BDS, DUNIA LAKUKANNYA, KENAPA MALAYSIA MEMBISU?
Bagi rakyat Malaysia, singkatan BDS adalah sesuatu yang tidak ada hubungan yang jelas dengan apa yang berlaku, bantahan terhadap kekejaman Israel. BDS adalah singkatan daripada tiga perkataan dalam bahasa Inggeris: boycott, divestment dan sanction.
Boycott boleh bermaksud sabotaj. Sabotaj bermakna menolak atau ketepikan sesuatu. Kita menolak kerana kita benci, marah terhadap sesuatu, dari jenis barangan atau pemilik dan pengeluar barangan itu juga perkhidmatan yang disediakan.
Kita mungkin pernah terbaca bagaimana kuasa boikot telah melumpuhkan sesuatu perkhidmatan yang disediakan. Misalnya kisah lumpuhnya sebuah syarikat pengangkutan awam di Montgomery, Alabama, Amerika Syarikat ekoran diskriminasi terhadap penumpang kulit hitam pada bulan Disember 1955. Ia digerakkan oleh masyarakat sivil terhadap insiden yang berlaku ke atas seorang wanita kulit hitam, Rosa Parks.
Di Afrika Selatan, yang terkenal dengan dasar apartheid, masyarakatnya setelah penat berperang dengan regim kulit putih memperoleh satu kaedah untuk menunjukkan kemarahan sehingga akhirnya berjaya menjatuhkan pemerintahan apartheid yang disokong oleh Amerika Syarikat dan masyarakat barat. Satu nama besar kemudiannya berjaya membawa makna terhapusnya dasar apartheid, iaitu Nelson Mandela.
Mereka bukan sahaja mensabotaj atau memboikot pemerintahan kulit putih, juga melakukan sabotaj budaya Dan produk yang dihasilkan oleh pengilang kulit putih, maupun produk yang dibawa masuk daripada Eropah dan Amerika Syarikat.
Masyarakat sivil tidak mempunyai kekuatan melawan kuasa pemerintahan, tetapi mempunyai kuasa menolak apa sahaja yang termampu mereka lakukan yang ada kaitannya dengan kuasa ekonomi penjajahan atau imperialis.
Divestment membawa maksud tidak melabur dalam mana-mana syarikat yang dilihat ada kaitannya dengan sesuatu pihak yang dibenci. Misalnya, dalam kes konflik Israel-Palestin, sebuah badan pelaburan yang besar daripada salah sebuah negara Skandinavia menarik modal yang dilaburkan ke atas apa-apa entiti pelaburan Israel setelah sedar tindakan genosid ke atas rakyat Palestin.
Namun, di Malaysia persoalan boikot pelaburan atau menyekat pelaburan daripada syarikat yang ada kaitannya dengan Israel kurang dilaksanakan. Ia hanya dilaksanakan atau disekat jika syarikat itu benar-benar dimiliki oleh Israel sepenuhnya. Tetapi, jika syarikat itu berasal daripada Amerika Syarikat atau Eropah, walaupun dimiliki oleh pelabur dan pendokong zionis, ia masih dialu-alukan untuk melabur atau menjual produknya di Malaysia.
Pelbagai rasional dibuat, termasuklah bahawa Syarikat tersebut yang beroperasi di Malaysia dimiliki oleh sebuah syarikat tempatan, dah dilaksanakan menerusi konsep francais. Atau dimiliki oleh jutawan daripada Timur Tengah dan tidak ada kaitan langsung dengan Syarikat induk yang menyokong Israel, yang beribu pejabat di Amerika Syarikat. Jika boikot berterusan, ia akan mengganggu rantaian ekonomi, juga bakal menambahkan lagi fenomena pengangguran dalam negara.
Itulah yang kita dengar apabila masyarakat awam mula memboikot KFC, McDonald, Starbuck, Pizza Hut, produk jenama Nestle, jenama produk konsumer edaran Protector and Gamble (shampoo, penjagaan diri dan barangan dapur), jenama Sunlight (pencuci pinggan), makanan dalam tin jenama Campbell, produk makanan ringan dan segera di bawah jenama Maggi, barangan kosmetik, minuman berkarbonat seperti Coca Cola dan Pepsi, dan sebagainya.
