ANTARA EKO DAN ECHO
Di Malaysia ada rangkaian kedai barangan murah bernama 2CO (Eco-shop) yang merujuk rangkaian kedai harga barangan rendah; serendah RM 2.40 untuk makanan/minuman dan RM 2.60 untuk seunit bukan makanan. Rangkaian kedai barangan murah itu cukup popular, walaupun kadangkala tidak semua barangan itu benar-benar murah.
Eko (atau Eco) menjadi semacam trend dalam masyarakat sehingga banyak taman-taman perumahan menggunakan singkatan itu menjadi ecosky atau ecocity. Eko atau Eco merujuk kepada singkatan dari bahasa Inggeris, ecology. Secara umumnya, ecologi atau ekologi merujuk kepada persekitaran hijau, semulajadi yang boleh menimbulkan rasa senang, tenang dan sihat. Ia merupakan istilah yang cukup segar, istilah yang menampilkan suasana alam sekitar yang ramai.
Jika eko dihubungkan dengan industri pelancongan, ia menjadi eko-pelancongan. Eko-pelancongan merujuk kepada keindahan alam sekitar, kehijauan flora dan fauna, kebersihan kawasan pantai dan sungai, dan sesekali berada di persekitaran itu terasa cukup sihat. Udara bersih dan kesegaran embun pagi yang menetes dari langit bertompok di atas daun. Embun yang bersih menjadi terapi jiwa dan terapi untuk mata yang berhadapan dengan silau cahaya dan pantulan ultra-violet.
Namun, apakah nama-nama premis atau entiti yang menggunakan singkatan eco atau eko itu benar-benar melapangkan kota dengan kesemulajadiannya (nature)? Nyata keharmonian, kedamaian dan kaitannya dengan ekologi (semula jadi) tidaklah seindah yang kita imaginasikan. Barangan kedai Eco-shop kadangkala kita sangsi untuk membelinya, sebabnya banyak. Boleh jadi kita bertanya kepada diri sendiri, apakah barangan itu halal atau tidak. Halal bermaksud sesuatu barangan itu diproses dan diperbuat daripada bahan yang halal menurut syariat Islam.
Begitu juga jika melihat kepada taman-taman perumahan yang menggunakan singkatan eco untuk membangunkan konsep perumahan yang boleh dijual. Kita tahu, akibat jujukan rumah menjadi sesuatu kawasan cukup padat, bahkan kepadatan menjadi semakin serius apabila projek-projek perumahan dibangunkan bertingkat-tingkat.
Itu satu hal yang cukup menjadikan kita semakin rasa ada kekeliruan besar penggunaan singkatan eco tersebut, kalau pun kita bukan daripada sebahagian penghuninya. Kita tidak mudah untuk masuk ke kawasan perumahan itu, ia menjadi sebuah komuniti terkurung, tapi digunakan istilah komuniti berpagar sebagai langkah meningkatkan keselamatan atau privasi penduduknya.
Lebih menyesakkan ialah apabila waktu petang atau malam, eco benar-benar sudah semula jadinya sihat, harmoni dan aman. Oleh kerana rumah itu bertingkat-tingkat, dihuni oleh ramai orang, maka tentunya penggunaan elektrik cukup tinggi. Sekali lagi konsep atau makna eco tercabar.
Penggunaan elektrik yang tinggi akan menyebabkan kesan yang besar kepada ekologi, kerana penjanaan elektrik itu menggunakan arang batu, gas mahupun unsur-unsur lain yang berasal daripada bahan mineral. Lebih banyak bahan itu diperlukan, dan lebih banyak pula stesen-stesen pembahagian kuasa perlu didirikan. Semuanya ikut melibatkan ekologi.
Ia belum lagi dikira jumlah kenderaan yang tersadai di luar kawasan perumahan, diletak di pinggir jalan. Jumlah kenderaan yang melebihi daripada unit rumah itu sendiri. Ada situasi jika setiap unit dihuni oleh lima orang, maka ada lima buah kenderaan, sedangkan jumlah tempat letak kereta tidak mencukupi.
Mungkin setiap unit diperuntukkan dua atau tiga, selebihnya, pandai-pandailah menyelit di mana-mana. Antara yang popular ialah di bahu jalan menuju ke taman perumahan. Ia cukup sesak sehingga boleh menyebabkan masalah sekiranya berlaku kebakaran ataupun kecemasan.
Sebenarnya, bila sebut nama eco kadangkala kita jadi cukup seriau untuk ke sana, sesekali sebagai pelawat. Kita bimbangkan macam-macam: dari pertanyaan pegawai keselamatan di pintu masuk hinggalah menggunakan lif. Semuanya dikawal dan terkawal, ia sedikit sebanyak merosakkan makna keamanan, kedamaian dan keharmonian.
