MARAH DAN DENDAM: DUA KONTINUUM EMOSI YANG MEMBINASAKAN
"Kuasai dan simpan amarahmu.
"Itulah jalannya. Ketika nafsu ingin mengeluh, kau harus melawannya.
Berjuanglah untuk bersyukur, hingga dalam hatimu muncul cinta kepada yang lain. Sikap bersyukur,
meskipun rekayasa, merupakan usaha untuk mendapat cinta Allah."
(Jalaluddin Rumi, Fihi Ma Fihi: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Ruhani, terjemahan dari bahasa Arab oleh Abu Ali dan Taufik Damas, Jakarta: Penerbit Zaman, 2016, hal. 431).
Terjemahan lain dalam bahasa Melayu (mungkin yang pertama, juga bersumberkan bahasa Arab oleh Zaki Sapuan al-Hafiz, berbunyi:
"Hendaklah engkau mematahkan kemarahanmu dan menahan rasa gerammu.
"Jalan untuk melakukannya adalah ketika nafsu ingin mengeluh, lakukanlah yang bertentangan dengan mengucapkan syukur dan memperbanyakkan syukur, sehingga dalam batinmu timbul rasa cinta kepada Allah. Ini kerana meskipun bersyukur secara zahir kelihatan berpura-pura, ini merupakan langkah awal untuk mencari cinta Allah.'"
(Jalaluddin Rumi, Fihi Ma Fihi, terjemahan Zaki Sapuan al-Hafiz, P.Jaya: The Biblio Press Enterprise, 2025, hal.269).
Dua terjemahan tersebut secara zahirnya tidak ada perbezaan, tetapi pada terjemahan Zaki Sapuan ada tambahan yang membantu kita lebih memahami maksud meredam sifat marah dan menyingkirkannya dengan memperbanyakkan rasa syukur. Dengan rasa syukur, kita dapat melapangkan dada walaupun emosi seperti berada dalam situasi terbakar. Rasa syukur itu walaupun tidak lahir secara ikhlas, ia akan membuka pintu hati sebagai langkah pertama "mencari cinta Allah".
Sebagai seorang ulama, pakar hukum dan perangsang jiwa (motivasi), seluruh 71 Ceramah Rumi yang dikumpulkan itu cukup menjadi panduan untuk kita memahami siapa diri kita, apa sebenarnya tanggungjawab dan ke manakah kita akan pergi seterusnya. Kita sedar, kehidupan yang sudah kita jalani dan sedang jalani itu akan bertemu pada satu titik akhir, sebelum sampai ke titik yang lebih Abadi.
Kumpulan 71 buah ceramah ini disusun oleh anak murid Rumi dalam bentuk "diskusi" kerana setiap permulaan ceramahnya, Rumi memilih sesuatu persoalan yang pernah diajukan kepadanya. Ia seumpama dialog, tetapi dialog itu tidaklah muncul soal jawab yang panjang dalam sesuatu isu, seperti kita temui dalam dialog antara Arnold Toynbee, atau tokoh lainnya dalam koleksi buku-buku yang dihasilkan oleh Daiseku Ikeda, seorang "alim Buddha" Soka Gakai, yang berasal dari Jepun. Mazhab ini turut berkembang di Malaysia. Soka Gakai merupakan aliran Buddha terbesar di Jepun.
Buku-buku tulisan atau kumpulan dialog Daiseku Ikeda telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Suatu ketika saya cukup meminati cara Daiseku Ikeda mengemukakan hujah dan melihat kehidupan ini dalam perspektif aliran Buddha yang dipimpinnya. Antaranya, Memilih Kehidupan: Satu Dialog Arnold J Toynbee dan Daiseku Ikeda (1988), Kemanusian Baru (Koleksi Ucapan), Kerakyatan Planet (dialog dengan Hazel Henderson, pejuang akan sekitar, terjemahan Asmah Hj Omar, 2022) dan Peradaban Global: Dialog Buddha-Islam (bersama Majid Tehranian, pakar psikologi sosial dan komunikasi antarabudaya, 2012).
Secara mendalamnya, Rumi menceritakan hal yang lebih baik mengenai Jalan Cinta walaupun koleksi ceramah ini hadir sebelum dikenali sebagai seorang penyair sufi. Rumi mula bergelut dengan puisi-puisi sufi setelah berkenalan dengan Sham Tabrizi (1244M). Sebelumnya, Rumi tidak menjadikan puisi sebagai untaian pengajaran dan kembara rohani. Persahabatan dengan Sham Tabrizi menjadi satu titik perubahan besar dalam kehidupan Rumi: Rumi semakin berubah dari teolog kepada sufi dan mistikus alim. (Anum Whani Wicaksono, Jalaluddin Rumi, Yogyakarta: C-Klik Media, 2023, hal. 14).
