BELIT DAN MEMBELIT, AKHIRNYA TERBELIT KARMA
Hukum karma adalah satu kepercyaan yang terkandung dalam agama Buddha dan Hindu, dua agama bukan samawi yang lahir di India. Hukum karma itu sangat kuat pengaruhnya, sehingga hampir setiap karya seni India mengupasnya, termasuk filem-filem Bollywood dan Kollywood yang diterbitkan di India yang disulami dengan kisah-kisah, romantisme keluarga dan sikap bobrok seseorang, termasuk politikus. Hukumnya cukup mudah, berbuat baik hasilnya adalah kebaikan, berbuat jahat akan mendapat balasan setimpal, malah ada situasinya lebih tragik.
Begitu juga dalam masyarakat yang bukan beragama Hindu atau Buddha, kepercayaan kepada hukuman atau balasan turut menjadi sebahagian daripada ajaran agama. Tiga agama samawi – Yahudi, Kristian dan Islam – ada konsep syurga dan neraka, yakni kedudukan akhir manusia selepas kematiannya, yang juga dikaitkan dengan hukuman daripada Tuhan. Dalam ajaran Islam, mereka yang sentiasa berbuat baik – sesama makhluk dan melakukan ritual ibadat dengan betul – akan dibalas dengan syurga manakala yang berbuat jahat –mengkhianati sesama makhluk dan ingkar perintah Allah SWT – akan dibalas neraka, suatu tempat yang digambarkan cukup dahsyat dan penuh kesakitan serta mendapat siksaan.
Hasil pemahaman itu, kita boleh menyimpulkan bahawa ‘hukum pembalasan’ atau ‘hukum karma’ itu adalah satu bentuk kawalan dan juga motivasi kepada manusia untuk menjalani kehidupan yang lebih baik, harmoni, saling hormat menghormati, tidak mengkhianati, menipu, berbohong dan sebagainya.
Asas itu menerbitkan pula suatu keyakinan, bahawa “apa yang berlaku, akan berlaku, sedang berlaku kepada saya dan orang lain”, ada kaitannya ‘apa yang kita lakukan sebelumnya’. Dalam pendekatan falsafah, hubungan itu dikenali sebagai ‘hukum sebab dan akibat.’ Apabila kita bercakap buruk, ia bermakna diri kita juga buruk, kerana ia adalah hasil daripada hati kita sendiri yang tidak bersih.
Ertinya, secara mudahnya, apa yang berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku, adalah hasil daripada apa yang kita fikir yang kemudian mempengaruhi tindakan kita sendiri. Kita fikirkan orang lain ‘jahat’ maka kita menghasilkan (tindakan) kenyataan bahawa orang itu ‘jahat’. Bukan sekadar itu, kita cuba memberikan ciri-ciri kejahatan yang telah dilakukan oleh orang yang dimaksudkan. Akhirnya, apa yang kita katakan itu disimpan dalam minda, dan ia menjadi suatu yang menakjubkan, ia membingkaikan pemahaman kita sehingga sukar terpadam, kerana ia menjadi bukti dan bahan sejarah.
Selain diri sendiri, orang lain (di luar diri) juga mempengaruhi apa yang kita fikir dan apa yang sedang dan telah lakukan. Misalnya, kerana kita percayakan seseorang, maka berada bersama mereka atau menyokong fikiran mereka sehingga kita percaya apa yang diperkatakan itu betul. Inilah yang berlaku apabila fikiran sudah terkongkong (taksub), sehingga hukum berbuat baik sesama insan diketepikan secara jelas, hanya kerana ada kemahuan lain, yang dalam dunia psikologi dipanggil ‘kepentingan’ atau dalam kajian politik dikenali sebagai pengaruh.
