ADILKAH BILA PERTAHANKAN YANG HARAM?
Memang benar al-Qur'an menuntut umat Islam untuk berlaku adil, tapi fahamkah kamu makna keadilan menurut al-Qur'an?
Surah an-Nahl (ayat ke-90-96) jelas bahawa Allah SWT mewajibkan setiap umat Islam menegakkan keadilan dan berbuat kebaikan kepada setiap makhluk termasuk sanak saudara, tetangga dan pemeluk agama lain.
Tetapi, ia tidak bermakna "keadilan" itu terlepas daripada maknanya yang asal, iaitu meletakkan sesuatu di tempatnya. Mengambil atau menceroboh hak orang lain adalah sesuatu yang dilarang, ia adalah perbuatan yang zalim dan dilaknat.
Jangan hanya cakap pasal keadilan sedangkan banyak tindakan yang tidak adil, termasuklah membina kuil di atas tanah milik orang lain. Ia sudah dikategorikan zalim dan orang yang membina sebarang bangunan di atas tanah bukan miliknya tanpa kebenaran adalah penceroboh.
Kalau tak mahu dipanggil kuil haram, buatlah di tanah milik sendiri dan mendapat kebenaran pihak berkuasa. Tentunya para dewa pun lebih tenang di kuil terbabit kerana tidak diancam untuk dirobohkan..
Kalau tidak mahu digelar penceroboh, jangan masuk tanah atau rumah milik orang lain tanpa izin. Dari segi undang-undang ia tetap salah. Apa lagi soal agama. Tidak tahu kalau ada agama yang mengajar manusia berbuat zalim dan menceroboh tanah milik orang lain.
Memang, setiap kesalahan tidak boleh dilakukan tindakan sendiri, sebab negara ini negara hukum. Fahamkah kamu apa makna negara hukum, bukan negara kartun. Bila orang yang berbuat salah, tuan punya tanah kena beri ruang simpati, yakni pampasan kepada penceroboh.
Kalau itulah maknanya, negara hukum yang melindungi penceroboh, melayan mereka yang bersalah manakala mereka mempertahankan haknya dianggap "jahat". Bukankah ini fenomena yang diterajui kejam berlaku di Palestin.
Tentera haram Israel merampas rumah penduduk asal, lalu penduduk asal dihalau keluar. Bila pemilik asal menuntut haknya yang dirampas atau diceroboh, maka yang menuntut itu dituduh ganas dan kejam.
Nampaknya, semakin maju dunia dengan teknologi, semakin menggila manusia dengan definisi langkau-kebenaran, kerana kebenaran itu bukan berdasarkan fakta agama dan nilai luhur. Kebenaran didefinisikan menurut aspirasi dan emosi.
Mereka lupa, mereka bukanlah anak bangsa peribumi Tanah Melayu, yang awalnya datang sekadar mencari rezeki. Kemudian setelah lama berada di Tanah Melayu mula merasakan kehidupan adalah lebih baik daripada tanah leluhurnya sendiri, mula "menagih bekas ihsan".
Orang Melayu bersetuju, maka itulah yang membawa kepada masyarakat majmuk yang lebih kuat tekanan dan tuntutan setelah keturunan yang lahir di negara ini mula memikirkan: milik saya adalah hak saya, tetapi milik orang lain adalah juga milik saya. (Eddin Khoo, Selayang Pandang Rukun Negara, Kuala Lumpur: Kala Publishers Sdn Bhd., 2020).
Kebenaran kadangkala boleh muncul sebagai ilusi, delusi ataupun imaginasi. Itulah makna kebenaran yang mungkin pensipati kuil haram mahu perjuangkan: Kebenaran dalam dimensi persepsi dan pendapat sendiri yang dikaburi oleh emosi.
Ironi sekali. Sepatutnya semakin mahu kehidupan, semakin beradab manusia. Apa yang berlaku sekarang, semakin maju dan seseorang, maka semakin menggila keserakahan budaya dan emosi. Ketaatan dan keesahan (valid) tidak lagi penting, kerana apa yang penting ialah kebenaran dan keesahan palsu. Inilah menjadi punca kepada narsistik dalam politik.
Narsisme, menurut Barry Richards, "sebagai pemujaan diri yang sia-sia dan egois...menurut psikoanalisis merupakan pola fikir bawah sadar yang dapat memoles topeng keperibadian keluar seolah mulia seperti sikap rendah diri dan penuh empati kepada orang lain. " (Barry Richards, Psikologi Politik, terjemahan bahasa Indonesia oleh Yudi Santoso, Yogyakarta: Penerbit Pustaka Pelajar, 2023, hal. 22).
