CUBAAN SERAP BUDAYA LIAR: MENTERI PELANCONGAN TAK SENSITIF UMAT ISLAM NEGARA
Oleh Khairuddin Abu Hassan
AJK Lajnah Penerangan PAS Melaka
INILAH perangai pemimpin-pemimpin kerajaan sekarang yang disokong kuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
Ini adalah ikhtibar kepada keseluruhan bangsa Melayu agar insaf dan pada mana-mana pilihan raya yang bakal berlaku di negara kita kelak keseluruhan orang-orang Melayu wajib haramkan memberi walaupun satu undi kepada PKR, UMNO, AMANAH dan DAP.
Inilah budaya songsang yang cuba diserapkan sedikit demi sedikit oleh kerajaan Madani ke dalam jiwa orang-orang Melayu serta umat Islam di Malaysia.
Apakah konsep ‘Rain Rave Water Festival Bukit Bintang’ ini sesuai ditonjolkan kepada seluruh dunia atas alasan hendak tarik para pelancong memasuki negara kita?
Dunia luar mahu melihat elemen-elemen seni budaya tradisional yang berasal-usul dari negara kita bukan budaya liar seperti ini yang mereka boleh hadir di negara sendiri secara lebih liar lagi.
Inilah permulaan agenda menyerapkan budaya liberalisme dalam pelbagai penghidupan seharian kita oleh kerajaan Madani songsang yang bakal meranapkan jati diri generasi akan datang sekiranya tidak dikawal secara tegas.
UMNO pada hari ini boleh menyokong unsur-unsur budaya liar seperti ini yang bakal meruntuhkan akhlak anak cucu kita sedikit demi sedikit di masa hadapan.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia hanya mampu menyalak dalam sosial media untuk meraih publisiti murahan dan akhirnya tetap akur serta tunduk kepada kehendak kerajaan Madani songsang.
Akmal Salleh adalah seorang ‘kaki salak’ yang kerjanya tidak akan ada penyudah yang jitu.
Selepas menyalak beliau akan pergi cium tangan Zahid Hamidi seterusnya tetap tunduk pada DAP.
Apa yang dianjurkan oleh JAWI mengadakan solat hajat untuk mengelak maksiat pada pesta ‘Rain Rave Bukit Bintang’ sesuatu yang baik tetapi tidak mencukupi setakat itu.
JAWI harus protes secara tegas melalui saluran dalaman kerajaan untuk membatalkan program ini pada hakikatnya.
JAWI adalah sebahagian dari kerajaan dan dalam soal aqidah agama para pentadbirnya mesti tegas, berani serta jangan sama sekali kompromi dengan apa saja bentuk salahlaku.
Badan-badan agama, para mufti kerajaan serta golongan agamawan pro pemerintah sebenarnya harus bersikap tegas dalam isu negatif yang semakin menular di negara kita di bawah pentadbiran kerajaan ini.
Menteri Pelancongan yang angkuh ini akan membawa bencana kepada identiti seni budaya tradisional negara yang semakin dipadamkan dari program promosi elemen-elemen Pelancongan Malaysia.
‘Menceduk’ budaya liar dari luar negara masuk ke dalam negara kita tanpa mengambil kira sensitiviti orang-orang Melayu serta umat Islam di negara ini tidak boleh diterima sama sekali.
Mungkin akhirnya kita harus sandarkan harapan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberi pandangan seterusnya mengambil satu pendirian tegas dalam isu-isu seperti ini selaku ‘Ketua Agama’ di peringkat negeri ataupun persekutuan.
Kemungkinan besar dengan teguran dari ‘DYMM Ketua-Ketua Agama’ baru pemimpin-pemimpin kerajaan Madani songsang mahu memberi pertimbangan yang sewajarnya.
Pada hari ini kerajaan ini sedang mengkhianati nilai-nilai murni berteraskan ketaqwaan yang hakikat dari sanubari orang-orang Melayu mahupun umat Islam di tanah Melayu yang tercinta ini.
Keseluruhan orang Melayu serta umat Islam di negara kita sedang menghadapi fasa yang paling mencabar di bawah kepimpinan kerajaan ini.
Bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia mulai hari ini boleh ‘tepuk dada tanya selera’ apa yang mereka mahukan untuk masa depan anak cucu kita?
(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)
Sumber: bebasnews.my