Kisahnya bermula setelah kematian ayahnya, Bahauddin Walad yang dijoloki sebagai "Sultan al-Ulama" atau dalam bahasa Melayu membawa maksud, Sultan Para Ulama. Setelah setahun berlalu (629H/1232M), seorang murid kesayangan Sultan al-Ulama hadir ke Konya, Syeikh Burhanuddin Muhaqqiq At-Tirmizi (dan dia akhirnya mendidik Rumi untuk "berhijrah ke dunia tasawuf". Ketika itulah Rumi mula menyedari bahawa ayahnya sudah lama bergelut dengan dunia tasawuf, yakni apabila diberikan kitab karangan ayahnya, Ma'arif (Ilmu Ketuhanan). Apa yang Rumi sedar, ayahnya hanyalah seorang ulama dan juga pemberi fatwa selain mengajar aspek teologi. Burhanuddin mendidik Rumi hampir sembilan tahun (1232-1240M).
Burhanuddin turut mengarahkan Rumi untuk belajar di Haleb, Alepo dan Damascus. Rumi mula menaruh minat mempelajari puisi-puisi Arab karya al-Mutanabbi, dan seringkali mengutip bait-bait puisi itu sebagai peledak wawasan sufistik, dan juga berdiskusi dengan Ibnu Arabi, Sa'adin al-Hanawi, Ustman ar-Rumi, Awahaddin al-Kirmani serta Sadr ad-Din al-Qunyawi. Setelah empat tahun menghiasi jiwa dengan kedalaman spiritual, Rumi kembali ke Konya (1236M).
Kehadiran guru itu membawa Rumi mengembara ke beberapa buah wilayah untuk mendalami ilmu makrifat sehingga dikatakan bertemu dengan seorang sufi besar, Ibnu Arabi. Dari situ Rumi mula memahami falsafah wahdatul wujud, dan ikut menjadi pengamalnya. Setelah hampir empat tahun mencari ilmu makrifat, akhirnya Rumi kembali ke Konya.
Sekembalinya ke Konya, gurunya meminta laluan untuk kembali ke dan Rumi kembali mengambil peranan sebagai pengajar di madrasah yang ditekuni oleh ayahnya setahun kemudian, gurunya itu meninggal (1240M). Pelatihan jiwa itulah yang melengkapkan Rumi dengan pengalaman tasawuf pada peringkat awal dan mencapai kemuncaknya apabila berguru dengan Sham Tabriz selepas kepulangan Burhanudin at-Tarmidzi, yang disifatkan sebagai "dua singa" yang terpaksa berpisah.
Sepeninggalan itu Rumi menjadi semakin larut dalam dunia tasawuf dan koleksi ceramahnya yang terkumpul dalam Fihi Ma Fihi adalah bukti larutnya jiwa dalam samudera makrifat. Menurut catatan akhir yang dilakukan oleh Hafiz Sapuan, koleksi ini selesai ditulis oleh Sultan Walad (Baha'al-Din Muhammad-i Walad, putera sulong Rumi, dan ada yang mengatakan koleksi ini dilakukan oleh para murid Rumi dan disempurnakan oleh Sultan Walad) di Mekah pada hari Ahad, 4 Ramadhan 751H, yakni 685 tahun lalu.
Edisi terjemahan ke bahasa Arab, yang menjadi sumber terjemahan Zaki Sapuan selesai dialih bahasa pada Selasa, 7 Syawal 1421, oleh Isa bin Ali al-Akkub, kira-kira suku abad lalu. Catatan Isa bin Ali al-Akkub sendiri ialah pada jam 7 petang 17 Syawal 1421 sebagaimana dalam pengantarnya, yang diterjemahkan oleh Abdul Latif, edisi Fihi Ma Fihi bahasa Indonesia yang diterbitkan oleh Penerbit Forum, 2016 (catatan kaki nombor 3, hal.17).
