MEMBACA RUMI, MENGEJAR KEDAMAIAN -PART V
Menurut Sefik Can, berdasarkan tulisan Syamsudin Ahmad al-Aflaki (1286/1291-1360M), pengikut tarekat Mawlawiyah yang diasaskan oleh Jalaludin Rumi dan belajar dengan cucu Jalaludin Rumi, Shalabi Amir 'Arif, ayah Syams bernama Ali, anak lelaki kepada Malik-dad. Syams lahir di Tibriz (atau Tabriz), dalam wilayah Khorasan, Iran dan daripada kelompok orang Turki yang tinggal di Azerbaijan (Azeri Turk).
Syams dikenali sebagai Syams al-Din (Syamsudin) Tabriz adalah seorang sufi yang tidak mempunyai tempat kediaman yang kekal, maka dia dikenali sebagai Syams-i-Perende (Flying Syams). Dia juga dikenali sebagai Kamil-i Tabrizi (the perfect one of Tabriz), seorang yang dianggap sempurna di mana dirinya adalah seorang yang alim dan mempunyai pelbagai keajaiban yang tidak dimiliki oleh kebanyakan orang, juga sebahagian ahli sufi.
Antara keanehan Syams Tabriz (atau kadangkala dieja sebagai Syams Tibrizi) ialah setiap kali kemunculannya di mana-mana apabila dirinya mula dikenali ramai, Syams akan meninggalkan tempat itu. Sebab itulah Syams dikatakan suka "terbang", tidak kekal di sesuatu tempat dan dalam masa yang sama, tidak pernah tinggal bersama para darwish (ahli sufi) sama ada di pondok atau hadir dalam mana-mana majlis ahli sufi.
Sebut al-Aflaki: Dia melakukan perjalanan untuk mendapatkan pelajaran [menimba ilmu], baik pelajaran kemanusiaan mahupun spiritual. Dia sudah mengunjungi guru-guru utama spiritual dunia [terkenal pada zamannya]. Tetapi dia mendapati tidak ada yang menandingi dirinya. Kerana itu, para guru dari berbagai negeri menjadi murid-muridnya.
"Dia selalu mencari kekasih jiwa (Allah). Jasmaninya sentiasa diberinya busana paling kasar, menutupi keagungannya dari semua mata dengan apa yang sebenarnya merupakan pakaian spiritual yang berhiaskan permata." (Syamsudin Ahmad al-Aflaki, Tebaran Hikmah: Hikayat-Hikayat Seputar Jalaludin Rumi, terjemahan dari Legend of the Sufis: Selection from Manaqib al-'Arifin oleh Ilyas Hasan, Bandung: Penerbit al-Bayan, 1992, hal. 119).
Syams juga tidak memakai pakaian yang indah atau mewah, sebaliknya mengenakan pakaian yang digunakan secara lazim oleh para pedagang, tidak mengenakan pakaian seperti seorang Syeikh. Ertinya, dalam pemahaman saya, walaupun Syams Tabriz merupakan seorang yang alim, dia tidak menunjukkan kealimannya berdasarkan pakaian. Kalau di Malaysia, seseorang yang dianggap alim mestilah yang sentiasa memakai jubah, berserban dan berjanggut tanpa misai.
Bahkan ada cerita lucu (Kisah Pak Pandir) mengenai penampilan seorang lebai (alim) dalam cerita rakyat, yakni bagaimana Mak Andeh menjelaskan kepada Pak Pandir diskripsi seorang lebai yang perlu dipanggil untuk menguruskan anak kecil mereka yang meninggal dunia. Anak kecil itu meninggal setelah Pak Pandir memandikannya dengan air panas, ketika itu Mak Andeh ke hutan mencari herba untuk mengubati anaknya yang sering sakit-sakitan.
