MEMBACA RUMI, MENGEJAR KEDAMAIAN
Tiga hari cuti, saya entah mengapa begitu tertarik untuk membaca ulang beberapa puisi sufistik Jalaludin Rumi yang sudah pun berusia hampir seribu tahun. Mungkin juga ada desakan tatkala dalam masyarakat kerana dalam minggu itu (25 - 31 Ogos 2025) bersepah berita tentang kerusuhan yang melanda hampir seluruh Indonesia. Rumah mewah dibakar, diceroboh dan beberapa kemudahan awam ikut menjadi sasaran anarkis.
Saya tidaklah mempunyai banyak buku-buku terjemahan puisi Rumi tetapi hobi terkini ialah cuba mengumpulkan sebanyak mungkin hasil karyanya yang mampu saya baca (hasil terjemahan dan ulasan-ulasan mengenainya). Saya tidak cuba mendapatkan buku-buku asal dalam bahasa asal Rumi menulisnya, iaitu bahasa Parsi kerana saya tidak memahaminya.
Untuk versi berbahasa Inggeris, kadangkala saya memikirkan beberapa kali untuk memilikinya disebabkan harganya cukup mahal, bahkan bagi buku "second hand" walaupun dalam e-bay boleh dikatakan murah, ia tetap menjadi mahal setelah dicampurkan dengan biaya pengiriman dari luar negara. Kos pengiriman kadangkala berkali ganda daripada harga buku. Bukan setakat itu, komisyen bank (dalal) untuk penggunaan kad kredit juga menyebabkan harganya "tidak terjangkau", kadar tukaran yang lebih rendah daripada pengurup wang.
Karya Jalaludin Rumi, kajian dan ulasan mengenainya cukup lumayan banyaknya ditulis dalam bahasa Indonesia bahkan ikut muncul pendekatan Ngaji Rumi dan sebuah institut mengenainya (Rumi Institute), sehingga kita jadi lebih mudah untuk menelusuri "jiwa dan nurani" penyair sufistik yang dianggap telah mempengaruhi ramai orang sama ada dalam dunia kehidupan Muslim mahupun bukan Muslim. Ramai juga bukan Islam terkesan dengan Rumi sehingga ada yang ikut bersyahadah setelah melihat tasawuf itu adalah solusi terbaik untuk pembangunan diri dan "menuju keabadian", juga kesejahteraan sosial.
Saya mengambil contoh tentang seorang pakar psikologi sosial dari Amerika Syarikat. Robert Frager, yang mengajar di University California (Berkeley dan Santa Cruze) mula berjinak-jinak dengan Tarekat Jerrahi setelah bertemu dengan Syeikh Muzafer Efendi, dan kini turut menumpahkan pengabdian diri sebagai Presiden Tarekat Jerrahi California. Ketertarikannya pada dunia sufi diceritakan dengan menarik dalam bukunya, Heart, Self & Soul: The Sufi Psychology of Growth, Balance and Harmony (1999).
Di Malaysia, karya-karya dan telaah mengenai karya Rumi kurang dibuat bahkan dalam literatur keulamaan tidak banyak ditemukan pengaruhnya, termasuk dalam sistem pendidikan Islam tradisi. Ia mungkin disebabkan tidak ramai ulama-ulama Melayu yang melakukan telaah terhadap karya-karyanya berbanding karya penyair sufistik lain seperti Abdul Qadir Jailani, Ibnu Arabi mahupun al-Ghazali. Paling banyak dibicarakan atau dikupas ialah ajaran-ajaran Imam al-Ghazali dan rangkaian kata-kata sufistik Imam Tajudin 'Athoillah as-Sakandari dalam kitab al-Hikam.
