BN DIJANGKA MENANG BESAR, PH CACA-MARBA DAN BERSATU KEBULUR
Setelah berkempen selama dua minggu, kegelapan langit politik Melaka semakin jelas buat PH akibat salah langkah dan tingkah. Di akhir pusingan pertama, PH berhalusinasi akibat tiga kekalahan sebelum ini menjadi mimpi ngeri yang belum terpadam.
Sabah, PH hampir pupus setelah GRS berjaya muncul sebagai juara, tetapi PAS menunjukkan ada cahaya sedang menerangi langit negeri di bawah bayu apabila menang satu kerusi di DUN Karambunai.
Di Johor, sengketa PAS dan Bersatu meningkat tajam menyebabkan luka parah yang cukup besar buat pengasas Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin yang awalnya dilihat penentu hala tuju politik gabungan yang diasaskan pada tahun 2021. PAS dengan tegas membuat pendirian, parti itu akan bekerjasama dengan BN kerana Bersatu semakin besar krisis kepercayaan.
Di Johor juga menjadi lokasi Parti Wawasan Negara memulakan langkah, dengan rasminya bergabung dengan PAS dan berada dalam gabungan PN. Wawasan merupakan parti serpihan Bersatu, akibat terkilan dan tidak puas hati gaya kepimpinan Muhyiddin Yassin.
Walaupun tidak mampu mencetak kemenangan besar, sekurang-kurangnya kehadiran PN memberi nafas baharu yang menakutkan PH, terutama DAP. Hasilnya, BN menang besar manakala DAP hilang empat kerusi yang disandangnya sejak beberapa penggal. PRN lalu ( 2022), DAP menang 10 kerusi tetapi dalam PRN terbaharu (Julai 2026) hanya tinggal 6 kerusi. Terisak-isak DAP menangis meratap kekalahannya.
PRN Negeri Sembilan, PH hilang kuasa dan DAP kalah di dua kerusi tradisi. Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke bermuka sedih sambil mengatakan dirinya bertanggungjawab atas kekalahan parti, dan menjadi lebih melankolik kalah di DUN Chennah.
Beliau menang di situ sejak PRU 13 (2013), dan ini menjadi sejarah hitam baginya, memecahkan rekod tanpa kalah sejak menyertai pilihan raya (2004). Nampaknya, rekod selama 22 tahun beliau benar-benar membawa "sedih dan pedih" kerana mungkin ada badi angka 4 (22 tahun, jika dipisahkan jadi 2 2, dicampurkan hasilnya berjumlah 4) dalam kepercayaan sekelompok masyarakat Cina, angka 4 bererti mati.
Tahun 2026 menjadi sesuatu yang cukup “berpuaka” buat Anthony Loke. Beliau diuji dengan kekalahan, dan kemudiannya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam kabinet, tetapi tidak mengheret DAP keluar PH.
Disebabkan pendirian sedemikian, beliau terus dicabar untuk tidak melengah-lengahkan hasrat meninggalkan kabinet, biarpun pemimpin DAP yang lain tidak bersedia berbuat demikian, termasuk Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.
Beliau berkata: Jika BN menang besar di Johor dan Najib dibebaskan" akan meletakkan jawatan dan mengheret parti keluar daripada kerajaan madani. Keputusan itu masih terawang-awang, tetapi sudah menunjukkan ada "dendam" yang tersimpan.
Nga Kor Ming bertangguh-tangguh, dan tidak bersedia melepaskan jawatan dengan alasan "rakyat masih memerlukan khidmatnya". Maka, di Melaka ada yang bertanya: "Rakyat yang mana?
Dalam kempen PRN Melaka, Nga Kor Ming tidak menjadi juara kempen, kerana takut khalayak mencabarnya secara terbuka. Kalau silap jawab, Nga Kor Ming pula akan diundurkan dalam kepimpinan parti.
Juga sesuatu yang pelik dan aneh, PAS hanya berganding dua kerusi, tetapi DAP cuba mengasak PAS seolah-olah parti itu akan mentadbir kerajaan negeri. Logikkah sasaran begitu? Kenapa DAP cukup takutkan PAS? Sebab, PAS sudah tahu dan cukup berpengalaman dengan DAP, sebuah parti yang "tidak boleh dipercayai."
