CINTA DAN TRAGEDI (IX)
"Mengapa hati begitu terasing dalam dua dunia?
Itu disebabkan Tuhan Yang Tanpa Ruang
Kita telah dicampakkan menjadi terbatas oleh ruang.
RUMAH
jika sepuluh orang ingin memasuki sebuah rumah
dan hanya sembilan yang menemukan pintunya
yang kesepuluh semestinya tidak mengatakan: "Ini sudah takdir Tuhan"
Ia seharusnya mencari sebab, apa kekurangannya."
(disesuakan dari, A Abu Sakhi (penterjemah), Aksara Jiwa: Puisi-Puisi Sufistik Jalaludin Rumi, Bandung: Sega Arsy, cetakan kedua, 2019, hal. 63).
******
Setiap pagi, ketika membuka jendela atau melihat suasana di luar, kita akan berinteraksi dengan alam. Kalau sebelumnya, kita hanya berinteraksi dengan siapa yang paling dekat dengan kita: isteri, anak-anak atau benda-benda yang dapat kita lihat. Entah kita sedar atau tidak, kadangkala tidak dapat kita membaca apa perubahan yang berlaku, yakni berbeza dari apa yang kita lihat semalam atau hari-hari sebelumnya. Mungkin juga kita dapat mencerapnya secara jelas, kerana mata kita dapat melihatnya. Ada ketikanya, pada pandangan mata, ia tidak nampak tetapi pada penilaian batin ia sudah berbeza.
Seperti kata nasihat, jalan alam adalah cara hidup. Jalan alam sentiasa berproses walaupun setiap kali kita melihat di luar, matahari terus muncul dari timur, fajar jejak menyinsing. Secara sedarnya kita menerimanya sebagai suatu kebiasaan, walhal setiap hari yang kita lalui itu sudah berbeza dari seakan atau hari-hari sebelumnya. Secara fizikal, mahupun secara batin.
Bagi manusia, bukan berdasarkan tahap umur, kita sebenarnya setiap hari berproses, menuju kepada jalan hidup yang akan ditentukan oleh perubahan keutamaan dan kekuatan. William Shakespeare (1564-1616), memperingkatkan kehidupan seorang lelaki kepada tujuh: (1) bayi, (2) kanak-kanak sekolah, (3) kekasih, (4) bekerja, (5) pembuat keputusan (hakim), (6) lelaki tua, dan (7) lelaki yang kehilangan rasa, tenaga, gigi, dan sebagainya, hanya ditemani oleh orang-orang tertentu, yang kadangkala "tidak ada".
Ketika dalam fasa bayi, kita ditemani oleh ibu dan ibulah yang menidurkan kita di atas tilam. Ketika kita menjadi seorang kanak-kanak, ayah mencukupkan apa yang kita perlu, dan ibu menjaga kita dengan penuh harap, agar suatu hari nanti kita akan menjadi seorang yang berguna, pesannya, belajarlah rajin-rajin, jangan nakal dan melawan guru. Setelah itu, seorang lelaki mula merasai, dirinya perlukan seseorang, seseorang di luar rumah sebagai teman, dan seterusnya juga seorang kekasih. Ada yang begitu menurut perjalanan jiwa, mula mencari kekasih dan tayang kepada orang lain dirinya sudah ada kekasih. Setelah mencapai usia dewasa, mula mencari pekerjaan, untuk membina masa depan dan melangkah ke kehidupan yang penuh persaingan, dan menguji makna tanggungjawab.
Ketika inilah seorang lelaki akan berkahwin, memilih seorang perempuan yang menurut kata hati, adalah yang terbaik sebagai teman, rakan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga dengan cinta, toleransi dan belajar untuk hidup, bertumbuh sebagai keluarga sendiri. Ada yang mengecapi bahagia dalam tempoh yang panjang, ada yang tidak mampu atas apa yang diidamkan itu sebenarnya, satu ujian yang tidak mampu dipertahankan. Ujian kehidupan itu memang berat, bukan hanya letih mencari rezeki tetapi juga letih menyesuaikan diri, beradaptasi dengan pasangan, melayan kerenah anak-anak, sinisme ahli keluarga terdekat dan impian yang semakin membumbung.