Melihat kepada perkembangan politik dalam beberapa hari ini, ia cukup menimbulkan meresahkan pemikiran apabila munculnya situasi, selepas keluar daripada ‘telaga buruk’ berusaha pula masuk ke kolam untuk berkubang walhal kolam yang pernah ditinggalkan itu pernah didakwa buruk, busuk dan penuh kegilaan. Sekurang-kurangnya, setelah lemas dalam telaga buruk yang ditukarkan ‘kerek’nya itu maka mula merasakan udara dalam kolam lama lebih baik, maka untuk dicuba untuk kembali agar dapat sedikit nafas kelegaan.
Sebuah cerita sufi yang terkenal, seorang pakar bahasa terjatuh ke dalam perigi buta waktu malam. Pakar bahasa itu meronta-ronta untuk keluar, tetapi gagal. Seorang sufi berjalan dalam keadaan gelap, tetapi dipandu oleh keyakinannya bahawa dirinya tidakan akan sesat mendengar ada pekikan suara meminta pertolongan. Akhirnya ahli sufi itu menemui perigi buta tersebut, dan berkata: Saya akan cuba mencari tali untuk menolong tuan.
Pakar bahasa itu menjawab: Tuan menggunakan bahasa yang silap, kerana saya tidak memerlukan tali. Saya hanya perlu keluar daripada perigi buta ini.
Balas ahli sufi: Tali itu adalah untuk menarik tuan keluar.
Sindir ahli bahasa: Tali tidak dapat membantu.
Akhirnya ahli sufi memutuskan tidak cuba mendapatkan tali dan juga menolong ahli bahasa itu, maka tinggallah ahli bahasa itu menghabiskan malam yang sejuk, dalam rendaman air perigi buta yang berbau. Ahli sufi pergi, tetapi memerhatikan dari jauh. Keesokannya, sebaik mentari muncul, ahli sufi kembali ke perigi buta tersebut dan melihat keadaan ahli bahasa itu menggigil-gigil dan percakapannya semakin tidak jelas. Ahli sufi itu berusaha mengeluarkan ahli bahasa, dan setelah berjaya, maka berkatalah ahli sufi: Jagalah bahasa tuan, jika tuan tidak menjaga bahasa, maka tuan akan menerima akibat buruk. Tuan berada dalam kesejukan dan habiskan malam berendam dalam air perigi buruk yang boleh memberikan kesan penyakit.
Kenapa cerita itu saya ambil? Saya mengambilnya sebagai bahan renungan apabila mendengar pelbagai ‘penyimpangan makna politik mulia’ dan kerana gagal mencari untung segantang, maka seguni mahu dibakar. Apa yang berlaku di ambang PRN Johor ini cukup menarik untuk dibahas, diungkapkan kecenderungan yang sangat silap dan tidak bersesuaian dari perspektif agama mahupun realiti. Saya tidak cuba mengupas apa yang berlaku kepada parti-parti lain, tetapi adalah antara PAS dan UMNO, kerana dua parti inilah merupakan tunjang kekuatan Melayu-Islam.
PKR, walaupun didominasi oleh Melayu-Islam, naratif perjuangannya tidak ke arah itu, banyak menyelitkan falsafah dan idealisme sosialis. Begitu juga DAP, walaupun memomokkan sosialisme, secara halusnya mengekalkan kehendak dan naluri mengangkat kedudukan bukan Melayu agar melangkaui hak dan kepentingan Melayu-Islam menerusi kaedah liberalisme dasar, program yang ada kaitannya dengan Melayu-Islam, tetapi tidak meliputi hak dan kepentingan yang mereka jaga dengan kemas. Bersatu, parti serpihan UMNO bukanlah sebuah perjuangan yang benar-benar kental dengan Melayu-Islam, kerana matlamatnya ialah membalas dendam dan membunuh UMNO, sebuah parti yang cukup berjasa kepada mereka sebelum menjadi ‘katak’ dan dipecat.
