BELI BUDDHA, JUAL RUMI (V)
Secara umumnya, pemahaman terhadap tajuk buku Dr Sophia Rose Arjana, Buying Buddha, Selling Rumi membawa kita kepada naratif dan tindakan para orientalis yang penuh dengan iltizam kapitalisme mengkomersialkan beberapa aspek agama biarpun memisahkan antara nilai sakral kepada populariti demi meraih keuntungan besar. Laba yang dicari, unsur-unsur spiritual dieksploitasi kerana pada anggapan mereka, ia mampu memenuhi makna kebahagiaan. Kebahagiaan berubah menjadi petunjuk pemenuhan material, maka semakin berkembang perniagaan itu maka semakin makmurlah spiritual dan kehidupan itu.
Mereka eksploitasikan apa saja, dengan memunculkan pelbagai aktiviti kerana manusia sebenarnya semakin dahagakan pengisian spiritual. Hidup penuh dengan persaingan dan adu domba, maka sebahagiannya merasakan ia perlu lari sementara atau secara kekal kemelut tersebut. Manusia percaya, tidak semua benda boleh diselesaikan dengan kebendaan, kerana ada ruang yang tidak dapat dipenuhi biarpun mempunyai wang yang banyak.
Jadi, tidak ada salahnya jika wang yang ada itu digunakan untuk "mengisi kekosongan jiwa"; kerana mereka juga percaya, dengan jiwa yang tenang setiap tindakan akan membawa makna yang besar dalam hidup. Bagi masyarakat barat, khususnya Amerika Syarikat, apa yang ditulis oleh Elizabeth Gilbert cukup menarik sehingga kepetualangannya mencari "makna hidup" dan bagaimana menjalaninya, Eat, Pray, Love mencapai tahap bestseller seluruh dunia. Tidak cukup dengan itu, pengembaraan itu difilemkan bagi memudahkan mereka yang tidak gemar membaca meneladaninya sebagai alternatif dalam menemui kebahagiaan atau memenuhi tuntutan spiritual.
Dr Sophia meneliti pengaruh buku (novel). tersebut, tetapi sayangnya, penelitian itu belum menemui sebuah nokhtah yang benar-benar membawa makna kebahagiaan, kerana pengarangnya sendiri sedang bergelut dengan "masalahnya sendiri". Setelah menemui "cinta" kali kedua yang berputik dalam alunan ombak Bali, Elizabeth meraih kebahagiaan sementara. Mereka berkongsi hidup tetapi akhirnya perkongsian itu berakhir. Elizabeth kemudiannya berubah, hidup bersama dengan pasangan sejenis dan khabarnya, ketika ini sedang bergelut dengan penyakit. Bagaimanapun, pasangan sejenisnya meninggal pada tahun 2018.
Selepas itu, Elizabeth bercinta pula dengan seorang jurugambar British, yang merupakan kenalan pasangan sejenisnya. Hubungan itu tidak lama, ia putus. Sekarang, Elizabeth terus bersendirian dan hidup dalam kesepian akibat kegagalan hidup berpasangan sebanyak tiga kali. Ketika ini, Elizabeth dikatakan cukup terkesan dengan kematian Rayya Elias akibat kanser (hati dan pankreas) berbanding penceraiannya dengan Juan Nunes (bertemu di Bali) dan suami pertamanya (bertemu di sebuah kelab malam), Michael Cooper.
Tidak berapa lama dahulu, Elizabeth kembali mencuri perhatian masyarakat apabila mendedahkan "suara yang didengar' ketika sedang berenang di sebuah pantai di Lombok, Indonesia. Elizabeth terkesan dengan suara itu, dan mula melihat tentang keindahan Islam. Semoga Elizabeth mendapat hidayah, kerana suara itu dikatakan berasal dari seorang wanita yang cukup budiman, hidupnya cukup tenang dan bersahaja, namun suara itulah yang membangkitkan semula kekosongan jiwanya. Bukunya terjual lebih 12 juta naskhah dan diterjemahkan ke lebih 30 bahasa.
Dr Sophia memetik pandangan Ruth William berkaitan apa yang berlaku ketika Elizabeth menemui dan berinteraksi dengan masyarakat setempat di Bali dan India:
"Thus, her interaction with the "natives" especially those in India and Bali, are generally framed within the context of Gilbert's spiritual search. For example, in India, at an ashram which Gilbert describes as sitting inside a walled compound, outside of which "it is all dust and poverty," she meets an Indian boy whose "aura" is "incredibly compelling" (pp 126-127). Although he wears the same clothes everyday, a fact that marks him as obviously poor in Gilbert's eyes, he seems to pisses a "face drenched in luminescence" that moves Gilbert every time she sees it." (hal.108-109)
Jelas Dr Sophia, "Eat, Pray, Love...is not just a book - it is a capitalist enterprise with numerous products. Like other examples of contemporary mystic spirituality, Gilbert draws from the East, in particular India and Bali, and capitalizes on them to sell her brand of white, feminist spirituality, which included product tie-ins with the Home Shopping Network via "three days of on-air branded content" like perfume, tea, yoga gear, prayer beads, and jewelry. There were also tours featuring yoga, meditation, spa treatments, and other spiritual activities." (hal. 109).
Namun, walaupun sebahagian besar naratif mistik memberikan fokus kepada masyarakat bawahan yang miskin, para orientalis melihat "products, practices, and therapies" tetapi, Gilbert memberikan fokus mistiknya kepada lelaki -Mario, Yudi, Richard, Felipe, and Ketut- seumpama "medicine man". "As is often the case with mystical tourism, the bodies of the Other are salvific.
