“SINGA BETINA” MELAWAN TIRANI ISRAEL
Tiga tahun lalu (2022), ketika berusia 21 tahun, seorang gadis yang lahir dan membesar dalam cengkaman kebrutalan rejim Israel menghasilkan sebuah buku memoir yang diberi judul, They Called Me a Lioness: A Palestinian Girl’s Fight for Freedom (London: Oneworld, 2022, setebal 288 halaman). Gadis itu ialah Ahed Tamimi. Beliau lahir pada 31 Januari 2001 di Desa Nabi Saleh, Tebing Barat.
Nabi Saleh letaknya sekitar sekitar 20 kilometer daripada Ramalah, dalam wilayah Palestin. Masa perjalanan ialah sekitar 30 minit, tetapi kerana terpaksa melalui pelbagai sekatan, pemeriksaan dan soal-jawab, jika diberikan kebenaran melintas, masa perjalanan yang terpaksa ditempoh boleh mencecah lebih tiga jam atau setengah hari.
Lokasi sekatan oleh pihak penjajah cukup meletihkan, bahkan kadangkala sangat menyeksakan. Seseorang yang berada di lokasi tersebut, bukan sahaja terpaksa beratur dalam keadaan cuaca panas, kadangkala disiasat dengan alasan yang cukup kabur biarpun mempunyai ‘pas melintas’. Kalau ianya adalah warganegara Israel, ia turut ditandai dengan diskriminasi, terutama dalam kalangan keturunan Arab-Palestin, yang dianggap tarafnya lebih rendah dan dilayan teruk, melebihi kelas ketiga.
Namun, yang paling sedih ialah apabila terpaksa berdepan dengan pengawal lokasi, yakni tentera Israel. Mereka sengaja melengah-lengahkan proses pemeriksaan, kadangkala melakukan tindakan yang cukup ganas, menembak atau melakukan apa sahaja yang disukainya tanpa syarat atau bukti.
Dalam keadaan biasa, untuk melintasi pusat kawalan tersebut, jika berkereta akan diwajibkan berbaris. Tanpa kecuali kanak-kanak mahupun mereka yang akan ke rumah sakit. Itu adalah suatu tindakan yang cukup kejam, bahkan ada pesakit tidak dapat dikejarkan ke rumah sakit, meninggal di pusat kawalan. Ia adalah sebahagian proses atau kaedah genosid yang dilaksanakan, dengan harapan secara begitu (tanpa rawatan) lebih ramai rakyat Palestin mati, dan Israel tidak boleh dipersalahkan. Walaupun mangsanya adalah daripada kekejaman peneroka haram yang didokong oleh tentera rejim haram.
Atas tekanan-tekanan, situasi penjarahan, pengalaman peribadi pernah ditahan selama lapan bulan (19 Disember 2017 hingga 29 Julai 2018), gadis itu akhirnya menceritakan pelbagai pengalamannya, termasuk sebahagian kecil pengalaman keluarga, kedua orang tua, rakan-rakan dan penduduk Nabi Saleh yang pernah dilalui mereka.
Selain itu, Ahed turut menyertakan pandangan dan kritikannya ke atas kuasa yang menjadikan Israel cukup brutal, melanggar undang-undang antarabangsa, juga hukum kemanusiaan dan amalan agama Yahudi yang menjadi suntikan (motivasi) terbesar kemunculan negara haram Israel, yang menumbukan ideologi Zionisme.
Penulisan buku itu mendapat bantuan Dena Takruri (wartawan Amerika-Palestin). Dena adalah penerbit berita dalam talian (saluran AJ) yang dimiliki oleh Al-Jazeera Media Network. Buku ini disenarai pendek bagi Anugerah Buku Palestin 2023. Ketika buku itu ditulis, Ahed sedang belajar undang-undang. Pada andaian saya, kini, Ahed sudah pun menamatkan pengajiannya. Pusat pengajiannya mungkin Universiti Berzeit, tempat di mana ayahnya pernah belajar, dan menjadi lokasi pilihan ayahnya ketika Ahed mula menyatakan cita-citanya untuk menjadi seorang peguam.
Akhir Januari 2025, Ahed bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-24. Namun, sekitar bulan November 2023, Ahed sekali lagi mendekam di penjara Israel selama tiga minggu. Ahed dibebaskan pada 29 November 2023, apabila disyaki menyeru dan mengancam ‘membunuh’ semua peneroka haram (illegal settlers) dan tentera Israel (Israel Defense Force, IDF).