Kenapa saya cukup sensitive dengan perlakuan dan cakap-cakap PAS? Sebabnya kerana PAS adalah sebuah parti yang mendakwa berideologikan Islam, maka dalam tubuhnya cukup ‘beriman’ sehingga terlupa bahawa ‘tahap keimanan’ tidak boleh diukur berdasarkan labuhnya jubah, tebalnya lilitan serban di kepala, cakap-cakap yang dikeluarkan bila ‘resah’ seperti gila meroyan dan tindakannya yang tidak konsisten. Ertinya, cara berfikir PAS ialah mencari jalan untuk mendapatkan apa yang belum menjadi miliknya menganggap miliknya juga, tetapi apa yang ada padanya, adalah miliknya, tidak sedia berkongsi.
Hal ini mudah kita fahami, tatkala PAS berkuasa, perkongsian kuasa tidak berlaku menurut hukum lazim. Bila terbentuknya Muafakat Nasional, PAS tidak berkongsi kuasa dengan UMNO/BN sebagaimana berlaku di Kelantan dan Terengganu. Akhirnya, UMNO Terengganu membuat keputusan memutuskan kerjasama, dan kemudian diikuti oleh Kelantan. Kini, UMNO/BN Johor pula membalasnya, mereka sedang mengajar PAS untuk lebih berhemah dan berhemat bila berpolitik.
Situasi ini bermula selepas PAS merasa selesa berada dalam kabinet Perikatan Nasional, kerana hampir kesemua wakil rakyatnya dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, kecuali presidennya. Namun, presidennya diberikan title duta khas ke Timur Tengah bertaraf menteri, walaupun tidak diketahui berapa kali beliau melakukan peranan tersebut sejak dilantik. Belum ada cerita mengenai kepergiannya untuk membantu menjalin kerjasama diplomatik mahupun menarik pelaburan dari negara-negara teluk tersebut.
Selepas kejatuhan Perikatan Nasional, PAS memberikan sokongan bagi membolehkan Keluarga Malaysia membentuk kerajaan, dengan menyokong Ismail Sabri Yaacob sebagai PM menggantikan Muhyiddin. Sebelumnya, ketika berada dalam kabinet PN, PAS menyatukan dirinya dengan Bersatu menubuhkan PN secara rasmi, yang tidak disokong oleh UMNO/BN. Permulaan itu dilihat sebagai langkah pertama ‘pengkhiatan PAS’. Ia disusuli dengan pengkhiatan kedua, yakni bertanding dalam PRN Melaka menggunakan logo PN.
Setelah tewas di Melaka, PAS berusaha pula ‘menebus talaknya’ daripada UMNO/BN, yakni merintis semula kerjasama atas alasan, atas semangat Muafakat Nasional. Setelah bermesyuarat, akhirnya UMNO/BN Johor menawarkan empat kerusi untuk PAS, tetapi PAS menolaknya. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan kata dua seolah-olah tindakan UMNO/BN itu ‘tidak baik’. Sebabnya daripada 56 kerusi, hanya empat ditawarkan kepada PAS, lalu dikatakan ‘salam Muafakat Nasional telah dihulurkan’ tetapi UMNO tidak menyambutnya dengan baik.
Hal ini membangkitkan kontroversi dan reaksi. Lalu PAS merasakan ‘terpukul’ oleh kenyataan tersebut kerana PAS sebenarnya tidak mempunyai kekuatan. PAS hanya sedang mencari asas dan sokongan dari parti lain untuk mengukuhkan kedudukan atau membaiki prestasi. PRU ke-14, PAS hanya menang 1 kerusi walaupun bertanding di 41 kerusi daripada 56 kerusi DUN Johor. Ini bermakna, PAS sebenarnya yang tamak, rakus dan gilakan kuasa, bukan UMNO/BN. Walaupun UMNO/BN tidak menguasai Johor, prestasinya adalah lebih baik daripada PAS. Itulah yang tidak ingin atau cuba dipesongkan oleh PAS.