Salah seorang yang cukup terkenal dengan Syarah al-Hikam ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah atau Tok Ku Pulau Manis dari Terengganu. Ulama di Kelantan yang kerap bersyarah mengenai al-Hikam ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman (Tok Selehor). Namun, sayangnya, kumpulan syarahan Tok Selehor tidak dibukukan berbanding Tok Ku Pulau Manis, dan kerana itu kita tidak dapat menyelidikinya secara mendalam mengenai "roh al-Hikam" yang disemai dalam jiwa setiap orang pelajar di pondoknya di Kg Selehor, Tumpat, Kelantan.
Sebab utamanya ialah hampir kesemua tulisan Rumi dilakukan dalam bahasa Parsi, sedangkan bahasa yang cukup identik dengan Islam ialah bahasa Arab. Tidak ramai ulama tradisi mahupun ulama moden mempelajari bahasa Parsi berbanding bahasa Arab, Urdhu dan bahasa Inggeris. Rumi menghasilkan karya dalam dua bentuk, iaitu puisi dan prosa. Puisi-puisinya dalam bentuk ruba'iyyat, syair dan matsnawi.
Kalau bercakap mengenai ruba'iyyat, ramai yang menghubungkannya dengan Umar Kayyam, kerana penyair tersebut menulis salah sebuah karyanya dengan jenis puisi tersebut, dikumpulkan dengan judul Ruba'iyyat. Begitulah juga dengan Rumi, menggunakan bentuk puisi matsnawi untuk karya besarnya, Matsnawi Ma'nawi setebal enam jilid dan mengandungi antara 25,500 hingga 40,000 bait (rangkap, bukan bytes dalam kiraan sistem storan komputer masa kini). Jumlah rangkap dalam semua jilid Matsnawi itu berbeza setelah ianya diterjemah, ditahkik atau disempurnakan oleh pengkaji-pengkaji Rumi selepas peninggalannya.
Hal ini berlaku kerana Matsnawi Ma'nawi tidak memiliki versi tunggal setelah ianya ditulis dan disusun oleh murid kesayangan Rumi sendiri, Husamuddin Syalabi (1225-1284). Asalnya, Husamuddin mencadangkan agar Rumi menulis seumpama Ilahinama karya Sana'i (seorang hakim Parsi, Abdul Majid Majdud ibnu Adam Sana'i Ghaznawi, 1080-1131/1141) dan Mantiq at-Thayr karya 'Atthar (Faturiddin Attar, Faridoddin Abu Hamed Mohammaed Attar Nishapur, 1145-1222, penulis Musyawarah Burung dan istilah 'Atthar merujuk kepada profesyen, iaitu ahli kimia dan parfum). Kedua-dua aliran pemikiran sufi itu turut mempengaruhi karya Rumi selain beberapa orang lagi, misalnya al-Arabi walaupun dalam beberapa hal kurang dipersetujui.
Rumi pernah diraikan sebagai seorang tokoh yang menyeru kepada kehidupan aman dan harmoni antara manusia dengan alunan syair kasih sayang dan cintakan kedamaian, walaupun kesemua hasil karyanya menjadi landasan Cinta Ilahi, yakni perjalanan memaknai dunia tasawuf.
Pada tahun 2007, seluruh dunia diadakan pelbagai majlis memperingati ulangtahun ke 800 kelahiran Rumi dan perjumpaan terbesar berlangsung di Istanbul, diadakan satu simposium anjuran bersama UNESCO dan Projek Ulangtahun ke 800 Kelahiran Rumi. Rumi dilahirkan pada 3 September 1207 (6 Rabi'ul Awal 604H) di Balk, dalam wilayah Afghanistan sekarang. Beliau diberikan nama Jalaludin Muhammad ibn Muhammad Hussain Bahaudin ibn Ahmad al-Khatibiy.
Jalaludin Rumi juga dikenali sebagai Jalaludin al-Bakhi (nisbat tempat kelahiran); Maulana Jalaludin Rumi (sebagai pengasas Tarekat Maulawiyyah); Jalaludin ar-Rum dan Jalaludin al-Qunawi disandarkan dengan nama kota Konya, Turki yang pernah menjadi sebahagian daripada wilayah kekuasaan Byzantium Timur atau Romawi Timur.
