APABILA ADAB HILANG, BIADAP JADI RAJA DI JALAN KEHIDUPAN
Alangkah hinanya sebuah kehidupan apabila setiap apa yang dimiliki, yang sepatutnya dipertahankan direnggut tanpa ada rasa malu dan bersalah. Kejadian empat pelajar merogol dalam bilik darjah beberapa hari lalu di Melaka ikut tersimbah ke negeri Kedah. Sebelumnya, kita mendengar kejadian rogol bersiri dalam kalangan remaja berlaku di Kelantan.
Nampaknya, rogol bukan sekadar jenayah jijik. Ia membawa kepada rasa bangga di atas perlakuan terkutuk itu apabila gambar aksi lucah disebarkan untuk tontonan umum. Mangsa tidak melaporkan kejadian, tetapi pihak keluarga hadir ke balai polis membuat laporan setelah adegan-adegan yang tidak sepatutnya menjadi tontonan umum tular. Itulah yang berlaku apabila keluarga menonton video viral tentang anak perempuannya berusia 15 tahun melakukan perbuatan terkutuk itu secara bersiri dengan beberapa orang pelajar lelaki.
Akhirnya, dua pelajar lelaki seusia dan seorang bekas pelajar ditangkap. Polis mengklasifikasikan perlakuan itu sebagai rogol walaupun antara perogol dan mangsa dikatakan suka sama suka untuk bersenggama. Alasannya, ia dilakukan oleh mereka yang masih di bawah umur menurut Akta Kanak-Kanak. Perbuatan itu dikenali sebagai rogol statutori.
Rogol statutori itulah sedikit kontroversi apabila Ketua Polis Kelantan mencadangkan pasangan yang melakukan perbuatan dikenakan hukuman, tetapi pada ketika ini, hukuman hanya dikenakan ke atas perogol. Mangsa rogol statutori dilindungi. Tidak kurang pula yang mencadangkan agar tahap umur yang dikategorikan di bawah umur dikaji semula.
Sedikit masa lalu, kita dikhabarkan dengan gambar bogel, adegan lucah digunakan untuk memeras, mendapatkan wang sebagai satu bentuk perlindungan untuk menyekat penularan yang lebih banyak dan meluas. Ada juga pemeras bertindak sebagai muncikari, dengan tujuan untuk menarik pelanggan yang berhasrat meraikan seks haram, dengan wajah-wajah cantik dan penuh berahi. Muncikari peroleh komisyen apabila berjaya menghubungkan "penjual" dengan "pelanggan". Paling lumayan jika "penjual" adalah dalam kalangan artis, model atau pengacara yang cantik, genit, gebu dan ada nama besar.
Nampaknya, kejadian rogol tidak lagi menjadi hal yang memalukan, tetapi seumpama "menang" dalam sebuah perlawanan nafsu dan mencabar adab. Atas pemahaman itu, akhirnya membawa kita kepada suatu hal yang sangat biadab. Kebiadapan itu lahir daripada budaya. Budaya itu hadir bersama-sama tindakan, tindakan yang terjadi daripada perkumuhan dan kekalutan hidup yang membalut jiwa antara imaginasi dan realiti. Imaginasi itu membesar dalam dunia yang penuh komersialisasi. Komersialisasi adalah tujuan dan hakikat kapitalisme.
Imaginasi muncul daripada pendedahan yang terang-terangan dan mudah dicapai dalam dunia maklumat di hujung jari. Kalau dahulunya, imaginasi muncul daripada tatapan adegan lucah di filem, televisyen dan gambar-gambar eksotik tubuh wanita di majalah, buku-buku cerita khusus untuk dewasa rakam bentuk video dan cakera padat (CD - compact disc). Tetapi kini, semua orang boleh lihat, tonton dan baca mesej yang ada di media sosial, terdedah dan terbuka. Semua orang boleh rakam, termasuk rakam aksi asrama di ranjang bersama isteri sebagai koleksi peribadi.
Akhirnya, koleksi peribadi itu menjadi tular. Tular apabila telefon rosak dihantar untuk diperbaiki. Komputer rosak dihantar untuk diperbaiki. Walaupun sudah dipadam daripada storan handphone, tidak bermakna aksi itu hilang. Ia masih boleh dicari, sebabnya dalam teknologi "cloud", gambar yang dahulunya dibuang (delete) boleh diakses kembali. Dahulunya hilang, boleh dilihat kembali, ada software yang dapat mengesannya, dengan sedikit bayaran langganan.
Setiap saat kita disogokkan dengan pelbagai aksi ghairah, oleh janda, pencari jodoh, mahupun artis yang mencari populariti, sama ada separuh ghairah dan sedikit sopan tetapi dalam seruan yang memberahikan. Misalnya, ada ungkapan begini:
"Kebunku tidak sempit. Juga tidak luas. Ayuh! Tanamlah singkungmu di kebunku.
"Kebunku sudah lama tidak ditanam. Rumputnya sudah tebal. Kamu, datanglah ke kebunku; kita bercucuk tanam."
"You don't complete me, you make me feel whole."
"You're the calm in my chaos, the light in my strom."
"Lihatnya di atas, nikmatnya di bawah."
"Ke pasar katanya nak pegang buah. Buah apa yang dipegangnya?'