Ketika ditahan, IDF melaporkan Ahed telah membuat seruan ancaman membunuh terhadap semua peneroka-penjajah (termasuk anggota IDF, ahli politik dan perampas tanah air). Namun ibunya, Nariman menafikan mesej itu dimuatnaik ke akaun instagram. Sebabnya, nama Ahed telah digunakan oleh ramai orang, sama ada sebagai tanda solidariti mahupun untuk tujuan eksploitasi. Ahed juga tidak mempunyai akaun instagram.
Menurut ibunya, dakwaan ke atas Ahed adalah palsu. Ia merupakan eksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Ia mungkin sebagai satu bentuk provokasi bagi menangkap ahli keluarganya. Ahed, kini dianggap sebagai simbol perjuangan generasi ketiga Arab-Palestin.
Generasi pertama Palestin adalah mereka yang berperang melawan Israel ketika permulaan pendudukan haram (1948). Generasi kedua ialah anak-anak pelarian Palestin yang lahir dan membesar di kem-kem pelarian selepas Perang Enam Hari (1967), yang menjadi kekalahan mutlah negara-negara Arab, terutama Mesir di bawah kepimpinan Gamal Abdel Nassir (1918-1970).
Antaranya, Ismail Haniyeh (lahir di kem al-Shati tahun 1962, meninggal 31 Julai 2024 di Teheran). Dalam serangan balas Israel selepas 7 Oktober 2023, kem al-Shati turut menjadi sasaran. Sebelumnya, iaitu ketika menyambut Aidilifitri 2023, Israel telah membunuh ahli keluarga Ismail Haniyeh, termasuk tiga orang anak lelaki – Hazem, Amir dan Mohammad- dan tiga orang cucu; dan Yahya Sinwar (lahir 1962 di Khan Yunis (ada pelbagai ejaan mengenainya, Khan Younis atau Khan Yunus, terletak di Gaza Selatan). Sebelum kurun ke-14, ia dikenali sebagai Salqah dan menurut banci, pada tahun 2017 populasinya seramai 205,125 orang. Yahya Sinwar meninggal pada 16 Oktober 2024 di Gaza setelah dua bulan dipilih memimpin Hamas menggantikan Ismail Haniyeh. Berita kematian itu disahkan oleh IDF. .
Ketika mengulas mengenai tragedi tersebut, Ismail Haniyeh berkata: Darah anak-anak lelaki saya bukan lebih utama daripada darah rakyat kami.” Awalnya, diduga dengan kematian tiga anak lelakinya, Ismail Haniyeh yang terkenal dengan sikap dan tindakan berdiplomasi, yang menjadi tenaga utama ‘proses perdamaian konflik’ terus menjadi sasaran, akan lemah semangat.
Sebabnya, Israel memang dikenali dengan kejahatan yang tidak ada tolok banding, bahkan lebih kejam daripada Adolf Hotler, pemimpin yang dibenci oleh Israel sendiri. Ada yang menyamakan Perdana Menteri Israel, Benjajim Neetanyahu dan bekas Perdana Menteri, Ariel Sharon sebagai jelmaan Dajjal. Kelompok Dajjal tidak sukakan kepada keamanan dan kedamaian. Itulah dapat kita saksikan menerusi rentetan sejarah, konflik Palestin-Israel tidak pernah berakhir dengan perdamaian yang benar-benar boleh difahami sebagai perdamaian.
Dalam perundingan terkini, Hamas bersetuju untuk membebaskan 34 orang rakyat Israel, yang telah ditawan. Namun Israel terus berdolak-dalik kerana Benjamin Neetanyahu belum berpuas hati dengan kekejaman yang dilakukannya. Pelbagai helah dicipta, kerana jika bersetuju, Israel wajib menghormati hak Palestin sebagai sebuah negara merdeka, kembali kepada kepunyaan wilayah asal yang dibuat oleh PBB pada tahun 1947, dan tidak menyekat kepulangan pelarian Palestin yang berada di beberapa buah negara jiran. (Berita Harian, 6 Janruari 2025).
Jika ada gencatan senjata dibuat, ia tidak akan dihormati sepenuhnya. Israel akan cepat bertindak untuk melanggarnya. Sebagai tindakan yang sering dibuat ialah melancarkan provokasi. Ariel Sharon pernah melakukan hal yang sedemikian, setelah tamat Perang Enam Hari (Jun 1967), dilakukan percubaan ‘menghina dan menyerang umat Islam yang sedang beribadat di Baitul Maqdis.