Apa yang menarik, walaupun pelbagai alasan dan rasional dinyatakan, boikot barangan tersebut terus berlaku sejak bulan Oktober 2023, biarpun sedang berusaha keras untuk memulihkan kerugiannya. Dalam pemboikotan ini, jenama paling besar terjejas dan masih belum mampu meraih keuntungan ialah Starbuck biarpun sedikit sebanyak isu ini dilihat sedikit lega.
Terbaharu, Starbuck mula menjalin kerjasama dengan sebuah agensi kerajaan bagi memulihkan semula minat orang awam terhadap jualan minumannya. Setelah ditolak oleh masyarakat awam, Starbuck masih mengisytiharkan kerugian, apatah lagi ketika ini sudah muncul saingannya, iaitu Zuss, yang diasaskan oleh rakyat tempatan.
Secara umum, kerjasama ini membawa maksud, kerajaan ikut sama menjadi penjana pendapatan untuk syarikat induk Starbuck yang sedang bergelut dengan kerugian besar di seluruh dunia akibat BDS. Namun, Starbuck mungkin tidak mampu kembali ke zaman keuntungan besarnya, kerana kuasa BDS di seluruh dunia semakin membuak-buak bencikan Israel.
Masyarakat seluruh dunia sudah mula mempersoalkan Israel secara terbuka bahkan tindakan memulaukan produk Amerika Syarikat sedang berlaku secara meluas. Ia dijangka akan menjadi sesuatu yang amat kritikal sekiranya rundingan damai yang direncanakan itu menjadi kenyataan. Ini kerana masyarakat antarabangsa sedang mempersoalkan 20 Langkah yang diumumkan oleh Donald Trump seminggu lalu tidak memperlihatkan keikhlasannya untuk menyelesaikan tuntutan sebenar hak dan kebebasan asasi rakyat Palestin.
Langkah-langkah yang diumumkan oleh Trump jelas menunjukkan prejudis dan diskriminasi Amerika Syarikat terhadap tuntutan Palestin dan sebagai langkah memanjangkan lagi tindakan ganas Israel. Trump memberikan amaran kepada Hamas untuk segera menanda tangani persetujuan, tetapi tidak memberikan apa-apa tindakan ke atas Israel jika Benjamin Netanyahu enggan berbuat demikian.
Pada masa yang sama, Trump tidak menghentak Israel yang terus memusnahkan Gaza dan membunuh penduduk Palestin. Trump tidak juga mengeluarkan apa-apa kecaman ke atas tindakan tentera Israel yang menculik sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) yang berada di perairan antarabangsa untuk menyampaikan misi bantuan kemanusiaan setelah Gaza berada dalam krisis kemanusiaan yang sangat genting.
Sebaliknya, apabila mendapat tahu bahawa Greta Thunberg ditahan, ditarik rambut dan dikurung dalam penjara, Trump hanya mencadangkan agar wanita pejuang alam sekitar itu menjalani kursus "anger management", sebagai satu bentuk penghinaan ke atas aktivis dan pejuang yang tidak menggunakan sebarang bentuk kekerasan bagi membantu penduduk Gaza.
Trump tidak boleh bertindak secara berlebihan, kerana dia sedang dipermalukan oleh masyarakat dunia apabila membuat kesilapan membantu Israel dan ikut menyerang Iran setelah Israel mengemis bantuan untuk memusnahkan tiga loji nuklear yang dianggap sebagai ancaman "keamanan" di Timur Tengah.
Ketika berhadapan dengan reaksi masyarakat dunia yang mula secara terbuka mengkritik penghinaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat, Trump mula menjelaskan bahawa dirinya adalah calon yang paling layak untuk Anugerah Nobel Keamanan bagi tahun 2025. Alasannya, sejak tujuh bulan kembali berkuasa, dirinya telah berjaya menghentikan tujuh peperangan, walhal secara jelas, beliau adalah seorang yang cukup gila berperang.
Keadaannya mungkin menjadi sedikit sukar apabila kekejaman Israel terhadap sukarelawan GSF terbongkar secara meluas dan mendapat simpati masyarakat antarabangsa. Akibat penculikan yang dilakukan secara tidak sah, dan Israel tidak ada hak untuk berbuat demikian berdasarkan undang-undang maritim antarabangsa, Trump akan dipersoalkan kerana berdiam diri dengan apa yang berlaku.