Menurut penterjemah asal yang menjadi sumber terjemahan bahasa Melayu dan Indonesia, Isa bin Ali al-Akkub, prosa Fihi Ma Fihi yang mengandungi 71 buah ceramah itu hanya enam buah berbahasa Arab (fasal 22, 29, 34, 43, 47 dan 48), manakala selebihnya berbahasa Parsi (lihat, "Pengantar", Fihi Ma Fihi: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Ruhani, terjemahan Abu Ali dan Taufik Damas, Jakarta: Penerbit Zaman, 2016 hal.23)
Sapuan selesai melakukan terjemahan pada tahun lalu (5 Rejab 1446), yakni ketika menjadi pelajar Usuludin dan Falsafah di UKM dan diterbitkan oleh The Biblio Press Enterprise pertengahan tahun lalu. Sayangnya, buku terjemahan Zaki Sapuan ini tidak menterjemahkan "pengantar asal" oleh Isa bin Ali al-Akkub, tetapi menamakan pengantar sendiri sebagai "Mukadimah Mutarjim/Pendahuluan Penterjemah).
Saya melihatnya sebagai sesuatu yang boleh ditafsirkan "kurang hormat" dan kalaupun Zaki Sapuan berhasrat menulis "mutarjim penterjemah", "pengantar asal sumber asal" juga patut dimuat bersama. Hormatilah susah payah dan hak intelektual Isa bin Ali al-Akkub.
Tidak mudah untuk melakukan terjemahan bagi mendapatkan "ketepatan visi dan pemikiran Rumi" kerana Isa bin Ali al-Akkub turut melakukan penelitian terhadap terjemahan-terjemahan sebelumnya, sebagai rujukan silang (cross reference), termasuk terjemahan AJ Arberry (Discourse of Rumi, 1972) dan naskhah yang sudah diteliti serta diberikan komentar oleh pakar Kajian Rumi, al-Almarhum Badiozzaman Forounzanfar (1904-1970).
Latar belakang itulah menjadikan saya cukup "tidak boleh keluar daripada terjemahan bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris". Alasannya, saya membacanya lebih awal daripada naskhah terjemahan bahasa Melayu oleh Zaki Sapuan. Saya mempunyai pelbagai naskhah terjemahan bahasa Indonesia, yang dilakukan oleh ramai penterjemah. Tetapi, saya belum temui naskhah terjemahan bahasa Indonesia yang bersumberkan bahasa asal, iaitu Parsi.
Ini mungkin kerana tidak ramai yang fasih berbahasa Parsi. Namun sejak akhir-akhir ini sudah ada usaha untuk melakukan terjemahan daripada bahasa asal (Parsi), termasuklah magnum opus Jalaluddin Rumi, Mathnawi oleh Muhamad Nur Jabir, Pengarah Institut Rumi (Institut Kajian Falsafah dan Puisi Rumi, Indonesia) dan Afifah Ahmad (penulis buku The Road to Persia, 2018 dan Ngaji Rumi: Kitab Cinta dan Ayat-Ayat Sufistik, 2021, pengasas ngajirumi.com) misalnya, telah menterjemahkan Majalis Sab'ah, 2024), yang mengandungi 7 khutbah Rumi ke bahasa Indonesia.
Khabarnya, Afifah berkelana mendalami sastera dan bahasa Parsi dan sudah menetap di Iran sejak 2015. Afifah, biarpun sudah menamatkan pengajian peringkat sarjana dari sebuah universiti khusus untuk wanita masih menetap di Teheran kerana suaminya masih mengajar di salah sebuah universiti dalam bidang politik Asia Tenggara. Ada juga versi terjemahan karya-karya Rumi sebelum ini berasal dari terjemahan bahasa Inggeris yang dibuat oleh orientalis dan juga penggemar puisi-puisi sufistik, (misalnya AJ Arberry, RA Reynolds dan Coleman Barks) sehingga melupakan bahawa Rumi mengajar kita tentang Jalan Cinta Abadi, bukan cinta sebagaimana ditafsirkan oleh psikologi skolastik atau tingkah laku (behaviorism) yang berkembang dalam pengajian psikologi moden (sekular).
Dalam kajian pendidikan pondok (di Malaysia) dan pesantren (di Indonesia) oleh Martin van Bruinessen tidak ditemukan adanya pendidikan mengenai sufistik Jalaluddin Rumi diajar, sebaliknya, nasihat-nasihat al-Sakandari (Ibnu Athaillah, 1260-1320, iaitu al-Hikam) dan al-Ghazali cukup banyak ditelaah. Ini mungkin disebabkan tulisan-tulisan Rumi ketika itu (sehingga tahun 1990-an) masih belum ada dalam bahasa Arab. (Rujuk: Martin van Bruinessen, Islam di Nusantara: Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, terjemahan al-Mustaqeem M Radhi, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd, 2018).