Provokasi itu mencetuskan kemarahan umat Islam, dan ketika itulah Israel berdalih, serangan atau penggunaan tentera adalah dengan tujuan ‘mempertahankan diri’ dan ‘menjamin keselamatan Israel’. Jika ada rundingan damai dibuat, dengan berperantarakan beberapa buah negara tetangga, Israel akan terus mencari helah untuk ‘tidak bersetuju’ dan dalam masa yang terus menyerang penduduk dan rakyat Palestin.
Resolusi PBB, tidak pernah dipatuhi, Israel mengetepikannya kerana para politikusnya mempunyai kekebalan, yang didokong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Setiap kali ada cadangan mengenakan tundakan ke atas Israel, Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa vetonya, menolak tanpa alasan kukuh dan membelakangkan apa yang diyakininya sebagai prinsip hak asasi dan kebebasan yang menjadi teras sistem demokrasi.
Ahed Tamimi adalah kelompok yang lahir sebagai “generasi ketiga”, jika diambil berdasarkan period sejarah penaklukan keja. Generasi ketiga bermaksud, mereka yang lahir daripada kalangan generasi kedua, generasi yang menjadi pejuang lantang pembebasan Palestin selepas Perang Yom Kipur pada tahun 1973.
Generasi ketiga mempunyai kemahiran lunak (soft skill) yang sangat berbeza, mereka hidup dan dibesarkan dalam era digital. Sebab itulah mereka cukup mahir dan bijak menggunakan media sosial sebagai bentuk atau aksi ‘melawan’ ketidakadilan penjajah. Mereka juga digelar sebagai generasi milenial, mahir menggunakan peranti dan gemar merakamkan apa sahaja yang dilihatnya, selain berkongsi dan menyertakan emoji marah, sakit hati dan sebagainya.
Dalam istilah Marc Prensky, generasi tersebut digelar ‘digital native’ manakala generasi sebelumnya ialah ‘digital immigrant”. “Penduduk asal digital” atau ‘digital native” dimaksudkan adalah “people who have grown up under the ubiquitous influence of the internet and other modern information technology”.
Penghijrah digital (digital immigrant) ialah mereka yang lahir sebelum era digital, tetapi dewasa dan berkembang semasa ledakan teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh keran itu, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan ‘kehendak zaman’ tetapi pada awalnya terkial-kial untuk menggunakan pelbagai kemajuan hardware dan software yang berada dalam ‘tong sampah’ ICT (Information and Communication Technology).
Sebabnya, kelompok ini masih berada dalam ‘keseronokan tradisi’ dan ‘kecekapan lama yang berasaskan manual’. Kini, sama-sama larut dengan perkembangan tersebut sehingga mula membudayakan hal-hal yang cukup sepele atau semberono, yang merasakan keseharian tidak bermakna tanpa bertemankan gajet. Itulah yang menjadi salah satu hebatnya gajet, dan keburukannya juga banyak, meningkatnya hoax, penipuan internet dan aktiviti scammer. Kini berkembang pula istilah ‘internet of thing, IoT’, dan sedang melangkah ke fasa kecerdasan buatan (artificial intelligence) serta Rovolusi Industri ke-4 (Forth Industrial Revolution).
Sebahagian besar apa yang dirakamkan dimuat naik ke media sosial, dan kerana itu, generasi ketiga ini ‘sangat ditakuti oleh Israel’. Mereka berjaya mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana orang-orang Palestin diperlakukan kepada masyarakat dunia. (Marc Prensky, “Digital Natives, Digital Immigrants”, 2001, https://www.marcprensky.com)
Mereka adalah sebahagian ‘citizen journalist’ walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang kewartawanan. Mereka adalah kelompok terbesar dalam komuniti siber atau cybernation yang membentuk era digital (digital age). Kelompok ini menjadi aktivis yang telah mencetuskan Arab Spring bermula di Tunisia menjelang akhir 2010 dan menjatuhkan penguasaan tiga dekad Hosni Mubarak (1928-2020) sebagai pemimpin Mesir yang pro-Amerika, yang juga dilihat ada unsur-unsur diktator. (Wael Ghonim, Revolution 2.0: The Power of the People is Greater Than the People in Power, Boston: Mariner Books, 2013).
