CINTA DAN TRAGEDI (XI)
Seseorang bertanya: Lalu, apa manfaatnya ucapan dan kata-kata?
Maulana Rumi menjawab: "Kata-kata akan membangkitkan semangat untuk berusaha. Ia tidak bermakna, bahawa apa yang engkau cari akan diperoleh dengan kata-kata. Sebab, jika mungkin diperoleh dengan kata-kata dan ucapan, engkau tidak memerlukan mujahadah dan peleburan diri. Keadaan kata-kata itu seperti keadaanmu, saat engkau melihat sesuatu bergerak dari jauh, kau berada di belakangnya agar boleh memandangnya terus menerus. Namun dengan melihatnya tidak bererti engkaulah yang menggerakkannya. Ucapan manusia di dalam hatinya juga seperti itu. Ia akan memotivasimu untuk mencari makna, meskipun secara hakikatnya engkau tidak melihatnya."
(Jalaludin Rumi, Fihi Ma Fihi: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Ruhani, terjemahan Abu Ali dan Taufik Damas, Jakarta: Penerbit Zaman, cetakan ke-2, 2016, hal. 359-360).
*****
Pernahkah kita dengar ungkapan sebegini: "Dari mata turun ke hati?" Mungkin terlalu lazim apabila kita tanyakan seseorang tentang kisah silam mereka, kisah pertemuan antara dua orang yang berbeza dari segi fizikal dan orientasi kelamin (jantina).
Ketika menonton sebuah filem kisah cinta anak muda yang pernah "pecah panggung" di Indonesia, Surat Cinta Untuk Starla (2017), yang berasal dari lagu, seperti dua filem debut Malaysia, yang juga berasal dari lagu yang sama, yang diterjemahkan ke filem oleh dua orang pengarah yang berbeza negara, Aziz M Osman dengan Fenomena (Malaysia) dan Isabella oleh Marwan Alkathiri (Indonesia).
Dua filem itu bercerita tentang cinta dua budaya; Fenomena cerita tentang cinta antara lelaki Melayu dengan perempuan British manakala Isabella, antara lelaki rock Malaysia dan perempuan cantik dari Indonesia. Cinta berkembang bukan hanya antara lelaki dan perempuan, tetapi disergah oleh perbezaan budaya, persepsi dan rangka pemikiran. Walaupun kalimat-kalimat cinta membumbung indah seperti langit, hakikatnya, ia tetap mengharapkan diterima oleh bumi. Di situlah berlakunya dilema, dilema yang hadir dalam setiap langkah perincian bagi sebuah makna cinta.
Isabella berakhir dengan penyatuan cinta, namun fenomena menjadi semacam ulangan kembali plot Natrah (lahir di Indonesia, etnik Indo-Eurosian) dengan sedikit olahan berbeza. Natrah (Maria Hubernia Hertogh 1939-2009) yang berkahwin dengan lelaki Melayu, dibawa ke England oleh keluarganya dan ia menimbulkan isu besar. Dalam Fenomena, perempuan Inggeris yang terhalang itu akhirnya didiagnosis menghidap penyakit ganjil, dan berusaha untuk kembali ke Bukit Besi, Dungun, Terengganu bagi perawatan menurut tradisi orang Melayu. Versi lain cerita cinta Natrah, ada dalam Bumi Manusia (1980, difilemkan pada tahun 2019), karya Pramoedya Ananta Toer, kisah cinta Anneles dan Minke yang berhujung dengan pemisahan paksa. Jejak-jejak Natrah dilakukan oleh Fatini Yaacob dan menjadi sebuah bacaan fenomenal ketika ianya disiarkan secara bersiri dalam Dewan Masyarakat. Fatini kemudiannya kembangkan cerita itu menjadi sebuah buku, Natrah (1937-2009): Cinta. Rusuhan. Airmata, UTM Press 2010, yang menyusuri kehidupannya selepas dipisahkan oleh adat, budaya dan agama daripada suaminya, Mansur Adabi.
