termasuk dalam persoalan membebaskan (sejarah sebenar) Palestin.
Sampai kini, persoalan ini menjadi suatu ‘nasib malang’ yang tidak berubah kepada keutuhan tekad dan keringat. Dan, Muhammad Asad. “berusaha memahami sifat, sebab dan pemulihan keterasingan rohani manusia moden”, kutip Salsabila Rosli, “Islam telah masuk ke lubuk hatinya seumpama seorang pencuri memasuki rumah, bezanya Islam (si pencuri) tidak pernah keluar dari hatinya.” (PKSY, hal. 14).
Dalam menilai secara umum JKM. Salsabila Rosli mengutip pendapat Abraham Rubin dalam tulisannya (2016): Setelah mengundurkan diri daripada jawatan diplomatik beliau sebagai duta besar Pakistan ke PBB….Muhammad Asad mengabdikan diri untuk menulis karya autobigrafinya. Karya Road to Mecca memperoleh banyak penghargaan pada tahun 1954
“…Karya autobiografi berliau dipenuhi dengan bahasa simbolik penegasan diri orientalis Yahudi yang mencirikan pencarian generasinya untuk definisi baru diri Yahudi..” (PKSY, hal. 15 dan 16).
Oleh kerana asas sesebuah novel dilihat daripada ‘imaginasi’ maka Salsabila berusaha menerangkan kaitannya dengan pemikiran Muhammad Asad, di mana dijelaskan bahawa imaginasi sebagai ‘kemampuan untuk membentuk gambaran mental, petikan fonologi, analogy atau naratif mengenai sesuatu yang dirasai melalui pancaran manusia.” (PKSY, hal.17).
Bagi seorang ahli sufi, Fakharudin Razi (Muhammad bin Umar bin al-Husayn al-Razi al-Bakri, 1148/1149-1210), membahagikan pola pemikiran dalam tiga bentuk (kelazatan dalam perspektif ilmu kalam): .kelazatan indera (zahir), kelazatan aqli dan kelazatan khayali. (Fakhruddin al-Razi, Risalah Tentang Kelazatan Yang Tercela, terjemahan daripada Risalah Dzam Ladzat al-Dunya oleh Mohamad Hilmi Marjunit, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Books Sdn. Bhd,. Cetakan kedua, 2024 (dirujuk sebagai al-Razi).
Tentunya, imaginasi itulah yang menjadi gambaran mental, yang boleh disamakan dengan ‘kelazatan khayali’ dalam pandangan al-Razi. Kata al-Razi, kelazatan khayali ialah “kuasa serta pelaksanaan kata-kata, arahan dan tegahan” (al-Razi, hal. xviii) dan setelah itu ia akan naik ke peringkat tertinggi, kelazatan aqli “ harapan untuk mengecapi kebahagiaan selari dengan kemampuan manusia.” (al-Razi, hal. xviii).
Ini bermakna, perspektif pemikiran Muhammad Asad secara keseluruhannya berada dalam dua kontinuum pemikiran (bukan dikotimi), yakni kelazatan khayali dan kelazatan aqli. Itulah sebabanya pemikiran Muhammad Asad dianggap sebagai bentuk pembaharuan yang bukan hanya bersandarkan imaginasi semata-mata, berhujung dengan realiti dan masa depan kerana dirinya cukup memahami kehendak Islam (al-Qur’an dan as-Sunnah).
Pada pandangan Salsabila Rosli, imaginasi (seperti dikutip berdasarkan teori) terbahagi kepada tiga: represantasi mental (constructive imaganing), tafsiran mental (attitude imaging) dan imaginasi khayalan (imagistic imaging) atau secara umumnya sebagai “kemampuan minda atau hati membentuk idea, gambar atau konsep baharu yang tidak melibatkan sensasi deria.” Maknanya, ada beberapa paradoks yang boleh kita kumpulkan dalam beberapa insiden yang dihadapi oleh Muhammad Saad dalam JKM, termasuk imaginasinya mengenai ‘pengetahuan angin di padang pasir’ , ‘saat dirinya terjatuh daripada kuda’ dan ‘sesat mencari arah’ bagi mendapatkan semula ‘apa yang hilang’ atau ‘terpisah’.
