BELI BUDDHA, JUAL RUMI (IV)

Kalau dalam monograf Muslim in the Western Imagination (2011), Dr Sophia Rose Arjana membentangkan perihal kuasa imaginasi masyarakat barat terhadap Islam, dengan mengambil model kehadiran bintang-bintang dari Asia dalam dunia perfileman dan hiburan Hollywood, maka dalam Buying Buddha, Selling Rumi "not so much in how negative portrayals of Other [Islam, Hinduism, Buddhism, atau Timur] are formulated, but rather how positive and romanticized portrayals function in the commodification of religion." (hal.9).

Barat menggambarkan dunia sebelah timur sebagai sesuatu yang eksotik, dan romantik. Namun, gambaran itu ditolak oleh Muhammad Asad (1900-1992), kerana tidak menepati dengan apa yang digambarkan, setelah menjejakkan kaki ke bumi Arab. Ketika itu beliau merupakan koresponden untuk akhbar berbahasa Jerman. Kritikan tajam Asad itu dapat dibaca dalam The Unromantic Orient. Asalnya sebagai laporan berita untuk akhbar Jerman, Frankfurter Zeitung. Ia kemudian diterbitkan sebagai sebuah buku pada tahun 1924 dengan judul Unromantisches Morgeland Aus dem Tagebuch einer Reise dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Elma Harder. Untuk edisi Malaysia, ia diterbitkan oleh Islamic Book Trust tahun 2004.

Asad tiba di negara Arab pada bulan November 1922 setelah dipelawa oleh bapa saudaranya, Dorian yang bertugas sebagai doktor psikiatri di Hospital Jerusalem. Dorian menetap di sebuah rumah di Jerusalem lama dan tidak berkahwin. Peluang yang terbuka itu berjaya menemukan Asad dengan usaha awal zionis untuk membawa masuk peneroka haram Yahudi ke Palestin dengan tujuan untuk menjadikan mereka sebagai penduduk majoriti, yakni salah satu strategi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Yahudi menguasai bumi Palestin.

Apa yang Asad temui ialah keterlibatan aktif Chaim Weizmann (1974-1952), yang bertanggungjawab sebagai perancang dan pelaksana utama bagi menentukan sebuah negara haram Israel muncul di bumi Palestin. Ia ekoran janji Arthur Balfour dan Parlimen British, yang kemudiannya dikenali sebagai Balfour Declaration (1917). Itu pun jika Britain dapat menguasai dan menjatuhkan Daulah Utsmaniyah. Oleh kerana itu, Britain wajib berperang dengan beberapa negara Eropah Timur terutama Jerman. Utsmaniyah mempunyai jalinan kerjasama ekonomi dan ketenteraan dengan Jerman.

Dialog antara Asad dan Weizmann dapat dibaca dalam buku Road to Mecca (1954). Antara jawapan Asad yang cukup menampakkan "kebiadapan" pemimpin Zionis itu ialah:

"...'Forgive me, I retorted, but it seems to me that there is some historical oversight here. After all, the Hebrews also came as conquerors to Palestine. Long before then were many other Semitic and non-Semitic tribes settled here - The Amorites, the Endomites, the Philistine, the Moabites, the Hittites.

"Those tribes continued living here even in the days of the Kingdom of Israel and Judah. They continued living here after the Roman drove our ancestors away. They living here today. The Arab who settled in Syria and Palestine after their conquest in the seventh century were always only small minority of the populations; the rest of what we describe today as Palestinian or Syrian of the country.

"Some of them became Muslim naturally inter-married with their cor-religionist from Arabia. But can you deny that the bulk of those people in Palestine, were speak Arabic, whether Muslims or Christians, are direct-line descendants of the original inhabitants: original in the sense of having lived in this country centuries before the Hebrews came to it..." (Road to Mecca, hal.95).