Kesan daripada ‘serangan Hamas ke atas Israel’ pada 7 November 2023, ia telah membangkitkan semula semangat perlawanan dalam kalangan masyarakat dan anak muda Palestin di Tebing Barat. Ia menggambarkan solidariti dan dokongan kepada Hamas yang memperjuangkan ‘kemerdekaan Palestin’ lebih besar berbanding Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin, yang dilihat semakin hilang asas perjuangan dan keinginan untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan.
Sebahagian daripada pentadbir PA (Palestinian Authority) dikatakan sudah ‘dibeli’ oleh Israeal dan ada di antaranya mula mempamerkan gaya hidup mewah. Dalam beberapa demonstrasi yang dianjurkan para aktivis pembebasan Palestin selepas PA membentuk pentadbiran di Tebing Barat, terdapat beberapa kali percubaan pasukan keselamatan membelasah penunjuk perasaan yang menentang kezaliman rejim penjajah.
Dalam konflik Gaza terbaharu, suara-suara pemimpin PA tidak kedengaran, mereka seolah-olah bersetuju dengan tindakan Israel membumiratakan Gaza dan membunuh lebih 45,800 orang rakyat Palestin, mencederakan lebih 100,000 orang serta ribuan bangunan (rumah, kem pelarian, hospital, sekolah, petugas antarabangsa dan paramedik). Penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussain Abu Safiya kerana enggan meninggalkan pesakit yang sedang dirawatnya.
Israel sebelum itu turut meluluhlantakkan beberapa buah hospital, menyekat ubat-ubatan dan membiarkan pesakit mati manakala para medik ikut terbunuh dalam serangan gilanya, yang menggunakan alasan, aktivis Hamas bersembunyi di premis-premis awam seperti hospital, sekolah dan rumah ibadat.
Menariknya lagi, antara Hamas dan Fatah berlaku beberapa konflik sehingga ada tindakan saling ‘membunuh’ atau ‘melumpuhkan’. Fatah yang merupakan sayap politik PLO (Palestine Liberation Organisation) yang pernah berjuang untuk pembebasan Palestin semakin kabur atau hilang arah apabila beberapa tindakannya dilihat ‘menjaga hubungannya dengan Israel.
Hamas yang dikembangkan daripada gerakan Ikhwanul Muslimin, menjadi sarana perjuangan penduduk Gaza untuk melawan ketidakadilan dan menyaingi Fatah. Hamas ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz Rantissi. Tahun 2004, rakyat Palestin kehilangan tiga orang tokoh perjuangan pembebasan Palestin, Syeikh Ahmada yang berkerusi roda dibunuh dalam serangan awal pagi (selepas solat Subuh) pada 22 Mac, dan diikuti dengan pembunuhan penggantinya, Dr Abdul Aziz Rantissi pada 17 April 2004.
Yasser Arafat yang memimpin PLO dan menandatangani Pejanjian Oslo tahun 1993 meninggal pada 11 November 2004. Yasser dikatakan meninggal akibat darahnya mengandungi racun (arsenic) dalam jumlah yang banyak. Akhirnya, punca kematian Yasser Arafat adalah disebabkan racun, yang dikatakan usaha pasukan sulit Israel. Pembnuhan Syeiikh Yassin dan Dr Abdul Aziz dilakukan oleh Haganah, pasukan separa militer yang ganas dan telah diserap masuk ke dalam IDF selepas negara haram Israel terbentuk,
Walaupun China berjaya merintis ‘penyatuan’ semula Hamas (Deklarasi Beijing, 23 Julai 2024) Fatah dan 12 buah pertubuhan lainnya bersetuju bekerjasama dan meredakan konflik masing-masing. Namun, secara praktiknya, Hamas dan Fatah belum mencapai sinergi dalam menyusun strategi dan tindakan bersama menyelesaikan konflik, termasuk konflik dengan Israel yang berlarutan sejak tahun 1948.
Ini dapat dilihat menerusi pergolakan di Gaza, yang mendapat sokongan penduduk Tebing Barat, ada laporan bahawa anggota keselamatan PA ikut membelasah para penunjuk perasaan yang mahukan Israel hentikan serangan dan melaksanakan gencatan senjata sebagaimana diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Terbaharu, apabila al-Jazeera meliputi dengan kerap dan cekap mengenai apa yang berlaku di Gaza, menyebabkan imej PA kurang menonjol, persepsi awam mula mempersoalkan yang dilakukan oleh PA untuk mempertahankan Gaza dari terus dihentak kerak tanah oleh Israel.