Saya petik salah satu catatan Muhammad Asad (perbandingan peradaban), yang boleh dikaitkan dengan imaginasi (teks terjemahan IRF): Semua nilai etika yang menjadi kebiasaan Eropah untuk kurun-kurun telah remuk akibat apa yang berlaku antara 1914 dan 1918., menyelubungi – satu isyarat pergolakan sosial dan intelektual yang menyebabkan seseorang meragui kesinambungan keamanan dalam minda dan gerak kerja.
“Segalanya seolah mengalir dalam limpahan air bah, dan rohani para pemuda yang kepenatan tidak temui tempat untuk berlabuh. Dalam ketiadaan sebarang sebarang laras moral yang berwibawa, tiada siapa yang boleh memberi jawapan yang memuaskan kepada banyak persoalan memusykilkan kami. Kata sains. “kognisi adalah segalanya’ – dan terlupa bahawa kognisi tanpa matlamat etika itu hanya membawa kepada kacau bilau.
“Para reformis sosial, revolusioner, pejuang komunis – yang semua tanpa diragui mahu membina dunia yang lebih baik dan bahagia- hanya memikirkan tentang keadaan zahiriah, sosial dan ekonomi; dan bagi menutup lohong itu, mereka mengangkat ‘gambaran materialistic sejarah’ kepada sejenis metafizik anti metafizik baharu.
“Agamawan tradisional pula mengenali zat-zat Tuhan semata-mata berdasarkan kaedah mereka sendiri, yang telah lama menjadi begitu kaku dan hilang maknanya; dan bila kami orang muda melihal perihal ketuhanan itu benar-benar bertentangan dengan apa yang berlaku di dunia sekitar kami, kami beritahu diri kami sendiri: ‘Kekuatan takdir ternyata berbeza dari perihal yang disandarkan kepada Tuhan; maka –Tuhan tidak ada.
“Hanya sebilangan kecil sahaja yang sedar bahawa kekeliruan ini kemungkinan berpunca dari sikap berwenang-wenang para pembela agama yang menganggap diri mereka berhak untuk ‘mendefinisikan’ Tuhan dan, dengan menyarung jubah mereka pada Tuhan, memisahkan Tuhan dari manusia dan takdirnya.” (JKM, hal. 59-60).
Di antara kenyataan-kenyataan itu, ia hadir dalam bentuk telahan (berdasarkan pengetahuan dan kata hati), Muhammad Asad menggambarkan bahawa: (1) pergolakan sosial dan intelektual yang menyebabkan agama terpinggir; (2) disebabkan materialisme menguasai, kehidupan menjadi sangat lelah dan lemah (kekosongan rohani dan spiritual); (3) kemunculan agamawan yang hanya melihat mereka sahaja betul dan benar (seperti kuasa atau autoriti gereja); dan (4) pemikiran jumud dalam kalangan agamawan trdisional, yang menyalahkan kehendak (semangat) zaman, kerana tidak sanggup membuat tafsiran baharu nilai agama dalam konteks keperluan semasa.
Kalau dalam Islam, hal inilah yang telah membawa kepada perseteruan dan perbalahan sesama Islam, kerana masing-masing mempertahankan tafsiran sendiri adalah lebih baik, dengan mendakwa, apa yang mereka putuskan itu paling layak dan benar, misalnya perseteruan antara Sunni dan Syiah. Namun, perseteruan sedemikian tidak menjadi ulasan yang dibincangkan secara meluas oleh Muhammad Asad dalam JKM.
Walhal kita tahu, pada period Abassiyah, dua aliran pemikiran inilah yang bukan sahaja memecahbelahkan umat Islam, bahkan telah menjadi perbezaan politik yang mengundang pelbagai tragedi, termasuk Tragedi pembunuhan khalifah, para gabenor dan perdana menteri (penguasa wilayah), termasuk Nizam al-Mulk, Utsman bin Affan, Husain bin Ali dan Imadudin Zengi. Muhammad Asad melihat masalah ini (tiada penyatuan dalam kalangan negara-negara Islam) semasa menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi, menjadi antara sebab beliau meninggalkan Arab Saudi berkelana ke India dan seterusnya menjadi sebahagian pemikir dalam pembentukan Pakistan sebagai model negara Islam moden.