Asad juga mendedahkan bagaimana Zionis cuba menulis semula sejarah sebagai asas untuk mereka membina mitos bahawa Palestin adalah milik bangsa Israel. Dikatakan bahawa bani Israel dihalau oleh empayar-empayar yang menguasainya setelah runtuhnya empayar Israel yang dibina oleh Nabi Daud (David) dan Nabi Sulaiman (King Solomon). Setelah ribuan tahun hidup dalam diaspora, kini masyarakat Yahudi kembali ke Tanah Yang Dijanjikan itu dengan bertindak kejam ke atas penduduk bukan Yahudi, dengan menggunakan alasan, Israel adalah untuk orang Yahudi.

Hal itu disangkal oleh Asad dengan mengatakan, jika menggunakan asas tersebut, bermakna orang Islam berhak untuk menuntut Sepanyol (Andalusia) kerana pernah memerintah selama tujuh ratus tahun, yakni lebih lama daripada bani Israel berkuasa di bumi Palestin.

Dalam buku Buying Buddha, Selling Rumi tidak dibincangkan mengenai "karut marut" penjajahan di Palestin. Tetapi, dibincangkan bagaimana komersialisasi "produk mistik" telah berjaya dilakukan, termasuk penggiat budaya di Israel yang mengadaptasikan puisi-puisi Rumi sebagai "mesej propaganda" bagi menggambarkan bahawa zionis membawa makna kasih sayang dan cinta, tetapi masyarakat Palestin tidak sedia menerimanya kerana ego dengan warisan tradisi, mempertahankan apa yang dimiliki, tidak bersedia berkongsi.

Itu hanya sebuah sandiwara, kerana puisi-puisi Rumi "dilacurkan" sebagai gambaran budaya yang tidak tepat. Zionis adalah punca sebenar ketidakstabilan Timur Tengah, kerana melakukan pembunuhan, pengusiran dan perampasan harta milik penduduk Palestin. Genosid tanpa henti sejak meneroka secara haram bumi Palestin sebaik sahaja British menguatkuasakan Mandat Palestin selepas jatuhnya empayar Utsmaniyah.

Menurut Dr Sophia, berlaku pelencongan agama dalam budaya spiritual Barat, dengan membentuk satu kaedah yang disebut sebagai Orientalisme, yang lahir selepas bermulanya masyarakat industri. Setelah industri menjadi semakin rancak, ia memunculkan pula kolonialisme. Untuk menjayakan dan mengekalkan kolonialisme, maka Orientalisme menjadi semacam kaedah terbaik, kerana ia melibatkan proses pembudayaan dan sosialisasi ke atas masyarakat tempatan. Jadi, bagi membolehkan Orientalisme berupaya "menggelincirkan nilai-nilai tempatan', ia dilaksanakan menerusi pendidikan dan pembudayaan nilai yang dianggap bercanggah.

Jadi, untuk menjayakannya, pakar bahasa, budaya dan pendidikan dibawa masuk untuk mengkaji budaya tempatan. Ia kemudiannya sedikit sebanyak dihakis dan diberikan label tertentu, dengan harapan tradisi yang hidup dimatikan secara organik dan digantikan dengan nilai-nilai Barat. Dari situ, ia mencengkam dan mengilhamkan kemunculan watak "Eastern myticism'.

Mistik Timur dilihat dalam bentuk "the gentle Buddhist monk, the enlightened Hindu guru, and the wise Sufi master". Ia dibangunkan sebagai ikon lelaki yang dibangunkan oleh kuasa imajinasi berdasarkan olahan mistisisme Barat. Inilah yang dikenali sebagai "simulacra" oleh Baudrillard [Jean Baudrillard, ahli sosiologi dan falsafah Perancis, 1929-2007], yakni "menerbitkan semula imej dengan merujuk stereotaip asli, yang dipercayai sebagai "asli" kerana perbezaannya sukar dibuktikan.

Bagi Edward W Said [pakar sastera yang menjadi pengasas teori paskakolonialisme, yang banyak mengkonsepsikan kajian Orientalisme, yang menjadi kaedah kajian ilmiah, Dr Sophia ikut mengaplikasikannya dalam buku Buying Buddha, Selling Rumi. Said adalah keturunan Palestin dan mendapat kewarganegaraan Amerika Syarikat. Said mengajar di Universiti Columbia, dan pernah dihalang "pulang" ke tanah leluhurnya, Palestin kerana mengkritik pembentukan negara haram Israel, "the fictive Orient becomes the real Orient in the mind of colonizer."