Sebaliknya, bersedia membantu Israel ketika Israel menyerang Iran walaupun serangan membabi buta itu tidak ada apa pun kaitan dengan Israel. Iran tidak menceroboh Israel, tetapi Israellah yang menceroboh Iran, juga enam lagi negara tetangganya. Sepatutnya, seperti yang diduga, Israel akan menyekat sebarang bentuk bantuan ke Gaza, dan kekal dengan dakwaan bahawa misi kemanusiaan ke Gaza adalah "pengganas", Trump berdiam diri, tidak mahu campur.
Trump terus mendapat tekanan. Gelora marah masyarakat Amerika Syarikat semakin besar, mereka keluar menunjuk perasaan mengecam dasar Washington, yang dikatakan cukup tidak sepatutnya menggunakan wang pembayar cukai untuk membiayai 'mesin pembunuh" kepada Israel.
Amerika Syarikat akan terus tertekan apabila empat negara yang mempunyai kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah memberikan pendirian menyokong negara Palestin. Kali ini, nampaknya Amerika Syarikat bersendirian, dan jika pun mendapat sokongan, hanya dalam kalangan negara kecil.
Negara Eropah sudah pun membuat keputusan, kecuali Jerman dan New Zealand. Jepun, walaupun tidak bersetuju, ia tetap melihat kemungkinan akan berbuat demikian jika Amerika Syarikat tidak menekannya. Setelah ini, 147 daripada 193 buah negara yang menjadi ahli PBB menyokong Palestin. Iran mengambil keputusan 'tidak mengundi' atau hadir dalam pengundian tersebut pada 23 September 2025.
Sikap Iran itu bukan bermakna tidak setuju Palestin merdeka. Iran membantah penyelesaian dua negara. Ia membawa erti, sampai bila pun Iran tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara kerana Israel ditubuhkan dengan sokongan kuasa-kuasa barat dengan kaedah penjajahan, kaedah yang tidak sepatutnya diiktiraf. Iran tetap mahukan hanya ada sebuah negara sahaja di Palestin, kerana rundingan damai yang dikemukakan oleh Trump tidak akan menjadi keselamatan Palestin.
Prof Jeffrey Sachs menyifatkan Israel sebagai penerusan projek kolonial dan Israel hidup dalam suasana "operasi keganasan" yakni pembunuhan berterusan. Ia berlaku atas sikap British yang menjadi dalang, setelah mengeluarkan Deklarasi Balfour pasa tahun 1917. Ia dibuktikan apabila British membenarkan kemasukan etnik Yahudi ke Palestin sejak mendapat mandat di Timur Tengah selepas berakhirnya Perang Dunia I dan tewasnya Empayar Uthmaniyyah.
Dalam kenyataan Mahmud Abas, Palestin akan mengajukan tuntutan berjumlah USD 2 trillion ke atas British kerana peranannya membentuk negara haram Israel di bumi Palestin. Ini bererti, lebih banyak tuntutan akan berlaku sekiranya Palestin benar-benar lahir sebagai sebuah negara yang sah. Tentunya, Palestin akan menuntut ganti rugi ke atas Amerika Syarikat, dan pampasan yang amat besar ke atas Israel dengan kemusnahan, penjajahan dan seksaan yang mereka lakukan sejak munculnya negara haram itu pada tahun 1948.
Israel cukup terkenal dengan helah dan tindakan ganas, melanggar setiap syarat perjanjian yang mereka tanda tangani. Ia seterusnya dilihat sebagai satu bentuk kejayaan awal Israel dan bakal memudahkan Israel mencapai hasratnya menakluki lebih banyak wilayah Arab sebagaimana dihasratkan dalam The Greater Israel. The Greater Israel bukan lagi menjadi perancangan rahsia, kerana Benjamin Netanyahu secara terbuka mengumumkannya pada pertengahan Ogos lalu dan mendapat reaksi keras daripada negara-negara Arab dan Muslim. (https://aje.io/3zz2xz)
Paling terpukul ialah apabila Britain dan Perancis, yang dibekalkan kuasa veto tidak lagi menjadi sekutu Amerika Syarikat dalam kes Palestin. Menariknya lagi, Republik Colombia. (Amerika Selatan) mengumumkan mengusir diplomat Israel, manakala Sepanyol menutup ruang udaranya untuk pesawat Israel dan Kanada sedia menangkap Netanyahu sekiranya memasuki negara itu.
