DI PERSIMPANGAN DILEMA
DUA PULUH LAPAN TAHUN SILAM (1994), lagu ‘Di Persimpangan Dilema’ cukup mempengaruhi jiwa rakyat Malaysia. Lagu nyanyian Wan Norafizah Arifin (Nora), ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Elyana berjaya menembusi gelodak anak muda kepada lagu-lagu yang berbentuk balada, yang sebelumnya cukup kuat menjadi siulan lagu-lagu genrer rock, heavy metal dan sedikit irama Malaysia. Lagu itu telah melonjakkan nama Nora (pemenang HMI –Hiburan Minggu Ini – 1991). Album Sandiwara, ada lagu yang cukup melankolik, iaitu ‘Di Persimpangan Dilema’ dan hingga sekarang, tidak jemu didengar (malar segar).
Lagu tersebut juga popular di Malaysia. Ia turut terkenal di Indonesia apabila dinyanyikan semula oleh Terry Shahab dan Kris Dayanti. Setahun lalu, seorang peserta bernama Melisa Hartanto berjaya menggegarkan pentas Indonesian Idol. Saya tidak bercadang memerihalkan kejayaan lagu itu, tetapi melihat apa yang boleh kita fahami liriknya, yang sangat melankolis, cinta yang dikhianati: Masa berlalu, tanpa ku menyedari, percintaan yang kita bina, hampir selesai. Maksud “hampir selesai” ialah diambang kehancuran atau musnah. Sebab apa? Hanya pasangan itu yang bercinta lebih tahu dan merasai betapa kecewanya bila cinta dikhianati.
Kehancuran cinta, bukan sahaja mengakibatkan trauma, bahkan boleh menyebabkan seseorang mengambil jalan pintas, termasuk menamatkan hayatnya. Kisah yang berlaku kepada seorang pemuda berusia 28 tahun di Perlis membakar dirinya kerana ditinggalkan kekasih pada jam 9.40 malam 16 Februari 2022, dua hari selepas Hari Kekasih (Valentine Day). Juga, bila rasa dikhianati ada kecenderungan untuk menamatkan perhubungan dengan kematian. Salah seorang akan membunuh ‘kekasih’ sebelum membunuh dirinya sendiri.
Seorang pemuda berusia 28 tahun, kecewa kerana bekas pasangannya sudah ada pengganti. Kerana kecewa itu mungkin mengakibatkan dirinya berhadapan masalah psikiatari, beberapa kali cuba membunuh diri, ‘mengelar kededua tangan’ dan sehari sebelumnya, memakan racun tikus semasa berada di dalam tandas di rumah.
Beberapa jam sebelum ‘membakar diri’, dia ‘terminum petrol’ dan keluar dari rumah membawa sebotol petrol menaiki Perodua Axia, dengan alasan ke rumah datuk di kaki bukit untuk menolong memesin rumput. Atas rasa curiga, si ayah ke balai polis membuat laporan dan diberitahu, sebuah kereta telah dijumpai terbakar.
Setelah berkejar ke tempat kejadian, si ayah sahkan kereta itu adalah milik anaknya, dan anaknya telah terbakar (96 peratus). Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (Kangar) tetapi meninggal dunia keesokannya (16 Februari 2022).
Namun sejarah pemuda yang dilanda ‘masalah jiwa’ tidak diceritakan sejak bila (selepas putus cinta atau sebelumnya), menyebabkan saya mencula kerana kecewa cinta, tindakannya adalah ‘tidak manusiawi kepada diri sendiri’. Manusia boleh hilang akal yang waras, boleh berubah dari seorang yang ceria menjadi seorang yang pendiam, juga boleh jadi agresif ataupun radikal.
Akibat cinta terhalang, ada yang bertukar menjadi seorang yang ganas, pendendam mahupun mengunci hasrat untuk berkeluarga sepanjang hayat. Ada yang mendakwa, hampir semua
manusia ‘tidak boleh dipercayai’, sama ada lelaki atau wanita. Seolah-olah ‘pintu hati’ telah tertutup.
‘Tidak setia’ bukan sahaja tindakan yang menyebabkan keruntuhan keharmonian rumah tangga, juga merosakkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Ia berlaku apabila ‘tidak setia’ itu diterjemahkan ke dalam konteks ‘politik’ dan semangat bersama’ atau dikenali ‘espirit de corp’.
Kesetiaan pada negara, dalam konteks politik dikenali sebagai ‘patriotik’ dan ia bermula dengan penghayatan terhadap nilai-nilai yang dinamakan nasional. Orang yang sayangkan negara, atau leluhurnya, dipanggil nasionalis, dan kerana itu mereka sanggup berjuang untuk mempertahankanya dengan apa cara sekalipun, hatta ada di antaranya bersedia mengangkat senjata.
Seperti juga cinta, ada pelbagai definisi yang sampai sekarang belum berjaya dipatenkan menjadi sebuah makna yang lengkap dan universal. Hanya boleh dianggap universal ialah perasaan terdalam yang muncul dari dalam hati, menusuk hati dan kekal di dalam hati. Sama ada cinta pertama atau cinta terakhir.