Surat Cinta Untuk Starla bertolak daripada pertemuan seorang lelaki dari keluarga sederhana (Hema) yang jatuh cinta dengan alam. Seluruh hidupnya ditumpahkan ke atas kanvas, sehinggalah bertemu dengan seorang perempuan yang berjiwa bebas, Starla, anak keluarga kaya. Suatu hari Starla mula terpikat dengan pelukis alam yang sentiasa muncul di jalanan, mereka kemudiannya jatuh cinta dalam masa yang cukup singkat, iaitu enam jam. Cinta mereka berkembang dan menjadi popular dalam kalangan rakan sebaya. Sebabnya, mereka menceritakan perihal itu, perjalanan cinta yang singkat itu dalam sebuah wawancara di radio. Media menjadi alat yang cukup berpengaruh dalam meluaskan makna cinta.
Namun, cinta mereka berhadapan dengan kemelut dan rintangan setelah Starla (lakonan Caitlin Halderman) mengetahui asal usul keluarga Hema (lakonan Jefri Nichols). Starla terus mendesak Hema memutuskan hubungan dan Hema akhirnya mula mencari sebab kenapa kekasihnya sudah berubah arah, dari seorang yang sangat dicintai, lemah lembut bertukar menjadi pemarah dan narsis; toxic relationship.
Namun, kekuatan cinta antara mereka kemudiannya menjadi penyelesaian terbaik, Hema dan Starla berjaya merungkaikan misteri yang menjadi penyebab hubungan itu tegang. Masing-masing menganggap mereka adalah "bintang hati" sebagaimana pada awalnya, Starla mengungkapkan: Bulan dan bintang selalu bersinar di langit yang sama." Ada semacam jalan cerita seperti filem Bollywood yang popular pada tahun 1970-an, Bobby.
Tetapi, di langit yang sama, ada ketikanya bulan dan bintang tidak kelihatan bersama. Ia menggambarkan bahawa hidup ini adalah proses yang berjalan terus walaupun di langit tidak ada bintang, bulan terus memancarkan percikan cahaya yang didapati daripada matahari. Tidak seperti bintang, di langit yang gelap ada kalanya ia muncul tanpa ditemani bulan, kerana bintang ada cahayanya sendiri, tidak berasal dari matahari. Namun, langit menjadi lebih indah ketika bulan dan bintang hadir bersama-sama, dan ketika itulah cinta menjadi sesuatu yang cukup indah di jiwa setiap orang yang melihatnya.
Menurut sains, bintang ada cahayanya sendiri melalui proses "pelakuran nuklear, nuclear fission" seperti juga dialami oleh matahari. Cuma, pelakuran nuklear pada matahari berlaku dengan terlalu kuat, sedangkan bintang tidak sekuat itu. Sebab itulah cahaya matahari dirasai lebih panas, sedangkan cahaya bintang lebih sejuk, dan berkedip-kedip. Pelakuran nuklear berlaku bila dua atau lebih atom yang ringan (hidrogen) bergabung membentuk atom yang lebih berat.
Begitu juga dalam kehidupan manusia, secara fizikalnya lelaki dan perempuan adalah berbeza, tetapi jika keduanya disatukan dalam cinta, kata Jalaludin. Rumi:
Kerana cinta, batu yang keras menjadi lembut bagaikan mentega
Kerana cinta, duka menjadi riang gembira
Kerana cinta, hantu berubah menjadi malaikat.
Kerana cinta singa tidak menakutkan seperti tikus
Kerana cinta sakit menjadi sihat
Kerana cinta amarah berubah menjadi keramah-tamahan.
Mengapa cinta mampu melembutkan hati yang keras, kerana di dalamnya ada "kimia, chemistry" yang berjaya disatukan seperti pelakuran atom yang terjadi sehingga mengeluarkan cahaya indah di waktu malam, dan lebih indah ketika bulan dan bintang muncul bersama-sama. Hidup ini juga begitu, bila lelaki dan wanita saling memenuhi tanggungjawab, berproses untuk selalu tumbuh, bukan saling memangsakan ia akan menemui makna kebahagiaan, seperti sebuah perjalanan yang menarik, indah dan menyenangkan. Tetapi, di setiap perjalanan, kita sebenarnya terus belajar bukan terus mengejar, kerana setiap apa yang kita kejarkan itu kadangkala hadir seperti cahaya kelip-kelip, yang mudah dibawa berlari oleh angin.