DAP adalah parti yang kelihatan "manis di bibir" tetapi "busuk di kepala" dan ekornya juga. DAP sentiasa menyoal apa saja yang dilakukan berdasarkan program peningkatan penghayatan Islam, sedangkan apa yang dilakukan itu sedikit pun tidak menjejaskan kedudukan bukan Islam.
Persoalan Sijil Halal pun cukup menjadikan DAP melatah, apatah lagi bila hendak dilaksanakan kuat kuasa terhadap umat Islam agar mengingatkan dirinya sebagai "hamba Allah" dan kembali kepada penghayatan Islam yang benar dan betul.
Di tengah-tengah kerancakan kempen, akhirnya muncul kontroversi tahanan rumah terhadap Najib, yang menjadi "boomerang" buat PH, khususnya PMX. PH menggunakan pelbagai taktik dan strategi untuk menggambarkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang wajar ditolak atas perkara lampau, termasuk perilaku rasuah dan salah guna kuasa, istilahnya ialah sakau.
Awalnya, diberitahu tentang projek paip gas yang tidak dapat disiapkan walaupun lebih 90 peratus bayaran telah dibuat. Namun, isu itu tidak menjadi malapetaka buat BN, kerana ia menarik gema politik yang boleh memusnahkan peluang PH. Sebabnya, projek tersebut telah dibatalkan sebaik sahaja PH berkuasa pada tahun 2018.
Biarpun bekas Menteri Kewangan (digelar Menteri Kewayangan) diberikan tanggungjawab mendapatkan laporan terhadap projek tersebut yang melibatkan kontraktor daripada China, Lim Guan Eng adalah orang yang tidak dipercayai ramai orang. Beliau yang mendapat "nafas baharu" setelah kesnya "ditutup", kesalahan moral tetap dilakukannya, kerana telah membayar sejumlah wang ke atas kontraktor Terowong Dasar Laut yang tidak berjaya diteruskan.
Apabila Anthony Loke dengan tegas mengumumkan peletakan jawatan sebaik sahaja Najib tiba di rumah untuk menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah, PMX mengumumkan di satu majlis penutup kempen PRN Melaka, surat yang dimaksudkan belum diterima. PMX juga berhasrat untuk "memujuk" Anthony Loke agar pertimbangkan semula hasrat letakkan jawatan.
Apa maknanya?
Maknanya, PH sangat takut kehilangan DAP dalam gabungan tersebut. Beliau tahu, tanpa DAP tidak akan ada harapan untuk kekal mempertahankan kerusi PM bagi penggal kedua. Anwar sudah dapat bayangkan, parti yang dipimpinnya ibarat seorang lelaki yang tidak mampu berjalan sendirian selepas diserang angin ahmar.
PKR yang pernah disifatkan sedang alami "luka parah" akibat tiga wakil rakyatnya meletakkan jawatan secara sukarela dan mengosongkan kerusi masing-masing - Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen -menjadikan kedudukan kerusi PKR berkurang tiga kepada hanya 28. Ia bertambah sakit apabila Nurul Izzah berhasrat melepaskan kedudukannya dalam parti atas alasan melanjutkan pelajaran.
Kedudukan tersebut ternyata lebih kecil daripada kerusi yang dimiliki oleh BN. BN masih kekal 30 di Dewan Rakyat. PAS kekal sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak (43), diikuti DAP (40) dan BN (30). Ini bermakna, diambang kemerosotan PH, PKR juga terlalu khuatir sekiranya BN membuat keputusan untuk tidak bekerjasama atau menarik diri daripada kerajaan madani.
Namun, aktivis PH mengacak BN agar menarik diri tetapi dijawab oleh UMNO, sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan, BN tidak lagi boleh duduk semeja. Itulah yang menyakitkan PMX. Lalu BN dicabar menarik diri, tetapi BN tetap dengan keputusan asasnya, selagi Dewan Rakyat tidak dibubarkan, selagi itu akan berada dalam kerajaan madani. Teguh pada janji, pegang pada prinsip yang dipersetujui.
Setakat ini, BN belum membuat sebarang "ugutan" sebagaimana DAP sudah lakukannya. Tetapi, BN tetap dengan pendirian bahawa dalam tiga PRN, tidak ada kerjasama dengan PH. Sebaliknya, membuka kerjasama dengan PN yang dipimpin oleh PAS kerja itu adalah hak dan hak itu tidak boleh dicabar oleh PH. Kata Mahfuz Omar, BN "makan keliling" walhal yang kita tahu, Mahfuz juga begitu dan semakin penting memikirkan kedudukan politik partinya.