Cinta, seperti juga politik. Eeh, kerana ada rasa cinta itu maka manusia berpolitik. Bahkan, dalam masa bercinta pun manusia mencari jalan menyusup ke jalan-jalan politik. Ya! Seperti lantun Nora seterusnya, cintanya berada di persimpangan jalan: di depan, di kiri, di kanan dan di belakang, jalan manakah yang harus dipilih.
Di simpang jalan itu Nora mengharapkan: Hanya satu pintaku, moga kau perbaiki, ooooo, semua ini. Ketika dalam keadaan ‘patah hati’, cinta masih ada (tersisa). Dalam situasi sedih, masih ada harapan, kekasihnya berubah, baiki kesilapan diri. Jika itu berlaku, sang kekasih bersedia untuk memilih ‘jalan di belakang’, atau berpatah balik untuk hidup bersama sekali lagi.
Suatu keindahan dan keajaiban, yang bukan hadir secara spontan, tetapi hadir secara terancang dalam hati kecil, kerana manusia secara fitrahnya dibingkaikan oleh perasaan kasih sayang, ingin memiliki dan dimiliki, bernaung dan dinaungi, haiwan bersosial. Bahagia-kecewa-bahagia adalah dua kisah perjalanan hidup manusia yang cukup menjadikan kita memahami erti kehidupan, melebihi makna kehidupan antara binatang, walaupun antaranya juga ada kasih sayang.
Binatang, kasih sayangnya di mana? Seekor monyet betina akan menggendung anak yang baharu dilahirkan dan mengajar anak tersebut dengan kemahiran sosial yang asas. Tetapi, setelah anak cukup kemahiran asas, anak itu akan dibiarkan ‘pergi’ (memulakan kehidupan baharu yang mandiri), bertarung dengan hukum ‘siapa kuat dia dapat’, hukum yang tidak tertulis tetapi sangat difahami oleh seluruh masyarakat binatang sejak kewujudannya.
Setelah lama berkelana, belajar hidup dan bertarung dalam ‘perang survival’, si anak itu mungkin menjadi seekor monyet yang berjaya, atau seekor monyet betina yang akan melanjutkan kitara generasi. Jika ia adalah seekor monyet betina, akan bersenggama pula dengan monyet jantan yang pernah membuntingkan ibunya. Monyet betina juga mungkin sudah tidak kenal lagi ibu sendiri. Tetapi, antara anak dan siibu tidak ada rasa cemburu biarpun berkongsi monyet jantan yang sama, yang cukup kuat dominasi.
Jika ia seekor monyet jantan, ia mungkin akan berkelahi dengan monyet-monyet jantan lain atas hukum dominasi. Mungkin juga salah seekor monyet jantan itu adalah saudaranya yang tidak pernah dikenali, lahir dari ibu yang sama tetapi berlainan bapa, atau dari benih bapa yang sama tetapi berlainan ibu.
Mungkin juga monyet betina itu adalah adik kandungnya, dari rahim ibu yang sama dan zuriat bapa yang sama, berlainan ibu atau bapa. Itu dunia binatang, yang betina dan jantan akan tetap melakukan hubungan seks walaupun tidak ada nilai cinta. Hanya sekadar memenuhi tuntutan biologi. Kasih sayang hanya muncul ketika ‘si ibu perlu menjaga anak-anak’ atau ketika si bapa menjadi pengawal dalam zon dominasi.
Politik juga kadangkala begitu, seumpama kisah sekelompok binatang yang mempertahankan zon dan kuasa atau dominasi. Sebelumnya, seseorang yang muncul sebagai ketua berusaha setangkas dan sehebat mungkin untuk memperlihatkan dirinya seekor monyet yang kuat, pintar dan bertenaga. Ya! Seorang manusia akan menggunakan kelebihan yang ada, dalam diri untuk menonjolkan diri.
Setelah ada sedikit aura, maka dibinalah rangkaian penyokong, yang kemudiannya bertukar menjadi pembantu. Pembantu-pembantu inilah yang akan terus mencari penyokong sehingga ‘anak kecil’ itu lahir sebagai ‘anak besar’ yang tidak boleh diperkecilkan oleh sesiapa. Sesiapa yang cuba memperkecilkannya, akan segera dibahas, dikecam atau dilawan oleh pembantu dan penyokong-penyokongnya.
Apakah sokongan itu menggambarkan ‘cinta’? Apakah perjuangan untuk mempertahankan pemimpin kecil itu lahir atas nama cinta? Mungkin ada, mungkin bukan kerana cinta, tetapi kerana mencari selain daripada cinta, iaitu kuasa.
Kuasa juga memerlukan perasaan yang sama, yang dikenali sebagai espirit de corp. Cinta juga mempunyai keinginan yang sama, espirit de corp. Espirit de corp tidak akan hadir sekiranya dua atau lebih orang tidak ada keinginan bersama. Dalam politik, keinginan bersama dikenali sebagai aspirasi. Dalam kehidupan berpasangan, keinginan bersama ialah perkongsian: hati, perasaan, persekitaran, fikiran, sumber, tindakan dan ruang.
