DEDALU POLITIK (III)

Terang Major: Manusia adalah satu-satunya makhluk yang hanya tahu makan, tetapi tidak tahu menghasilkan makanan. Mereka tidak mampu menghasilkan susu, tak mampu bertelur, terlalu lemah untuk menarik pembajak dan tak dapat berlari cukup pantas untuk menangkap arnab. Sungguhpun demikian, mereka tetap menjadi tuan kepada semua binatang. 

“Mereka mengerah binatang bekerja dan memberikan upah kerja sekadar keperluan kita yang paling asasi, hanya agar kita tidak kelaparan. Tenaga kita yang mengerjakan tanah ini, najis kita yang menyuburkannya, tetapi kita tidak memiliki apa-apa selain kulit yang berada di tubuh badan kita ini saja.

Kalian, para lembu yang telah dilahirkan sebelum aku, berapa ribu gelen susu telah kalian keluarkan sepanjang tahun lalu? Dan, apa yang terjadi terhadap susu itu, yang sepatutnya digunakan untuk membesarkan anak-anak lembu yang kuat. Setiap titis susu itu telah lesap dalam tenggorok musuh kita.

Dan kawan-kawanku ayam betina…berapa banyak telur yang telah kalian keluarkan tahun ini dan berapa banyak di antaranya yang menetas menjadi anak-anak ayam? Sebahagian besar lesap di pasar, untuk menjana wang buat Jones dan orang-orangnya.

Dan, kamu Clover, di manakah empat ekor kuda yang telah kamu lahirkan itu, yang seharusnya telah menghidup dan menyenangkan hari tuamu? Semua telah dijual tepat pada usia satu tahun. Kau takkan pernah melihat seekor pun daripada mereka lagi. Sebagai membalas jasa atas keempat-empat anak kudamu dan semua tenagamu di ladang, apa yang kamu terima selain sejatah kecil makanan dan sebuah kandang?

Malah, segala kesengsaraan hidup yang kita alami ini tidak cukup juga untuk memenuhi keperluan mereka. Aku sendiri tidak mengaduh dengan nasibku, kerana aku adalah di antara binatang yang beruntung. Usiaku 12 tahun dan telah memiliki lebih daripada 400 anak. Beginilah lumrah kehidupan seekor babi. Tapi tiada seekor binatang pun yang ada pada akhirnya akan mampu meloloskan diri daripada pisau kejam.

Kalian babi-babi muda yang duduk di depanku, setahun ke depan, setiap ekor daripada kalian akan mengakhiri hidup dengan jeritan, disembelih di atas sepotong tunggul kayu. Kita semua akan mengalami saat ngeri itu – lembu, babi, ayam, biri-biri, semuanya. Bahkan kuda dan anjing pun takdir mereka tidak lebih baik.

Kamu, Boxer, tiba saja harinya di mana otot-ototmu yang kekar itu tidak lagi kuat, Jones akan menghantar kamu ke tukang bancuh makanan ternakan yang akan memotong lehermu dan memasakkan untuk dijadikan makanan anjing pembunuh musang.

Demikian juga anjing. Ketika mereka menjadi tua dan romping, Jones akan mengalungkan batu bata di leher mereka dan menenggelamkan mereka ke dasar kolam.

Maka, tidakkah jelas, kawan-kawan, bahawa  hidup kita ini berpunca daripada penindasan oleh manusia? Hanya dengan menyingkirkan manusia hasil keringat kita akan menjadi milik kita sendiri. Dalam tempoh yang singkat kita akan menjadi merdeka dan kaya. Lalu apa yang harus kita buat? Ya! Bekerjalah siang malam dengan segenap jiwa dan raga untuk menggulingkan umat manusia. hal.5-8)

sepasang sayap sama dua kaki

Doktrin ‘empat kaki baik, dua kaki jahat’ sangat tidak disenangi oleh sekelompok binatang yang mendiami ladang tersebut. Tetapi, Squearel sangat cekap mematahkannya, menjelaskan maksud ‘empat kaki baik’ kepada burung, itik, ayam dan angsa. Walaupun binatang-binatang itu mempunyai dua kaki, sepasang sayap yang mampu terbang ikut disamakan dengan dua kaki. Itu bermakna, semua binatang yang ada di Ladang Manor memenuhi maksud “empat kaki baik”.

