BERSATU YANG BERCELARU?
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang lebih dikenali sebagai Bersatu sudah selesai. Selesai itu tidak bermakna tidak ada lagi "pahat yang akan diketuk". Dari dalam ataupun luar parti, juga dari dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) mahupun dan di luar gabungan dan orang perseorangan.
Perkara yang cukup menjadikan Muhyiddin dilihat "tamak" ialah kekalnya beliau sebagai calon yang akan dipaksakan untuk mewakili PN walhal, cadangan itu hanyalah daripada PAT Bersatu sahaja. Ia tidak meliputi persetujuan PAS dan Gerakan.
MB Kedah, Sanusi Mohd Nor sudah pun membuat kenyataan, pilihan itu adalah pilihan Bersatu, ia tidak pernah diputuskan PN. Bahkan, menurut beliau, belum pun berlaku perbincangan untuk mengangkat Muhyiddin sebagai calon PM.
Lantaran itu, salah seorang "panglima perang" Bersatu cuba memberikan penjelasan, masih terbuka untuk diadakan perbincangan yang boleh diterima secara konsensus PN.
Bekas pemimpin UMNO yang telah disucikan oleh PAS memberikan kenyataan seumpama tidak berkenan dengan pilihan PAT Bersatu. Kata Tan Sri Town Planner Annuar Musa, seseorang calon yang bakal dipilih perlulah disucikan terlebih dahulu. Saya tidak pasti apa maksudnya perlu disucikan itu.
Pada pemalsuan literal, Muhyiddin juga perlu disucikan walaupun sudah memenangi beberapa kes yang berkaitan dengan salah laku dan penggubahan wang haram. Dari satu aspek, Muhyiddin sudah hampir disucikan, tetapi belum sebersih Annuar Musa sendiri yang memasuki jemaah sebuah parti yang cukup diketahui paradoks dan kontradiksi. Ia jadi suci kerana menjadi ajutan para yang dipimpin oleh agamawan, dan sesekali muncul sebagai panglima perang dalam kempen pilihan raya kecil.
Dalam Bersatu sendiri, sebelum bermulanya PAT kecoh dengan surat layang yang ada kaitannya menolak kepimpinan Muhyiddin. Muhyiddin ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden ikut cuba menyentuh perkara itu, katanya, ada pihak yang cuba mengutip tanya tangan untuk mendesaknya meletakkan jawatan.
Hamzah Zainudin yang dikatakan sebagai seseorang yang wajar mengambil alih kepimpinan Bersatu akhirnya membuat kenyataan: I am your man. Maksudnya, Hamzah bukanlah pengkhianat. Hamzah tetap setia dengan kepimpinan Muhyiddin selagi parti memilihnya.
Kata Hamzah lagi, Bersatu adalah partinya yang terakhir dan dirinya macam tidak mahu melompat lagi. Hamzah merupakan ketua lompat parti apabila UMNO hilang kuasa. Hamzah mahu "mati" bersama Bersatu, katanya, tidak ada lagi yang beliau boleh pergi. Maksudnya untuk kembali ke pangkuan UMNO bukan merupakan satu pertimbangan wajar setelah tubuhnya berbau pekasam.
Untuk melompat ke PAS, Hamzah rasanya tidak cukup kuat kerana badai politik parti itu cukup berpaut erat dengan kepimpinan ulamak. Hamzah bukan ada aura ulamak. Untuk menjalani proses penyucian, Hamzah rasakan ia sesuatu yang bukan mudah. Nak diluah rasa sayang, telanlah juga walaupun halkum agak perit.
Itulah reaksi spontan saya apabila membaca "hikayat Hamzah" yang dilaporkan menerusi media. Hamzah tidak mahu dirinya digelar pengkhianat sekali lagi, walaupun ada peribahasa Indonesia "maling tetap maling", hatta berburu di lubuk emas. Bersatu bukan lubuk emas politik, Bersatu hanya padang tandus yang sedang mencorakkan semula arusnya setelah dirempuh ribut pasir setelah tidak bermaya membara aspirasi dalam PRN akhir tahun 2023 lalu.
Bersatu turut kehilangan kerusi, dan kedudukannya kini lebih lemah daripada UMNO yang menjadi acuan politik dan parti yang diajarnya secara tajam. UMNO setelah mengalami pelbagai benjolan, hentakan dan cemuhan, kini dilihat sedikit berjaya berbanding Bersatu walaupun Bersatu sentiasa menggertak dan menyindir.