Kalau PH pecah, ke mana Amanah akan bergayut? Jika bekerjasama dengan DAP, akan jelaslah dakwaan parti itu adalah "anak kandung DAP", yang berusaha menampung mereka yang kurang senang dengan PAS dan UMNO. Tetapi, hal itu tidak mampu Amanah lakukan. Jika bersama PKR, Amanah juga akan kembali dengan kisah lamanya, yang dianggap sebagai kelompok Anwarinas, yang pernah dikatakan sebagai parasit dalam PAS.
Akibatnya, dalam PRN Melaka, muncul andaian bahawa Bersatu bekerjasama secara tidak langsung dengan PH, tetapi potensi menang cukup tipis. Ada andaian bahawa Pengerusi Amanah Negeri Melaka, yang juga bekas KM dilaporkan akan kalah mempertahankan kerusi di Bukit Katil. Adly Zahari tidak mampu menerjah gelombang pengundi yang semakin jelas mahukan BN kekal mentadbir Melaka.
Bersatu juga sudah tidak ada butang untuk ditekan, butangnya terkoyak dan tidak dapat digantikan. Ketika masih ada butang pun Bersatu kalah di Melaka, yang kemudiannya butang itu ditekan di Johor memaksa berlakunya PRN Johor tahun 2022. Bersatu tidak mampu walaupun Johor dianggap sebagai kubu kuat Muhyiddin. PRN Johor bulan Julai lalu, sokongan Bersatu merosot terus, dan hilang semua kerusi dimiliknya (2 kerusi).
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN. PRN lalu (2021), BN memenangi 21 kerusi dan kesemua kerusi tersebut akan dipertahankan. Rakan kerjasama BN, iaitu PN dibawah pimpinan PAS diberikan tujuh kerusi. Apa yang menarik, pada PRN lalu, DAP menang 4 dan pada kali ini bertanding di 7 DUN.
DAP dijangka akan kehilangan satu atau dua kerusi yang dipertahankan dalam PRN kali ini. Sekiranya ini menjadi kenyataan, pengundi Melaka membuat keputusan seperti yang dijangkakan, PH mungkin menang hanya sekitar 4 kerusi (maksimum). Mungkin ramalan Ilham Center akan menjadi kenyataan.
Secara penuhnya, BN meletakkan 23 calon manakala lima calon lagi diberikan kepada PN. PKR bertanding di 24 kerusi, manakala Bersatu di 7 di mana tiga daripadanya turut bertembung dengan calon PH. Putra sekadar meletakkan satu calon manakala Bersama di 16 kerusi dan Bebas satu kerusi. Kesemua calon yang bertanding ialah 72 orang.
Kerjasama BN dan PN sekali lagi akan membuahkan hasil yang cukup menarik, kerana gabungan dua kelompok politik itu akan dilihat sebagai satu gelombang kebangkitan politik yang baharu. Kalau dalam PRU ke-15 lalu, PH cukup bimbang dengan. kebangkitan Gelombang Hijau, kali ini Gelombang Biru 2.0 benar-benar mampu merobohkan tebing PH.
Arus yang dibawa oleh Gelombang Biru 2.0 ini bukan sahaja akan menggoncangkan Bersatu, kini PKR ikut terkena runtuhan tebing tersebut. Bukan sedikit, sebahagian tebing politik yang dibina oleh PKR sejak hampir tiga dekad lalu dianggap semakin rapuh, ia seumpama tebing batu kapur.
Apa tidaknya?
Semakin ramai pejuang dan aktivis kelas atas PKR sudah meninggalkan parti. Seorang yang cukup bijak mengatur strategi politik PKR sudah meninggalkan parti dan memimpin sebuah parti lain (Bersama), yang ikut menyediakan bahan maklumat penting dari dalam dan pengalaman ketika bersama Anwar dan sekitar dua tahun di dalam kabinet. Bersama menjadi pengkritik yang lantang, dan ini merupakan sesuatu yang cukup membantu BN, walaupun Bersama tidak berada dalam kerjasama dengan BN. BN meraih keuntungan secara tidak langsung, walaupun Bersama masih dianggap tidak mampu menang sebarang kerusi yang ditandinginya.