Di situlah kita faham, bahawa cinta sebenarnya bukanlah perasaan, tetapi sebuah ketetapan untuk di jalan yang kita sendiri akan tetapkan, tanpa perlu melihat orang lain sebagai model yang harus ditiru. Kita sendiri yang akan menentukan kerana Tuhan akan sentiasa bersama dengan orang yang ikhlas, jujur dan memahami bahawa cinta itu adalah kasih sayang-Nya yang tidak terbatas, dengan sedikit ujian sejauhmanakah kita mampu meraihnya bersama sebagai sebuah pasangan.
Tentunya, antara seseorang dengan seseorang yang disatukan, atau kita namakan sebagai jodoh yang Dia telah tentukan, perlu bersama membangunkan kesefahaman dan tanggungjawab, dan melihat di mana sebenarnya "garis merah" yang memisahkan, bukan mengawal tanpa sebab dan meruntuhkan sempadan yang telah ditetapkan, kerana sempadan itulah titik yang akan diadili dan diberikan rahmat-Nya setelah kita meninggal dunia. Allah SWT tidak akan membebankan dosa seorang suami kepada isterinya, begitu juga dosa seorang isteri kepada suaminya. Allah SWT akan tanya: Apa yang kamu lakukan kepada suamimu? Allah SWT akan persoalkan: Apa yang engkau lakukan kepada isterimu?
Sebab Allah SWT tahu, setiap daripada kita ada proses yang pernah dilaluinya, kerana proses itulah yang akan mempengaruhi watak dan peribadi sebelum kita bertemu pasangan. Watak dan peribadi itu akan kekal, dan cukup sukar untuk diubah oleh sesiapa pun, kecuali kita kembali memahami fitrah dan tujuan Allah SWT ciptakan manusia sebagai makhluk yang berakal dan sentiasa mengawal nafsunya, bukan hidup semuanya ditentukan oleh nafsu.
Sentiasalah menyemai dalam diri, berfikir dan melakukan makna cinta dalam hidup: kalau kita ingin orang mencinta kita sejujurnya, maka tunjukkanlah kejujuran cinta itu pada pasangan kita, bukan kepada orang lain. Syurga seorang isteri ialah pada suaminya, yakni setiap apa yang dilakukan demi suami, ia adalah ibadah, maka suami menjadi "ladang pahala" yang akan menghantar seorang isteri ke syurga.
Ertinya, kumpullah sebanyak-banyaknya pahala, dan elakkan dosa. Dosa dan pahala sangat mudah dapat kita kumpulkan, melalui kata-kata, layanan, gerak geri (bahasa badan) dan tingkah laku. Bahagiakanlah suami; bahagiakan isteri maka di situlah sebenarnya sudah tercipta syurga kehidupan dan akan menjadi bekal untuk meraih syurga akhirat, dengan iman, amal dan iktikad.
Trio SiGuntur mengalunkan, berdasarkan makna surah al-Hadid, ayat ke-7 dan ke-20:
nafas ini milik Tuhan
keluarga milik Tuhan
harta milik Tuhan
jabatan (kerjaya) juga milik Tuhan
Jadi, apa yang harus disombongkan
bila semua hanya titipan
....
Nafas ini milik Tuhan
Hidup ini milik Tuhan
Saat dipanggil kita pulang
Tidak ada yang bisa ditahan
Yang selamat hanya iman
dan hati yang penuh kerendahan.
Ingatlah sahabatku
dunia hanyalah persinggahan
pemilik segalanya Tuhan.
(dengarkanlah: https://www.facebook.com/share/v/1AMsBkiPna/)
"Pasangan hidup kita sangat berpengaruh dalam mencorakkan siapa diri kita dan cara kita melihat diri. Pasangan kita itu sama ada akan meningkatkan potensi kita atau menekan potensi kita. Pasangan hiduplah yang memberi kesan paling besar dalam kehidupan kita." (Dr Nur Aisyah Zainordin, Tentang Pilihan: Membentuk Kerangka Fikir Dalam Menentukan Perjalanan Hidup, Kajang: Iman Publication Sdn. Bhd., 2022, hal.24).
Dan, pasangan kita bukanlah musuh yang seharusnya dipermasalahkan. Pasangan kita adalah "teman dan sahabat" yang sudi mendengar, menyayangi dan mencintai, kerana kebahagiaan itu hadir setelah kita saling mencukupi, bukan saling membeza-bezakan dan mencari kemenangan sendiri.
KAMARUN KH
