TOK SELEHOR: BIOGRAFI ULAMA REFORMIS YANG MEMAGAR AKIDAH ISLAM (III)

Kebijaksanaan kedua yang dilakukan oleh Tok Selehor tatkala merendahkan ego diri ialah dengan mengaktifkan amalan bersuluk. Secara istilahnya, suluk berasal dari perkataan Arab, iaitu "salaka", "yasluku" dan "sulukan" yang membawa maksud "menempuh jalan atau berjalan." Menempuh jalan atau berjalan bukan sebagaimana kita maksudkan sebagai melangkah kaki secara fizikal, ia lebih menjurus kepada tindakan mengasingkan diri daripada "kesibukan dunia" atau dalam bahasa mudah sebagai "berada di suatu tempat yang sunyi dan tidak diganggu oleh hal-hal yang bersifat material."

Tujuannya cukup jelas, amalan bersuluk dilakukan "untuk mencapai kesempurnaan batin" dan dalam ilmu tasawuf, ia membabit amalan berkhalwat, yakni mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan melakukan khalwat sesama manusia atas pilihan nafsu. Berkhalwat sebagai satu kaedah tasawuf bermakna bersendirian tanpa ada perantara atau orang lain, dan seluruh saat digunakan untuk menghening diri dalam sifat kehambaan (kerendahan hati) untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, dengan melupakan segala tanggungjawab dan masalah dunia, hanya berserah kepada-Nya untuk menentukan apa yang akan berlaku seterusnya. Dalam masa yang sama, setiap saat dihabiskan dengan berzikir dan mengingati apa yang dilakukan ketika hidup.

Tradisi bersuluk sudah menjadi amalan sejak sekian lama, bahkan sebelum menerima wahyu pertama, Nabi Muhammad SAW menghabiskan sepanjang malam untuk beberapa ketika di dalam Gua Hira'. Di sana, baginda "menjauhi dosa" kerana "cinta akan melahirkan kewajiban untuk berkhidmat (melayani)". Ertinya, "...jika seseorang ingin seseorang yang mencintainya sibuk melayaninya, maka sang pencinta akan melakukannya. Jika ia tidak menghendakinya, maka sang pencinta tidak akan melakukannya." (Muhammad Zulian Alfarizi, Rasulullah Sang Sufi Agung, Jakarta: Penerbit Laksana, 2020, hal. 105).

Pengertian ini harus difahami dengan jelas, maksud "yang dicintai" dalam kamus tasawuf ialah Allah SWT, manusia ialah "orang yang mencintai". Dalam konteks ajaran tasawuf Jalaluddin Rumi, digunakan istilah "kekasih" dan "Kekasih". "Kekasih" dalam tulisan yang menggunakan huruf besar merujuk kepada Allah SWT manakala "kekasih" dalam huruf kecil merujuk diri manusia. Kadangkala "Kekasih" diselangselik dengan nama-nama Tuhan yang kita kenali sebagai Asma ul Husna.

Suluk Tok Selehor berbeza kaedahnya daripada kaedah suluk yang dilakukan oleh para ulama. Kalau Jalaluddin Rumi "menari-nari dengan iringan muzik" sebagai "tarian mendekati Tuhan", Tok Selehor membina Liang Lahat sebagai tempat mengisolasikan diri untuk beberapa ketika atau beberapa hari. Liang Lahat itu digali sebagaimana liang lahat yang digunakan dalam proses akhir menyempurnakan seseorang yang telah meninggal dunia menurut ajaran Islam.

Menurut pengarang buku Tok Selehor Waliullah Dunia Akhirat, Tok Selehor "membuat suatu lubang khas di antara perkuburan untuk dijadikan tempat "SULUK" agar beliau sentiasa ingatkan mati, agar terbunuh segala sifat mazmumahnya. Kerana dengan mengubati mati, seseorang itu dianggap cerdik oleh Allah SWT, dan dengan mengingati mati, menjadikan seseorang itu bertambah gigih dan progresif, akan membina diri menjadi jujur, amanah dan bertanggungjawab, kerana yakin apa yang dikerjakan semasa hidup di dunia, semuanya akan dihisab (dipersoalkan) oleh Allah SWT di akhirat kelak." (hal.135-136).

Tasawuf Islam mengajarkan setiap penganutnya bahawa "kehidupan dunia" adalah sementara, "kehidupan akhirat" itulah yang akan kekal selama -lamanya. Dalam kesementaraan itulah setiap manusia perlu menjadikan dunia sebagai tempat mengumpul bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi (hal.136). Dalam istilah Imam al-Ghazali, kehidupan sementara di dunia adalah sebagai bahan bercucuk tanam manakala hasilnya (buah) akan dinikmati di akhirat (dunia adalah ladang akhirat). Apa yang kita tanam sepanjang hayat itulah yang akan menentukan jenis dan bentuk buah yang akan dituai setelah jasad berpisah daripada roh.

Pesan Rasulullah SAW, setiap daripada kita hendaklah "perbanyakkan mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang, dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri." (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).

Kenapa kita perlu mengingati mati? Kita mengingati mati kerana kita bukanlah pencipta, tetapi yang diciptakan. Apabila kita diciptakan, bererti kita berada dalam kawalan dan kita bukan mampu mengawal. Kita hanya mampu mengawal hanya pada tindakan, perbuatan, kata-kata dan naluri kita sendiri. Kita tidak dapat mengawal perkara yang sama pada diri orang lain.