Beberapa hari lalu, PA mengambil keputusan ‘mengusir’ semua aktiviti al-Jazeera di Tebing Barat, atas alasan kurang mendokong mereka dan melaporkan berita yang disifatkan sebagai menghasut. (Yolande Knell, “Palestinian Authority suspends al-Jazeera TV channel in West Bank”, 2 Januari 2025, https://bbc.com/news/articles/cvgmxzyrmn8o).
Kita kembali kepada cerita dan keberanian Ahed Tamimi, seorang gadis cilik (2017, berumur lewat 16 tahun) yang berani mencabar, menampar dan menengking tentera Israel yang lengkap berpakaian seragam dan senapang. Senjata yang dimiliki dan berada di tangan tentera tidak sedikit pun menggentarkan emosinya untuk berdiam diri.
Ahed keluar dari rumah dan berada di jalan di hadapan rumah dengan marah dan tegas menghalau tentera Israel yang cuba mendapat ruang lebih baik untuk menembak para penunjuk perasaan, juga mencari penghadang dari terkena balingan batu.
Peristiwa itu berlaku pada 15 Disember 2017. Empat hari kemudian, Ahed dibawa ke penjara Israel setelah seramai 30 orang anggota IDF menyerbu rumahnya pada jam 3 pagi.
Kata ibunya ketika melawat Ahed, wujud beribu akaun yang menggunakan namanya. Ahed sendiri tidak mempunyai akaun instagram, walaupun beliau merupakan seorang anak muda Palestin yang kental berjuang untuk mengusir penjajahan. Ahed, sejak kecil sudah terbabit dalam perjuangan pembebasan Palestin dan merasai pedihnya hidup di bawah penjajahan.
Sejak awal remaja, Ahed sentiasa merakamkan apa saja yang berlaku di sekitar Nabi Saleh, terutama berhubung dengan protes dan tunjuk perasaan, serangan para peneroka haram untuk menghalau rakyat Palestin, merampas, meroboh dan memusnahkan tanaman, juga pembinaan tembok penghalang. Footage itu disebarkan dengan ulasan minimum ke media sosial.
Ahed, seorang gadis pendiam, berbadan kurus, berambut kerinting (warna perang) dan bermata hijau. Ahed merupakan anak perempuan tunggal pasangan pejuang Palestin tanpa kekerasan, Bassem Tamimi dan Nariman al-Tamimi. Zaman kecilnya, Ahed berhasrat menjadi seorang pemain bola sepak dan dia cukup gemar menghabiskan masanya bermain-main bola sepak bersama rakan-rakan dan saudaranya.
Ahed cukup meminati aksi dan skill permainan Neymar Jr (Neymar da Silva Santos Junior), pemain bolasepak yang berasal dari Brazil, dan kini bermain untuk pasukan al-Hilal, Arab Saudi. Sebelumnya menjadi tunggak Barcelona (2013-2017), Paris St-Germain (2017-2023) dan Santos (2009-2013). Kelab bola sepak yang diminatinya ialah Barcelona, iaitu salah sebuah kelab di mana Neymar Jr pernah menyertai.
Bassem dan Nariman dianugerahkan empat orang cahaya mata dan Ahed merupakan anak kedua, puteri tunggal. Ben Enrenriech ketika membuat liputan di Nabi Saleh untuk majalah Harpers (USA) pada tahun 2012 menceritakan sosok pasangan aktivis di Nabi Saleh, sebagai koordinator tunjuk perasaan pada setiap kali selepas solat Jumaat sejak tahun 1990-an:
“Nariman, isteri Bassem, muncul dari bahagian belakang rumah dengan satu-satunya anak perempuan mereka. Ahed, seorang gadis yang kurus, berambut perang dan bermata hijau bersinar seperti ibunya. Nariman tersenyum dan duduk sambil menyikat rambut Ahed. Ahed baru berusia 11 tahun ketika itu, menggerenyet-renyet apabila rambutnya disikat. Dia seorang yang pendiam dan jarang-jarang bercakap, tetapi sebenarnya dia bukan pemalu.
“Walaupun ketika tidak melakukan apa-apa, dia sentiasa kelihatan berjaga-jaga, seolah-olah ada seutas dawai tegang di sepanjang tulang belakangnya.” (Ben Ehrenreich, Selagi Bernyawa: Kisah dan Kematian di Palestin, edisi terjemahan dari The Way to the Spring: Life and Death in Palestin (2016) oleh Zainora Muhammad, Shah Alam: Kelab Buku Sdn Bhd., 2024, hal. 30. Rujukan selanjutnya, disingkatkan kepada Selagi Bernyawa).