Sayu hati bila Siguntur dari Palembang, merintih "tubuhku tak sakit, tetapi hatiku sibuk mencari sembuh", kerana luka yang ada walaupun tidak kelihatan, ia tetap menjadi duka yang tidak lagi mampu ditahan sakitnya. (dengarlah rintihannya: https://www.facebook.com/share/v/14QYZNZjvQ9/).
Kenapa dalam rumah tangga selalu ada masalah? Bukan sahaja ketika diawal perkahwinan, juga di usia matang dan yang lebih parah ialah ketika usia memasuki fasa keenam dan ketujuh kehidupan, lelaki tua dan lelaki yang telah kehilangan kekuatan, biarpun harapan diucapkan "kekal berpanjangan" ketika lafaz taklid sebuah pernikahan menjadi sah. Siapakah yang bersalah? Tidak ada siapa yang salah, kerana salahnya ada dalam dua hati yang berbeza dan saling berkonflik, dan gelap malam menemani diri sendiri menunggu ajal tiba.
Banyak kajian, banyak penemuan, banyak luahan, dan pelbagai anekdot yang mungkin boleh kita pelajari. Tetapi, hal yang lebih penting ialah melihat semula apa tujuan sebenarnya Allah menciptakan manusia dengan dua kontra yang saling memerlukan dan mencukupi. Tentunya, kerana Allah mahu menguji kita untuk menyelami makna kasih sayang, makna fisiologi dan keperluan menjadi insan yang memahami erti hidup, dalam syariat-Nya.
Antara lelaki dan perempuan, memang berbeza, fizikal, jiwa dan keperluan, juga cara melihat dan mentafsir tanda, tanda alam, tanda keindahan, kecekapan dan cara menyelesaikan masalah, yang setiap hari diuji kesabaran, daya tahan dan perubahan luar dan dalam. Di situlah akhirnya kita akan menemukan kebaikan dan juga kelemahan masing-masing, yang saling bekerjasama untuk mempercantikkan lagi keindahan berpasangan. Di situlah kita diuji untuk menjadikan apa yang dijanjikan sebagai suatu kenyataan, memudarkan khayalan dan menolak ilusi. Kemuncak kepada kecantikan dan keindahan ialah ketenangan, dan dari situlah kita bertemu dengan kebahagiaan.
Imam al-Ghazali (1058-1111) berkisah, kehidupan ini akan menemukan kebahagiaan sekiranya setiap daripada manusia tidak tersihir oleh pesona dunia. Lapan contoh tentang "sihir dunia":
(1) Ilusi: manusia menyangka bahawa dunia ini tidak bergerak dan menetap dengan kukuhnya. Sedangkan dunia sentiasa bergerak dan melarikan diri daripada kehidupan manusia, kerana itu manusia harus mengejarnya. Semakin sehari semakin berubah, secara perlahan-lahan, manusia juga ikut berubah; dalam kesibukan mengejarnya, dunia mengucapkan selamat tinggal kepadamu, hidup tidak kekal.
(2) Kepura-puraan: berpura-pura menjadi sahabat dan kekasih, tetapi akhirnya menjadi musuh. "Ia seperti perempuan jahat...menipu lelaki untuk menjadi kekasihnya." Akhirnya, "membawa mereka pulang dan membunuh mereka." Digambarkan, ketika Nabi Isa AS menerima wahyu, dunia digambarkan sebagai seorang perempuan tua. Lalu, Nabi Isa bertanya: "Berapa ramai suami yang telah engkau miliki?". Jawab perempuan tua itu: "Terlalu banyak untuk dikira". Tanya Nabi Isa lagi:"Adakah mereka mati atau menceraikanmu?. Jawab dia: "Kedua-duanya tidak; aku yang membunuh mereka semua." Lalu, Nabi Isa berkata: "Betapa anehnya orang bodoh lain yang melihat apa yang telah engkau lakukan pada yang lain, namun mereka tetap menginginkanmu dan tidak mengambil sebarang ikhtibar."
(3) Kosmetikisme. Saya namakan kosmetikisme kerana ramai perempuan yang cukup berhias diri untuk tontonan orang lain, bukan untuk suaminya. Dalam istilah Imam al-Ghazali: "seperti seorang perempuan tua bertudung yang hodoh, memakai pakaian sutera broked dan perhiasan cantik siapa pun yang melihatnya dari jauh akan tertarik. Tetapi, apabila membuka tudungnya, dia akan dipenuhi penyesalan dan melihat keburukan perempuan itu."