Sebagaimana diketahui, kisah pengembaraan ulama-ulama Nusantara belajar di serambi masjid di Mekah dan Madinah berlangsung sekitar akhir Abad ke-19 hinggalah pertengahan Abad ke-20. Mereka diajar oleh para ulama yang kebanyakannya berasal dari Nusantara, tetapi menetap bertahun-tahun di Jazirah Arab, sehingga menghasilkan pelbagai kitab saduran, Syarah dan kitab asal. Kitab-kitab inilah yang digunakan dalam pendidikan pondok atau pesantren sekembalinya sebahagian "pencari ilmu".
Kitab-kitab ini dinamakan sebagai kitab kuning. Mungkin kerana masalah bahasa, kitab-kitab Rumi tidak dikategorikan sebagai Kitab Kuning atau Turaths, sedangkan masyarakat Parsi telah menerima Mathnawi sebagai "al-Qur'an versi Parsi."
Ia berbeza dengan kitab-kitab karangan al-Ghazali. Ihya' Ulumuddin pernah dijoloki sebagai terjemahan makna al-Qur'an dalam perspektif amalan, walaupun ada beberapa kontroversi terhadapnya. Ihya' Ulumuddin terus dipelajari hingga kini, dalam persekitaran pondok dan pendidikan Islam moden, kitab-kitab Rumi tidak sedemikian. Mungkin juga kerana karya Rumi dalam bentuk puisi dianggap "sukar difahami", apatah lagi kisahnya atau naratif cukup panjang.
Misalnya, Diwan-i Kabir atau Dewan Syam Tabriz mengandungi 43,000 bait dari 3,500 syair (edisi suntingan dan komentar Badiuzzaman Forouzzanfar berjumlah 10 jilid) ; Mathnawi dengan 25,000 bait puisi (enam jilid) dan Ruba'iyat (puisi quatrain/empat baris) sejumlah 1659 dalam 3,318 bait (terjemahannya hadir dalam empat jilid). Sebenarnya, ada pelbagai rumusan mengenai jumlah syair, ruba'iyat, ghazal dan puisi-puisi nukilan Rumi menyebabkan jumlahnya berbeza disebabkan proses transliterasinya daripada karya asal bertulisan tangan. [Adiba A Soebachman, Pesan-Pesan Cinta Jalaluddin Rumi, Yogyakarta: Penerbit Araska, 2024; Akhtar Maulidin, Semesta Cinta Jalaluddin Rumi, Magelang, Indonesia: Penerbit Ranah Buku, 2026; Franklin D Lewis, Rumi, Past and Present, East and West: The Life, Teachings and Poetry of Jalal al-Din Rumi, London: Oneworld Academic Publications, 2020 (2000); dan Afzal Iqbal, The Life and Work of Jalal-Ud-Din Rumi, Kuala Lumpur: The Other Press, 2014 (1956)].
Akhir-akhir muncul pelbagai bentuk "pengajian mengenai Rumi", misalnya di Indonesia ada platform "ngajirumi.com", yang bergerak sebagai satu bentuk pendidikan ruhani, manakala penggeraknya giat mentafsir dan menterjemahkan karya-karya Jalaluddin Rumi daripada bahasa Parsi, bagi menolak beberapa terjemahan yang dibuat oleh para orientalis dan pengkaji sastera Parsi yang bukan dalam kalangan penganut Islam. Ini kerana, ada di antaranya berusaha untuk "melepaskan prinsip dan nilai agama" yang menjadi kekuatan pemikiran Jalaluddin Rumi dan ajaran-ajaran sufistiknya.
Fihi Ma Fihi merupakan salah sebuah koleksi pemikiran Rumi yang hadir dalam bentuk prosa selain Majalis al-Sab'ah (7 Khutbah Rumi). Fihi Ma Fihi mudah difahami oleh para pembaca berbanding puisi-puisi sufistik Rumi yang semakin popular dan dieksploitasikan oleh masyarakat barat hanya sebatas tarikan program pengisian spiritual, bukan untuk menuju ke Jalan Cinta Abadi.
Ulasan tentang Fihi Ma Fihi akan dibincangkan dalam tulisan akan datang, sebagai bentuk perkongsian pemahaman dan tanggapan, hasil pembacaan yang dibuat. Namun, dalam "prolog" ini, cukuplah saya mengatakan bahawa banyak akibat buruk yang akan dihadapi oleh manusia sekiranya tidak dapat mengawal "marah" kerana berpunca dari situ akan terbit pula "dendam".