Sebelumnya, PAS pernah meminta agar UMNO/BN memperuntukkan mana-mana kerusi yang kalah. Ertinya, semua 37 kerusi tersebut diisi dengan calon PAS, dan jentera UMNO/BN membantuk berkempen untuk kemenangan PAS. PRU ke-14, UMNO/BN memenangi 19 kerusi. Ini bermakna UMNO/BN menguasai hampir 34 peratus, sedangkan PAS hanya sekadar 1.8 peratus, seumpama melukut di tepi gantang.Bahkan kalah untuk dibandingkan dengan PKR mahupun MCA, salah satu komponen BN yang masih setia.
Selepas itu membelit ‘serban PAS’ muncul lagi kenyataan yang cukup pedih. Tidak ada pawing atau bomoh yang dapat mengubati penyakit asal UMNO/BN, ia gila kuasa.
Kedengarannya cukup jahat, seolah-olah UMNO/BN rakus, tamak, haloba dan dibelenggu ‘kesihatan mental’. Hal ini menyebabkan kita terfikir, mencari akal sihat di manakah kewajaran tuduhan tersebut? Apakah selama ini UMNO/BN menggunakan khidmat pawang untuk mencari kemenangan? Secara langsungnya, tidak kita ketemui, tetapi apa yang kita temuinya betapa ‘tidak waras’nya Mokhtar Senik berfikir. Malah, semakin gelabah setelah tidak lagi diundi untuk mengetuai jawatankuasa sekolah-sekolah pondok di dalam organ parti yang didokonginya. Bahkan, bukan sekali Mokhtar Senik membuat kenyataan kontroversi, yang disindir oleh Dr Rozaimi ‘tungganglah velfire, bukan tunggang agama.” https://mykmu.net/2022/01/26/rozaimi-bidas-mokhtar-senik-tungganglah-vellfire-bukan-tunggang-agama/)
Dr Rozaimi mengingatkan semula, apa komen Mokhtar Senik bila termeterainya Muafakat Nasional (14 September 2019). Kata Mokhtar Senik: malaikat bertakbir. Seolah-olah ‘malaikat’ bersetuju dengan kesepakatan UMNO/BN dan PAS dalam Muafakat Nasional. Sejak bilakah urusan tersebut mendapat bimbingan malaikat? Kenapa malaikat dikaitkan dalam sesuatu tindakan yang manusia lakukan, bahkan dalam PRN Melaka, PAS turut menggunakan malaikat: Malaikat akan bantu pengundi. PAS juga pernah mengecam apabila Dr Mahathir berkata: Malaikat pun berbohong, maka PH tidak mampu melaksanakan kesemua manifesto, sebabnya ‘Manifesto bukan kitab suci’.
Tetapi, apabila PAS melanggar kesepakatan dalam piagam Muafakat Nasional, kenapa Mokhtar Senik tidak membalasnya dengan berkata ‘syaitan telah menguasai’?. Akibat dirasuk oleh syaitanlah maka PAS tidak setia dengan janjinya, PAS akhirnya dianggap sebagai ulamak-politik yang digabungkan menjadi ‘ular-mak’. Jubah dan sarban yang putih tidak lagi mencerminkan ‘keimanan sejati’ dan ‘tahap ketakwaan’. Ia hanya sebagai pelindung yang cukup silap kalau nak dikatakan PAS mengamalkan budaya politik berteraskan Islam dan tindakan yang selari dengan makna syiyasah syari’ah. Ia adalah momokan dan gelintar strategi selepas terkena ‘renjatan elektrik’ akibat salah sambung kabel.