Awalnya, ia sesuatu yang boleh kita setuju, lama kelamaan kita menjadi bosan kerana sangat tertakluk kepada sistem, sehingga kita merasakan seperti "hamba kepada sistem" yang kita sendiri setuju. Itu adalah realiti yang terpaksa kita hadapi demi kelangsungan ecosistem dan ekososial yang baharu, yang lama kelamaan menjadi sesuatu yang membosankan, kita hidup seumpama di bawah kawalan, seperti sistem yang mengawal robot.
Manusia "bukan robot". Kita mungkin pernah rasa bosan apabila kita melayari dunia maya, muncul kenyataan, I am not a robot, yang memaksa kita menandakan petak tertentu agar mesin varian boleh melangkauinya. I am a human, maka prosesnya menjadi lebih berhati-hati, namun yang menyebabkan kita menyampah ialah setiap kali masuk ke dunia maya, kita seakan terkunci. Kita terkunci dengan apps, kita terkunci dengan kata laluan, dan lebih menakutkan, terkunci dengan subscribe. Kita tidak bebas, seperti juga sesekali kita berhasrat untuk memasuki "komuniti berpagar", kena lapor diri dan diberikan kebenaran, dan kadangkala wajib menghafal nombor unit tertentu, pegawai keselamatan perlu mendapat pengesahan (kebenaran) penghuninya.
Nasib baik kita ada kemudian telefon bimbit, boleh telefon pengundi unit berkenaan yang kita berhajat menziarahinya. Kalau tidak ingat nombor unit dan harapkan pegawai keselamatan, ia menyebabkan kita kecewa, tujuan menziarahi kawan atau saudara menjadi seperti mimpi ngeri. Apa boleh buat, kita semakin dikawal dan ditundukkan oleh sistem, sistem yang pada asasnya untuk memberikan jawapan atau solusi kepada kebimbangan yang mungkin diramalkan akan berlaku atau dengan slogan, menjamin privasi penghuni, atau menjaga kelestarian ekososial penduduk.
Ada yang menggunakan singkatan eco, realitinya tidak benar-benar memberi makna terbaik kepada ekologi, juga ekososial. Tepatnya, singkatan eko itu semakin menampakkan kebenaran berekor. Semuanya perlu dijamin dengan bayaran tertentu, daripada cukai letak, cukai pintu hinggalah kepada yuran penyelenggaraan yang semakin lama semakin meningkat.
Kata beberapa orang kawan saya, hidup di kawasan perumahan begitu sepanjang hayat seperti penyewa, dan dalam masa yang sama membayar bayaran balik pinjaman kepada institusi kewangan yang kurang mesra peminjam. Apa tidaknya, bertahun-tahun membuat ansuran, kita hanya membayar faedahnya lebih dahulu, pinjaman pokok masih besar biarpun sepuluh tahun berlalu. Bank akan mengambil faedahnya kebun dahulu, dan jika berlaku perubahan kadar faedah semalam, bank akan membuat penyesuaian.
Namun paling lambat bank lakukan, ketika kadar faedah semalaman itu turun. Kadangkala, bank memberikan cadangan, penyesuaian akan dibuat pada akaun akhir, bukan serta merta, mungkin akan meningkatkan beberapa bulan bayaran ansuran.
Bila kadar faedah meningkat cepat bank membuat penyelarasan, dan ia bermakna kita terpaksa membayar lebih besar. Itu adalah ekosistem kewangan dan perbankan yang terpaksa kita alami, yang turut menyebabkan kita merasakan tertekan, tidak merasakan ada kemesraan dan ketenangan. Apa nak buat, itu adalah ekosistem bank, ekosistem yang berdasarkan falsafah kapitalis.
Dalam kebanjiran istilah pendek eco/eko itulah sebenarnya kita dihadapkan dengan satu lagi istilah yang bunyinya hampir sama, tapi berbeza ejaannya, iaitu echo. Pada awalnya, kita memahami makna echo itu dalam dunia muzik, sebagai gema atau pantulan bunyi-bunyian. Ia berlaku setelah alat-alat bunyian itu bergeser atau dipukul atau dipalu. Jika pantulan itu tidak menimbulkan halangan, ia akan berlalu dalam suasana yang cukup disenangi, tidak membingitkan. Ada rasa nyaman dan enak didengar sehingga kita boleh berkhayal atau hanyut di dalamnya.