Kata Rumi: "Permusuhan dan kemarahan yang ada dalam batinmu tersembunyi daripada-mu, seperti api. Jika engkau melihat percikan apinya, padamkanlah ia agar kembali lenyap seperti mana asalnya.
"Namun, jika engkau memberi makan kepada api itu dengan menyalakan bara jawapan atau kata-kata balasan, maka ia akan kembali menyala, mengalir dari satu ketiadaan ke ketiadaan yang lain, hingga akhirnya sukar untuk dikembalikan ketiadaan asalnya." (Fihi Ma Fihi, 2025, hal.269).
Maksudnya cukup jelas, seperti dirumuskan oleh peribahasa Melayu, jika bara api terus digenggam, ia bukan sahaja membakar, ia juga memusnahkan apa saja. Akibat marah, semuanya tidak dapat dikawal, maka dari situlah bermulanya konflik terbuka. Konflik terbuka membawa kepada perbalahan dan peperangan.
Tentunya, nasihat para bijaksana: menang jadi arang, kalah jadi abu. Kedua-duanya berasal daripada kayu. Bila kayu itu terbakar atau dibakar, maka sifat asli kayu itu sudah tidak dapat dikembalikan. Maka, dalam nasihat Jalaluddin Rumi, yang juga menjadi pedoman dakwah Rasulullah SAW, berpaksikan Firman Allah SWT: "Tolaklah kejahatan dengan cara terbaik." (al-Fussilat, ayat 34).
Tidak ada kerugian bagai mereka yang berjaya menahan kemarahan, dan juga yang tidak berdendam, kerana Allah SWT tetap memuliakan mereka yang sentiasa memaafkan sesama manusia. Sebab itulah, Rasulullah SAW mengajar kita agar memaafkan sesiapa sahaja dan mengamalkan kemaafan itu sebelum tidur? Kenapa?
Sebab, belum tentu kita tidur waktu akan menjamin kita akan bangun esok pagi. Ia mungkin menjadi detik terakhir hidup kita sebagai manusia, dan selepas roh berpisah daripada jasad, maka ruang kemaafan sudah menjadi seperti "tembok" yang menghalang, atau pintu yang terkunci dari dalam hati dan jiwa kita.
Tentunya, perang yang sedang berlaku di Iran adalah disebabkan 'marah dan dendam" Amerika Syarikat dan Israel. Amerika marah kerana Iran menjadi lebih kuat walaupun dikenakan tekanan oleh Washington. Ia marah kerana Iran merupakan pembekal minyak terbesar kepada China. Trump cukup berdendam dengan China, kerana China bakal merampas kuasa ekonominya. Dendam itu dilaksanakan menerusi perang perdagangan dan setiap negara yang ada hubungan ekonomi dan persahabatan yang akrab dengan China dikenakan pelbagai tindakan, termasuklah cadangan tarif timbal balas.
Israel mendendam Iran kerana Iran telah berjaya bangkit sebagai kuasa yang penting di Timur Tengah selepas ketiadaan Saddam Hussein dan Muammar Gadafi. Iran bersekutu dengan Hizbullah dan Houthi, yang merupakan gerakan yang cukup bencikan Israel dan memberikan reaksi balas terhadap penjajahan bumi Palestin. Selagi kepimpinan Iran tidak dijatuhkan, selagi itulah Israel merasa terancam dan terus memberikan tekanan kepada Washington untuk melancarkan serangan terbuka.
Namun, setelah perang berlaku,.imej Washington tersungkur manakala Israel semakin kehilangan rakan kongsi, termasuk daripada beberapa buah negara Eropah. Semakin lama semakin besar aib Israel dan sekian gelisah Trump kerana bantahan rakyat mereka sendiri. Inilah yang dikatakan bahawa "marah dan dendam" menjadi asas kepada kebiadapan dan kesengsaraan diri sendiri.
Ekonomi negara semakin rapuh manakala dunia semakin berusaha untuk keluar daripada sistem adikuasa tunggal. Hegemoni dolar sudah terhakis, manakala rejim kewangan mula menunjukkan pertukaran sistem bahkan ada yang berkata secara sinis, akan tiba waktunya dolar berada seperti "kertas tisu jamban - toilet tissue paper." Lambat laun ia akan berlaku, kecualilah Trump mula melakukan "berpatah balik" dan memilih jalan menghormati kedaulatan sesebuah negara, bukan memperluaskan imperialisme atau menghidupkan semula kolonialisme.
KAMARUN KH