Selepas direjam kontroversi, timbul pula kenyataan bahawa antara UMNO/BN dan PAS belum muncul perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk PRN Johor. Menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussain setakat ini belum ada perbincangan dengan UMNO Johor mengenai pengagihan kerusi PRN Johor dan PRU ke-15. (Malaysia Dateline, 26 Januari 2022 dan Free Malaysia Today, 26 Januari 2022). Bandingkan apa yang diucapkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man: Menawarkan empat dari 56 kerusi itu, saya fikir bukan cara baik. (Malaysiakini, 25 Januari 2022). Manakah satukah kenyataan yang betul dan boleh dilihat sudah ada keputusan antara UMNO dan PAS mengenai pembahagian kerusi? Apakah antara PAS Pusat dan PAS Negeri menunjukkan ada ‘salah faham’ sebagaimana berlaku semasa PRN Melaka? Siapakah yang ‘salah baca’, ‘silap koma’ dan ‘silap laporan’ antara Pesuruhjaya PAS Johor dan Timbalan Presiden PAS?
Ertinya, jika Timbalan Presiden PAS silap membuat kenyataan sebelum agihan kerusi dimuktamadkan, cukup memberikan gambaran bahawa parti itu sedang menuju kepada pertikaian dalaman yang akhirnya ‘memusnahkan’ diri sendiri. Ia bakal musnah di tangan pengundi Johor, maka tidaklah layak untuk PAS bertanding lebih daripada satu kerusi, yakni cukup sekadar mempertahankan Bukit Pasir.
Bila PAS tidak setuju tawaran empat kerusi, timbul pula kenyataan bahawa parti itu boleh bekerjasama dengan Amanah, sekiranya tiada DAP?. (Sinar Harian, 25 Januari 2022). Itu
juga merupakan kenyataan yang cukup berbelit-belit dari salah seorang Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad. Apakah beliau sedar kedudukan Amanah sekarang? Terlupakah kepada kenyataan lama pemimpin PAS terhadap Amanah, sebuah parti yang tidak boleh diterima oleh PAS kerana parti itu cukup berazam untuk mengambil alih peranan PAS? Apakah Idris ‘hilang memori’ dakwaan bahawa Amanah pernah dianggap sebagai pengkhianat dan berada dalam telunjuk DAP?
Memang dalam etika politik, tiada musuh dan kawal yang kekal, yang kekal ialah kuasa. Ertinya, disebabkan politik itu bersifat anjal, jangan pula lupa bahawa PAS pernah membelasah UMNO/BN sebagai parti yang ‘membuang Islam’ maka parti-parti yang membuang Islam itu ‘kafir’, maka secara tidak langsung ‘UMNO itu kafir’. Apakah sifat-sifat seorang yang dinamakan kafir? Antaranya, bercakap bohong (munafik), bermuka-muka (hipokrasi), tidak melaksanakan perintah Allah SWT dan suka berdolak-dalik. Sifat-sifat ini cukup banyak berlaku dalam PAS, termasuk pengimejan yang sedang dibentuk terhadap UMNO/BN sekarang oleh aktivis-aktivis PAS termasuk Mokhtar Senik (Ahli Dewan Ulama PAS Pusat), Tuan Ibrahim Tuan Man (empat kerusi bukan cara baik) dan Pesuruhjaya PAS Johor, belum ada perbincangan pembahagian kerusi secara rasmi, tetapi Timbalan Presiden PAS Pusat telah umumkan ‘hanya ditawarkan empat kerusi’?
Mengenai persoalan ini saya teringat hasil penyelidikan dalam bidang komunikasi politik yang dibuat oleh Profesor Thomas Rid, biarpun kajiannya berkaitan dengan fenomena post-truth yang mencorakkan keputusan Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, iaitu tahun yang memberikan kemenangan kepada Donald J Trump. Kajian itu dibukukan dalam Active Measures: The Secret History of Disinformation and Political Warfare, New York: Farrar, Straus and Giroux, (2020).
