TOK SELEHOR: BIOGRAFI ULAMA REFORMIS YANG MEMAGAR AKIDAH ISLAM (II)
Menariknya, pada suatu ketika Tok Selehor pernah diancam para perompak di tengah-tengah perjalanan menuntut ilmu. Tok Selehor yang mempunyai kebolehan bersilat, berjaya menakutkan kumpulan perompak, dan dikatakan mereka tidak lagi berminat mengganggunya.
Semasa mula belajar di Patani, Tok Selehor memondok di Pondok Bendang Daya dikatakan membawa ciri-ciri "anak muda gedebe" dengan berambut panjang, yang dianggap oleh murid-murid yang lain sebagai "sesuatu yang boleh merosakkan, mereka faham dalam keadaan tertentu ada keanehan berlaku dalam perwajahan dan penampilan seseorang." (hal. 114).
Oleh kerana situasi politik di Patani sentiasa bergolak akibat serangan Siam, Tok Selehor tidak lama di Kuala Bekah (berguru dengan Haji Abdul Rashid Kuala Bukit). Apabila guru pertamanya ditangkap oleh kerajaan Siam akibat fitnah dan salah faham politik, Tok Selehor berpindah ke Pondok Cha-Oh, berguru dengan Tuan Haji Abdullah Bendang Jong atau Tok Cha-Oh. Tok Selehor tidak mahu terlibat dengan aktiviti politik, beliau hanya menumpukan sepenuhnya "pada ilmu" kerana dianggap "membazir masa" dan "berjuang dalam gelanggang yang tidak sesuai dengan waktunya." (hal.75). Tok Selehor menghabiskan masa selama tujuh tahun belajar di Patani.
Tok Selehor masih merasakan dirinya "belum cukup berilmu" maka beliau memilih untuk melanjutkan pengajian ke Mekah. Setelah hampir 18 tahun belajar di Mekah, Tok Selehor kembali ke Tanah Melayu sekitar tahun 1340H/1921M dan memulakan langkah pertama "jihad pendidikan" dengan mendirikan pondok. (hal. 66-83).
Tok Selehor, sebagaimana ulama-ulama lain yang kita pernah mendengar kisahnya, turut mempunyai kelebihan luar biasa (keistimewaan), atau dikenali sebagai "karamah". Ia merupakan "pengalaman pengamal tasawuf...pemberian luar biasa oleh Allah SWT kepada mereka yang 'taat mengamalkan jalan suci' tetapi ia tidak dilihat sebagai satu perkara yang menyeleweng dari segi akidah (agama) walaupun menyalahi adat. Sesuatu karamah turut dikaitkan dengan barakah atau keberkatan." (hal.117).
Antara "karamah" yang dikaitkan dengan Tok Selehor ialah: (1) balak kekal tergantung walaupun talinya telah dipotong; (2) menembak seekor burung puaka menggunakan senapang di Kuala Tumpat ; (3) kemunculan ikan yu puaka, kemunculan burung gagak yang banyak ke Tanah Perkuburan Kampung Selehor (dikaitkan dengan tanda kematian Tok Selehor akan segera tiba) ; (4) kemunculan buaya putih (dikatakan dipelihara secara rahsia) di tempat mandian Tok Selehor di sungai sebagai pengawal kepada buaya-buaya lain (buaya liar) agar tidak mengganggu orang ramai yang menggunakan sungai tersebut; (5) menghalang perceraian menerusi nasihat menggunakan syair dan kisah Israk Mikraj; dan (6) bersuluk di kawasan perkuburan (tinggal di dalam "liang lahat" yang dibina khas untuk melepaskan ego dan merendah diri dalam proses 'perhambaan' atau menyucikan diri.(hal 116-132).
Tempat bersuluk kekal ada dan dipelihara sehingga sekarang. Ia dijaga rapi oleh cicitnya untuk mengelakkan salah guna seperti melakukan upacara yang dikategorikan sebagai syirik dan tahyul. Ini bukan satu perkara yang mudah, kerana cerita-cerita pemujaan terhadap seseorang terutama mereka yang dianggap wali sentiasa berlaku, termasuklah upacara tertentu yang kita dengar di makam keramat di pelbagai tempat. Ia merupakan hal yang sangat ditentang oleh Tok Selehor sepanjang hayatnya, kerana dalam akidah Islam tidak ada budaya pemujaan dan ritual yang boleh menjauhkan manusia dengan keyakinan mutlak terhadap Allah SWT.
