BANJIR DI NEPAL ADA KAITAN DENGAN TANGAN MANUSIA
Oleh: Ibnu Majid
Sejak beberapa tahun ini seluruh dunia dikejutkan dengan pelbagai bentuk bencana dan kerakusan moral manusia sehingga ke akhirnya masih tidak menunjukkan adanya tanda-tanda akan reda.
Bencana alam yang menimpa beberapa negara di dunia turut meninggalkan trauma yang besar apatah lagi dalam tempoh kurang dari setahun berlaku pelbagai malapetaka seperti gempa bumi , banjir dan peperangan.
Terbaharu malapetaka banjir di Nepal telah meragut beribu-ribu nyawa.
Seramai 1,468 individu dilaporkan hilang manakala 392 disahkan maut akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda sempadan Nepal-Tibet.
Agensi pengurusan bencana Nepal memaklumkan 910 individu masih belum ditemukan di negara itu, termasuk sekurang-kurangnya 517 warga asing.
Dalam perspektif Islam, setiap bencana yang melanda dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Allah SWT menguji kesabaran dan sikap pasrah dirinya. Bencana boleh dinilai sebagai perencah yang boleh menambahkan keimanan seseorang malah malapetaka itu juga boleh ditinjau dalam persekitaran kealpaan manusia terhadap keharmonian alam sekitar.
Lebih menyedihkan ialah bagaimana manusia turut melakarkan ke arah kehidupan yang serakah dan penuh kepalsuan sehingga sanggup melanggar nilai adat dan etika.
Kita tidak mengharapkan sesetengah bencana itu berlaku ke atas diri mahupun keluarga kita, tetapi ia boleh berlaku juga atas kesilapan diri kita sendiri. Dengan menurunkan bencana, Allah SWT sebenarnya memberikan petunjuk bahawa atas kedegilan itulah dunia bakal musnah dan kehidupan berkecai.
Namun, ketika ditimpa musibah, manusia begitu mengharapkan belas ihsan Allah SWT agar ia dihentikan secepat mungkin sebagaimana trauma manusia ketika dilanda tsunami beberapa tahun lalu.
Betapa pahit dan getirnya musibah yang menimpa, baik berupa kemiskinan, kesakitan, ketakutan, kegagalan mahupun semua bencana di dunia ini. Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dansyaqi menjelaskan di dalam kitabnya Mau'idhatul Mu'minin bahawa di dalamnya mengandungi lima perkara yang sepatutnya disyukuri.
Pertama, memberikan kita pengertian bahawa musibah itu adalah hakikat kebesaran Allah SWT.
Kedua, musibah yang menimpanya itu tidak membabitkan urusan agama.
Ketiga, musibah yang menimpanya pada ketika dia masih berada di dunia adalah lebih ringan berbanding ketika di akhirat. Semasa dilanda musibah di dunia, manusia masih mempunyai peluang untuk mengatasinya, tetapi di akhirat peluang itu tertutup sepenuhnya.
Keempat, sejak azali lagi setiap musibah itu telah tertulis di Lohmahfuz, jauh sebelum kelahiran seseorang itu lagi.
Kelima, apabila kita dapat menerima musibah dengan sabar dan tenang, kita sebenarnya berupaya lahir sebagai orang kuat dan yakin dengan ketentuan Allah SWT, yakni menerima suratan takdir.
Dalam meneruskan kehidupan ini, kita harus bersyukur kerana kita dilahirkan dalam sebuah negara (Baldatun Thoiyyibatun) yang dilimpahi nikmat kekayaan, jauh daripada malapetaka alam yang besar dan sentiasa dilingkari kedamaian.
Secara lahiriah, kemakmuran boleh dilihat dengan jelas, namun tidak mampu melahirkan ketenangan dan kebahagiaan. Sebaliknya, mereka dilanda gelisah, cemas, bimbang dan takut. Ada juga manusia berpura-pura hidup dalam keadaan tenang dan makmur, tetapi dalam hati kecilnya penuh dengan kebimbangan, ketakutan dan rasa cemas.
Bencana juga turut dikaitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan kemaksiatan, sehingga tidak ada yang mampu mencegahnya dan tidak ada pula yang mampu mengajaknya ke jalan yang benar.
Amar makruf nahi mungkar adalah dua perkara yang harus dilakukan bersama. Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh pemerintahan itu berupaya membimbing atau mengajak rakyatnya bersungguh-sungguh dalam menegakkan peraturan dan undang-undang tersebut.
