ANWAR HILANG ARAH; PKR TERBABAS "REFORMASI?"
Hamzah Zainudin menyertai Berjasa, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi menerajui Parti Bersama Malaysia. Hamzah tidak dikenakan bon kerana beliau dilucut keahlian Bersatu. Rafizi dan Nik Nazmy mungkin akan dikenakan denda masing-masing RM 10 bila belum dipecat tetapi rasmi memimpin parti lain.
Masing-masing parti ada bon yang dikenakan sekiranya menyertai parti lain dalam kalangan wakil rakyat yang menang atas tiket parti asal. Zuraida sedang berhadapan dengan kes tersebut di peringkat rayuan untuk tidak membayar denda apabila keluar PKR dan menyertai Bersatu sebelum PRU ke-15 lalu.
Setakat ini, PAS tidak akan bom sedemikian tetapi PAS pernah meletakkan bai'ah ke atas wakil rakyat yang berpaling tadah. Kita mungkin ingat kisah Khalid Samad yang mencagarkan talak tiga ke atas isterinya jika menyertai parti lain. Bagaimanapun, Khalid tidak bercerai dengan isterinya, tetapi ada tuntutan yang dibuat oleh isteri pertama atas sebab beliau berpoligami. Isteri Khalid telah meninggal dunia lebih setahun lalu.
Dalam Akta Anti-Lompat Parti yang diluluskan beberapa minggu sebelum PRU 15, ia tidak mengenakan denda dalam bentuk bayaran. Akta tersebut memberikan kuasa kepada parti untuk menentukan menyokong mana-mana gabungan secara berjemaah. Oleh itu, jika wakil rakyat membuat keputusan menyokong mana-mana parti lain, ia dianggap tidak sah. Kedudukannya sebagai wakil rakyat tidak terbatal sepenuhnya, kecuali diputuskan oleh Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Dalam kes beberapa orang wakil rakyat Bersatu berubah sokongan, hanya DUN Kelantan yang memutuskan kerusi tersebut kosong. Keputusan itu menyebabkan berlakunya PRK DUN Nenggiri yang membawa kemenangan kepada UMNO/BN.
Bersatu ikut memberikan kenyataan bahawa setiap wakil rakyatnya yang menyeberang, mereka perlu melepaskan jawatan atau mengosongkan kerusi yang dimenanginya. Namun, hal ini tidak berlaku di Sabah apabila wakil rakyat menyertai Gagasan Rakyat Sabah (GRS). Situasi tersebut membuatkan Bersatu gelabah, namun akhirnya Bersatu terpaksa akur, penilaian besar-besaran terjadi dalam PRN Sabah tahun lalu (29 November 2025).
Perkembangan ini menjadikan dua parti yang besar PKR dan Bersatu - semakin retak manakala UMNO/BN mengukuhkan kedudukannya. Oleh kerana merasakan sedikit kekukuhan, UMNO/BN mula membuat congakan untuk bertanding solo, maka tidak akan berlakulah sebarang kerjasama dalam PRN Johor.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang juga PMX yang memimpin kerajaan campuran atau kerajaan madani sedang terkehel tengkuk. Dalam situasi terkehel itu mula membuat ugutan, mungkin akan membubarkan Dewan Rakyat untuk diadakan PRU. Jika benar-benar terbubar, maka akan berlaku pilihanraya serentak di Johor dan Melaka, kerana dua negeri itu hampir 'expired".
Pada pandangan umum, Anwar adalah mereka yang paling gelabah berbanding Zahid Hamidi dan Hadi Awang. Anwar gelabah kerana beliau mungkin Perdana Menteri yang cukup malang, tidak ada kekuatan sendiri. PKR yang suatu ketika digelar parti anak beranak nampaknya tidak akan mudah untuk menang, bahkan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU 15 cukup sukar.
Dalam simulasi yang mereka lakukan, hanya tujuh kerusi Parlimen dikatakan selamat, termasuklah kerusi Tambun. Nurul Izzah yang pernah digelar Puteri Reformasi telah kalah di kerusi "warisan keluarga sejak 1982" telah disebut-sebut akan bertanding di Bandar Tun Razak. Kerusi itu disandang oleh Wan Azizah yang pernah berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan ada yang pernah dilihat umpama Srikandi PKR, berpindah ke Pandan, kerusi yang dikuasai oleh Rafizi Ramli.
Setakat ini, PH mula menunjukkan kemarahan ke atas UMNO/BN yang akan bertanding secara solo di Johor. Atas keputusan itu, dikatakan PH bukan sahaja akan bertanding di semua kerusi di Johor dan juga Negeri Sembilan, serta kemungkinan akan membubarkan Dewan Rakyat..ugutan itu dianggap sesuatu yang cukup ganjil, kerana pada kitaran politik sebelumnya, yang mendesak DUN atau Dewan Rakyat dibubarkan ialah parti-parti pembangkang, bukan parti komponen yang ada dalam kerajaan.