Sejak munculnya Bersama, BN tidak perlu menghabiskan keringat untuk mencari kelemahan Anwar dan PKR, Rafizi akan lakukan. Ini memberikan kelebihan kepada BN untuk memikirkan kaedah dan strategi bagaimana menawan kembali sokongannya yang pernah hilang akibat permainan politik "kebencian" yang berlaku sejak Muhyiddin Yassin dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pada tahun 2015. Momentum yang dicanangkan oleh Muhyiddin akhirnya menjadi satu bahan kempen yang cukup berjaya dijual sehingga BN tewas dalam PRU 14 (2018), tetapi momentum itu terlalu lemah dan hampir lumpuh.
Kekalahan BN tersebut (2018) membawa beberapa pengajaran yang cukup bermakna dalam kehidupan awam, sehingga rakyat mula bertanya apakah PH sudah hilang semangat reformasinya? Rakyat menilai PH tidak menunaikan janji-janjinya, dan penilaian itu terus dipersoalkan apabila Anwar dipilih sebagai PMX.
Walaupun BN masih menjadi sebahagian daripada kerajaan madani, rakyat tidak tersesat menilai, kuasa sebenarnya adalah berada di tangan PMX, bukannya menteri-menteri daripada BN. Sebab itulah rakyat menuntut janji-janji itu ditunaikan, tetapi PMX tidak berusaha melunaskannya. Apatah lagi dalam bulan November, harga barang cukup besar meningkat.
Ada barang keperluan naik lebih 20 peratus daripada harga sebelumnya. Bulan November cukup terasa bahawa mekanisme kawalan harga tidak mampu membendung para pekedai menaikkan harga. Sebab, pekilang dan peruncit ada sebab, termasuk kenaikan kos pengangkutan, harga bahan mentah dan permulaan untuk memenuhi keputusan kenaikan gaji minimum.
PMX sebenarnya dikawal oleh DAP kerana banyak perkara yang menyentuh persoalan orang Melayu dan Islam beliau tidak tegas menyoal sekutu dalam PH. Begitu juga apabila secara rasminya Anthony Loke mengakui bahawa PMX mengambil keputusan berani terhadap UEC. Ia membawa kepada pandangan umum bahawa PMX lebih cenderung memenuhi tuntutan DAP ketimbang tuntutan orang Melayu.
PMX dianggap lambat melakukan sesuatu yang menggembirakan orang Melayu, maka PH sedang mengalami kemerosotan undi Melayu. Dua PRN sebelum Melaka sudah membuktikan kemerosotan undi yang diterima oleh PKR. Apakah di Melaka ia akan menggambarkan corak yang sama?
Menariknya lagi, beberapa dakwaan PMX terhadap pemimpin yang berkuasa pada suatu ketika sebagai "buruk dan tidak cekap" sedang melanda dirinya, termasuklah mengenai kenaikan kos sara hidup dan menangani masalah banjir. Ia berlaku beberapa hari lalu apabila Kg Melayu Subang dilanda banjir sebanyak lima kali dalam tempoh dua minggu bulan November.
Video pendek mengecam kerajaan Kedah berlegar di media sosial, banjir terus berlaku di Selangor apabila hujan turun selama beberapa jam: 'banjir pun tak tahu urus. Muka ni juga yang nak pergi tolong!" Kalau tak mahu tolong, tak payah jadi PM. Jawatan PM bukan keistimewaan, ia adalah tanggungjawab.
Kalau nak dikatakan PH tidak ada kaitannya dengan "sakau", ia bukan sesuatu yang boleh dianggap tepat dan benar. Sebabnya, ada pemimpin PKR yang sedang bergelut dengan kes rasuah. Kalau Mahathirisme dikaitkan dengan kroni, Anwar yang menjadi sebahagian daripada wabak tersebut ketika beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ikut terseret.
Ada banyak tindakannya yang memperkayakan kroni, termasuk kisah pemberian pink form apabila sesuatu syarikat diapungkan di papan kedua BSKL. Apa kisah kehancuran Kompleks Kewangan, munculnya agensi "joint capital" dan pelbagai syarikat kroni yang dapat projek kerajaan. Berpusing-pusing, akhirnya dipusingkan oleh daya ingatan rakyat yang tahu dah alami apa yang berlaku waktu munculnya kisah "orang Anwar".