Kerana itu, jelas Imam al-Ghazali lagi, "dikisahkan bahawa dunia akan dipanggil pada Hari Kiamat dalam bentuk seorang perempuan tua yang hodoh, tidak bergigi, bermata hijau agar semua orang dapat melihatnya dan berkata: "Kami berlindung pada Allah! Apakah ini , dengan keaiban dan kebodohan ini?".
"Mereka menjawab: "Inilah dunia yang kerananya kalian iri hati dan saling berkelahi, menumpahkan darah dan mengkhianati tali persaudaraan. Inilah yang menambat hati kalian."
"Pada saat ia dicampakkan ke dalam neraka, ia akan menangis: "Wahai Tuhanku! di mana para kekasihku?"
"Maka Allah akan memerintahkan agar mereka juga dihumban ke neraka selepasnya."
(4) Sebagai musafir. Hidup ini ibarat seorang musafir, yang berkembang dari satu fasa ke fasa yang lain sehinggalah tiba ke destinasi. Dalam bermusafir itu, kita akan singgah di sejumlah perhentian, lepaskan letih, berehat atau bergembira, ada ketikanya singgah sebentar dan ada tempatnya agak panjang. Dan, "orang itu - yang duduk dengan tenang, seperti seolah-olah dia sentiasa akan berada di sini - membuat persiapan untuk sepuluh tahun ke hadapan yang tidak akan ia perlukan dalam masa dua hari, dia akan berada di dalam tanah!".
(5) Racun Kelazatan. Setiap daripada kita, akan menikmati apa sahaja tanpa memikirkan apa akibatnya. Kita akan makan dengan banyaknya apa yang memenuhi selera, walhal secara ilmiahnya, kita tahu akibat terlalu berlebihan makan akan memunculkan pelbagai penyakit, dan itulah yang dimaksudkan "racun kelazatan".
"Sebesar mana pun kenikmatan dunia, lebih besar lagi kehinaan pada akhirnya. Semua ini, dengan sendirinya akan menjadi jelas apabila jiwa terpisah (daripada tubuh) . Sesiapa yang lebih menikmati rasa senang, kebun-kebun, taman-taman, pelayan muda lelaki dan perempuan, emas dan perak, pada saat kematian akan memiliki lebih banyak kesedihan, kesengsaraan dan seksaan daripada orang yang memilikinya lebih sedikit.
"Kesedihan dan seksaan itu tidak akan hilang ketika mati; malah ia akan bertambah, kerana cinta (dunia) itu adalah sifat jiwa, dan jiwa akan kekal serta tidak akan mati."
(6) Remehnya Urusan Dunia. Urusan duniawi, adalah remeh dan ramai yang berfikir, setiap apa yang kita lakukan tidak memakan masa yang lama, tetapi kesannya cukup banyak dan beragam. Nabi Isa AS berkata: "Pencari dunia itu adalah seperti seseorang yang meminum air laut. Semakin dia minum, semakin dia rasa dahaga. Dia minum sehingga dirinya binasa, dan rasa dahaga tidak pernah hilang"
Sabda Nabi Muhammad SAW: " Sebagaimana mustahil untuk seseorang masuk ke dalam air tanpa basah, begitu juga tidak mungkin untuk seseorang terlibat dalam urusan duniawi tanpa tercemar."
(7) Sebagai Tetamu. Kita adalah tetamu dunia. Tetapi, kita memiliki rumah, dan rumah kita dikunjungi oleh tetamu. Di situ, kita memperlihatkan apa yang ada di dalam rumah kita, kerana kita gemar menghiasi apa sahaja di ruang tamu, juga di dalam bilik tetamu, agar cantik dan menarik. Kita juga akan perlakukan tetamu sebaik-baiknya, termasuk menjamu mereka dengan makanan yang enak.
"Dunia juga ibarat sebuah rumah penginapan, tempat perhentian bagi para musafir agar mereka dapat mengumpulkan bekalan untuk baki perjalanan. Mereka sepatutnya tidak menginginkan suatu apa pun di rumah penginapan itu."