Bagi Zygmund Bauman [ahli sosiologi dan falsafah Poland-British yang dipaksa menyerahkan kerakyatan Poland pada tahun 1968, 1925-2017], apa yang berlaku itu dinamakan sebagai "kecairan modeniti/liquid modernity" kerana "individual validation is no longer a matter of "imagined totality," but rather of "life politics" that focused on meaning-making. The mystical marketplace is focused on creating products and experiences that create meaning."

Kutip Dr Sophia lagi, Bauman menjelaskan: "This does not mean, of course, that the truths for individual validation and the raw stuff of which individuals would mould their meanings have stopped being socially supplies; but it does mean that they tend to be now media-and-shops supplied, rather than being imposed through communal command; and that they are calculated for seducing clients rather than compelling the subordinates." (hal. 9-10).

Untuk memahaminya, kita mungkin boleh melihat apa yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang. Apabila berkembangnya media sosial, muncul pula platform e-dagang, ramai kalangan agamawan mula mencari peluang untuk menghasilkan wang, dengan bersetuju menjadikan dirinya sebagai promoter atau duta kepada sesuatu produk dan makanan tambahan yang menggunakan tagline "halal", makanan sunnah dan "patuh syariah".

Tidak kurang pula memberikan bayangan bahawa "penawar" tersebut mampu mengubati segala jenis penyakit, hanya selepas menggunakannya beberapa botol. Akibat promosi dan penggunaan selebriti dan pendakwah-selebriti, produk tersebut dijual cukup mahal.

Terlalu banyak rekomendasi dan testimonial yang dipaparkan, tetapi sejauh manakah kebenarannya tidak dapat disahkan. Malangnya, formula ajaib yang disusuli dengan niat untuk membantu, sebenarnya bukan membantu, tetapi atas keperluan komersial. Maka, sebab itulah pempengaruh (influencer) terus meletakkan harga yang tinggi untuk membantu mempromosi, walhal, pempengaruh hanya sekadar mengambil kenyataan atau maklumat pengeluar produk terbabit.

Saya pernah "rasa tertipu" dengan produk yang mahal itu; hasilnya tidak begitu berkesan. Setelah bertahun menggunakannya, penawar ajaib yang dikatakan cukup mujarab tidak menjadi, tetapi mereka mula memberikan alasan, mungkin tidak serasi.

Akibatnya, sesuatu produk yang bermusim itu tidak kekal lama, hilang dalam pasaran. Ada juga melakukan perubahan pembungkusan dan terpaksa menukar jenama untuk bangkit semula. Akhirnya semua tidak menjadi. Jualan tidak kekal lama, sekadar bermusim kerana kepercayaan pengguna terus memudar.

Hal ini mengingatkan kita kepada apa yang pernah dikesalkan oleh Tom Nichols dalam ulasannya yang cukup menampar imej "penjual tanpa kepakaran" dalam The Death of Expertise (2017). Maksudnya, semakin ramai orang tidak lagi percaya kepada mereka yang pakar, yang dilatih khusus dalam bidang tertentu kerana mereka lebih percayakan "pempengaruh", artis mahupun agamawan walaupun apa yang dikatakan itu adalah bidang perubatan dan kejuruteraan.

Benar, dalam Islam pernah hadir "polymath" yang mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang, dari bidang agama hinggalah perubatan dan astronomi, algebra mahupun psikologi seperti Ibnu Sina (980-1037M), al-Khawarazmi (780-850M), Ibnu Ishak (704-768M) mahupun Al-Idrisi (1100-1165M). Ibnu Sina dikenali sebagai Avicenna oleh masyarakat Barat adalah tokoh yang cemerlang dalam bidang falsafah, psikologi, ilmu perubatan dan astronomi. Hingga kini tulisan-tulisan terus dibaca, dikaji dan dijadikan asas penteorian.

Polymath sudah begitu sukar untuk kita temukan pada zaman sekarang kerana dunia pengetahuan terlalu bersifat "specialised". Tetapi tidak bermakna tidak ada langsung. Agamawan sekarang semakin cenderung mengubah profesyen atau profesyen kedua kepada "tabib" setelah beberapa fenomena perubatan moden mula tercemar dengan komersialisasi dan kartel penjualan ubat.