Itu adalah kepintaran Squearel untuk menyakin dan mempengaruhi lain-lain binatang. Peranan tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dan sangat cekap: Squealer mampu meyakinkan pendengarnya bahawa sesuatu yang hitam itu sebenarnya adalah putih.” (hal.16). Setelah berjaya melakukan pemberontakan dan menghalau Tuan Jones, Ladang Manor ditukar kepada Ladang Binatang.

Pemberontakan berlaku ketika Tuan Jones berhadapan dengan kesukaran akibat kemerosotan hasil ladang. Kerisauan fikiran Tuan Jones dapat diciumi oleh para binatang, yang akhirnya berjaya dihalau dalam keadaan duka lara. Melihat kepada reaksi ganas para binatang, isteri Tuan Jones turut meninggalkan ladang tersebut. Begitu juga dengan empat orang pekerjanya.

Ia ditukar kerana binatang-binatanglah yang mengurus, dan berusaha memakmurkan  ladang tersebut, bukan lagi manusia walaupun terdapat beberapa buah lagi ladang berhampiran masih dikendalikan oleh manusia, iaitu rakan-rakan Tuan Jones: Pilkongton, Frederick dan Foxwood. 

Ketiga-tiga babi - Snowball, Napoleon dan Squearel - ‘telah mendalami ajaran si Major tua dan mengembangkannya menjadi sebuah sistem pemikiran yang lengkap yang mereka namakan Binatangisme.

Beberapa kali seminggu, setelah Tuan Jones masuk tidur, mereka mengadakan pertemuan rahsia di bangsal dan menjelaskan secara rinci prinsip-prinsip Binatangisme kepada binatang lain. Pada awalnya, mereka terpaksa berdepan dengan ketololan dam sikap acuh tak acuh binatang lain.

Beberapa binatang menyebut tentang bagaimana mereka berkewajipan untuk memberikan kesetiaan kepada Tuan Jones yang mereka sebut sebagai “Tuan Kita”, atau mengungkit tentang hal-hal asas seperti “Tuan Jones telah memberi kita makan. Jika dia tiada, kita akan mati kebuluran.”

Kenapa kita perlu peduli tentang perkara-perkara yang hanya akan berlaku setelah kita semua mati? Atau “Pemberontakan bagaimanapun tetap akan terjadi, jadi apa bezanya kalau kita berusaha ke arah itu ataupun tidak? sehingga puak babi menghadapi kepayahan besar untuk mereka memahamkan bahawa cara berfikir mereka itu bertentangan dengan semangat Binatangisme?” (hal.16-17)

‘sayap agama’

Melihat kepada naratif tersebut, sekiranya kita memahami sejarah PAS, kita dapat melihat sedikit sebanyak persamaan. PAS merupakan ‘sayap agama’ UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 menerusi penyatuan puluhan persatuan-persatuan Melayu yang muncul sebelum dan selepas tamatnya Perang Dunia II, yang berselerak di seluruh Tanah Melayu dan Singapura.

Penyatuan persatuan-persatuan Melayu tersebut bertujuan untuk menaikkan semangat dalam kalangan orang Melayu menuntut kemerdekaan selain membuktikan kepada British, semangat tersebut bukanlah sesuatu yang kecil dan tidak mengancam kolonialisme. Keinginan orang Melayu untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan perlu didengar, dan penyatuan tersebut akan memberi makna ‘suara yang kuat’.

British melihat penyatuan itu sebagai satu hal yang sangat menarik, kerana dapat membendung atau sedikit sebanyak menyekat kebangkitan idealisme politik kiri yang juga sedang berkembang dalam kalangan masyarakat tempatan. Sebahagiannya dipengaruhi oleh kebangkitan nasionalisma Indonesia.

Ianya diilhamkan daripada nasionalisme Filipina (tulisan-tulisan Jose Rizal), nasionalisme Indonesia (Syarikat Islam, Mohd Hatta, Mohd Natsir dan sebagainya), komunisme (Tan Malaka, Mokhtarudin Lasso, Chin Peng dan Parti Komunis Malaya) dan politik Islam dari Timur Tengah. 