Apakah PAS sedang melakukan kaedah yang sama – propaganda hitam– bagi menggambarkan bahawa parti itu lebih baik daripada UMNO/PAS dan lain-lainnya setelah lemas terjatuh ke perigi buta dalam PRN Melaka? Mungkin Pesuruhjaya PAS Johor sedang mencuba kaedah propaganda yang lebih lunak, mengubah warna hitam kepada kelabu untuk ‘memujuk UMNO/BN’ di peringkat pusat agar kekal bekerjasama dan menawarkan kerusi lebih banyak? Saya anggap itu ada kemungkinannya, kerana UMNO/BN Johor kekal dengan pendiriannya, go solo sebagaimana diberitahu oleh Timbalan Presiden UMNO: akar umbi mahu BN bergerak solo.(Harian Metro, 26 Januari 2022).
PAS sekarang sedang membingkaikan ‘zon kelabu’ selepas membina ‘zon hitam’ mengenai Muafakat Nasional seperti dibuktikan dalam PRN Melaka. Untuk membentuk ‘zon kelabu’, PAS mesti berusaha untuk ‘melunakkan kata-katanya sendiri, termasuk kenyataan untuk menafikan keputusan ‘tidak baik’ bila ditawarkan empat kerusi. Ia sedang berlaku, yakni bila dikeluarkan kenyataan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, belum ada perbincangan rasmi agihan kerusi. PAS perlu berbuat demikian, kerana takut dihukum lebih ‘teruk’ apabila tidak mampu bekerjasama dengan mana-mana kumpulan, dan bergerak secara solo. PAS sangat takut bila terpaksa bertembung dengan UMNO/BN, kerana pengalaman di PRN Melaka cukup traumatik di tujuh DUN dan satu lagi dengan DAP. PAS tidak mampu menundukkan UMNO dan DAP, tetapi tidak boleh mengharapkan sokongan daripada Bersatu.
Walaupun kajian Thomas Rid memberikan fokus propaganda antara negara, yakni pembabitan Rusia dalam menentukan kemenangan Donald J Trump dengan memesongkan citra Hillary Clinton yang lebih berpengalaman di bidang diplomatik dan pentadbiran
kerajaan, cukup menarik untuk diambil beberapa pengajaran daripada tindakan perangsaraf (political warfare) tersebut. Secara mudahnya ialah bagaimana tindakan pembohongan diekploitasi dalam kempen-kempen pasukan Donald J Trump berjalan. Tindakan itu telah menambahkan lagi makna buruk kepada istilah propaganda, walaupun asal usul perkataan tersebut merujuk kepada aktiviti percambahan benih pokok menjadi lebih banyak (berkembang).
Parti politik akan melihat bahawa apa sahaja maklumat boleh digunakan sebagai ‘senjata’ untuk menimbulkan ‘sengketa’ di pihak lawan masing-masing. Jika maklumat itu menunjukkan kekuatan pihak lawan, maka maklumat tersebut perlu dipecah atau dilemahkan, sebagaimana kita dengar bahawa PRN Johor sepatutnya digunakan untuk memerangi rasuah. Apakah rasuah itu hanya berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO/BN semata-mata? Bukankah zaman kleptokrasi juga berlaku dalam DAP, PAS mahupun Amanah? Cuba kita telitikan masalah itu secara halus, dan melihat kepada insiden yang sudah berlaku, sedang berlaku dan sedang berada di peringkat perbicaraan di mahkamah. Biarpun tiada pemimpin PAS setakat ini sedang dibicarakan, rasuah juga berlaku di Kelantan yang selama ini berdabik dada dengan slogan ‘sifar rasuah’.