India dan China semakin akrab setelah terpukul dengan tindakan Trump yang mengenakan tarif timbal balas yang tinggi terhadap produknya. India dan China sedang merintis kerjasama teknologi setelah Trump terus mendesak firma teknologi Amerika Syarikat kembali dan melupakan pelaburannya di luar negara, yakni kontrak pengeluaran dengan India setelah China dicabut. China pula mengharamkan eksport bahan yang sangat diperlukan untuk peralatan teknologi tinggi, yang diproses daripada nadir bumi. China mengawal lebih 80 peratus komponen terbabit.
Namun, Malaysia tidak mempunyai bahan asli yang boleh dijadikan "komoditi politik" walaupun produk elektronik dan semikonduktor merupakan eksport terbesar ke Amerika Syarikat. Semua produk tersebut dihasilkan oleh kilang multinational yang beroperasi di Malaysia, yang lebih mudah untuk mengalihkan operasinya jika Washington melakukan sekatan eksport.
Apa yang boleh rakyat Malaysia lakukan ialah meneruskan boikot terhadap mana-mana produk berjenama Amerika Syarikat, yang ada akutannya dengan bantuan ke atas Israel untuk membeli atau membekalkan "mesin pembunuh", sama ada secara langsung atau tidak langsung. Benar akan ada masalah yang akan muncul ekoran sabotaj itu, tetapi, ia membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk lebih kreatif sakan menghasilkan produk sendiri. Tidak mengapa, jika hasilnya kurang canggih, kerana kecanggihan itu akan berlaku dengan kerja keras dan penyelidikan yang berterusan.
Sepatutnya, penemuan kajian-kajian tempatan wajar dikomersialisasikan, kerana itulah sebenarnya akan menjadi kekuatan negara pada masa depan. Kita mungkin boleh belajar daripada China, ketika awal produknya dijual di peringkat antarabangsa ramai yang memandang sinis dan memperlekehkannya.
Kini produk China bukan sahaja murah, bahkan sudah menguasai pasaran dunia, lebih berkualiti daripada produk yang ditirunya pada peringkat awal. Jepun juga telah membuktikan hal ini, bahkan dalam beberapa perkara, berjaya memenuhi keperluan pengguna sehingga produk buatan barat menguncup dan hilang dalam pasaran.
Kini China sedang melakukannya. Itulah juga kebimbangan terbesar Amerika Syarikat untuk mengekalkan hagemoninya dan dilihat mengancam slogan Make America Great Again (MAGA). Solusinya, melaksanakan tarif timbal balas, yang dimulai dengan perang perdagangan pada tahun 2017. Tetapi, tindakan Trump dilihat sudah terlewat kerana BRICS sudah menunjukkan prestasi yang menarik dan semakin mendapat perhatian sebahagian besar komuniti ekonomi dunia.
Bahkan, ada negara yang sudah mula melupakan Amerika Syarikat, cukup kental untuk melaksanakan proses pengenyahan dolar (dedolarisation) secara berperingkat-peringkat, termasuk ASEAN, mula menggunakan mata wang masing-masing dalam pembayaran eksport-import. Walaupun Masih jauh daripada kemantapan transaksi, ia adalah langkah awal untuk lebih bebas dan tidak lagi "tunduk" kepada Amerika Syarikat. Dan, tentunya, apabila tidak mempunyai hagemoni, Amerika Syarikat akan sedar akibat kesombongan, ego yang berlebihan telah benar-benar menjadikan satu kerugian.
Seperti kata peribahasa, orang sombong selalu rugi. Dalam keadaan rugi itulah mungkin suatu hari membuka mata dan fikiran Presiden Amerika Syarikat untuk memulaukan jarak dengan Israel, kerana Israel bukanlah sahabat yang baik. Israel adalah "musuh dalam selimut" yang menggunakan lobi, tipu daya untuk membenarkan setiap tindakan dan memenuhi kehendaknya yang haloba. Israel cuba mengubah dunia, menolak etika dan adab, kerana dalam diri mereka penuh dengan mitos dan perangai iblis, menganggap diri sendiri sebagai "bangsa pilihan".
Tentunya, jika Israel merupakan "bangsa pilihan", setiap tindakan dan kata-katanya membawa kebaikan dan kesejahteraan sejagat bukan kejahatan sejagat. Sebagai bangsa pilihan, ia akan menunaikan setiap tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan dengan saksama, adil dan penuh kasih sayang, bukan dengan penghinaan, pembunuhan dan penjarahan.
KAMARUN KH