BEKAS PRESIDEN IRAN, MAHMOUD AHMADINEJAD TERKORBAN
Oleh Abdul Razak Idris
CYBERJAYA — Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dilaporkan terbunuh dalam serangan bersama Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan kediamannya di Tehran, menurut laporan media rasmi Iran.
Menurut laporan tersebut, serangan itu menyasarkan kawasan kejiranan Narmak di timur Tehran dan beliau terbunuh bersama beberapa pengawal peribadinya.
Pemimpin berusia 69 tahun itu berkhidmat sebagai Presiden keenam Iran dari 2005 hingga 2013, menerajui pentadbiran kesembilan dan kesepuluh negara itu.
Sepanjang tempoh pemerintahannya, beliau dikenali dengan retorik konfrontasi terhadap Barat selain ketegangan yang semakin memuncak berhubung program nuklear Iran.
Dilahirkan pada 1956 di perkampungan Aradan, wilayah Semnan, beliau berpindah ke Tehran bersama keluarganya ketika masih kanak-kanak.
Sebelum menjadi presiden, beliau pernah berkhidmat sebagai Gabenor Wilayah Ardabil dan kemudiannya sebagai Datuk Bandar Tehran.
Pada 2013, selepas menamatkan perkhidmatan sebagai presiden, beliau telah dilantik oleh pemimpin tertinggi Iran untuk menganggotai Majlis Kemasyhuran, sebuah badan penasihat yang menjadi pengantara pertikaian antara Parlimen dan Majlis Penjaga.
Beliau seterusnya berkhidmat sebagai anggota badan itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kematian beliau yang dilaporkan itu berlaku sehari selepas pemimpin tertinggi Iran dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel-AS.
Sumber: bebasnews.my