Namun, dunia tabib moden juga ikut tercemar dengan kaedah penjualan produk yang tidak menuruti piawaian yang ketat bahkan mendapat kelulusan badan penguatkuasaan farmasi. Bayangkan, air jampi sebotol diletakkan harga RM 150 (1.5 liter).

Air itu dikatakan mujarab untuk "menghalau sihir" atau "makhluk halus" kerana ia diambil dari telaga khusus (tidak digunakan untuk tujuan lain) dan dimasukkan bacaan tiga puluh juzuk al-Qur'an (bacaan menggunakan kaset atau komputer yang kemudiannya digegarkan menjadi gerakan seperti putaran air berdasarkan kaedah pusaran air di laut). Tidak siapa dapat pastikan kaedah itu benar-benar dilakukan, kecuali tabib itu sendiri dan disokong oleh pembantunya.

Antara penjual tanpa kepakaran yang dikritik keras oleh Tom Nichols ialah formula "keajaiban asap dari mugwood (sejenis pokok herba)" yang patut dipraktikkan oleh wanita, terutama mereka yang bersuami untuk menghindari daripada "kanser alat kelamin" dan meningkatkan kepuasan seks. Formulanya cukup laku sehingga membuatkan seorang artis berbadan kurus dan berambut perang, Gwyneth Paltrow cukup terkenal. Program itu dikenali sebagai goop, hadir bersama program televisyen, kaset video dan ceramah motivasi.

Dr Sophia ikut mengulas mengenai fenomena Paltrow yang dibina atas daya tarik "exotic products, including many with the Oriental flair. Paltrow's brand envisions the minimalist body (often called long and lean instead of thin) as a part of a larger aesthetics lifestyle that includes "sensation of pain and loss".

"Sensations of scarcity are expressed through the image of modern ascetic - Paltrow- who "comes into an awkward juxtaposition with poverty." (hal.106).

Hal sebegitu semakin marak berlaku apabila munculnya teknologi dan beberapa pandangan yang cuba mengikis sesuatu bentuk kepercayaan. Kemunculan internet menjadikan Tom Nichols cukup sedih kerana seseorang yang dianggap pakar ialah mereka yang bukan sahaja dilatih dalam sesuatu bidang bertahun lamanya, adalah mereka yang menggeluti bidang terbabit sekian lama. Pendapat mereka sudah tidak dipercayai, sebaliknya pendapat mereka yang hanya mendapat ilham daripada mimpi atau secara tidak sengaja beroleh sesuatu ilmu sangat dipercayai.

Bayangkan, dalam dunia Islam, muncul tradisi sufi yang cukup mengidentikkan dengan keinginan seseorang untuk "melepaskan diri" daripada kebejatan dunia yang serba mungkin. Mereka bersendiri mencari kaedah "menyucikan diri" dan akhirnya menemui jalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ahli sufi, bukan sembarangan manusia, mereka sebelumnya telah sekian lama berguru dalam bidang agama termasuk memahami makna al-Qur'an dan hadis.

Kini, dunia sufi bukan sahaja dianggap sebagai dunia asing dan tersendiri, bahkan ramai yang memikirkan bahawa ia hanyalah sekadar dunia spiritual. Manusia akan sentiasa mencari erti untuk mengisi kekosongan jiwa kerana tekanan-tekanan persekitaran dan juga kehidupan.

Sebabnya semakin lama semakin kuat terpaksa bersaing. Persaingan sudah menjadi sesuatu yang wajib jika ingin hidup, dan tidak semua yang bersaing itu menang. Mereka yang kalah, atau yang pernah menang akan berpatah ke asalnya, lalu mencari ruang yang sudah lama ditinggalkan. Ruang kosong itu diisi dengan pengalaman spiritual, yang tentunya akan diambil daripada mana-mana peradaban yang pernah hadir.