Desas-desus sebegini cukup jelas bahawa PH begitu tersedak dengan apa yang difikirkan oleh UMNO/BN. Lantaran itu, ada amaran daripada PH Johor untuk menelanjangkan UMNO/BN dan 'menguburkan" UMNO." Ada juga melabelkan tindakan UMNO/BN itu sebagai pengkhianat. PH akan menghukum UMNO/BN walaupun diberi jaminan, kerjasama dan hubungan dengan kerajaan pusat tidak terjejas.
DAP ikut mengeluarkan suara tinggi kerana mungkin masih marah dengan. 17 wakil rakyat UMNO/BN mengambil kesepakatan menarik balik sokongan ke atas MB Negeri Sembilan ekoran krisis "masyarakat adat" berkaitan pengguguran Undang Luak Sungai Ujong.
Namun, apakah benar PAS tidak akan bertanding dalam PRN Johor atas alasan UMNO/BN bertanding solo? Jika ia menjadi kenyataan, ke manakah undi penyokong PAS sakan PRN itu? Ada yang memberikan telahan bahawa mereka akan menyokong UMNO/BN atas alasan, untuk memenangkan UMNO/BN melawan PH yang disertai oleh DAP. Jika ini menjadi kenyataan, tentunya PH akan berhadapan dengan kesukaran, dan tidak mampu menguburkan UMNO/BN.
MCA yang menjadi komponen BN dan sebelumnya Perikatan melihat situasi BN bergerak solo sebagai kelebihan untuk kembali mendapat sokongan. MIC yang sudah ditolak bergabung dengan PN, mungkin akan menerima nasib yang kurang baik. Mungkin MIC akan didera oleh pengundi Johor atas sikap dan pendiriannya yang dilihat umpama lalang. Walaupun belum memutuskan penyertaan dalam BN, kepercayaan orang terhadap parti itu semakin terhakis. Kemungkinan ialah cukup besar apatah lagi dalam situasi tidak ada satu kerusi pun yang majoriti pengundi adalah kaum India.
Jika pertembungan berlaku antara PH dan BN, ia akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRN Johor. Sedikit sebanyak kesan daripada kesediaan pihak istana untuk ikut meraikan penubuhan UMNO yang bermula di Istana Johor akan memberikan kesan buat PH. Ini kerana Johor cukup kuat dengan naungan Istana, dan tentunya semangat itu bakal menjadi delusi buat PH.
Mungkin kerana kemungkinan itu menjadikan Anwar serba salah dan resah tak berkesudahan sehingga ikut melatah untuk membubarkan Dewan Rakyat lebih awal. Anwar juga dikatakan akan meminta MB Negeri Sembilan membubarkan DUN, sebabnya kedudukan PH cukup goyah, yang bila-bila masa boleh tumbang. Setakat ini, PH berkuasa sebagai kerajaan minoriti. Jika PN sedia bekerjasama dengan UMNO/BN ia mungkin akan menyebabkan bukan lagi kerajaan minoriti. UMNO/BN mempunyai 14 kerusi manakala PN 5. Gabungan ini sudah boleh membentuk majoriti mudah (19 kerusi). Tentunya, dalam politik apa pun boleh berlaku. Apa yang sedang diperhatikan adakah ada wakil rakyat PH yang akan berpaling tadah?
Situasi seperti itu bukan perkara yang tidak pernah, ia menjadi hal yang lazim dalam PH mahupun UMNO/BN. Apatah lagi dalam keadaan semakin ramai aktivis PH mula mengisytiharkan keluar parti, tetapi tidak menyatakan parti manakah yang akan disertai. Bagi bukan wakil rakyat, ia tidak akan terbeban dengan tindakan undang-undang agar membayar penalti RM 10 juta.
Tetapi, bila wakil rakyat menyatakan 'keluar parti" atau menarik sokongan kepada MB, ia belum dibolehkan tindakan undang-undang yang membawa penalti RM 10 juta, selagi tidak bertukar parti.
Bersatu pernah berhadapan dengan situasi ini, tetapi Bersatu tidak mampu menekan bekas wakil rakyatnya mengosongkan kerusi. Ia masih tertakluk kepada keputusan Speaker DUN atau Dewan Rakyat. Jika keputusan DUN Kelantan menjadi rujukan, ia boleh menyebabkan akan berlakunya PRK di DUN berkenaan.
Tetapi, jika Speaker DUN membuat keputusan "tidak berlaku kekosongan", ia menjadikan PH benar-benar hilang kuasa. Dilema sedemikian akan menyebabkan Anwar semakin hilang sentuhan "nawaitu" lagi.
Rakyat awam sedang mengemukakan sebuah pertanyaan yang sangat sukar dijawab oleh Anwar: Apakah Reformasi sudah mati, atau dalam bahasa mereka, REFORMATI? Apakah Anwar akan dikuburkan dengan kegagalannya sendiri, gagal menterjemahkan reformasi yang menjadi haluan kepada penubuhan PKR (atau Keadilan) pada tahun 1999 lalu?
