ARAK: SUKARKAH MENJAGA SENSITIVITI UMAT ISLAM
“Amat membimbangkan jika isu ini tidak dihentikan, kita mungkin terjerumus dalam isu 3R – raja, agama, kaum sehingga melangkaui Perlembagaan yang boleh mencetuskan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat perpaduan rakyat,”
Semakin ‘meleret’ reaksi isu hidangan arak atau minuman keras yang melibatkan Tourism Malaysia baru-baru ini apabila ada pihak tidak henti-henti mengeluarkan kenyataan umpama mahu ‘menegakkan benang basah’.
Isu ini berlarutan, tidak berakhir dengan amaran keras Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing agar memastikan kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Pada masa yang sama ketika ada pihak yang mempertahankan’hidangan’ itu dan tidak membesar-besarkan isu itu, ada pula yang terus memainkan isu ini.
Amat membimbangkan jika isu ini tidak dihentikan, kita mungkin terjerumus dalam isu 3R – raja, agama, kaum sehingga melangkaui Perlembagaan yang boleh mencetuskan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat perpaduan rakyat.
Malam itu, jika tidak ada hidangan arak pada majlis makan sempena acara Global Travel Meet, tidaklah kecoh suasana hari ini yang jika tidak dibendung boleh mengguris hati umat Islam.
Andai sudah tahu arak itu sesuatu yang amat sensitif dengan Islam dan umatnya, sama seperti babi @ khinzir serta judi, maka berhati-hatilah apabila bercakap atau melakukan sesuatu berkaitan dengan arak itu. Beringat sebelum kena.
Dalam hal ini, Selak suka meminjam kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika mengulas kejadian lori muatan lusuh yang dipandu laju merempuh beberapa kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang menyebabkan seorang bayi maut.
Katanya, ketika kejadian, bayi terbabit tidak diletakkan dalam kerusi khas, sebaliknya tercampak keluar lalu tersepit dalam kenderaan lain.
“Bayangkan jika bayi berada dalam kerusi khas, mungkin dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” kata Loke yang tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi tegasnya, ini satu peringatan penting kepada semua.
Begitu jugalah dengan majlis yang melibatkan Tourism Malaysia yang turut dihadiri orang Islam tetapi dihidangkan dengan arak. Jika tidak cuai, semua ambil tahu atau peduli peraturan di majlis rasmi kerajaan, isu ini tidaklah sepanas sekarang.
Reaksi masyarakat terhadap isu itu bukan sahaja melibatkan pimpinan kerajaan dan orang politik beragama Islam tetapi juga pimpinan institusi Islam, orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan malahan kesatuan sekerja.
Namun bagi yang tidak sensitif dengan arak khususnya masyarakat bukan Islam, lain pula reaksi mereka yang mempertahankan ‘kesilapan’ yang dilakukan malah sehingga sampai ke tahap menyindir, jika tidak dibendung amat berbahaya.
Tidak tahu apa sebenarnya ‘nawaitu’ mereka termasuk pimpinan DAP yang juga penyokong Kerajaan Madani mempertahankan hidangan arak itu.
Mantan pimpinan DAP Teng Chang Kim didakwa menyindir Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum itu dilaporkan berkata “ belum pernah majlis rasmi kerajaan hidang arak”
Chang Kim dalam komen melalui Facebooknya berkata: “Bisa (boleh) berlaku di Malaysia sahaja, yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk,”
Pedih kenyataan itu. Mabuk antara lain bermaksud pening kepala (hilang ingatan, tidak sedarkan diri). Kenyataan yang dianggap biadab itu hakikatnya bukan terkena pada Presiden UMNO itu sahaja sebaliknya yang ‘menghentam’ King Sing.
Kenyataan itu membawa maksud mereka yang mempertikaikan hidangan itu sehingga mahu King Sing dipecat berada dalam keadaan ‘mabuk’ walaupun tidak minum arak. Akhirnya mereka yang mengkritik itu umpama ‘anjing menyalak bukit’.
Bekas Exco Selangor itu dalam satu hantaran lain merujuk Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan insiden majlis makan malam itu.
“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan ini diterima semua. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan bahawa Malaysia adalah negara Islam di mana nilai-nilai Islam adalah tunggak kepada pentadbiran.
Melaksanakan peraturan-peraturan yang hanya berdasarkan nilai-nilai Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Apa-apa peraturan sedemikian harus dibatalkan,” katanya.
Tidak pasti sama ada dalam kalangan pimpinan UMNO, Pas, PKR, Bersatu tampil mengulas kenyataan itu. Mungkin juga ada kebenarannya.