Tetapi, jika mampu membantu orang lain untuk mengawal tingkah laku, kata-kata dan nalurinya melalui nasihat, asuhan dan pendidikan (tarbiyah) yang kita laksanakan. Itulah yang menjadi saham terbesar para ulama dalam mendisiplinkan diri sendiri dan menyebarkan hal yang sama kepada orang lain, bermula dari usia dini tanpa rasa bosan dan penuh dedikasi.

Aktiviti bersuluk yang dilakukan oleh Tok Selehor, dengan berkhalwat di tempat gelap dan liang lahat bukan hanya untuk dirinya menurunkan ego, juga untuk mendidik para pelajarnya agar merasai bahawa "kematian sebagai sarana tetapi diri, menginsafi bahawa apabila saatnya tiba, semuanya akan berakhir, semuanya berada dalam kefanaan. Kehidupan sebenar setiap manusia dan makhluk adalah di alam barzah, dan di sanalah kita akan diadili tentang apa yang kita "tanam" sepanjang hayat.

Ia mengingatkan kita tentang hakikat kenapa manusia yang beragama wajib menguatkan diri dengan iman. Selain menjauhkan diri daripada kesombongan, riak dan segala-segalanya yang bersifat egosentrik, mengingati mati itu setiap saat adalah suatu "kesedaran yang amat mendalam makna kehambaan". Ironinya, tanpa jiwa kehambaan, "manusia sangat bercita-cita untuk mendominasi alam semesta material" walhal, hakikatnya manusia "tidak dapat mengendalikan tekanan darah dan gerak jantungnya sendiri." (Nevzat Tarhan, Psikologi Iman, terjemahan dari bahasa Turki, Inanc Psikolojisi Ingiluzce oleh FX Dono Sunardi, Jakarta: PT Qaf Media Kreativa, 2023, hal.19).

Kerendahan diri, kedekatan jiwa dengan makna kehambaan, tidak berusaha mendominasi dunia itulah yang menjadi pegangan hidup Tok Selehor. Di dalam hatinya cukup berkesan dengan apa yang diungkapkan oleh Ibnu Atha'ilah (1260-1309), seorang ulama sufi yang cukup digemarinya sehingga setiap kali ceramah berkenaan al-Hikam cukup besar sambutan daripada khalayak. Bahkan ada yang sanggup "memanjat pokok kelapa" atas alasan untuk melihat wajah dan ekspresi ketika ianya disyarahkan, yakni berkenaan kisah Israk dan Mikraj (hal.103).

Kuliah mengenai al-Hikam (naskhah yang menjadi panduan ialah terjemahan dan syarahan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah, yang dikenali dengan panggilan Tok Ku Pulau Manis, Terengganu, yang dikesan pertama kali dicetak dalam tulisan jawi pada tahun 1313H/1895M oleh Matba'ah al-Miriyyah al-Ka'inah, Mekah) diadakan setiap hari Selasa, dan khalayaknya datang dari pelbagai tempat "semata-mata untuk mendengar pengajaran Tok Selehor yang menarik minat mereka." (hal.101). (Shafie Abu Bakar, Tok Pulau Manis Terengganu: Institusi Syeikh Abdul Malik Abdullah, Putrajaya: Emraz Media Sdn Bhd., 2020, hal.75, nota kaki 1. Buku ini diterbitkan sepenuhnya daripada tesis Ijazah Sarjana Persuratan UKM sesi 1976/77).

Ada yang hadir sejak waktu subuh lagi, walaupun syarahan al-Hikam dilakukan jam 10.00 pagi. Ada yang menangis, dan ada yang "terus insaf" sebaik sahaja mendengar huraian kitab itu oleh Tok Selehor, yang bukan sahaja mengubah kotak fikir, jiwa bahkan menginsafkan akan dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya. (hal.104).

Tok Selehor mampu "mengolahnya dengan gaya bahasa yang mudah difahami" dan menurut salah seorang muridnya, Tuan Guru Hasan Ahmad, "Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih mempesonakan lagi begitu berkesan yang salah mengatasi kepandaian Tok Selehor." (hal.141). Kalau dalam istilah ilmu komunikasi, ucapan atau syarahan seperti itu mempunyai ciri-ciri penting perucapan awam (public speaking). Antaranya, autentik, mendekati psikologi khayalan (pendengar) dan menggugat emosi (sentuhan nurani). Bahasa yang digunakan ialah bahasa yang mudah difahami dan tidak bersifat "jargon" dan membumi (down to earth).

Antara ungkapan yang cukup menyedarkan setiap orang yang mencari hakikat kehidupan, Ibnu Atha'ilah berpesan dalam salah satu daripada 264 (kitab al-Hikam) ungkapan nasihatnya:

"Allah memberimu nikmat bukan kerana engkau mulia, tetapi agar terlihat siapa yang sedar dan siapa yang lupa. Sebab nikmat sejati ialah yang dapat menurunkan hati, bukan yang meninggikan kepala."

Nasihat itu cukup bertentangan dengan falsafah kehidupan manusia moden, mengetepikan "rendah diri" dan sentiasa "meninggikan kepala" kerana ghairah menakluki semesta (kebendaan). Sebab itulah kata ahli fikir: ahli politik menjual agama kerana permainan (percaturan) kuasa, para penceramah menggunakan agama akibat mengejar wang dan populariti, tetapi orang biasa menjadikan agama sebagai pedoman hidup dalam situasi sedar diri. Itulah yang hendak diteladani oleh Tok Selehor sepanjang kerjayanya sebagai pendidik dan pengasuh pondok sepanjang hampir 15 tahun (1921-1935).

KAMARUN KH

 

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com