Ia menjadi bertambah besar dengan sikap dan pendirian PMX terhadap mafia korporat yang sedang berlaku. PKR sekarang akan dianggap "penyelamat" bagi mereka yang ada kes rasuah dan sebagainya. Dengan menyertai parti itu dan memakai baju berlogokan PKR, kesnya boleh digugurkan dengan mudah. Jika tidak, kes akan diteruskan sampai "tiada kompromi". Lubang cacing pun akan dikorek. Sayangnya, lubang hidung penuh jelaga dan hingus pekat.
Inilah sebenarnya yang disifatkan sebagai undang-undang dua darjat. Najib bukanlah pencetusnya, kerana sudah beberapa kes yang berlaku mendapat pengampunan dan diberikan peluang sebagai tahanan rumah dalam sejarah negara Malaysia.
Kalau DAP mahu persoalkan tentang tahanan rumah terhadap Najib, DAP sepatutnya dapat memahami bahawa tindakan tersebut adalah membantah keputusan Yang di Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan. Berbeza dengan Anwar ketika mendapat pengampunan penuh, ia tidak diputuskan melalui keputusan Lembaga Pengampunan.
Apakah istimewanya Anwar boleh mendapat pengampunan penuh tanpa melalui Lembaga Pengampunan. Jika keputusan Najib hendak dipersoalkan, maka pihak berkenaan juga patut mempersoalkan apa yang Anwar dapat selepas PH menang PRU 14..pengampunan tanpa melalui Lembaga Pengampunan boleh dianggap salah satu ciri reformasi?.
Kita juga tahu, seorang cucu kepada bekas Menteri Kewangan pertama, HS Lee pernah diberikan kecuali dengan menghabiskan baki tahanan sebagai tahanan rumah atas alasan menjaga ayahnya yang sedang sakit. Lelaki itu dikenakan hukum mati, kemudian diubah kepada penjara seumur hidup, sebagaimana didedahkan oleh peguam Tan Sri Shafie Abdullah. Lim Kit Siang juga pernah mendapat pengampunan diraja pada suatu ketika (1969) atas kesalahan menghasut (Akta Hasutan).
Juga kita tahu, banyak kes rakyat biasa mendapat pengampunan sama ada oleh Raja mahupun negara. Ini bermakna apa yang dikatakan oleh Mohamad Sabu agar semua yang dipenjarakan boleh dipindahkan ke tahanan rumah, sepatutnya tidak diucapkan. Ia dibenarkan oleh undang-undang dan keputusannya bergantung kepada pihak berkuasa yang menentukan di negeri dan peringkat persekutuan. Ia sudah lama dilaksanakan, bukan peraturan dwistandard.
Jika beberapa tindakan politikus yang dilantik dalam GLC dan GLiC melakukan pelaburan yang "tidak bijak" sehingga merugikan, beliau juga sedang dipersoalkan dengan kerugian terhadap KWAP dalam pelaburan e-Fisheries sebanyak RM 164 juta.
Begitu juga dengan dakwaan beberapa tindakan yang merugikan negara termasuklah bakal dikenakan sekatan oleh pentadbiran Rumah Putih berkenaan skandal eksport semula cip berkapasiti tinggi ke China oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura tetapi berselindung pusat data di Johor.
Skandal hubungan rahsia CEO Nvidia bakal menggoncangkan kepercayaan industri terhadap PMX dan ini telah diakui oleh MITI sendiri dalam kenyataan media semalam (13 November 2026). Dan, tentunya akan turut mempengaruhi iklim pelaburan teknologi tinggi di Malaysia, termasuklah pembangunan pusat data di beberapa buah negeri.
BN di Melaka nampaknya cukup tenang semasa berkempen tidaklah segelabah PH. Corak kempen PH yang menyerang tanpa strategi yang betul dan tepat mencerminkan gabungan itu ketandusan idea dan tingkah laku sebagai pembangkang tidak ditinggalkan. Mungkin PH terlupa, senyuman boleh disembunyikan, kata-kata boleh direkayasakan, tetapi, pergerakan badan tidak boleh dipalsukan, walaupun mulut berkata tidak.
Budaya sebegitulah menjadi penyudah yang bermasalah dan cukup memalukan buat PH, Bersatu dan paling mengecewakan ialah DAP. DAP tentunya akan memikirkan langkah selanjutnya, termasuk benar-benar bersendirian dalam PRU 16, jika benar-benar hilang lebih dua kerusi di Melaka.
KAMARUN KH
