NABASTALA JUANG: BATAS RUANG DAN ACUAN PEMIKIRAN
Entah mengapa saya cukup tertarik dengan novel NABASTALA JUANG, karya Yusi Alfatih, penulis muda Indonesia yang bijak menyusun plot twist dan menyelinap masuk pelbagai fahaman yang merosakkan akidah Islam. Beliau cuba "melawan" kelompok-kelompok yang semakin berkembang dengan fahaman liberal, pluralisme agama dan cuba menghentam keras feminis, dalam gaya bahasa yang sesuai dengan pembaca, golongan muda.
Bukan mudah untuk "melawan" liberalisme, pluralisme dan feminisme yang semakin membengkak dalam pemikiran umat Islam, kerana aliran-aliran pemikiran itu telah lama menyarungkan makna kebebasan dan pasca nilai tradisi, serta teologi (faham keagamaan asli).
Novel NABASTALA JUANG ini bukanlah novel pertama yang membincangkan persoalan sedemikian, bahkan jauh lebih awal sudah muncul trilogi novel Kemi (Kemi: Cinta Kebebasan Yang Tersesat, 2010; Kemi 2: Menelusuri Jejak Konspirasi, 2012; dan Kemi 3: Tumbal Liberalisme, 2015) karya Dr Adian Husaini, atau gementar rasa marah ke atas Hasan dalam novel Atheis (1949), karya Achdiat Karta Miharja yang pernah menjadi salah sebuah novel dalam mata pelajaran sastera peringkat SPM tahun 1970-an.
Kalau dalam Atheis, Hasan yang dididik dalam laluan pendidikan tradisi boleh terpengaruh dengan faham kebebasan berfikir sehingga melupakan agama asal, maka dalam Nabastala Juang kita menemukan persoalan aliran pemikiran yang muncul dari barat cukup besar ancamannya. Aliran pemikiran masuk menyelinap dalam kotak fikir, yakni menerusi asas pendidikan sekular yang cuba menafikan peranan Tuhan.
Mereka binakan kerangka ilmiah yang berdasarkan pemikiran falsafah dan rasional, sehingga mereka cuba menyamakan setiap agama atas maknanya yang sama, iaitu mengajar tentang kebaikan seseorang. Namun, titik tertinggi dalam agama mereka cuba pesongkan sehingga ada yang berani berkata bahawa "Tuhan telah mati". Ironinya, "Tuhan Telah Mati" itulah yang mematikan orang yang membuat "kematian Tuhan oleh tangannya sendiri. Ia berlaku kepada seorang pemikiran besar yang sampai kini masih dianggap sebagai seorang ahli falsafah tersohor, Fredriech Nietzsche.
Dalam masyarakat barat, kata Dr Ali Al-Farabi dalam satu forum di Gedung Afrakul Islam: "Sejak awal, konsep mereka sudah tidak jelas sehingga banyak yang mengarang konsep itu agar bisa diterima manusia....
"Tidak hairan jika di Barat memahami bahawa agama itu hanyalah fanatisme. Bahkan, ketika ada seseorang yang mengatakan bahawa muzik adalah agamaku, cinta adalah agamaku, vodka adalah agamaku, dan sebagainya. Di Barat sudah tidak ada lagi dianggap asing. Itulah salah satu akibat dari ketidakjelasan konsep agama.....
"Saya yakin, di dalam kitab mana pun, kalian tidak akan pernah menemukan konsep selengkap Islam. Dari segi penamaan saja, Allah telah jelas menyebutkan dalam al-Qur'an "innaddiina 'indalllahil Islam'. Islam adalah agama yang diterima oleh Allah.
"Suasana auditorium siang itu hening. Semua pasang mata terfokus pada sang pembicara. Pembawaannya yang tenang membuat semua orang terkesima.
Lanjut Dr Ali: "Dulu Socrates pernah berkata:"Wahai warga Athen! Aku percaya pada Tuhan, tetapi tidak akan berhenti berfilsafat. Artinya, dia beriman, tapi tetap akan menggambarkan Sang Pencipta dengan akalnya sendiri...
"Atau seperti Nietzsche yang menganggap bahawa Tuhan hanyalah realitas subjektif dalam fikiran manusia. Konsep Tuhan rasional inilah yang justeru menjadi bahan subur bagi ateisme. Sebab kata mereka, Tuhan bisa dibunuh! Dan yang membinanya adalah manusia."
.....
"Kalian mungkin sempat mendengar buku yang pernah ditulis oleh Neale Donald Walsh berjudul Tomorrow's God. Katanya, Tuhan dan agama-agama yang telah ada dari zaman dahulu, tidak cocok lagi dipakai di zaman sekarang, sehingga mereka menganggap Tuhan harus sesuai dengan apa yang mereka gambarkan. Bahkan, mereka merasa peranan manusia harus lebih dominan daripada Tuhan...Ini semua adalah contoh rusaknya konsep Tuhan mereka." (NABASTALA JUANG, hal. 105-106).
Sebelum meninggal, Nietzsche mengalami pelbagai kemelut pemikiran dan gelojak jiwa yang membawanya kepada hilang kendali diri. Kemasyhuran akademiknya terjejas biarpun karangannya terus berjaya membina ruang pengaruh pemikiran. Umat Islam juga tidak terkecuali daripada "rempuhan pemikiran Nietzsche" yang hingga kini menjadi ancaman terhadap pemikiran Islam. Sebenarnya, soal rempuhan pemikiran falsafah sudah pun berlaku sejak zaman keemasan Islam lagi, terutama di akhir Dinasti Umayyah dan semasa kegemilangan Dinasti Abbasiyah.
Dalam Nabastala Juang, asalnya nama sebuah portal media sosial yang berusaha untuk melawan arus pemikiran tersebut yang dikendalikan oleh Zaydan Nabastala, calon pelajar sarjana yang berusaha untuk mengembalikan semula Universitas Muslim daripada Universitas Kapital. Universitas Muslim ditubuhkan di atas tanah wakaf seorang Muslim oleh cendekiawan Muslim alumni Timur Tengah.
Perjalanan mengembalikan asas Universitas Muslim bukan satu hal yang mudah, penuh ranjau dan masalah, kerana yang mendokong fahaman lelehan pemikiran barat itu cukup kuat. Bahkan, muncul pelbagai bentuk ganas, ugutan dan ancaman. Kegigihan melawan -pemikiran - dan kecekalan membentuk strategi menentukan kejayaan, dengan niat yang tulus dan tidak mudah patah semangat biarpun nyawa terancam.
Apa yang cuba diselit dalam perjuangan itu perlu dilakukan dari dalam, kerana penyelewengan sudah terlalu jauh ke dalam sehingga manusia-manusia akademik sudah hanyut dalam kelenaan teori dan perebutan kuasa. Tetapi, kesemuanya berjaya dilaksanakan oleh sekelompok mahasiswa, dan akhirnya, zuriat pengasasnya dapat dikembalikan dan yang cukup menarik, plot percintaan turut dijadikan mood penceritaan dalam bingkai moral, bukan seperti yang diamalkan oleh mahasiswa moden yang liberal dan berfikiran bebas.
Sebuah kisah yang cukup menarik, dan wajar dibaca oleh para siswa dan siswi yang cintakan "perjuangan Islam" dalam laras kembali ke akar dan makna peradaban, bukan sekadar semangat semata-mata. Sebuah novel yang cukup menarik dan berwawasan.
KAMARUN KH