Ironinya, gambar cukup sopan berpakaian (ciri-ciri muslimah) tetapi apa yang dapat dibayangkan caption begini: " Cantik suka dandan. Tapi, gak bisa masak. Atau gak cantik, tapi jago di dapur apalagi di kasur". Walaupun itu adalah daripada "janda pencari suami atau teman" dari Indonesia, kita di Malaysia boleh melihatnya secara terbuka dalam facebook, Thread, Reels dan sebagainya.
Dari hampir seluruh dunia, walaupun kadangkala terima wajah yang sama, tetapi, hanya ada satu keinginan "bersama" untuk harungi "paradise". Gambar, kata-kata, ekspresi wajah, jelingan mata, posisi duduk, dan juga pakaian yang dipakai semuanya membuatkan sebahagian daripada kita hilang pertimbangan adab, jika tidak kuat Iman. Bagi remaja, ia adalah sesuatu yang cukup menarik, walaupun hanyalah ilusi. Media sosial mengembangkan ilusi, dari ilusi itulah akan berkembang kepada hasrat ingin mencuba. Rasanya bagaimana? Khabarnya sangat "enak" dan "cukup nikmat."
Perihal pengaruh media sosial memang sudah lama menjadi kerisauan awam, tetapi sejauhmanakah kita bertindak untuk memugarkan sahsiah para remaja? Daripada perspektif undang-undang, kita kadangkala merasa gerun apabila setiap tahun dilaporkan puluhan ribu laman web lucah berjaya diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), namun para penyedia rangkaian tidak melihat ia sebagai satu keburukan. Mereka mengejar jumlah pelanggan. Jumlah pelanggan yang besar akan menghasilkan wang yang besar. Iklan akan disiarkan kerana laman sosial menjadi sarana pemasaran yang cukup berkesan. Sebabnya, media konvensional sudah hilang cengkamannya.
Media sosial lebih bebas memaparkan iklan. Lihat sahaja dalam video ceramah atau cuplikan pandangan tokoh-tokoh tertentu kadangkala disiarkan iklan arak. Ia kadangkala cukup paradoks dan kontradik. Media sosial juga memunculkan rangkaian "pempengaruh" di mana mereka yang dipanggil "influencer" itu sebenarnya bukanlah orang yang mahir atau pakar dengan perkara yang diperkatakan. Saya sangat tidak percaya, yang tular itu adalah hal yang menarik. Misalnya, tular port makanan yang sedap. Bila ke sana, cukup mengecewakan. Bukan sahaja makanan tidak enak, layanan pekerja juga terlalu mengecewakan.
Dalam kes membabitkan kenakalan remaja - buli, rogol, jenayah dan sebagainya - media sosial menjadi pemangkin yang cukup kuat, yang bukan sahaja untuk ditiru, bahkan untuk dibanggakan. Sudah sampai masanya ibu bapa memainkan peranan untuk mengawal anak-anak mereka, agar tidak terlalu menghabiskan masa bermain video, melayari laman sosial dan ber-chatting. Awasilah mereka dengan memasang "guards" dalam peranti yang mereka miliki, termasuklah jenis-jenis permainan yang dibolehkan dan masa yang sesuai. Banyakkanlah aktiviti bersama untuk membolehkan mereka memahirkan diri dengan kemahiran sosial, kerana kemahiran sosial itulah yang menjadikan seorang kanak-kanak pada hari ini menjadi seorang yang berbudi pekerti bila dewasa kelak.
Bagi KPM, satu keputusan telah dibuat. Mereka akan laksanakan reformasi pendidikan. Mulai tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan akan diperkenalkan Pendidikan Karakter. Pendidikan Karakter ialah pendidikan, bukan pelajaran berkaitan dengan aspek-aspek kemahiran sosial yang diperlukan. Ia disepadukan dengan matlamat pendidikan yang lain, yakni kecerdasan intelektual dan kecerdasan emosi. Biarpun dikatakan terlewat, kita yakin jika Pendidikan Karakter benar-benar berteraskan amalan baik dan berkesan, ia mampu menghasilkan pelajar yang bersahsiah tinggi, kerana pendidikan karakter menekankan "adab, budi pekerti dan empati (keluhuran jiwa)."
Kita tidak mahu lagi "kebiadapan menjadi pilihan di jalan kehidupan". Apa yang kita mahukan ialah adab menjadi kerangka dan amalan dalam setiap aspek kehidupan kerana adab itulah yang menjadi asas pembinaan peradaban atau tamadun.
Dalam ekosistem pendidikan, kita tidak mahu lagi situasi "cikgu kena dengar pendapat kami" dan "kami tidak mahu dengar lagi pendapat cikgu" menjadi budaya. Sebenarnya, bukan semua ibu bapa tahu tingkahlaku anak-anak di luar rumah, maka ibu bapa haruslah mempertimbangkan pengamatan guru dan masyarakat tentang karakter anak-anak. Budaya tegur menegur wajar dihidupkan kembali, kerana fungsi menegur itu tidak sama dengan gosip dan membawang. Ibu bapa janganlah teramat amat sangat sensitif bila ada yang menegur, kerana teguran itulah akan membolehkan kita memperbetulkan tingkahlaku anak-anak kita, bukan mengherdik atau mempertahankan tanpa memihak kepada kepedulian sosial.
KAMARUN KH