Chang Kim kemudiannya sekali lagi tampil mengulas mengenai arak. Kali ini beliau membuat kenyataan susulan permohonan maaf oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Presiden Petronas itu memohon maaf selepas tular video yang menunjukkan beliau turut serta dalam acara semburan minuman keras di atas podium ketika meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One (F1), Singapura.
“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.
“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Chang Kim dalam hantaran di Facebooknya berkata Tengku Muhammad Taufik tidak perlu memohon maaf kerana ‘tidak mengambil’ minuman keras.
“Kita hidup dalam dunia pelbagai budaya. Acara yang disertai atau ditaja oleh Petronas itu adalah acara antarabangsa yang pesertanya terdiri daripada pelbagai kebudayaan. “Semburan champagne” adalah sebahagian daripada sambutan kemenangan dalam perlumbaan kereta antarabangsa yang telah lama menjadi tradisi sukan tersebut.
Apa yang diharamkan oleh agama rasmi kita adalah mengambil minuman beralkohol oleh penganutnya. Oleh itu, selagi Tengku Taufiq tidak minum champagne dalam upacara “sembur champagne”, tidak ada apa-apa yang telah disalah lakukan oleh beliau.
Jika kita terlalu sensitif sehingga tidak tahu batasnya, lebih baik kita tidak menyertai apa-apa aktiviti yang melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang kebudayaan. Pegawai-pegawai kerajaan termasuk pegawai diplomat kita yang berkhidmat di Bangsa-bangsa Bersatu atau yang bertugas di dalam dan luar nagara, jangan lagi dibenarkan menyertai apa-apa majlis yang menghidangkan minuman beralkohol atas alasan kononnya mereka tidak menjaga sensitiviti agama rasmi kita. Adakah kita hendak merasa sensitif sehingga tahap itu?”, kata Chang Kim.
Itu hujah Chang Kim walaupun Tengku Muhammad Taufik menegaskan beliau seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.
Dan hari ini Chang Kim terus mempertahankan kenyataannya dengan mengirimkan satu foto berkaitan perasmian Carlsberg Brewery oleh seorang pemimpin negara dari UMNO pada 1972. Apakah tujuannya di sebalik siaran foto sejarah itu?
Beliau bertanya: “ Apa kata mereka yang mengecam saya di laman FB berhubungan dengan pandangan saya dua hari kebelakangan ini?”
Begitulah kesungguhan Chang Kim dalam mempertahankan hidangan arak sambil mematahkan serangan keatasnya. Terpulanglah kepada pihak berkuasa dan bijak pandai agama untuk menjelaskan atau memberi kefahaman berhubung apa yang dibangkitkan.
Hakikatnya, umat Islam diperintahkan supaya menjauhi arak yang juga membawa maksud suatu bentuk pengharaman yang mutlak.
Sebagai rujukan, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dalam tulisannya berkata, perbuatan menghidang atau menonjolkan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah bertentangan dengan hukum syarak, moral, dan undang-undang negara.
“Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak, tetapi juga segala bentuk kerjasama dan penglibatan dengannya. Dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam dan Hab Halal Dunia, tindakan sebegini hanya mencemarkan imej negara serta menimbulkan kegusaran masyarakat,” kata mufti itu.
(Rujuk Tinta Mufti Bil 29/2025: Larangan menghidangkan arak dalam majlis rasmi bagi menjaga maruah Islam dan identiti negara)
Masyarakat Islam amat sensitif dengan arak, begitu juga dengan babi berbanding rokok yang difatwakan haram. Tidak dinafikan ada juga orang Islam yang sanggup meneguknya, itu suatu masa dulu.
Justeru, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba ‘memanaskan’ suasana dengan kenyataan seumpama cuba menegakkan benang basah sedangkan tindakan itu boleh mengundang provokasi, ibarat mencurah minyak ke dalam api.
Justeru berhati-hatilah bercakap terutama dalam kalangan ahli politik supaya kata-kata mereka tidak menyakiti hati umat Islam atau menjurus kepada memperlekehkan hukum Islam serta Islam sebagai agama Persekutuan.
Sebelum bercakap mengenai sesuatu berkaitan agama, eloklah mereka memahami terlebih dahulu isu dan kaitan dengan agama.
Memang mudah memohon maaf dengan alasan ‘tidak faham’ sedangkan mereka sepatutnya selidik terlebih dahulu bukannya bersikap menunjukkan kuasa atau ‘keras kepala’ dalam mendepani isu berkenaan.
Sumber: bebasnews.my
Penulis: Datuk Hassan Mohd Noor
Datuk Hassan Mohd Noor bermula sebagai Pemberita Kadet di Pulau Pinang pada 1983. Pernah menjawat Ketua Biro Johor Bahru, Penolong Pengarang Berita, Pengarang MASSA, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Utusan Malaysia dan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Menamatkan tugas bersama Utusan Melayu bermula 1 Disember 2018.