Segalanya ditentukan oleh Dia: hidup dan mati, susah dan senang, jodoh dan ajal, dan setiap kesukaran akan ada jalannya untuk diatasi dengan tabah, syukur dan takdir-Nya. Prinsip zuhud yang sangat kuat dalam jiwa seorang ulama kerana setiap jalan kehidupan dan proses yang dilalui sepanjang hayat adalah untuk berhadapan dalam kesaksian diri dengan Maha Pencipta. Prinsip yang sama turut disampaikan kepada setiap murid-muridnya sepanjang memimpin dan menguruskan pondok, dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada kitab-kitab tersohor tulisan ulama besar Islam, terutama Imam Al-Ghazali yang terkenal dengan Ihya Ulumuddin, Kimia as-Syaadah.
Perjalanan tasawuf Tok Selehor banyak dicorakkan dengan prinsip tasawuf yang dibentuk oleh Imam al-Ghazali, yang mengambil pendekatan harmoni antara syariah, hakikat dan makrifat. Ia berusaha menjauhkan dari pandangan atau prinsip tasawuf yang bersifat falsafah seperti yang diucapkan oleh al-Hallaj mahupun kontroversi wahdatul wujud oleh Ibnu Arabi. Dalam memberikan makna perjalanan menyucikan diri, Tok Selehor lebih cenderung mengajar prinsip-prinsip yang diutarakan oleh Ibnu Atha'ilah as-Sakadari dalam al-Hikam dan Imam al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin.
Kisah yang cukup menarik ialah bagaimana Tok Selehor menyelesaikan krisis rumahtangga sebuah pasangan yang sedang di ambang penceraian. Saya cukup tertarik dengan kisah tersebut kerana dalam naratif Tok Selehor, inilah kebijaksanaan yang cukup lengkap dalam penyuguhan jiwa orang yang berhadapan krisis mendapat penyelesaian secara psikologi. Ertinya, inikah satu-satunya solusi yang jelas, yang berjaya diangkat daripada kebijaksanaan Tok Selehor.
Sebagaimana kita tahu, berdasarkan kitab-kitab ulama zaman pertengahan, mereka sudah memahami ilmu psikologi beratus tahun sebelum masyarakat barat mengenalinya. Misalnya Imam al-Ghazali dengan penjelasan yang cukup mendalam mengenai nafs dan Ibnu Sina dengan ilmu jiwa. (Dr G Hussein Rassool, Islamic Psychology: Human Behaviour Experience From an Islamic Perspective, London: Routledge, 2021; Frank Griffel, Al-Ghazali's Philosophical Theology, New York: Oxford University Press, 2009; dan Ibnu Sina, Ilmu Jiwa, terjemahan Ahwal an-Nafs oleh Ach Khoiron Nafis, Yogyakarta: IRCiSOD, 2025).
Tok Selehor menggunakan nasihat melalui ungkapan syair, yang cukup menarik:
Tiap-tiap malam kanda bermimpi
Adinda di tengah kanda di tepi
Menghisap rokok meminum kopi
Memeluk tengkok mencium pipi
Sedap rasanya tiada terperi
Harum baunya umpama kasturi
Suka dan hilai senang di hati
Kasih mesra sehingga mati. (hal.123).
Kata-kata syair itu sangat biasa, istilah yang digunakan begitu mudah (mendunia) tetapi maknanya cukup mendalam. Tok Selehor seolah-olah sedang melakukan percubaan "conditioning the mind" pasangan yang bermasalah itu dengan menggambarkan keindahan hidup berpasangan secara halal dan berpanjangan (sehingga mati atau akhir hayat).
Gambaran sebegitu, dalam bahasa moden dianggap sebagai pendekatan psikoterapi. Ungkapan itu mengingatkan saya kepada Jalaludin Rumi dengan "bahasa cinta dan kasih sayang", yang cukup berpengaruh. (Nevrat Tarhan, Terapi Rumi Untuk Keluarga Bahagia, terjemahan dari bahasa Turki, HZ Mevlana Ile Ailee Terapis oleh Bernando J Sujibti dan Zufardien Faqih, Jakarta: PT Qaf Media, 2023).
Dalam kisah 15, "Sebuah Kisah Hikmah Tentang Pernikahan", persoalan darjat atau taraf sosial bukanlah sesuatu yang sangat mengikat bagi kebahagiaan rumahtangga. Seorang Sultan (raja) akhirnya memilih gadis miskin, dari garis keturunan orang yang cantik dan bersih hatinya untuk disunting sebagai isteri kepada puteranya. Takdir juga hadir, seorang perempuan tua yang merupakan tukang sihir "jatuh cinta" terhadap putera raja tersebut. Wanita tua dari Kabul itu sentiasa melakukan pemujaan dengan mantera dan pelbagai ritual bagi mendapatkan putera raja. Putera raja akhirnya berjaya ditakluki oleh wanita tua itu dan dikurung selama setahun.