‘ancaman bahaya dari gunung’

Sayap ulama yang berada dalam UMNO, sebahagiannya merupakan penggerak Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1948 di Gunung Semangol, Perak. Pada 1 Mac 1947, berlangsung Persidangan Islam se Malaya di Madrasah al-Ehya al-Sharif dan ditaja oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanudin Helmy. Fokus perbincangan ialah memperbaiki kedudukan ekonomi Melayu-Islam dan hasilnya tertubuhlah MATA (Majlis Agama Tertinggi Malaya).

Ia kemudian bertukar menjadi gerakan politik.  Satu perbincangan lanjutan diadakan pada 13-16 Mac 1948 mengenai isu tempatan dan antarabangsa. Di situ mula timbul rasa tidak puas hati terhadap UMNO. UMNO lebih mengutamakan nasionalisme dan sangat bertentangan dengan politik Islam. Pengaruh Ikhwanul Muslimin cukup dominan terutama dalam kalangan Kaum Muda yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah.

UMNO dilihat tidak melakukan tindakan yang memadai untuk mengemukakan isu Melayu-Islam. UMNO masih terus mengekalkan nilai-nilai konservatisme-nasionalisme dalam ideologi politiknya. Perwakilan UMNO yang hadir dalam perbincangan tersebut sangat tidak berpuas hati, kelompok  Islamis tersebut dilihat ada unsur-unsur revolusiner dan radikalisme.

Selepas itu, wakil-wakil UMNO melaporkan kepada pucuk pimpinan.  Dato’ Onn Jaafar merasa khuatir dengan perkembangan tersebut, akhirnya mengeluarkan satu kenyataan keras, iaitu menyifatkan perjuangan kelompok Islamis sebagai “Ancaman Bahaya Dari Gunung”. Ia kemudiannya mencetuskan pelbagai situasi, termasuk berusaha menjarakkan diri daripada UMNO.  

Abu Bakar Baqir kemudiannya menubuhkan Hizbul Muslimin (17 Mac 1948), iaitu menyusun semula MATA untuk menjadi sebuah pertubuhan politik Islam. Semua  semua aktiviti bercorak Islam tidak lagi menjadi aktiviti sayap agama UMNO. Jika dilihat daripada perspektif tersebut, ternyata penubuhan Hizbul Muslimin adalah untuk meyaingi UMNO, sebagai satu bentuk pemberontakan terhadap kelompok konservatif-nasionalis.

Hizbul Muslimin kemudiannya diharamkan oleh British atas alasan ada hubungannya dengan Parti Komunis Malaya (PKM). PKM telah diharamkan menggunakan Ordinan Darurat 1948. Sebahagian besar pemimpinnya kembali menyertai UMNO. Namun, berlaku sekali lagi pergolakan sehingga menyebabkan kelompok ulama keluar daripada UMNO menubuhkan Parti Islam se Malaya (PAS) pada tahun 1951.

Sejak itu, pandangan dan kritikan kelompok ulama terhadap UMNO cukup bersifat satu bentuk ‘persaingan politik’, dan tidak lagi  memungkinkan berlakunya penyatuan Melayu-Islam. UMNO kekal dengan idealisme politik ‘Hidup Melayu’ manakala PAS dengan idealisme ideologi politik Islam.

Sejak itu, UMNO didakwa tidak memperjuangkan Islam tetapi sangat memberatkan perjuangan untuk orang Melayu dan bersifat asabiyyah. Seruan “hidup Melayu” ikut berubah kepada “merdeka” dan seterusnya membentuk megalothymia “ketuanan Melayu” buat beberapa lama sehinggalah UMNO dilihat cukup ‘segan mati tak mahu’ dan berserakah dengan kehendak warlord dan elit yang memimpin.

Megalothyma adalah satu konsep yang disebut oleh Plato. Ia berasal dari istilah thymos, perasaan yang kuat untuk mendapatkan pengiktirafan. Dalam bingkai politik, ia membawa maksud keinginan untuk mendapatkan kegemilangan. Perasaan untuk mendapat pengiktirafan sebagai lebih unggul itu dinamakan megalotymia dan ia boleh muncul dalam diri seseorang yang ada sifat-sifat kediktatoran dari perspektif politik dan narsistik  dari perspektif sosial.