"For a modern mystical consumer, salvific spirituality exoticizes, and at times, eroticizes, the bodies of the Other. Poverty and mysticism are often interwined....
"The search for wellness, security and happiness is worldwide phenomenon with growing market. One sees yoga and meditation advertisements in Indonesia; yoga popular in Iran, and Buddhist retreats are found from Colorado to village in France. In China, the longevity village of Nama is popular with Chinese tourists from other regions of the nation, ...both landscape and the native healer may play an important role in the comodification of religious practices, foods, and locales.
"Im Bama, the 127-year old Luo Meizhan was invited to become the brand ambassador for a local water company, thus identifying old age, wellness, and Yao culture with bottled water." (hal.110).
Tentunya, kita akan tertanya-tanya, apakah benar "air penawar" yang ditawarkan dari "Telaga Ayah Sur" dengan harga RM 15 sebotol mujarab untuk "merawat anak nakal" agar mudah mendengar kata orang tua? Apakah benar air yang dikatakan "larut bersama bacaan ayat suci al-Quran tiga puluh juzuk" mampu mengatasi pelbagai jenis penyakit? Pada suatu ketika, air itu cukup mudah dibeli, dijual di kedai-kedai makanan di pinggir jalan, terutama gerai kepunyaan orang Melayu. Kini, air tersebut sudah sukar diperoleh, tetapi masih boleh dibeli secara dalam talian.
Eksploitasi sedemikian cukup banyak yang kita dengar, bahkan ada juga yang menggunakan tokoh-tokoh agama sebagai "duta". Mereka mempromosikannya, tetapi keraguan tetap muncul kerana "penawar" itu hanya baru muncul, tetapi telah berjaya memulihkan ribuan orang; kalau yang dah dicadangkan menjalani "pemotongan kaki" akibat kencing manis, dikatakan bahawa "penawar" tersebut berjaya memulihkannya, doktor pun hairan.
Perhatikan iklan-iklan dan promosi. Lebih hebat lagi promosi "ubat kuat". Ramai yang terpengaruh, sedangkan Kementerian Kesihatan sudah memberikan amaran, waspada dengan penawar yang tidak berdaftar. Bahkan ada minuman mujarab dicampurkan dengan pelbagai jenis dadah. Ingatkah kepada tragedi Kopi Durian? Walaupun ada "jaminan wang dikembalikan jika tidak menjadi", ia tidak menjamin anda akan pulih seandainya "racun-racun" yang dicampurkan itu telah menyelinap masuk ke pembuluh darah. Tentunya, kesan cukup fatal. Tetapi, pengeluar, pengedar tidak menggantikan nyawa mereka dengan nyawa yang telah hilang akibat keracunan tersebut.
Dengan kata lain, dunia kapitalisme boleh menyebabkan "iman" tergoncang, dan "orang yang beriman" hilang imannya. Bagaimana tidak, budaya kapitalisme telah membentuk imaginasi melampau, sehingga muncul peribadi tamak dan haloba. Akibat tamak dan haloba, sanggup menunggang agama demi meraih kejayaan. Contohnya cukup banyak, termasuklah agamawan yang bijak mengeksploitasikan potensi kebimbangan dan ketakutan orang ramai terhadap sesuatu, seperti penyakit dan kelemahan "tenaga batin".
Macam-macam ada, macam-macam formula, sama ada menggunakan campuran bahan kimia atau herba. Bukan semua herba sesuai, dan dalam herba juga ada kimia semulajadi. Tentunya, kimia semulajadi cukup sukar diproses, maka kimia tiruan dicampurkan agar penawar itu laris. Tetapi, promosi mengatakan "tidak ada bahan kimia". Benarkah? Ini juga boleh dianggap Beli Buddha, Jual Rumi dalam ekosistem kehidupan moden.
Maka, untuk mengatasi semuanya kemelut dan "tata kehidupan yang berselut" (muddled culture) yang berjaya dilakukan oleh pengaruh budaya orientalisme yang hadir bersama kapitalisme, kita seharusnya cuba melihat semula ke dalam diri, dan tidak keterlaluan untuk kembali kepada jalan di mana kita sebenarnya bermula.
Seperti dikatakan oleh Jalaluddin Rumi: setiap mata wang yang tidak berasal dari tempat ini palsu semuanya. Setiap anggur yang tidak berasal dari piala Maha Ruh tak murni juga. Maksudnya, "mata wang" yang menjadi buruan setiap orang itu sebenarnya sesebuah pencarian yang palsu, kerana apa yang sepatutnya kita cari dan menyusuri jalan ialah menuju ketaqwaan, kerana taqwa itulah yang benar-benar menjadi penawar mujarab dalam setiap kehidupan.
Rumi menamakan jalan itu sebagai Jalan Cinta Abadi, bukan jalan cinta materialistik atau bagi al-Ghazali, ia dinamakan pesona dunia. Akibat terpesona dengan "keindahan dunia", ramai manusia sanggup menjual dunia seolah-olah di dunia inilah mereka kekal abadi, walhal mereka tahu, setiap yang hidup akan mati. Kematian itu memisahkan semuanya, termasuk harta, kekayaan dan sahabat handai, kecuali, dalam pandangan Islam, hanya tiga perkara yang terus berhubungan: amal ibadat yang dikerjakan semasa hidup; sedekah yang dihulurkan dengan penuh keikhlasan (tanpa diketahui oleh penerima atau tidak dipromosikan sebagai bentuk corporate social responsibilty yang penuh liputan media; dan doa berterusan dari anak-anak yang sholeh.
(bersambung)
KAMARUN KH