Namun, Bersatu sekarang ada yang melihatnya seumpama liabiliti politik Melayu, sebabnya kepimpinan Muhyiddin lemah dan sukar tersenyum. Muhyiddin tidak cukup kuat bahkan berhadapan dengan riak-riak politik PAS pun banyak kali terpaksa mengulum lidah.
Apabila Muhyiddin terus berhasrat untuk menjadi calon PM, ramai yang bertanya. Apakah Muhyiddin telah berjaya membuktikan dirinya adalah yang terbaik sedangkan rakyat umum masih trauma dengan pengalaman pahit Muhyiddin menguruskan krisis, baik krisis kesihatan mahupun krisis politik. Muhyiddin banyak menyorok dan berselindung, termasuk berselindung dengan Proklamasi Darurat dan pengumuman- pengumuman yang tidak menjadi realiti.
Muhyiddin tidak perlu menyalahkan kerajaan sekarang apabila kos sara hidup dikatakan meningkat. Sebabnya kos sara hidup sebenarnya tidak pernah turun sejak Malaysia memasuki era pemodenan. Begitu juga harga rumah, tidak mungkin akan ada lagi rumah murah berharga RM 25,000 seunit seperti pada awal tahun 1980-an.
Muhyiddin mahupun Hamzah tak perlulah nak cakap pasal harga sekilogram ikan kembong lebih RM 20, kerana masa kerajaan PN juga tidak pernah berlaku. Kalau berlaku pun untuk ikan pelaling, yang sebahagian daripada ahli politik tidak dapat bezakan. Rakyat tahu, suatu ketika harga sebotol minyak masak 5 kg mencecah lebih RM 40, dan kini stabil sekitar RM 30 - 35 sebotol untuk minyak masak olein kelapa sawit.
Benar ada beberapa barangan harganya bertambah, tetapi Hamzah dan Muhyiddin yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cukup berpengalaman dalam perihal rantaian perniagaan dan asas penentuan harga. Jadi, seharusnya tidaklah cuba menggelisahkan rakyat dengan kenyataan kosong dan retorik, sebabnya ada ketentuan sukar dikawal, walaupun dicipta pelbagai mekanisme.
Jika rakyat berkenan untuk menyokong Bersatu dan menang PRU ke-16, semua orang terima kerana itulah yang dipilih. Tetapi, tidaklah perlu membina populariti dengan janji manis, termasuk janji untuk kembalikan 40 peratus hasil kepada Sabah. Kenapa janji itu hanya untuk Sabah? Sebab, Sabah akan diadakan PRN dalam tahun ini. PN tidak kuat di Sabah walaupun menang pada PRN lalu. Bersatu yang tergelojoh akhirnya terkehel setelah beberapa bulan berjaya membangunkan euforia politik.
Kenapa Muhyiddin perlu katakan, tonjolkan hasratnya untuk diangkat sekali lagi sebagai PM telah 17 bulan pengalaman pahit menyebabkan rakyat Malaysia masih terasa sebaknya? Tidak lain tidak bukan, Muhyiddin mahukan "finishing line" yang baik sebagai seorang ahli politik kerana dalam situasi sekarang beliau adalah PM tepi. Satu istilah yang pernah diberikan kepada Anwar Ibrahim yang beriya-iya mahu jadi PM. Anwar sudah berjaya, ia berjaya kerana strateginya dapat diterima walaupun parti pimpinannya tidak berjaya melepasi majoriti mudah.
Muhyiddin mahukan semula jawatan PM sebabnya beliau merasakan tidak ada yang menariknya ketika menjawat jawatan itu selama 17 bulan. Masa-masanya penuh krisis, dari krisis yang meruntuhkan kerajaan tebuk atap hingga krisis kesihatan, yang tercetus daripada keinginan besarnya untuk menguasai PN Sabah setelah bekas Ketua Menteri, Musa Aman dibebaskan daripada dakwaan rasuah dan penggubahan wang haram. Muhyiddin sedar, jika tidak berbuat apa-apa, Bersatu tidak akan mempunyai kedudukan di Sabah sebagaimana berlaku di Sarawak. UMNO atau BN mungkin akan bangkit semula walaupun kebangkitan itu tidak bermakna berjaya kembali berkuasa di Sabah.
Dengan harapan baharu, Muhyiddin merasakan apabila PAT bersetuju menjadikannya sebagai calon PN dalam PRU ke-17, beliau berjaya menyinsing dilema rebutan kuasa di dalam parti. Namun, reaksi balas daripada PAS menyebabkan harapan itu terus menjadi sebuah persoalan besar dalam kesepakatan parti-parti politik setelah lama PAS berusaha menonjolkan calonnya. Ia mungkin akan menjadikan jarak semakin lebar antara PAS dan Bersatu.
KAMARUN KH