PAS bukan sahaja dipersoalkan mengenai kontrak Air Kelantan Sdn Berhad. PAS turut dipersoalkan dengan penggondolan hutan di Gua Musang sehingga menyebabkan harimau tidak ada sumber makanan dan terpaksa masuk ke kampong-kampung orang Asli. PAS juga dipersoalkan dengan wang royalty minyak RM 400 juta yang dibayar oleh kerajaan pusat. PAS juga berhadapan dengan pengherotan imej apabila memecat Dr Khairudin Aman Razali selepas dua bulan dilantik. Ia memecahkan kebuntuan siapakah sebenarnya yang berubah untuk meninggalkan Muafakat Nasional, dan siapakah sebenarnya yang tidak mahukan at-Takiri itu berada dalam jemaah PAS Pusat? Apa mahunya Presiden PAS setelah selesa jadi ‘duta khas bertaraf menteri’ tanpa perlu sibuk pergi ke Timur Tengah menarik pelabur atau meningkatkan kerjasama diplomatik?
Isu-isu terus membelenggu kepimpinan PAS selain ketegangan yang ditimbulkan oleh Menteri Besar Kedah berhubung bayaran pengambilan air mentah dari Sungai Muda oleh Pulau Pinang. Di peringkat pusat pula, PAS perlu mencari orang-orang yang dilihat ada kaitannya dengan ‘langgar Samsuri’ dan mungkin masih ada kelompok ‘langgar Hadi’. MAsalah dalam PAS semakin membengkak, dan kebengkakan itu perlu disembuhkan sebelum PRU ke-15, tetapi lebih mendesak ialah berhadapan dengan PRN Johor.
Bagaimana jika teliti dan kembali melihat bagaimana Donald J Trump memberikan amaran kepada penyokong-penyokongnya untuk menyerbu Capitol Hill dengan maklumat Joe Biden telah ‘mencuri’ kemenangannya. Hal ini pernah berlaku pembohongan PAS mengenai ‘penngundi hantu’ tetapi selepas menang PRK Kuala Terengganu (2009), tidak kedengaran bahawa kemenangan calonnya kerana dibantu oleh ‘pengundi hantu’.
Begitu juga dengan dakwaan parti-parti pembangkang bahawa setiap kali berlaku pilihan raya, ada penipuan ‘membeli undi’ dan salahlaku pengurusannya. Tetapi, apabila PH menang dalam PRU ke-14, dakwaan tersebut tidak timbul dan ditelah dengan keasyikan sehingga terlupa bahawa PH adalah kerajaan, bukan lagi pembangkang, berlaku political and culture shock sehingga hilang kuasa. Salahguna juga berlaku. Tidak terkecuali rasuah. Biarpun menteri tidak melakukannya, tetapi perilaku itu berlaku dalam kalangan orang yang rapat
dengan menteri, yakni pegawai-pegawai mereka. Ini bermakna, kecenderungan salah laku, rasuah cukup besar ketika seseorang itu berkuasa, atau menguruskan kuasa.
Lim Guan Eng berhadapan dengan dakwaan menerima suapan RM 3.3 juta dan memohon 10 peratus keuntungan projek enam jalan raya dan terowong dasar laut. Beliau dan isterinya, Betty Chew turut berhadapan dengan dakwaan ‘conflict of interest’ dalam projek asrama pekerja kilang di Batu Kawan, kerana sebelumnya, membeli banglo di bawah harga pasaran daripada Phang Li Khoon, penender yang memperoleh kontrak tersebut. Betty Chew dikatakan mempengaruhi suaminya, dan sebagai balasannya, beliau diberikan persetujuan untuk mengendalikan khidmat guaman syarikat berkenaan. Ini bermakna selagi kes tersebut tidak selesai, DAP akan tetap dipersoalkan integritinya, termasuklah pembabitan wakil rakyatnya dalam kes rogol, ditangkap di kelab malam dan ada kaitan dengan ‘penagihan dadah’ dan sebagainya. DAP juga sangat terkesan apabila wakil-wakil rakyat berpindah kepada Warisan sejak bulan Disember lalu.
