CINTA DAN TRAGEDI (III)
"You have to trust that every friendship has no end, that a communion of saints exists among all those, living and dead, who have truly loved God and one another. You know from experience how real this is. Those you have loved deeply and who have died live on in you, not just as memories but as real presences." [Henri Josef Machiel Nouwen (1932-1996), The Inner Voice of Love: A Journey Through Anguish to Freedom, London: Darton, Longman and Todd Ltd., 2014].
....
Cinta membuatkan kita merasai kehidupan ini menjadi lebih hidup. Tanpa cinta, kita seakan-akan merasakan hidup ini mati. Tanpa cinta hidup tidak ada apa ertinya, segala sesuatu dalam diri adalah diam dan sunyi.
Kata Rumi:
Cinta adalah jambatan antara dirimu dan segala sesuatu.
Cinta adalah air kehidupan. Teguklah sepenuh hati dan jiwa.
Cinta adalah lautan tidak bertepi, langit hanyalah serpihan buih belaka.
Tetapi, bila seseorang bertanya: Apa itu cinta?
Aku menjawab: Jangan tanya tentang maknanya.
Kalau engkau sudah menjadi seperti aku, maka engkau akan tahu.
Saat cinta memanggilmu, engkau akan bercerita tentang itu.
Namun, bila engkau tidak menjadi orang yang dicintai, maka hendaklah kamu menjadi orang yang mencintai. Jika engkau tidak mampu menjadi Yusof, maka apa yang menghalangimu menjadi Yaakub? Apa yang menghalangmu untuk menjadi pencinta yang tulus dan selalu merindui?
(Harsa al-Baqi, Maha Cinta Jalaludin)
Rumi: Keindahan Cinta, Spiritualitas dan Kehidupan Sang Sufi Sejati, Yogyakarta: Araska Publishers, 2025, hal. 34 dan 35).
Cinta itu unik, kerana kedalaman cinta tidak boleh diukur, tetapi kadangkala kelihatan dari tindakan yang dihasilkan. Tiada tindakan yang lebih mulia daripada memaknakan cinta tanpa rasa jemu, dan setiap saat ada hubungan sakral yang tidak mampu seseorang itu jelaskannya dengan kata-kata.
Itulah mungkin yang berlaku kepada seorang suami, Muhajirin tanpa henti melaungkan azan tatkala selepas subuh dan menjelang maghrib. Dua petunjuk hari itu menjadi garis yang diandaikan mampu menemukan dirinya dengan si isteri yang sudah beberapa hari tidak ketahuan di mana berada. Namun, Muhajirin sedar, isterinya salah seorang yang diisytiharkan hilang ketika banjir bandang melanda rumah mereka.
Selama empat hari tanpa peduli apa yang orang lain nak kata, akhirnya sekujur tubuh isteri, Fatriani berjaya ditemukan. Walaupun terdapat beberapa versi kisah ini, yang disadur untuk memudahkan pembaca, ia tetap memberikan kita tentang makna cinta sejati. Cinta sejati tidak akan pergi, kerana cinta sejati itu hadir dalam jiwa yang jernih dan makna yang mendalam. (Antaranya: https://www.facebook.com/share/p/1FtZGs5v9G/ dan https://www.facebook.com/share/p/17XW6pRtj9/).
Saya kira, setelah banjir bandang dapat ditenteramkan, masyarakat yang masih hidup mula memulakan hidup pasca bencana, akan hadir lebih banyak kisah-kisah menarik, yang tidak dapat kita bayangkan. Kisahnya akan tetap bersalut duka, dan tidak kurang pula menjadikan kita lebih kenal erti kemanusiaan, persahabatan dan perhubungan antara insan yang memancarkan kita sebenarnya hidup dalam komuniti, bukan hidup dalam kesendirian yang parah dan terpisah.
Kisah Muhajirin dan Fatriani itu mengingatkan saya sebuah kisah "memendam rindu" yang terlalu dalam seorang suami kepada isteri dan satu-satu anaknya dalam sebuah perkahwinan muda, selama empat belas tahun tanpa jemu mencari dan berdoa agar ditemukan pada suatu hari. Mereka terpisah oleh badai tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004. Si suami susah ke mana-mana hingga ke Jakarta untuk menjejaki isteri dan anak tunggalnya, yang mungkin selamat atau berjaya diselamatkan oleh badai yang menumpaskan lebih 200,000 jiwa di Aceh itu.
Tuhan akhirnya memperkenankan mereka bertemu, walaupun dalam posisi yang penuh pilu dan duka. Sekurang-kurangnya, hampir empat belas tahun menunggu itu terjawab dengan pasti, isteri dan anak tunggal benar-benar telah pergi, setelah hari-hari bahagia sebagai sebuah keluarga berakhir. Jasad dua beranak itu ditemui ketika dilakukan penggalian sebuah tapak yang akan dibangunkan kawasan perumahan rakyat (19 Disember 2018) yang tidak siapa pun mengetahui bahawa di tapak itu merupakan tempat pengkebumian beramai-ramai mangsa tsunami. Sekitar 45 mangsa bersemadi di situ. 25 adalah lelaki.
Seluruh tenaga kerja penyediaan tapak terkejut besar, dan berita itu cepat diketahui orang awam. Si suami yang menanggung rindu berat kepada isteri dan anaknya segera ke sana, dan akhirnya dapat mengenal bahawa satu karung plastik mayat yang ditanam itu adalah isterinya, berdasarkan ada simkad yang dijumpai dan di dalam karung itu juga terdapat tulang rangka kanak-kanak.
Penantian selama hampir 14 tahun menjadikan Taufik Mauliansyah yang kehilangan isterinya, Sri Yunida dan anak tunggal mereka disambut dengan rasa syukur walaupun tiada siapa tahu duka yang ditanggung, menjadikan kita cukup faham, atas makna cinta, rindu itu cukup berat. Kesemua jasad yang dikuburkan itu berjaya dikenal pasti kerana ketika disemadikan, ia disemadikan bersama KTP (seperti MyKad). Jasad Sri Yunida dituntut oleh ahli keluarga manakala yang lainnya disemadikan semula di tanah perkuburan Dusun Lamseunong, Baitussalam, Aceh Besar. (rujuk:https://share.google/CAHPK01D3KIxayvPY dan https://share.google/Tkek5JCM6oEUqPypb)
Itulah maknanya, dalam cinta suci yang terjalin antara pencinta dan yang dicintai, tidak ada sebuah perpisahan, kecuali oleh kematian. Namun kematian itu bermakna cinta dan persahabatan akan terputus, kerana jiwa sentiasa berada dalam keterhubungan (connected), bukan hanya ketika jasad itu masih hidup, segar dan sihat, haruman cinta kekal mewangi, seumpama kata Jalaluddin Rumi, cinta ibarat mawar. Mawar akan terus mewangi mengharumi taman-taman biarpun pemiliknya sudah tiada, selagi mawar itu tumbuh.
(bersambung)
KAMARUN KH