Pak Pandir yang "bodoh dan lurus" diminta oleh Mak Andeh untuk mencari seorang Lebai. Pak Pandir tidak tahu ciri-ciri seorang Lebai, maka Mak Andeh memberikan beberapa petua, termasuklah yang mempunyai janggut tetapi tidak bermisai. Berdasarkan petua itu, Pak Pandir membawa seekor kambing ke rumah, kerana ciri-ciri kambing itu, hanya berjanggut tidak bermisai seperti dipetuakan oleh isterinya. Kambing itu disangkanya lebai yang akan menguruskan pengkebumian anaknya.
Situasi sebegini telah banyak menyumbang kepada kemusnahan hati dan jiwa umat Islam, melahirkan kelompok yang tersesat daripada ajaran sebenar. Ia membawa kepada munculnya pemikiran jumud, pemujaan terhadap seseorang dan melahirkan masyarakat terperangkap sedangkan Islam itu adalah cara hidup yang sempurna dan terbaik. Ia juga menimbulkan pelbagai permusuhan, bahkan tindakan membunuh sesama muslim, yang dapat kita pelajari dalam sejarah selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW. Dalam masyarakat moden yang kita hidup sekarang, perkembangan sekte telah menyebabkan umat Islam bukan lagi satu umat yang bersatu, atau dalam bahasa al-Qur'an "umat yang bersaudara".
Syams Tabriz mengetepikan semuanya, kerana pada pendapatnya, pakaian tidak melambangkan kealiman seseorang. Keimanan seseorang itu adalah apa yang ada dalam diri dan kedekatannya kepada Allah SWT, tanpa ada petunjuk untuk menunjukkan dirinya seorang yang cukup beriman dan berilmu. Hal ini mengingatkan saya kepada sebuah buku (kumpulan rencana) yang ditulis oleh Maarof Salleh, Islam, Songkok dan Bahasa: Awasi Rasa Ghairah yang Boleh Membunuh, Sg. Buloh, Selangor: Kemilau Publika Sdn, Bhd., 2014. misalnya, pada halaman 89, Maarof menulis:
"Suatu ketika dahulu, memakai songkok seolah-olah menjadi syarat penampilan identiti Melayu dan beragama sehingga bersongkok menjadi amalan tradisi pada hari-hari kebesaran Melayu dan agama.
"Sewaktu di zaman persekolahan dahulu, saya dan rakan-rakan yang bersolat di Masjid Bencoolen pernah beberapa kali diserkupkan dengan songkok ketika kami sedang rukuk atau duduk di antara dua sujud, oleh petugas masjid tersebut. Bagi beliau, perbuatan tidak bersongkok itu menjejaskan kesempurnaan solat seseorang."
Sebelum bertemu Syams, Rumi sering memakai pakaian seperti lazimnya digambarkan sebagai seorang berilmu, atau intelek. Pertama kali bertemu dengan Jalaludin Rumi secara kebetulan di pasar di Damaskus. Rumi dikatakan tinggal (belajar) di Damaskus antara empat atau tujuh tahun. Ketika itu, Syams memakai peci [seperti topi bulat] khas berwarna hitam. Jalaludin masih menimba ilmu. Jalaludin cuba menghindari daripada bersemuka dengan Syams, walaupun Syams menegurnya.
Tidak lama kemudian, Rumi meninggalkan Damaskus untuk pulang ke Konya. Dalam perjalanan itu, Rumi singgah di Qaisariyah (Kayseri) untuk bertemu gurunya, Sayyid Burhanuddin (Burhan). Di situlah Rumi diarahkan untuk berpuasa selama tiga musim, dan setiap musim selama 40 hari. Ritual itu dipanggil chila.
Pertemuan kedua berlaku di Konya. Syams tiba di Konya pada waktu fajar hari Sabtu, 25 Jamadul Akhir 642H (Disember 1244). Rumi ketika itu merupakan seorang guru di empat buah perguruan tinggi di Konya. Tulis al-Aflaki:
"Orang agung ini, setelah mendapatkan kesucian sedemikian rupa di Tabriz, sebagai murid seorang suci, seorang pembuat keranjang, mengadakan perjalanan di berbagai negeri, dalam rangka mencari guru-guru spiritual terbaik, sehingga dia mendapatkan julukan Perenda (penerbang, burung dan sebagainya, Flying).