Secara umumnya, Islam meletakkan prinsip keadilan sebagai salah satu nilai teras dalam sistem kehidupan. Keadilan, secara literalnya bermakna "meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya" menurut istilah bahasa Arab, 'adl. Ini bermakna, jika sesuatu itu diambil secara "tidak sepatutnya" ia diistilahkan sebagai zalim atau melampaui batas. Dalam konteks ini, kezaliman berlaku kerana kedudukan sesuatu yang cuba dirampas, diceroboh dipindahkan secara "tidak sepatutnya".
Keadilan secara universalnya meliputi keadilan mempertahankan hak, sama ada hak dari segi pemilikan sesuatu atau kepunyaan mahupun hak terhadap hidup, yakni kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing. Islam tidak melarang setiap manusia untuk mempertahankan keyakinan dan kepercayaan masing-masing selagi hak dan kebebasan itu tidak melanggar kepemilikan orang lain.
Jadi, bukan Islam berhak mengamalkan kepercayaan, keyakinan dan kaedah hidupnya sendiri dengan syarat tidak mencabar atau mengganggu hak orang Islam. Sebab itulah dalam undang-undang tertinggi negara (Perlembagaan) bukan Islam dibenarkan mengamalkan kepercayaan atau agama masing-masing, dengan syarat tidak mengancam atau memprovokasikan umat Islam. Ini termasuklah membina rumah-rumah ibadat.
Apa yang menjadi masalah ialah apabila rumah-rumah ibadat didirikan secara tidak sah, tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa dan kebenaran pemilik tanah yang sah. Ertinya, jika rumah-rumah ibadat didirikan secara haram, sama ada didirikan beratus tahun dahulu, ia masih diistilahkan haram.
Walaupun pemilik tanah sudah berpindah tangan, ia tetap dikategorikan haram, tanpa prejudis. Jadi, jika sejarah dijadikan faktor untuk mempertahankan kedudukan rumah-rumah ibadat yang tidak sah, ia adalah sesuatu yang boleh difahami sebagai tindakan yang zalim. (Misalnya, tulisan P Ramasamy: https://www.facebook.com/share/p/1AvqUrAV65/).
Tidak ada mana-mana agama yang menggalakkan penganutnya berbuat zalim, maka setiap penganut agama wajib menghormati prinsip tersebut. Jika pemilik tanah mendesak atau mengambil keputusan untuk bertindak terhadap kuil haram itu, ia sepatutnya dilihat sebagai adil, yakni akur dengan keputusan tersebut, kerana itu adalah hak tuan tanah secara sah.
Jika prinsip ini dipatuhi, maka tidak adalah kecoh dan kontroversi terjadi. Apa yang terjadi ialah apabila cuba mempertahankan bukan haknya sebagai sah, mahu kekalkan kedudukan rumah ibadat haram itu sehingga mendesak pemilik tanah mengambil tindakan tertentu.
Pandangan bahawa jika ingin "menghalau" atau memusnahkan rumah ibadat haram sebagai sesuatu yang zalim oleh pemilik tanah ia adalah satu prinsip yang terpesong di sisi perundangan. Benar, tuan tanah boleh menggunakan khidmat perundangan untuk menegakkan haknya yang telah diceroboh.
Tetapi, proses undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah dan dapat diselesaikan tanpa kos. Prosesnya menjadi semakin rumit apabila ada tentangan dari pihak tertentu, yang cuba menegakkan benang yang basah. Kos guaman cukup membebankan dan kadangkala boleh mengakibatkan proses yang panjang. Ia bergantung kepada kompleksiti kes. (Baca: https://www.facebook.com/share/18U2zt5452/).
Namun, dalam ekosistem politik di Malaysia, akan muncul satu pihak yang cuba mempertahankan "kepemilikan yang tidak sah" itu dengan menggunakan alasan sejarah dan kebebasan asasi. Dalam beberapa kes, muncul pula keadaan meminta ganti rugi seperti kos pemindahan dan tapak yang baharu.
Tetapi, jika pemilik tanah enggan dengan permintaan tersebut, ketegangan tetap menjadi hal tidak dapat dibendung lagi. Akan ada tindakan lebih keras untuk mempertahankannya atas faktor sejarah, dan tidak kurang pula yang cuba ingin kekal di situ walaupun sudah ada persetujuan dibuat. Inilah yang berlaku di Subang Jaya yang menjadi salah satu titik hitam ketidakakuran sebuah persetujuan.