Kembali kepada konteks kajian Salsabila Rosli dalam PKSY, yang dinilainya hanyalah dalam konteks teori pemikiran, bukan realiti sosial yang menjadi sebahagian catatan Muhammad Asad dalam JKM. Dua domain teori pemikiran: Freudian dengan psikoanalisa (id, ego dan superego dan Muhammad Yusuf Hasan dengan Sistem Pemikiran Bersepadu 4K (kerohanian, kebitaraan, kesainfitikan dan kekreatifan) menjadi asas pemetaan yang menarik dan perlu diberikan perhatian dalam memahami sejarah pemikiran tokoh-tokoh dan para penulis tersohor.
Teori pemikiran cukup luas diperkatakan, kerana dari situlah para penganalisis boleh mengaitkan bagaimana sesebuah pemikiran mempengaruhi pemikiran selanjutnya. Teori pemikiran itulah juga akan memperlihatkan sedikit sebanyak kecondongan seseorang, termasuk dalam persoalan pemenuhan kehidupan, baik sebagai seorang pemikir ataupun kepimpinan puncak dalam sesebuah organisasi atau pemerintahan.
Namun, kadangkala puncak kepada pemikiran membawa kepada nilai-nilai rigid sehingga membentuk apa yang kita kenali sebagai idealogi. Dalam hal ini, kita tidak temukan pemikiran Muhammad Asad sehingga membentuk ideologi politik yang terpisah dengan agama, termasuk dalam karya teori pemerintahan berdasarkan Islam dalam bukunya, The Principles of State and Government in Islam.
Perbincangan mengenai pola pemikiran Muhammad Asad berdasarkan dua domain pemikiran tersebut menjadi tunjangan dalam dua bab penting (Bab 4 dan Bab 5). Pada bab 4, pengolahan rumusan Salsabila Rosli berkisar dalam konteks pemikiran efektuatif, intelektual, fantasi dan emosi. Dalam bab 5, berada dalam kerangka pemikiran strategik, emosi, mimpi dan rekonstruksi memori.
Namun, keseluruhan kerangka perbincangan yang menarik ini hanya sekadar menemukan ruang teori pemikiran, pengarang tidak memperluaskan perbincangan dalam konteks di luar teks yang dikaji. Ini mungkin kerana kajian yang dibuat hanya berbentuk awalan, dan keperluan akademik pada peringkat sarjana. Ada baiknya jika pola pemikiran Muhammad Asad ini dikembangkan dalam acuan pemikiran dan pengaruhnya baik dalam kehidupan masyarakat Islam dan juga asas-asas yang dapat dikenalpasti daripada pengaruhnya di ranah pentadbiran Pakistan pada peringkat awal.
Umpamanya, Salsabila juga seharusnya dapat menjenguk bagaimana Muhammad Asad boleh berubah pemikirannya terhadap kepimpinan politik Muhammad Asad, dari sebuah negara Islam contoh (Arab Saudi) kepada sebuah negara yang mengecewakan. Awalnya, Muhammad Asad sangat mengharapkan Arab Saudi menjadi penggerak kepada kebangkitan Islam dan semakin berubah setelah minyak dijumpai. Arab Saudi menjadi semakin materialistik.
Atas kebitaraan pemikiran, Muhammad Asad yang lahir dan hidup dalam suasana pergolakan dunia, antara keraguan dan penolakan agama (pemikiran dan peperangan) memberikan nasihat umat Islam jangan terpesona dengan nostalgia (sejarah) kerana ia menghasilkan umat Islam ‘syok sendiri’. Bagi saya, inilah yang patut menjadi bahan kajian yang menarik, sekiranya fikiran Muhammad Asad ingin dikembangkan dalam konteks kebangunan Islam. Saya tidak menemui rumusan sebegini dalam dua domain kajian Salsabila Rosli dalam buku ini walaupun beliau cuba melihat ada pengalaman sejarah yang melekat:
“…mempunyai keunggulan pemikiran yang tidak membias terhadap keagamaan…masih beragama Yahudi, namun pemikiran telus beliau bangun membantah agenda Zionis ….menunjukkan pengetahuan pensejarahan beliau yang mendalam.” (PKSY, hal.62). .