Tetapi, apa yang berlaku. Realitinya, ada yang cuba mengambil sesuatu sebagai "kenangan", ada yang meminta izin dari tuan rumah, sebahagiannya tidak. Inikah realiti, bila bertamu, setiap apa yang dilihat diceritakan, kadangkala memuji dan selebihnya mengecam tanpa peduli perasaan tuan rumah yang memberikannya ruang untuk bertamu.
Kapal Pelancongan dan Ragam Pelancong. Kapal dipenuhi oleh ramai pelancong, mula belayar dan meninggalkan pelabuhan. Setelah beberapa lama, kapal singgah di sebuah pulau untuk mendapatkan air dan memberikan peluang kepada para pelancong melihat keindahan pulau yang tidak tersentuh oleh kemusnahan alam, flora dan fauna, begitu indah.
Kapten kapal memberikan arahan, para pelancong bebas menikmati keindahan apa yang ada pulau itu, tetapi, perlu segera kembali ke kapal apabila dipanggil. Bila panggilan di buat, sekumpulan pelancong segera kembali ke kapal. Mereka kemudiannya mendapati tempat duduk masih kosong, maka dipilihlah tempat duduk yang paling baik, menarik dan selesa. Kemudian, kembali sekumpulan lagi, mereka masih mempunyai tempat duduk dan masih ada pilihan.
Beberapa minit kemudian, muncul kumpulan ketiga, mereka bukan pulang ke kapal dengan tangan kosong. Mereka pulang membawa apa pun yang mereka anggap menarik untuk dijadikan kenang-kenangan. Ada yang mengambil bunga, ada yang mengambil cebisan baru yang berwarna warni dan sebagainya, ia masih mampu dimuatkan bersama di dalam kapal.
Kumpulan seterusnya, mengambil lebih banyak "kenang-kenangan" dan apabila kembali ke kapal, dilihatnya tempat duduk penuh. Ia dipenuhi oleh "kenangan-kenangan" yang diambil, maka dicarilah pelosok-pelosok tertentu yang mampu menempatkan dirinya dan juga apa yang diambilnya, juga sebagai kenang-kenangan, menyebabkan dek kapal tidak lagi muat untuk menampungnya.
Namun, ada satu lagi kumpulan yang tidak kembali ke kapal. Mereka masih terpesona dengan keindahan flora dan fauna di pulau itu, mereka sudah mengembara terlalu jauh. Akhirnya, mereka tidak mendengar isyarat panggilan kembali ke kapal. Setelah beberapa minit menunggu, gerak geri kumpulan itu masih belum kelihatan, kapten mengambil keputusan, meneruskan pelayaran dan meninggalkan pulau tersebut.
Setelah kapal sudah jauh pergi, akhirnya kumpulan yang terpesona dengan keindahan dan berusaha menikmatinya semakin jauh, tersedar, mereka perlu pulang ke kapal, pelayaran mereka belum selesai. Setelah kembali ke tempat di mana kapal itu singgah, kapal sudah tidak kelihatan. Kapal sudah lama meninggalkan mereka, maka mereka akhirnya terpaksa menghuni pulau itu, dengan harapan akan muncul kapal lain yang boleh menyelamatkan mereka. Ertinya, mereka terpaksa hidup dan berusaha bagaimana untuk kembali. Jika masih terbuka jalannya, ada bantuan kesedaran dalam diri akan muncul, tetapi bagaimana jika tidak ada yang datang menyelamatkannya?
(Imam al-Ghazali, Ramuan Kebahagiaan, op.cit., 2023, hal. 86-92)
Itulah ibarat dan metafora yang sangat berharga, menggambarkan bagaimana manusia melihat dunia dan menikmati apa yang ada di atas bumi. Al-Ghazali mengatakan, kumpulan pertama yang kembali ke kapal sebagai orang yang beriman, kerana patuh dengan arahan dan ketetapan yang diberikan. Tetapi, kumpulan yang ditinggalkan itu adalah kumpulan yang tersesat, kerana seluruh masanya digunakan untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu, tidak dapat mengawal diri dan larut dalam keindahan yang sementara.
Ertinya, walaupun "tersesat", masih ada "harapan" untuk kembali ke jalan "keimanan" selagi ada hasrat dan harapan untuk pulang. Namun, bagaimana "harapan" itu tidak muncul, maka mereputkan di pulau yang indah itu selama-lamanya. Ketika itu, apa boleh kita buat, untuk memenuhi harapan tersebut? Yang ada adalah doa, doa yang jujur dan ikhlas agar Allah SWT "selamatkan"; dan terbuka jalan pulang.