Apa yang berlaku di Rawang, kuil telah dirobohkan oleh sukarelawan dengan tindakan sendiri berdasarkan hak tuan tanah ke atas tanah tersebut menggambarkan sesuatu yang dipandang tidak Islam oleh peguam yang beragama Islam sendiri. Malangnya, kerana ada sedikit prejudis, tidak dinyatakan bahawa perobohan dibuat selepas beberapa jam jawatankuasa kuil memindahkan berhala mereka. Jawatankuasa bersetuju untuk melakukannya kerana perbuatan membina kuil secara tidak sah adalah sesuatu yang bukan hak, ia adalah tindakan yang tidak wajar dan sudah ada satu bentuk persetujuan. (Rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/768868).
Sayangnya, peguam itu tidak pula mengatakan bahawa ia adalah kesalahan yang sepatutnya tidak dipertahankan, kerana mempertahankan sesuatu yang tidak sah itu sendiri sudah melangkaui makna keadilan. Sepatutnya inilah yang patut para penegak keadilan bangkit memberikan pencerahan, bukan mencari titik untuk menang dalam tafsiran terhadap "empati" dan "menegakkan benang yang basah".
Kesan daripada pemaknaan politik sedemikian ia telah memuntahkan sebuah analogi yang cukup ironi. Ada yang menggambarkan apabila ular bersarang "di rumah kita", pemilik rumah "tidak boleh membunuh ular" tersebut walaupun potensi dipatuk ular boleh berlaku. Mesejnya jelas, yang mengancam tuan rumah itu adalah ular, tetapi ular tidak boleh dibunuh. Dilema yang cukup besar.
Dilema lain yang mungkin berlaku ialah jika proses undang-undang menyebelahi tuan tanah, apakah tuan tanah dengan mudah dapat mengambilnya semula? Bagaimana kalau pentadbir rumah ibadat enggan? Mereka terus mahu pertahankan dengan membawa alasan sejarah, kuil telah berada di situ sejak ratusan atau puluhan tahun, sebelum ada keinginan untuk membangun tanah berkenaan. Bagaimana pula kesempatan telah digunakan oleh segelintir pihak mempertahankannya sedangkan sudah ada keputusan mahkamah, persetuan berpindah setelah mendapat tanah gantian dan sedikit pampasan bagi menanggung kos pemindahan diserta pembinaan kuil baharu?
Siapakah yang akan menanggung kos guaman? Bagaimana pula jika pentadbir rumah ibadat tidak bersedia membayar ganti rugi kepada tuan tanah yang ditetapkan oleh mahkamah? Benar, pihak berkuasa boleh menguruskan majlis perobohannya, tetapi kos perobohannya tetap ditanggung oleh pemilik tanah. Kosnya bukan sedikit, ia bergantung kepada struktur bangunan itu sendiri.
Pihak berkuasa tidak akan menanggung kos menyewa jentera berat, mengangkut sisa bangunan yang diruntuhkan itu. Bagaimana jika pemilik tanah itu adalah orang persendirian, yakni bukan syarikat yang kaya raya. Apakah itu tidak membabitkan kos? Kadangkala, untuk membantu kelancaran, perlu mengambil khidmat relawan, yang ikut dikenakan sedikit bayaran berupa upah.
Jadi, konsep keadilan hendaklah dilihat dalam perspektif yang betul, bukan semuanya berakhir dengan win-win situation. Win-win situation adalah satu konsep yang sudah bercampur antara hak dan batil, dan kadangkala kebatilan itulah menjadi tonggak kepada sebuah perundingan yang semakin hilang maknanya yang asli, bertindak atas paksi kebenaran, bukan langkau kebenaran.
Dalam Islam, sesuatu yang haram tetaplah haram; mempertahankan yang haram tetap berdosa. Mempertahankan yang haram bukan menepati konsep mendidik, kerana pendidikan itu membawa makna memupuk nilai mulia dan menyanjungi prinsip kebenaran.
Ingatlah: "Dan Allah menjadikan langit yang tinggi, serta Dia mengadakan neraca keadilan (undang-undang), supaya kalian tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. Dan, betulkan timbangan itu dengan adil, dan janganlah kalian mengurang neraca timbangan." (Surah al-Rahman, ayat 7-8).
KAMARUN KH
