CINTA DAN TRAGEDI (X)

"Dunia peribadi setiap orang adalah tubuhnya sendiri, dan tubuh ini tunduk kepada jiwa. Adalah nyata bahawa jiwa bukan terletak pada jari, bukan juga kepada pengetahuan dan kehendak; tetapi ketika jiwa mengarahkan jari, ia akan bergerak menurut perintahnya.

"Apabila gambaran amarah muncul dalam jiwa, peluh akan terbit dari tujuh anggota - kepala, dada, perut, tangan dan kaki; atau kepala, tangan sisi badan dan kaki - seakan-akan hujan sedang turun.

"Ketika gambaran syahwat muncul dalam jiwa, organ yang terkait dengan syahwat akan mula mengembang. Ketika jiwa berfikir tentang makan, fakulti yang berada di bawah lidah menjadi aktif dan mula mengeluarkan air liur untuk melembabkan makanan bagi membolehkan seseorang itu makan.

"Bukan rahsia lagi bahawa kendali jiwa mengalir melalui tubuh dan tubuh tunduk kepada jiwa. Bagaimanapun, perlu difahami bahawa adalah wajar bagi sesetengah jiwa - lebih mulia dan kuat, lebih dekat dan menyerupai unsur asasi malaikat - dipatuhi oleh tubuh selainnya sehinggakan mampu memukau singa dan membahagikan binatang itu tunduk dan patuh kepadanya.

"Apabila seseorang yang sakit menerima harapan, keadaannya bertambah baik; ketika seseorang yang sihat berasa cemas, dia jatuh sakit. Bila dia berfikir tentang seseorang agar orang tersebut datang kepadanya, rangsangan (untuk datang) muncul dalam diri orang tersebut. "

(Imam al-Ghazali, Ramuan Kebahagiaan, op.cit., 2023, hal. 28-29).

                                                                                                                  *****

Manusia merupakan makhluk terbaik ciptaan Allah SWT. Sifatnya yang terbaik ialah kerana manusia diberikan akal fikiran sebagai pengawal dan juga penentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau bertindak. Ia berbeza dengan binatang, hidupnya adalah sekadar memenuhi keperluan fisiologinya semata-mata, tidak memikirkan apa kesannya kepada kehidupan yang lain.

Kalau kita rajin menonton siri kehidupan binatang, sama ada dalam siri Animal Planet atau National Geographic, kita akan memahami bahawa dengan akal manusia berjaya "menakluki binatang buas". Binatang buas dapat ditakluki, ertinya menjadi jinak dan kawan yang baik apabila kita memahami psikologinya.

Kita faham binatang juga memerlukan perhatian, belaian dan hubungan yang mesra, bukan hanya sekadar memenuhi keperluan biologinya. Dalam ujikaji terkenal, Ivan Pavlov (pakar neurologi Rusia, yang hidup antara tahun 1849 hingga 1936) misalnya berjaya memberikan kita satu kesimpulan, hanya dengan menarik perhatian anjing dengan bunyi loceng.

Setiap kali loceng dibunyikan, anjing secara automatiknya menghubungkan bunyi itu dengan makanan. Pavlov memerhatikan gerak laku itu, dan memenuhi keperluan anjing yang memperlihatkan reaksi menerusi lelehan air liurnya. Ujikaji itu akhirnya menjadi sebuah teori yang sangat berpengaruh dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, psikologi dan perhubungan. Ia dikenali sebagai Teori Pelaziman, atau Conditioning Theory.

Teori itu terus berkembang dan sebahagiannya masih menjadi perbincangan umum perihal perhubungan antara manusia, walaupun sifatnya lebih berdasarkan hubungan material, dan kesan kepada psikologi cukup besar. Iklan menggunakan teori itu dalam kaedah pembujukan untuk meraih jualan besar, sehingga kadangkala apa yang diiklankan itu sebenarnya bukan apa yang kita perlukan.

Iklan telah membina kehendak sehingga kehendak telah berjaya mengatasi keperluan. Itulah sebabnya kadangkala kita "terjerat", membeli barangan yang tidak pun kita perlukan, ia dilihat sebagai barangan yang mencantikkan, atau bersifat kosmetik.

Jauh sebelum teori pelaziman itu mula terbentuk sekitar 1860-an, yang berdasarkan hubungan antara rangsangan (stimulus) dan gerak balas (respond), ilmuan Islam sudah pun menemuinya dan kita dapat membaca beberapa tulisan mereka. Antaranya, Hasan al-Basri (meninggal 782 M), al-Muhasibi (meninggal 857 M), Imam Junaid al-Baghdadi (meninggal 910 M), Abu Hasan asy-Syadzili ( meninggal 1258 M) , Imam al-Ghazali (meninggal 1111M), Jalaludin Rumi (meninggal 1273) dan sebagainya.

Cuma mereka ini tidak dikenali sebagai ahli psikologi, kerana mereka lebih melihat manusia dari aspek rohani dan kejiwaan. Tetapi, kerana psikologi itu mengkaji tentang aspek dalam diri manusia, ia melibatkan jiwa dan sudut pandangan Islam tentang rohani. Ertinya, Islam mendahului ulasan mereka tentang kekuatan jiwa manusia, bukan hanya sekadar satu daripada disiplin ilmu psikologi yang dipanggil behaviorism dalam teori pelaziman.