Begitu juga dengan pengetahuan Muhammad Asad mengenai dunia Muslim (domain Informasi Islamik dalam kerangka pemikiran efetuatif), yakni ketika menziarahi Masjid Umayyah (Damsyik) yang melihat pergerakan sholat (ketika itu Muhammad Asad masih belum beragama Islam) itu ‘bermetafora disiplin pergerakan’ seperti “jelmaan Tuhan berada di hadapan jemaah sholat’:
“Dalam barisan panjang dan sekata, berdiri ratusan lelaki di belakang imam yang mengepalai sembahyang mereka, melutut sentuh lantai dengan dahi mereka, dan bangkit semula; semua rentak penuh disiplin, bak askar. Sunyi sepi; bila jemaah berdiri, seseorang dapat mendengar suara imam tua jauh dari dewan jemaah besar, membaca ayat-ayat al-Qur’an; dan bila dia tunduk atau sujud di depan Tuhan seolah Dia dapat dilihat di depan. Itulah detiknya aku sedar betapa Tuhan dan agama begitu dekat dengan orang-orang ini. (PKSY, hal.62; JKM, hal.126).
Juga, bagi Muhammad Asad, Islam bukanlah begitu kelihatan seperti agama (menurut pengertian umum, agama itu adalah sebuah kepercayaan) tetapi ia merupakan jalan kepada kehidupan. Di situ letaknya perbezaan yang ketara dalam pemahaman manusia tentang agama dan Muslim tentang Islam. Dalam peradaban barat, agama hanyalah hal yang bersifat sangat peribadi ketimbang masyarakat Muslim, agama menjadi suatu cara hidup yang berusaha mengawal manusia agar menjadi lebih berakhlak dan memberikan manfaat kepada seluruh kehidupan, yang kita kenali dengan ungkapan rahmatal lilalamin.
Secara keseluruhannya, PKSY yang mengandungi lima bab berupaya membangunkan sebuah kerangka akademik yang menarik dalam mencari titik-titik persamaan dalam dua teori pemikiran – psikoanalisa dan 4K- dan boleh dianggap mampu melengkapkan cerminan kerohanian, pandangan sejarah dan nilai peradaban – Barat dan Islam – yang membentuk sudut pandangan manusia. Islam tidak ada doktrin ‘dosa warisan’ dan ‘juru selamat’ kerana dosa dan keselamatan seseorang itu bergantung kepada diri sendiri bagai memenuhi peranannya sebagai khalifah Allah SWT semasa hidup.
Memenuhi tanggungjawab itu, seseorang Muslim wajib memperbanyakkan ‘amar maakruf’ dan menjauhi ‘nahi mungkar’. Ia berbeza dengan barat, kebaikan hanya dilihat ‘jika tidak mengkhinati hak dan kebebasan orang lain’ dan kerana itu masing-masing menjadi sangat individualistik. Hidup dipenuhi dengan tindakan yang cukup terkait dengan materialistik, dan kerana itu, kemungkaran akhirnya menjadi ‘arca hidup yang terselindung’.
Dan, ini cukup membuatkan Muhammad Asad termasuk dalam kategori intelektual yang tidak mudah ditolak seperti kita mampu menolak teori psikoanalisa Freud yang menyifatkan seluruh kehidupan sangat cenderung dengan ‘keperluan seks’ termasuk perilaku bayi ketika sedang menyusu atau teori Oedipus Complex, yang bermaksud :
“…desire for sexual involvement with the parent of the opposite sex and a concomitant sense of rivalry with the parent of the same sex.” (Sigmund Freud, Interpretation of Dreams, 1899 (edisi Basic Books, 2010); dan Oedipus Complex dalam Britanica Encyclopedia: Digital Learning).