Tetapi, jika alat-alat itu mengalami gangguan, ia menimbulkan suasana bunyi yang cukup tidak menyenangkan. Samalah dengan istilah eco/eko, jika kita mendapat ketenangan dengan sistem yang mengawal itu, ia tidak ada masalah. Tetapi, jika eco/eko itu terganggu maka muncullah echo, kebosanan dan rasa marah atau keadaan tidak senang.
Dari rasa senang dengan ekologi, bertukar menjadi echo yang menyebabkan setiap daripada kita rasa terancam dalam kebingitan kemarahan. Kebingitan hidup cukup terasa di bandar-bandar kerana ekosistem yang mengawal dan ekosistem yang membosankan.
Dalam suasana kebosanan itu kadangkala kita cukup sensitif terhadap istilah eko yang digunakan sebagai pilihan kata yang boleh dijual dalam sistem ekonomi kapitalis. Seharusnya, jika menggunakan singkatan eko atau istilah sezuriat dengannya, perlu disusuli dengan asuhan yang membawa kepada ekososial harmoni sepanjang hayat. Di kawasan itu perlu disuntik sentiasa program-program yang bersifat bina sahsiah dalam ekopsikologi saling menghargai, rasa hormat dan kenal mengenali, bukan menambahkan lagi jarak diri dan status, individualistik dan materialistik.
Setiap kaki saya menemui singkatan eco, mengingatkan saya kepada seorang pakar semiotik Itali, Umberto Eco (1932-2016). Saya teringat kepada Eco kerana salah satu namanya membawa makna eko, dan juga teori yang dikemukakannya berkaitan kegilaan dalam berbahasa. Eco juga seorang penulis novel yang cukup popular.
Salah sebuah bukunya yang popular ialah Bahasa dan Kegilaan (terjemahan dari Languages and Madness oleh Saut Pasaribu, dan diterbitkan oleh Penerbit Circa, Jokjakarta, Indonesia tahun 2019). Dalam buku itu Eco berusaha memberikan kita bagaimana sesuatu makna daripada sesuatu istilah atau kata seringkali muncul secara tidak tepat, daripada kebohongan menjadi sesuatu yang benar. Dalam dunia maya, kita kenali situasi itu sebagai post-truth, atau langkau-kebenaran. Salah faham, kebingungan dan kecelaruan sentiasa muncul; kadangkala kekeliruan, salah faham dan kekacauan makna itu membuatkan manusia hilang percaya diri, mudah terhasut dan leka dengan kepalsuan makna.
Salah satu petikan menarik dari Umberto Eco berbunyi: manusia moden sentiasa tersesat dalam lautan maklumat. Namun, hanya mereka yang suka bertanyalah yang akan menemukan pulau makna."
Itulah sebabnya, dalam dunia digital yang cukup gila mencari populariti, kita seharusnya lebih banyak bertanya terhadap apa sahaja maklumat yang kita terima atau jumpainya. Setelah kita menemukan jawapannya, baharulah kita boleh ambil sebagai satu bentuk fakta, yang boleh kita jadikan sebagai sebahagian daripada "kebenaran" tetapi bukan sebagai kebenaran mutlak sehinggalah ciri-ciri kebenaran mutlak itu dipenuhi.
Jalaludin Rumi (1207-1273) dalam dua ungkapan puisinya pernah berpesan: Sebelum menurun lisanmu (dengan baik), pertama-tama tuntunlah hatimu. Perkataan dari hari, lalu keluar melalui lisan" dan "Jika engkau tidak mengenal seseorang, perhatikanlah apa dah siapa yang ditujunya. Kau akan memahami,".
Oleh kerana kata-kata cukup mengubah persepsi orang yang mendengarnya, maka hati-hatilah jangan sampai kerana "mulut badan binasa". Bila terceduk, sukar untuk dikembalikan atau membersihkan "luka" kerana luka tidak akan sembuh dengan "maaf", walaupun "maaf" boleh diterima.
Eko setelah lama berlalu, timbul pula echo. Echo itulah yang akan menentukan sama ada kekal kelangsungan atau boleh meruntuhkan apa yang kita miliki, sebagaimana Malaysia sekarang sedang hadapi. Suara-suara bingit, rasa tidak puas hati, rasa ingin mencabar, keinginan untuk mengubah itu menunjukkan echo masyarakat yang semakin tidak harmoni. Rukun kontrak sosial cuba diubah, sedangkan rukun itulah yang membawa kepada keharmonian dan kelestarian impian untuk kemajuan dan pembinaan sebuah negara bangsa.
Selamat Menyambut Hari Malaysia.
MONOSIN SOBRI