Jika kemelut rumah tangga berlaku, bermuhasabahlah sejujurnya, semoga pintu "kenangan dan jalan cinta kembali bersinar", bukan berusaha untuk saling menyalahkan dan berbaiklah, dengan harapan dan doa, cinta sentiasa mekar hingga ke akhir hayat. Allah SWT akan makbulkan setiap doa kita, selagi kita berdoa dengan penuh keikhlasan dan berjanji untuk tidak berbuat silap, mengulangi setiap langkah, kata-kata dan tindakan yang merosakkan perhubungan sebagai suami isteri, saling tumbuh kembali dengan semangat dan iltizam, tujuan apa sebenarnya Allah SWT menjadikan kita berpasang-pasangan. Bukan untuk "menjadi pemenang" tetapi saling berkenal-kenalan, memahami dan bertanggungjawab, bukan saling merampas hak yang ditetapkan, untuk mendominasi. Perjuangan sebenar ialah bagaimana kita mampu merendahkan ego, bertoleransi dengan emosi dan beradaptasi dengan situasi yang setiap hari muncul, perlu kita hadapinya dengan tabah, sabar dan syukur.
Ya! Hidup dalam sebuah keluarga, dapat juga digambarkan menerusi lapan contoh tersebut. Sebuah keluarga yang harmoni, mungkin boleh kita lihat pada contoh kumpulan pertama, penuh keimanan dan kesederhanaan manakala kumpulan-kumpulan lain, iman dalam diri masih tersisa, tetapi tidak sekuat iman kumpulan pertama. Lebih teruk lagi ialah "keimanan" kumpulan terakhir, yang bukan sahaja terpisah dengan rombongan pelancongan yang awalnya mereka sertai, bahkan juga terpaksa hidup dalam "kurungan" di pulau yang hanya ada keindahan, tetapi tidak ada apa yang mereka perlukan untuk meneruskan kehidupan, yang mengharapkan akan ada pihak lain yang akan menyelamatkan mereka.
Ada yang kata, seorang isteri yang baik bukan kerana ia berkahwin dengan seorang suami seperti malaikat, tetapi kerana dia sendiri mengubah dan menetapkan dirinya jadi baik. Begitu juga dengan seorang suami yang baik, bukan kerana dirinya beristerikan seorang wanita yang baik, tetapi ia menjadi baik kerana meletakkan akhlak sebagai teras kehidupan sehariannya. Itulah yang pernah kita belajar daripada kisah isteri Fir'aun, walaupun suaminya kejam kepada orang lain, dia tetap taat setia, tetapi tidak pernah menggadaikan prinsip dan keyakinannya kepada Allah SWT. Sampai mati, Fira'aun tidak berubah, tetapi isterinya kekal menjadi bidadari syurga.
Hidup ini cukup singkat, kata Alika Ravita Zahra: "Kita datang dan kita pergi tanpa apa-apa" dan "peganglah erat tanganku" kerana di "hari perhitungan kita kekal abadi" dalam lagunya, Syahadat Cinta Terakhir. ( https://www.facebook.com/share/v/17t2uRfKcz/)
****
Akhirnya, seperti kata John Berger (1926-2017), Ways of Seeing: Hubungan antara kita dan yang kita lihat dan yang kita ketahui tidak pernah selesai dengan tuntas."
Sifat manusia begitulah, kata orang yang pernah mengisytiharkan "Tuhan Sudah Mati", Freidrich Nietzsche (1844-1900) : "Kadangkala orang tidak mahu mendengar atau menerima sesuatu kebenaran, kerana takut ilusinya hancur."
Bagi Plato (428/423-348/437 SM): "Kebenaran itu bukan sekadar pendapat, tetapi perlu disingkapkan." Tentunya, menyingkap kebenaran itu tidak mudah, selalu ada tentangan dan konflik, kerana ada yang terasa sakit dan disakiti. Tetapi walau apa pun, kebenaran tetap muncul, seumpama "cahaya di hujung terowong".
Allah SWT berfirman: "Oleh kerana itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan terlebih dahulu daripadamu (kerana mereka tahu kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu." (Surah Yusuf, ayat 94).
KAMARUN KH
