BENARKAH KERAJAAN PERPADUAN KERAJAAN IBLIS?
Berat untuk menerima kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang akhir-akhir ini keatas kerajaan perpaduan. Seolah-olah secara tersirat kerajaan yang wujud ini dikatakan zalim. Ini bukan cara yang betul untuk menegur kesilapan oleh pemerintah.Kita tidak boleh sesuka hati menentang pemerintah. Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan agama.
Hakikatnya tanpa disedari kita telah berlaku zalim. Sesuatu perbuatan yang dikatakan zalim itu ialah tindakan yang melampaui batasan agama Islam sendiri. Misalnya, jika tindakan seseorang itu melampaui batasan agama dan peraturan kehidupan yang ditetapkan, maka tindakan itu dianggap zalim.
Berkaitan perkara zalim, kita teringat pesan Rasullullah SAW dalam sebuah hadisnya ketika baginda diminta nasihat oleh salah seorang sahabat. Sahabat itu berkata, “wahai Rasulullah, berilah aku nasihat." Nabi bertanya, “apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Sahabat itu menjawab, “ya, ya Rasulullah." Nabi kembali bertanya, “apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Ia menjawab, “ya, ya Rasulullah." Tetapi Nabi bertanya lagi, “apakah engkau akan mengamalkan jika aku memberimu nasihat? Sahabat itu kembali menjawab, “ya, ya Rasulullah."
Begitulah, setelah tenang sejenak dan merasa yakin bahawa sahabat itu akan mengamalkan nasihatnya, Nabi bersabda, “jika engkau menginginkan sesuatu, renungkanlah terlebih dahulu dengan baik. Bila ia baik, lakukanlah, dan bila tidak baik tinggalkanlah."
Hadis di atas mengingatkan kita bahawa tidak semua keinginan yang terasa di dalam hati harus diperturutkan dengan segera, tetapi renunglah, dan kawallah ia dengan cermat. Bila dalam perenungan itu ditemukan kebaikan dari apa yang diinginkan itu, lakukanlah, tetapi bila dirasakan akan keburukannya, tinggalkanlah, jangan dilakukan. Lalu, apa ukuran baik atau tidak baik yang dikatakan oleh Nabi?
Oleh itu, amatlah dikesali sekiranya konsep kezaliman ini disalahertikan sehingga sanggup pula menuduh mereka yang menjalankan tanggungjawab sosial dan keamanan sebagai zalim manakala mereka yang menjadi pelampau atau penceroboh harta orang lain dikatakan dizalimi. Islam mengingatkan supaya kita berhati-hati dan berwaspada agar tidak mudah menuduh kerajaan sebagai zalim bagi mengelakkan berlakunya kezaliman yang lebih besar lagi.
Sebenarnya golongan yang melemparkan tuduhan itulah yang lebih zalim. Mereka lebih gemar menganjurkan sesuatu perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai melalui kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan hakikat yang sebenar. Tegasnya, tindakan kerajaan menghalang sesiapa jua yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan orang lain tidak bermakna tindakan tersebut sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ini kerana, hakikatnya aspek kemanusiaan telah pun diambil kira oleh kerajaan dalam menggubal sesuatu undang-undang.
Islam telah mengakui bahawa tidak menjadi suatu kesalahan jika mana-mana sistem pentadbiran cuba menyekat beberapa kehendak manusia yang bukan bersifat asasi, tetapi ia lebih merupakan kehendak nafsu. Islam menuntut manusia mengawal nafsu kerana tindakan yang dipengaruhi oleh nafsu itu adalah suatu perbuatan yang didorong oleh syaitan. Syaitan merupakan musuh besar yang membawa manusia kepada kemusnahan peradaban dan kehancuran hidup bermasyarakat kerana tidak mengambil kira peraturan dan etika, rasa hormat dan kerjasama, sebaliknya lebih mengutamakan kehendak nafsu yang tidak pernah memahami erti syukur dan berterima kasih.
Sudah sewajarnya seseorang Muslim perlu mengetahui dan memahami cara bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan agama, ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri tertentu.
Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibaiah oleh mereka. Ini adalah kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan baiah kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras.
Berhubung perkara ini Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barang siapa meninggal tanpa ikatan baiat, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah.” (Riwayat Muslim).
Harus diingatkan bahawa baiah kepada penguasa bukan seperti kalung yang boleh diletakkan dan ditanggalkan sesuka hati – jika ia suka dipakainya dan apabila tidak suka ditanggalkan. Tetapi kewajipan baiah tetap berlaku selagi kekuasaan penguasa masih ada atau bertapak di negeri tersebut.
Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada baiah ini. Dasar kedua yang perlu dipatuhi terhadap pemerintah ialah mengenai bagaimana cara pendekatan yang harus diambil dalam menasihati pemerintah kerana mereka adalah manusia yang berhak menerima penghormatan daripada seluruh rakyat jelata. Islam menyarankan umatnya menjauhi sikap khuruj (memberontak, penderhakaan atau lain-lain cara penentangan yang salah).
Adanya kesalahan pada diri pemimpin, bukan pula bermakna kita boleh memijak kehormatan mereka. Kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesalahan mereka dengan cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama.
Perbuatan menegur dengan cara penderhakaan atau caci maki akan menimbulkan rasa benci dan marah dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas, bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya.
Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan syariat. Ini sesuai dengan panduan Rasulullah SAW sebagai mana sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT meredai untuk kamu tiga perkara, antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan kamu.” (Riwayat Ahmad).
Sesungguhnya Allah SWT meredai di kalangan hamba-Nya yang dapat menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlulah bermuamalah dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara dibenarkan oleh syariat.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