Islam menyelidiki lebih luas daripada itu hingga ke dalam hati manusia, kerana hari itulah yang menjadi pusat segala bentuk tindakan yang dimunculkan oleh manusia dalam bentuk lisan, gerak geri dan aspirasi atau imaginasi. Imam al-Ghazali misalnya merumuskan:

"Ketahuilah bahawa terdapat hubungan antara jiwa dengan setiap pasukan tentera yang ada dalam diri seseorang. Setiap pasukan memberikannya beberapa sifat atau perwatakan. Sebahagiannya buruk dan membawa kerosakan, manakala sebahagian yang lain baik dan memberinya kebahagiaan.

"Walaupun sifat-sifat ini sangat banyak bilangannya, ia boleh dibahagikan kepada empat jenis: iaitu, sifat binatang, sifat pemangsa, sifat syaitan dan sifat malaikat. Oleh kerana nafsu syahwat [kehendak] dan keserakahan ditempatkan di dalam diri seseorang, maka dia makan dan bersetubuh secara keterlaluan seperti binatang.

"Oleh kerana amarah ditempatkan di dalam dirinya, maka dia berperangai seperti anjing, serigala dan singa - memukul, membunuh, dan menyerang orang dengan keberanian jasmani dan kata-kata.

"Oleh kerana muslihat, khianat, munafik, tipu daya dan penyemaian benih perpecahan dalam masyarakat ditempat di dalam dirinya, maka ia melakukan kerja buat syaitan. Oleh kerana pertimbangan otak ditempatkan di dalam dirinya, maka ia melakukan pekerjaan malaikat, seperti mencintai ilmu pengetahuan dan akhlak baik, menjauhi perbuatan tercela, berusaha menyebarkan kebaikan dalam masyarakat, menjauhi kebakhilan, suka kepada ilmu pengetahuan, serta menganggap jahil dan bodoh sebagai kecacatan.

" Sebenarnya engkau boleh mengatakan bahawa ada empat hal di dalam diri manusia: iaitu anjing, babi, syaitan dan malaikat.

"Anjing di kecam dan dipersalahkan bukan kerana anggota badan atau kulitnya; tetapi kerana sifat semulajadi yang membuatkan menyerang manusia.

"Babi dihina bukan kerana rupanya; tetapi kerana sifatnya yang gelojoh, tamak, dan rakus terhadap benda kotor dan jijik.

"Hakikatnya, jiwa yang bersifat anjing atau babi adalah seperti ini, dan ia juga sama dengan manusia. Begitu juga halnya dengan sifat-sifat semulajadi syaitan dan malaikat...."

(Ramuan Kebahagiaan, hal.13-14).

Secara fitrahnya, manusia mempunyai dua sifat yang saling bertentangan, sifat buruk dan sifat baik. Sifat buruk dapat dilihat daripada sifat binatang manakala sifat baik adalah sifat malaikat.

Di antara kedua-dua sifat ini, muncul pula pengaruh yang cuba menghakiskan sifat-sifat baik. Pengaruh itu datangnya daripada kemahiran syaitan menggoda atau memanipulasi jiwa manusia dan menepis peranan akal.

Fahamilah, sebagai manusia kita ada dua potensi: potensi baik atau potensi buruk. Pilihlah mana satu yang kita inginkan, dan setiap pilihan itu ada akibatnya, yang akan kita nikmati sepanjang hayat, dan automatik, ia menjadi 'saham' di akhirat.

Kenapa kita perlu memahami persoalan spiritual? Kerana spiritual itulah akan menghidupkan jiwa kita, dan daripada jiwa itulah kita mampu mensintesiskan makna kehidupan, serta apa yang sepatutnya kita lakukan dalam hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Jika kita hanya menghubungkan diri dengan Allah SWT sepenuhnya, bererti kita melanggar perintah-Nya, kerana Allah SWT mahukan kita berbuat baik dengan semua orang dan makhluk. Kebaikan itulah yang menjadi "dividen" yang akan membantu kita mendapat tempat di syurga-Nya.

Kita bertanggungjawab di atas apa yang kita lakukan sepanjang hidup, dan al-Ghazali cukup bersungguh-sungguh menunjukkan petua untuk kita sampai je destinasi itu, destinasi akhir yang sangat kita rindukan.

Kata Abu Hasan Ali an-Nadawi (1913-1999), al-Ghazali adalah tokoh yang banyak menumpukan usaha untuk membimbing setiap daripada manusia untuk mewarnakan hidup dalam bingkai rohani dan spiritual, tidak terpesona dengan benda-benda yang merosakkan jiwa. (Abu Hasan Ali an-Nadwi, Pendukung Panji-Panji Islam Sepanjang Zaman, Jilid I, terjemahan bahasa Melayu dari Rijal al-Fikr wa al-Da'wah fi al-Islam oleh Adi Setia, K. Lumpur: Institut Pendidikan Tradisional Islam, 1992).

Sebabnya, setiap kelazatan yang kita nikmati, tidak akan berakhir dengan kelazatan sepanjang hayat, ia banyak memudaratkan. Sebabnya, kelazatan itu boleh melekakan dan kelekaan itu boleh menyebabkan kita menjadi bongkak, sombong, keseronokan sehingga lupa ada satu lagi kehidupan yang kekal, iaitu ketika roh diadili, untuk ditentukan di manakah tempat kita yang abadi.

Allah SWT berfirman, (bermaksud): "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat." (Surah al-'Ankabut, ayat ke-64).

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com