Setelah tersedar daripada cengkaman sihir, putera raja bergegas kembali ke istana dan menghadap ayahnya, dengan bersujud dan mengusap wajahnya. Wanita tua penyihir itu akhirnya meninggal dunia dalam kesedihan akibat Putera Raja menjauhkan diri. Putera raja memilih seorang wanita cantik tetapi berasal daripada keluarga miskin dan mereka pun berkahwin dalam satu majlis penuh meriah. Ketika melihat wajah wanita yang bakal menjadi suri hatinya, Putera Raja pengsan dan hilang akal. Tidak sedar diri selama tiga hari tiga malam. Akhirnya, putera raja sedar "dengan air mawar dan ubat-ubatan."
Setahun kemudian, Sultan bertitah kepada puteranya: Anakku! Ingatlah orang yang kaucintai dulu itu! Ingatlah orang yang tidur denganmu, dan jangan berkhianat terhadap kami."
"Sudahlah, ayahanda! Saya telah telah menemukan rumah kebahagiaan. Saya telah selamat dari rumah kebanggaan, dunia penuh penipuan dan jebakan yang dalam," jawab Putera Rajah.
Dalam bahasa Rumi:
"Wahai orang yang terkasih yang bebas dari 'kami' dan 'aku'!
Wahai jiwa yang tidak dapat ditampung dalam kata-kata dan jenis kelamin, lelaki dan wanita!
Ketika lelaki dan wanita menyatu, itulah engkau. Ketika yang lain menghilang, engkau satu-satunya yang ada. Gunakan 'aku' dan 'kami' untuk perdamaian dengan dirimu sendiri. Engkau membawa 'kami' menjadi ada. Dengan cara itu, "aku" dan "engkau" menjadi satu jiwa, dan akhirnya mereka menyatu dalam Cinta." (Masnawi jilid 1, bait 1785).
Tentunya, setiap pernikahan sangat mengharapkan kehidupan bersama sepanjang hayat tetapi dalam prosesnya akan ada halangan dan cabaran. Sekiranya setiap orang yang membentuk pasangan sering belajar untuk mendewasakan diri dan kematangan bersama, mereka tidak akan memperbesar-besarkan perbezaan. Mereka saling melengkapi, saling memaafkan dan berusaha mengatasi cabaran bersama. Dan, dalam menjalani prosesnya (tanggungjawab masing-masing dan tanggungjawab bersama), setiap pasangan wajar mengenangkan keindahan dan kebaikan ketika mereka hidup bersama, bukan membina jarak menjadi semakin jauh (ego).
Saya memahami dengan baik maksud syair yang menjadi salah satu ikonik kehebatan terapi Tok Selehor dalam mendamaikan masalah rumah tangga. Tok Selehor juga seorang suami yang cukup mesra dengan setiap isterinya, dan merupakan seorang pengamal poligami yang adil dan saksama. Dikatakan pada sesuatu masa, Tok Selehor akan bersama dengan empat orang isteri. Tok Selehor dikatakan pernah bernikah sebanyak 11 kali. (hal. 42).
Tulis Prof Nevzat Tarhan, pernikahan yang bahagia tidak menggunakan model egosentrik. Ia bukanlah seperti "berada di atas sebuah kapal dan hanya memikirkan keselesaan sendiri. Dalam bahtera rumahtangga, anda tidak sendirian, kapal itu bukan hanya milik anda." Ertinya, jika kapal itu milik anda secara fizikalnya, seorang suami harus sedar bahawa di dalamnya ada orang lain bersama. Orang itu adalah isteri yang dinikahi. Mungkin juga turut ditunjangi oleh anak-anak setelah pasangan sudah lengkap makna keluarga.
Maka, "ketika seorang isteri meminta sesuatu dari suaminya, penting untuk memerhatikan bagaimana ia dapat merasakan apa yang dirasakan, tidak munafik dengan keinginannya, dan beradab ketika memintanya...dan suami wajar "memberikan pandangan strategik dengan mengatakan bahawa yang terburuk dari peristiwa tersebut ialah penceraian..." (Nevzat Tarhan, Terapi Rumi Untuk Keluarga Bahagia, hal.212-213).
Bagi Tok Selehor, pandangan strategiknya ialah menasihati agar si suami atau pasangan yang bermasalah itu mengenang kembali saat-saat indah bersama. Tentunya, ia akan melenyapkan ego dan emosi marah ketika terjadinya sesuatu perselisihan, keindahan hidup bersama yang sudah dijalani akan berterusan "sehingga mati" bila keindahan itu dijadikan penentunya. Sebab itulah dalam sebuah rumahtangga, kesabaran dan saling memaafkan adalah suatu tindakan yang sangat mulia. Ia dikategorikan sebagai salah satu elemen ibadah dan model kepada peraturan bersosial (hablum minnas) atau fardhu kifayah.
(bersambung)
KAMARUN KH