Autobiografi Ahed muncul selepas empat tahun sebuah buku yang didedikasikan untuk membantu mengutip dana bagi membolehkan gadis pemberani itu berhadapan dengan pelbagai stiuasi setelah ditangkap secara tidak beretika oleh askar Israel (seramai 30 orang) pada jam 3.00 pagi, 19 Disember 2017.
Buku tersebut ialah Ahed Tamimi: The Girl Who Fought Back diterbitkan di Sweeden (April 2018), ditulis oleh Manal Tamimi, Paul Heron, Paul Morris dan Peter Lahti. Ketika buku itu siap ditulis, Ahed sudah tiga bulan dipenjarakan. Turut berada dalam penjara ialah ibunya, Nariman al-Tamimi.
Sebaik sahaja buku itu diterbitkan, usaha menterjemahkan ke pelbagai bahasa giat dijalankan. Antaranya ke bahasa Indonesia dan diterbitkan dengan judul Ahed Tamimi: Gadis Palestina Yang Melawan Tirani Israel oleh Ingrid Dwijani Nimpoeno dan diterbitkan oleh PT Mizan Pustaka, Bandung, Oktober 2018. Dalam siri rencana ini, saya digunakan singkatan Gadis Palestina.
Buku ini telah menyebabkan Ahed semakin dikenali oleh masyarakat dunia. Ia dikenali sebagai wanita generasi baharu yang berani melawan kezaliman, dan hasilnya, semakin tidak boleh dinafikan oleh rejim penjajah. Ahed cukup mahir dalam memaparkan kekejaman rejim dan menyebarkannya menerusi laman sosial, sehingga sebahagiannya menjadi cukup menular, meninggalkan kesan yang mendalam.
Dalam buku ini, turut disenaraikan 16 klip video yang boleh diakses dengan menggunakan kod QR (kod dua dimensi matrik yang mula diperkenalkan pada tahun 1994 oleh Denso Wave daripada Jepun) pada halaman 227-229.
Maka, tidaklah hairan kemunculan berita-berita yang bersifat ‘citizen journalist’, rakaman-rakaman video ‘on time’ oleh anak muda Palestin dianggap sebagai ‘electronic intifada’.Ia telah berjaya membuka mata masyarakat dunia, dan menafikan apa yang dilaporkan oleh saluran media antarabangsa yang bersifat propaganda. .
Masyarakat antarabangsa semakin terdedah dengan ‘kejadian sebenar’ atau realiti politik Palestin. Komen-komen dianggap lebih adil dan menepati cerita, malah mampu menangkis apa yang dilaporkan oleh oleh agensi berita dan firma perhubungan awam yang dikawal oleh aktivis dan kapitalis Yahudi. Itulah yang disifatkan oleh Peter Lahti, seorang wartawan yang menyusuri konflik Palestin-Israel berdasarkan akar sejarah di salah satu bab dalam Gadis Palestina (Bab 2: Tamparan dengan Akar Sejarah).
Ahed yang dihadapkan ke mahkamah tentera, terpaksa mengaku salah dalam sistem undang-undang yang tidak ada istilah ‘tidak bersalah’. Proses penahanan dan soal siasat, kesemuanya dikendalikan oleh pihak tentera. Mereka ditahan, tanpa maklumat yang lengkap, dipaksa untuk membuat pengakuan dengan pelbagai cara.
Ketika disoal siasat, dengan soal siasat yang berpanjangan, dikenakan tekanan mental dan emosi, akhirnya menyebabkan kebanyakan tahanan ‘mengaku salah’. Pengakuan itulah digunakan sebagai asas pengadilan, yang juga dikendalikan oleh pihak tentera.
Tidak ada apa yang dinamakan ‘natural justice’. Sesiapa saja yang ditahan, disyaki dan dicurigai oleh IDF, dalam prejudis yang keterlaluan, bagi mereka ‘rakyat Palestin’ punca segala masalah yang berlaku, pemangsa dan rakyat Israel adalah mangsa.
Hingga kini, kisah Israel bermain wayang sebagai mangsa cukup banyak kita dengar, bahkan kadangkala kita seperti ‘terhibur dalam kemarahan’ bila pemipin Israel dan sekutunya membuat kenyataan
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