Dalam mencirikan sifat-sifat UMNO berhubung doktrin ‘ketuanan Melayu’, Firdaus Zainal memberikan satu pandangan menarik dalam buku terbarunya, Megalothymia Politik Ketuanan Melayu: Perjuangan Orang Melayu Mencari Ketuanan Melayu, Ilham Books, 2022. Ia cuba melihat sama ada UMNO telah berjaya melahirkan ‘ketuanan Melayu’ atau hanya membawa petaka politik yang terbesar apabila kegemilangan pengaruhnya mulai merosot sejak PRU ke-12 dan tersungkur pada PRU ke-14, akhirnya terbenam teruk pada PRU ke-15. Ia berpunca daripada eksploitasi melampau ‘ketuanan Melayu’ untuk mendapatkan keuntungan peribadi dan laba politik oleh mereka yang memimpin parti, sehingga dilihat sangat mirip dengan warlord.

Bangsa Berpengaruh

Asabiyah, sebuah konsep yang berdasarkan kesatuan etnik, budaya dan sepunya, sangat berkesan dalam membentuk solidariti politik sebagaimana dikupas oleh Ibnu Khaldun (1332-1406) tatkala beliau melihat sejarah peradaban yang berjaya dibangunkan oleh manusia, iaitu ratusan tahun sebelum PAS membentuk ideologi politiknya.

Menurut Ibnu Khaldun, al-Asobiyyah adalah hubungan atau pertalian atau ikatan yang mengikat sekumpulan individu sama ada dalam bentuk ikatan kekeluargaan atau sumpah setia yang membawa kepada memberikan bantuan kepada sesama individu dan kumpulannya.  

Al-Asabiyyah al-Ghalibah ialah kelompok atau puak atau bangsa yang kuat dan dominan, sangat berpengaruh dan dihormati dalam sesebuah negara. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, ia adalah “Bangsa Berpengaruh” atau “Bangsa Dominan.”

Saya petik terjemahan Muqaddimah yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan disesuaikan dengan bahasa Melayu dari bahasa Arab: Sikap agresif  dan defensive hanya dapat dicapai melalui perasaan kekitaan yang bermakna bahawa setiap anggota-anggotanya saling sayang menyayangi dan sanggup berjuang serta rela terkorban demi menjaga kepentingan bersama.”

Hal-hal semacam itu tidak difahami oleh rakyat terbanyak. Mereka melupakannya, kerana mereka tidak lagi ingat sewaktu dinasti  itu buat pertama kalinya ditegakkan. Mereka telah dibesarkan, di suatu kawasan penempatan yang tetap pada suatu waktu yang sangat lama. Mereka telah tinggal di sana selama beberapa keturunan.

“… Mereka hanya menyaksikan bagaimana orang-orang yang bernaung di dalam sesebuah kerajaan itu bersikap ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’, bahawa orang-orang yang berada di bawah naungannya itu akur dan perasaan kekitaan tidak lagi diperlukan demi menjamin kelangsungan kuasa pemerintahan.

Mereka tidak tahu bagaimana pada awalnya dan apakah kesukaran-kesukaran yang harus diatasi oleh para pendiri dinasti itu. Para penduduk Andalus khususnya telah lupa akan perasaan kekitaan dan pengaruhnya kerana masa yang berlalu sudah terlalu lama dan sebagaimana kazimnya mereka tidak lagi memerlukan kuasa perasaan kekitaan.

“Alasannya ialah negara itu telah dimusnahkan dan tidak mempunyai langsung kumpulan-kumpulan puak.” (Ibnu Khaldun, Mukadimah, K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hal. 138-139).

Apakah asabiyah itu merupakan sesuatu yang salah atau silap? Jika ia adalah suatu pendekatan yang salah, kenapakah kemunculan empayar-empayar Islam selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW dan berakhirnya pemerintahan khalifah ar-Rasyidin tidak dilihat sebagai sesuatu yang digelar sekular dan tidak menepati politik Islam?

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com