Orang Arab memanggil pemerintahan Byzantium Timur sebagai ar-Rum, manakala Qunawi ialah nama lain Konya. Walaupun lahir di Balk, Rumi dan keluarganya tinggal Konya sejak tahun 626H, iaitu ketika berusia 18/19 tahun sehingga ke akhir usia 66 tahun (17 Disember 1273). Konya berada dalam kekuasaan Dinasti Seljuk. Dalam kesemua nama-nama itu, beliau lebih dikenali sebagai Maulana Jalaludin Rumi di seluruh dunia hingga kini.
Rumi adalah seorang yang alim dan sangat memahami makna cinta walaupun tidak mendefinisikannya secara jelas dan terang-terangan. Tetapi, Rumi mampu membawa para pembacanya memahami pengalaman cinta sejati, bukan cinta murahan sebagaimana kita setiap hari disublimasikan oleh nyanyian melankolik dan tema-tema dalam siri Drama Sangat ataupun Sinetron yang sangat panjang dan terbuai-buai oleh imajinasi palsu.
Umpamanya, dalam karya terbesar dan terhebat, Matsnawi. Matsnawi diterjemahkan secara lengkap ke bahasa Inggeris oleh Reynolds A Nicholson, dan edisi inilah yang menjadi asas terjemahan ke bahasa Melayu oleh Profesor Mohd Ajmal bin Abdul Razak Al-Aidrus yang mengambil masa selama 9 bulan 23 hari (1 September 2008 -23 Jun 2009). Ejaan yang digunakan dalam edisi terjemahan bahasa Melayu ialah Mathnawi.
Nicholson mengambil masa hampir 40 tahun untuk menterjemahkan Matsnawi daripada bahasa Parsi ke Bahasa Inggeris. Edisi terjemahan ke bahasa Melayu menjadi enam jilid yang bagi saya, adalah termahal setakat ini. Awalnya dijual dengan harga RM 3,500 dan kini, boleh diperoleh dengan harga RM 2,250 (di Shopee).
Bagaimanapun, edisi terjemahan ini kurang puitis berbanding beberapa edisi terjemahan eceran berbahasa Indonesia. Hal ini turut diakui oleh seorang pengamat Rumi yang cekal dan ikut menterjemahkan karya prosa Rumi, Majalis Sab'ah (Afifah Ahmad, Turos Pustaka, 2024) ke bahasa Indonesia terhadap Matsnawi terjemahan Reynold A Nicholson (1868-1945) yang menjadi asas terjemahan ke bahasa Melayu oleh Prof Ajmal.
Afifah Ahmad yang mahir berbahasa Parsi turut menulis sebuah buku mengenai Jalaludin Rumi dalam usaha untuk mencari jawapan kepada persoalan kehidupan dan persekitaran semasa. Beliau melihat untaian falsafah dan nasihat Rumi cukup segar dan relevan dengan kehidupan kita sekarang. Ia cukup memberikan saya kefahaman dalam bahasa yang mudah perihal dunia sufi dan tafsirannya, yang asalnya dalam bahasa Parsi diterjemahkan cukup puitis dalam Kitab Cinta dan Ayat-Ayat Sufistik (2021).
Ia menjadi mahal (edisi terjemahan bahasa Melayu) mungkin kerana kos penterjemahan yang dikatakan mencecah RM 1 juta dan dicetak dalam kategori edisi mewah (ITBM, 2011). Sasarannya adalah untuk dibeli oleh institusi seperti perpustakaan dan universiti.
Setakat ini, enam jilid Matsnawi itu menjadi koleksi termahal milik saya sebagai aset (koleksi buku) peribadi. Saya membelinya sekitar tahun 2016, setelah beberapa lama menyimpan wang sagu hati daripada beberapa rencana yang disiarkan dalam sebuah portal. Waktu itu agak lumayan juga hasil menulis, walaupun bukan untuk akhbar konvensional.
Bersambung…
KAMARUN KH