Antara ruang spiritual yang semakin berkembang ialah mengambil syair-syair Jalaludin Rumi sehingga ruang lingkup puisi-puisi sufistik itu hilang maknanya, semakin diusahakan pembebasan dengan jalan menuju Cinta Illahi. Inilah yang cuba digambarkan oleh Dr Sophia Arjana Rose dalam Buying Buddha, Selling Rumi, yang tentunya mengandungi kritikan ke atas dunia yang dipenjarakan oleh kapitalisme dan dilakukan menerusi kaedah Orientalisme, dan kemudiannya dikomersialkan sebagai "mystic marketplace".

Hal itu bukan sahaja berlaku dalam lingkungan sufi, bahkan beberapa unsur agama lain (Yoga, Meditasi dan pelancongan rohani) turut dijadikan produk "yang cukup menggiurkan" pencari spiritual. Yoga sudah dikomersialkan manakala meditasi menjadi suatu latihan yang menarik minat daripada mereka yang tertekan untuk melepaskan diri, mencari ketenangan. Hal ini digambarkan oleh Dr Sophia bagaimana ramai rakyat Amerika atau masyarakat Barat cukup terpengaruh dengan Elizabeth Gilbert.

Setelah bercerai, Elizabeth berusaha untuk "menenangkan diri" dan mencari sesuatu "kepuasan" berdasarkan kehendak hatinya. Beliau kemudiannya mendapat "pinjaman sebagai USD 100,000" daripada sebuah syarikat penerbitan buku melakukan pengembaraan ke Timur. Semasa di Itali, beliau menikmati makanan enak, kemudian ke India. Di India beliau menghabiskan masa bermeditasi. Selepas itu, Elizabeth ke Bali, dan di sana menemui sesuatu yang aneh, dan juga seorang hadir sebagai pembantu mengatasi "kesunyian". Setelah pulang ke Amerika, Elizabeth kemudiannya berkahwin dengan orang yang membantunya di Bali, tetapi perkahwinan mereka tidak kekal lama.

Kisah-kisah kepetualangan itu kemudian dijadikan naratif yang cukup menarik dalam Eat, Pray and Love (2006). Buku itu meledak, dan kemudian dijadikan filem, juga mendapat sambutan hangat (boxoffice). Elizabeth "kaya raya" tetapi akhirnya, menjadi pasangan sejenis, dengan seorang wanita. Unsur-unsur "kebatinan" yang terdapat di dalam buku terbabit menjadi sesuatu yang cukup berpengaruh, kemudian dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu, dikomesialisasikan sebagai produk terapi.

Edgar Cayce (1877-1945), yang dikatakan mempunyai kebolehan meramal masa depan dan kebolehan tersebut dianggap setanding dengan Nostradamus (1503-1566) pernah meramalkan bahawa Abad ke-21 akan menjadi Abad Spiritual. Cayce yang juga dikenali sebagai peramal tidur (the sleeping prophet), kerana membuat ramalan masa depan dalam keadaan "sedang tidur" atau terawang-awangan, menamakan apa yang diperolehnya itu sebagai "kekuatan-kekuatan kreatif/ Creative Forces."

Walaupun merupakan penganut Kristian, Cayce mengadakan agar kekuatan kreatif yang dikatakan itu dilaksanakan secara bersilang dengan pelbagai agama, kepercayaan dan keyakinan agar ia mampu menjadi kaedah yang "harmoni". Cayce digelar peramal terbesar zaman moden, kerana ramalannya menjadi suapan yang cukup dinanti-nantikan oleh pelaku politik-ekonomi dunia, dan seringkali meramalkan kejadian-kejadian dramatik yang bakal berlaku pada abad ini: bencana alam yang memanjang, perubahan iklim global, dan yang cukup dinantikan ialah turunnya al-Masih.

Sebelum al-Masih kembali, dunia akan diselubungi oleh kebangkitan spiritual, yang akan menjadi cara hidup baharu dalam milenium ketiga in. Abad 21 dianggap sebagai Zaman Emas, Zaman Aquarius atau Satya Yuga. (Mark Thurston, Spiritual Awakening, terjemahan dari Edgar Cayce's Predictions for 21st Century oleh Meithya Rose Prasetya, Banten, Indonesia: Javanica- PT Kaurama Buana Antara, 2019).

(bersambung)

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com