Mengenai fantasi politik, Muhammad Asad menulis:
“…Kehangatan bahang yang dahsyat mengesankan tandanya pada setiap penampilan dan membuatkan semua pergerakan lembam. Manusia berjalan dengan perlahan sepanjang jalan-jalan. Mereka tampaknya punya darah yang berat, tanpa keriangan tanpa keanggunan. Wajah mereka nampak muram dan tidak mesra dari bawah penutup kepala berkotak hitam dan putih; dan setiap kali anda melihat wajah Arab yang kacak dengan ekspresi kesombongan, gengsi yang mandiri, terdapat hampir, terdapat hampir tanpa kecuali kufiyya merah atau merah dan putih di atasnya – bermaksud bahawa lelaki itu bukan dari sini tetapi dari utara, atau dari Gurun Syria, atau dari Arab Tengah. Tetapi, kekuatan yang besar terlihat pada laki-laki ini: kekuatan kebencian-kebencian terhadap kuasa asing yang menafikan kebebasan mereka.” (JKM, hal. 220; dan PKSY, hal.79).
Namun demikian, dalam penulisan yang lain, Muhammad Asad, melihat bahawa: Protes terhadap pendidikan Barat bagi masyarakat Islam tidak sedikitpun bermaksud bahawa Islam menentang pendidikan seperti itu… Al-Quran sarat dengan tuntutan untuk belajar ‘supaya kamu menjadi bijaksana’, ‘supaya kamu berfikir’, ‘supaya kamu mengetahui’. (Muhammad Asad, Islam di Persimpangan Jalan, edisi terjemahan Islam at the Crossroad (1934), Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2016, hal. 58)
Itu pengalaman Muhammad Asad sekitar tahun 1930-an dan juga terheret-heret ke tahun di mana JKM berjaya diselesaikan penulisannya. Beberapa tahun lalu, hal ini nampaknya tidak begitu mencuak, kerana Arab Saudi semakin berusaha memenuhi keperluan materialnya dengan cadangan untuk menukarkan wajah padang pasir menjadi lokasi pelancongan yang menarik sehingga sanggup membangunkan beberapa tempat sekitar Laut Merah dengan dimensi pelancongan berkelas dunia (dalam konteks kebebasan dan hiburan barat).
Arab Saudi ingin bersaing dengan negara-negara Arab yang lain, yang semakin diterima sebagai destinasi mewah dan cukup bergengsi. Arab Saudi sedar, jika tanah Haramain itu bukan menjadi ‘tanah suci umat Islam (kerana adanya Mekah dan Madinah), ia tidak mampu menjana pendapatan dari sektor pelancongan. Ada seorang mengatakan, jika bukan kerana tujuan ‘beribadat’ tidak ada umat Islam berpusu-pusu’ melancong ke Arab Saudi. Ada benarnya, kerana tidak ada apa yang menarik, buminya adalah padang pasir: panas membahang sehingga melebih 40 darjah celcius (kemuncak musim panas) dan persekitran yang berdebu.
Walaupun Muhammad Asad mengkritik nilai dan peradaban barat yang membentuk sebahagian pengalaman budaya (sebelum Islam), ia tidak menolak sepenuhnya nilai-nilai tersebut, kerana ada sebahagiannya boleh dianggap positif dan boleh diadaptasikan oleh setiap muslim bagi menentukan sebuah peradaban yang lebih baik.
Cuma, Asad memberikan ingatan, peradaban barat sangat materialistik dan individualistik, maka perlu berhati-hati kerana asasnya sangat berbeza dengan Islam. Islam sangat mendekatkan diri dengan keyakinan bahawa Tuhan adalah penentu segala-galanya – hidup dan mati- dengan berusaha untuk menterjemahkan setiap nilai dan upaya di atas pemahaman yang jelas dengan semangat al-Qur’an dan as-Sunnah, jika umat Islam ingin membangunan semula peradabannya yang sudah runtuh.
Ertinya, kajian Salsabila ini akan membantu kita memahami ruang dan peluang untuk menjadi manusia muslim yang kreatif, innovatif dan memahami asas atau fitrahnya, buka hanya berteleku diam dalam rungutn takdir dan pesimistik. Pada Salsabila Rosli, pemikiran Muhammad Asad dalam JKM adalah ‘realiti kontemporari’.
KAMARUN KH