"Dia memohon kepada Allah agar diberi petunjuk untuk dijadikan guru baginya, seorang guru yang boleh mengajarkan lebih jauh tentang misteri-misteri cinta Illahi.
"Putra Bahaudin Walad dari Balk digambarkan kepadanya sebagai seorang yang paling takwa kepada Allah. Mendengar itu, Syams pun gambaran [bergegas] pergi ke Konya.
"Dia tinggal di sebuah rumah penginapan, berlagak seperti seorang pedagang besar. Tetapi, di biliknya, yang ada hanyalah sebuah kendi air yang sudah pecah, sebidang tikar lusuh, sebuah penyangga [alas tidur, bantal] dari lempung [tanah liat] mentah. Dia melakukan puasa hanya sekali dalam setiap sepuluh atau dua belas hari, dengan sepiring kaldu [air rebusan daging seumpama kuah sup] kaki domba [binatang berbulu, kambing, atau biri-biri].
"Suatu hari, ketika dia sedang duduk-duduk di pintu gerbang rumah penginapan itu, Jalal lewat dengan menaiki seekor baghal [keldai], di kelilingi oleh murid-muridnya yang berjalan kaki.
"Syamsudin lalu bangkit berdiri, melangkah ke arah Jalal dan memegang tali kekang baghal, seraya menegur Jalal dengan berkata: "Wahai pedagang mata wang yang nilainya tidak banyak diketahui orang, yang mengetahui nama-nama Tuhan! Katakan: Apakah Muhammad itu hamba Allah paling agung, ataukah Bayazid dari Bistham? [tokoh sufi Iran terkenal, nama penuhnya, Abu Yazid bin Isa bin Suraya al-Bustami, 804-874M).
Rumi terus menjawab: Muhammad tidak pelak (keliru, salah) lagi adalah yang paling agung - yang paling agung di antara para nabi dan semua wali.
"Lalu," pintas Syamsudin, "mengapa Muhammad sampai berkata: 'Kami tidak mengenal-Mu, Wahai Tuhan, seperti seharusnya Engkau dikenal,' sedangkan Bayazid mengatakan: Mahasuci aku! Betapa agung kesucianku?"
"Mendengar jawapan ini, Jalal pun pengsan. Ketika siuman [sedar], Jalal membawa kenalan barunya itu ke rumahnya. Mereka berdua mengurung diri di dalam bilik kecil selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan dalam satu komunikasi yang suci.
"Murid-murid Jalal akhirnya menjadi tidak sabar, sehingga terjadilah kegaduhan [pergaduhan]. Maka pada hari Khamis tanggal 21 Syawal 643H (Mac 1246M), Syamsudin secara misterius hilang; dan Jalal memakai, sebagai tanda-tanda berkabung atas hilangnya Syamsudin, peci berwarna kuning sawo matang dan mantel lebar seperti yang dikenakan oleh para darwish dari tarekatnya.
"Juga sekitar pada masa inilah dia untuk pertama kalinya menciptakan kebaktian muzikal yang dipraktikkan oleh tarekat itu, iaitu pada saat mereka melakukan tarian khas mereka.
"Semua yang terbuai muzik dan akhirnya mereka pun menari. Orang-orang yang fanatik merasa keberatan terhadap hal ini, dikarenakan mereka iri hati. Mereka berkata bahawa Jalal itu orang gila, persis seperti perkataan para kepala suku Makkah terhadap Nabi SAW. Penyakitnya diduga disebabkan oleh pengaruh buruk Syamsudin Tabrizi." (Syamsyudin Ahmad al-Aflaki, hal. 40-42).