Ramai daripada aktivis reformasi sudah meninggalkan Anwar, dan kemuncaknya ialah apabila Rafizi Ramli dan Nik Nazmy mengumumkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Malaysia Unity Party/MUP) yang ditubuhkan pada tahun 2016 di Pulau Pinang. MUP kini dikenali dengan ringkasan Bersama.
Dalam satu kenyataan Rafizi, Bersama mendapat sambutan hangat. Lebih 4000 orang memohon menjadi ahli dalam tempoh kurang 48 jam dibuka secara dalam talian. Tetapi, apakah langkah Rafizi akan tersekat dengan tekanan-tekanan yang sedang berlaku, termasuk dakwaan ada hubungan dengan kontrak yang bernilai lebih satu bilion ringgit, Arm Holdings.
Ia dikatakan kekurusan tergesa-gesa yang dibuat oleh Rafizi ketika menjawat Menteri Ekonomi. Walau bagaimanapun, dalam undang-undang Malaysia, Rafizi masih boleh bertanding walaupun dituduh selagi belum dibuktikan bersalah.
Tentunya, Rafizi akan melawan sehabis upayanya. Rafizi akan menjadi "tumor" yang boleh menyesakkan tarikan nafas PH, sebab Rafizi lebih tahu apa sebenarnya yang Anwar mahu? Rafizi akan bina naratif untuk menjatuhkan Anwar dan seterusnya melumpuhkan PH.
Ketua Pergerakan UMNO, Dr Akmal Salleh sudah pun memberi kenyataan yang boleh menyebabkan PH tersedak: lebih baik BN keluar sahaja daripada pakatan kerajaan madani atas alasan, "PH akan menguburkan UMNO". Kenyataan itu memberi maksud, sebelum BN "dikuburkan" adalah lebih baik BN mengambil keputusan meninggalkan kerajaan madani.
Ia boleh mengelakkan daripada "dikuburkan" dalam sebuah makna persahabatan. Adalah lebih mulia "dikuburkan" apabila kalah dalam perjuangan berbanding "dikuburkan" oleh parti yang mengharapkan dokongan untuk berkuasa.
Anwar akan dipersoalkan tentang makna setiakawan dan akan dianggap lumrah "menikam belakang". Tentunya, Anwar akan dilihat sebagai seorang politikus yang "tidak boleh dipercayai', maka mengambil sikap tidak bersekutu adalah jalan terbaik. Pengalaman telah mengajar banyak orang, apa sebabnya begitu ramai rakan yang mendokongnya sanggup meninggalkan parti.
Selagi Anwar memimpin PKR, jangan diharap orang lain akan mendapat tempat yang sewajarnya. Anwar akan memberikan keutamaan dan menyediakan laluan untuk ahli keluarganya. Ini sudah banyak kali berlaku.
Azmin Ali yang dilihat sebagai "Hang Jebat" yang bersedia meruntuhkan tembok jika Anwar dipenjarakan, sudah menjadi musuhnya. Azmin pernah disekat sebanyak dua kali untuk bertanding jawatan Presiden PKR. Rafizi rasa tercabar apabila Anwar memberikan laluan kepada puterinya untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR.
Ketika pemilihan di peringkat awal, Anwar mengeluarkan senarai siapakah yang perlu disokong untuk menduduki posisi pengurusan parti, menyebabkan ramai yang kecewa.
Sejak Anwar berkuasa, suara lantang Otai Reformasi sudah sepi. Nik Nazmy yang merupakan salah seorang penggeraknya sudah mengambil keputusan, meletakkan jawatan kabinet, mengosongkan kerusi Setiawangsa dan kini bergabung dengan Rafizi.
Mereka melihat salam PKR, ia sangat ditentukan oleh Anwar. Anwar semakin mementingkan kroni, maka demokrasi dalam PKR sudah tidak tumbuh secara organik, ia tumbuh berdasarkan kemahuan Anwar.
Secara kesimpulannya, kali ini PKR yang menerajui PH berada di persimpangan tajam dan PKR sendiri sedang disejajarkan sebagai sebuah parti yang sengaja menjadikan reformasi terbabas. Apa pun alasan yang Anwar berikan, ia sudah tidak menjadi "penawar" kerana luka masyarakat tidak dapat disembuhkan selagi Anwar berada dipuncak.
Anwar hanya tahu bercakap dan menyatakan hal yang "merangsang semangat" tetapi realitinya, jauh panggang dari api. Semangat sahaja tidak cukup, kerana yang mencukupkan ialah apa tindakan yang dilakukan bagi membuktikan reformasi benar-benar berlaku.
Apa yang dilakukan oleh Anwar ketika ini, hanyalah perubahan kosmetik, perubahan yang tidak menepati janji reformasinya. Lama atau baharu, janji reformasi akan tetap ditagih, selagi Anwar berada dipuncak kuasa..kegagalan menunaikan janji itulah sebenarnya dianggap "pengkhianatan" kepada pengundi yang mengundi dirinya dan PH sehingga boleh dipertimbangkan sebagai calon PMX.
KAMARUN KH