Akibat berita palsu yang dimainkan oleh team Donald J Trump, lima orang terbunuh dalam serangan di Capitol Hill semasa menjelang angkat sumpah Joe Biden. Di Malaysia, akibat pemimpin-pemimpin politik ada kaitan dengan skandal 1MDB, yang sebelumnya terfokus kepada UMNO, kini semakin ada bukti boleh dikaitkan dengan parti-parti lain, maka sekali lagi SPRM diserang, sebagaimana parti-parti pembangkang pernah menyerang kredibiliti PDRM, SPR dan SPRM pada suatu ketika. Kali ini, Ketua SPRM diserang dengan isu pemilikan saham dan waran, kerana Azam Baki bersedia untuk mengambilalih siasatan berhubung penyaluran wang 1MDB kepada dua buah organisasi, termasuk USD$100 juta kepada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang (KKPP) pada tahun 2013.
Tahun 2013, Lim Guan Eng masih Ketua Menteri Pulau Pinang. Barisan kepimpinan KKPP didakwa ada hubungan dengan pemimpin DAP. Pendedahan oleh Pegawai Kewangan 1MDB di mahkamah tersebut itu cukup menakutkan, dan ia ditambah dengan keputusan SPRM untuk mendakwa semula Lim Guan Eng berhubung skandal terowong selepas dibebaskan oleh Tommy Thomas, menjadikan parti itu tak keruan. Apakah perkembangan tersebut membawa kepada usaha menjatuhkan imej dan integriti Azam Baki dan SPRM keseluruhannya? Kemungkinan itu tetap ada, penggelintaran imej memang akan terus berlaku dalam sistem politik demokrasi yang cukup dipengaruhi oleh persepsi.
Kemenangan PH dalam PRU ke-14 adalah kerana mereka berjaya membentuk dan menggelintarkan persepsi para pengundi, sehingga percaya apa yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan adalah ‘rahmat’ bagi Malaysia untuk memperbetulkan ‘kerosakan’. Walhal, setelah memerintah, kerosakan bertambah serius sehingga ekonomi merudum, pelaburan asing melarikan diri dan sebagainya, sampai kini masih belum dapat dipulihkan, termasuk penurunan nilai matawang ringgit.
Setiap dari kita tahu, bila sakit proses pemulihan bukanlah boleh berlaku dalam waktu yang cepat, bukan secepat mala mini menang, subuh esok harga minyak Kita turunkan’. Inilah yang berlaku, informasi bertukar menjadi disinformation, fakta menjadi auta dan auta dianggap sebagai kebenaran, dunia membesar dan berkembang dengan era post-truth (permainan persepsi). Inilah juga yang sedang dibentuk menjelang PRN Johor. Disinformasi, bermaksud, maklumat (informasi palsu) digunakan untuk menipu dan memanipulasi pendapat umum (persepsi).
Contohnya: air hijau, paip biru, ia tidak serasi, dan kena tukar paip itu jadi hijau; orang China adalah penduduk terawal di Pulau Pinang; Malaysia akan bankrupt kerana banyak hutang, tapi PH memerintah, hutang turut bertambah dari RM 686 bilion meningkat kepada RM 800 bilion, sasarannya, akan sampai kepada RM 1 trilion walaupun ketika itu belum dilanda COVID-19; Dana Harapan untuk bayar hutang; batal projek mega dan runding semula untuk jimatkan kos walhal diubah spesifikasi dan dikurangkan fasiliti; tiada bayaran balik pinjaman PTPTN, namun jika tidak bayar ‘tidak bermoral’; dan sebagainya.
Warna-warni itulah yang membelit lanskap politik Malaysia, dan benarlah kepercayaan ramai bahawa hukum karma akan muncul untuk memancung parti dan pemimpin politik yang suka berbohong serta ‘kawan makan kawan’. Masa dan ketikanya akan tiba, dan mungkinkah sekali lagi PN, PAS dan PH akan dihukum oleh pengundi dalam PRN Johor? Mereka telah dihukum pada PRN Melaka dan PRN Sarawak.
MONOSIN SOBRI