Kalau dalam politik, aspirasi itu dijelmakan menerusi organisasi, yang ada struktur dan hirarkinya. Masing-masing berbahagi tanggungjawab dan merencana aktiviti bagi menjadikan organisasi itu berkembang, membesar dan berpengaruh.
Dalam rumahtangga juga begitu. Ada peraturan. Ada pembahagian tugas dan tanggungjawab, Ada adab dan resamnya. Ada keinginan bersama, iaitu menuai bahagia. Bahagia bukan hanya untuk diri sendiri, bahagia bersama sehingga lahirnya keluarga bahagia. Ia membabitkan pengorbanan: perasaan, tindakan, perkongsian sumber, psikologi dan sebagainya.
Lantun Nora lagi: Telah banyak yang kuberi, Sejak dulu lagi, Pengorbanan tiada pernah jemu. Dalam situasi ‘hampir luluh’ dan ‘remuk tapi belum redam’ mendayu-dayu dilantunkan: Hanyalah Tuhan saja, bisa menentukan semua, kesabaran daku menantimu, O-o-o-oh ...kutetap memaafkan, dan berdoa kau kembali. Jiwa yang gelisah disulami pasrah dan berdoa agar Tuhan akan tentukan apakah ‘ada jalan kembali’ atau ‘melangkah pergi’.
Namun, jiwa kecil’ Nora, sangat mengharapkan ‘Dan berdoa kau kembali’. Jika terpaksa ‘melangkah pergi’, harapan itu telah buntu, tidak ada lagi peluang kedua atau ketiga. Saya kira, peluang kedua tetap ada, Nora masih mengharapkan cintanya tidak putus di tengah jalan
hanya kerana ada masalah di antara mereka (pasangan). Antara mereka masih ada ruang yang boleh diperbaiki, ada cara untuk memulihkannya. Jalan meniti kebahagiaan hidup yang berpanjangan dan hanya terpisah oleh kematian, bukan disebabkan mempertahankan ego masing-masing.
Cukup menarik untuk kita terjemahkan ‘aspirasi’ atau harapan itu menjadi sebuah pemetaan politik seumpama cinta yang terjalin sekalian lama kini benar-benar berada Di Persimpangan Dilema’ sekurang-kurangnya dilema Melayu-Islam. Kita perlu melihat ke dalam sejarah, dan berusaha mentafsirkan semangat dan perjuangan yang hadir ketika kedudukan orang Melayu-Islam dilihat cukup terancam.
Kita lupakan soal dari manakah orang Melayu berasal, kerana perdebatan itu belum sampai ke titik nokhtah walaupun semakin banyak bukti, orang Melayu bukanlah ‘bangsa yang berhijrah’, orang Melayu adalah bangsa besar dan berpengaruh sehingga berjaya menyeberangi lautan, menjadi pembantu kepada bangsa penjajah untuk menunjuk jalan penjelajahan hingga membentuk empayar yang luas.
Kita berhentilah mengatakan orang Melayu Malas, kita padamkan memori kisah silam yang cukup menyiksa minda, yang cuba dimitoskan oleh Inggeris. Orang Melayu semakin lama semakin hilang jati dirinya.
Orang Melayu hilang jati diri kerana mereka leka dengan agamanya. Islam itu bukan sekadar agama, ia adalah cara hidup. Sebagai cara hidup, ia ada ritual, peraturan dan tujuannya yang lebih besar, bukan sekadar makan, minum dan membiak.
Jati diri bukan sekadar melihat asal usul bangsa, etnik ataupun kaum. Jati diri bukan sekadar wilayah atau zon di mana kita berada atau tinggal. Jati diri ialah sifat yang ada pada diri seseorang yang tidak bertentangan dengan sifat dan ciri jemaah, atau kumpulan yang lebih besar. Jati diri yang terbentuk daripada acuan psikologi dan spiritual yang sama, berteraskan asas agama, iaitu tawasur dan tadabbur.
Tasawur dan tadabbur itu diambil dari al-Qur’an, direfleksikan ke dalam setiap aktiviti dan tindakan harian kita: cara berfikir, berperilaku, bersahabat dan juga bernegara. Ia bukan sekadar meminta anak-anak menghafal lima prinsip Rukunegara dan dinyanyikan beramai-ramai, tetapi tidak diketahui apa makna dan bagaimana mengadaptasikannya dalam setiap aktiviti kehidupan seharian.
Ia bukan retorik. Ia bukan hanya sebagai seruan. Ia bukan sekadar ikrar untuk majlis tertentu yang dikaitkan dengan semangat cintakan negara semata-mata. Ia budaya yang hidup setiap hari dalam jiwa, pemikiran dan tata kelakuan, bukan seruan yang dipaksakan oleh pemimpin seumpama dalam kisah Animal Farm (1945) oleh Geroge Orwell. Ia bukan sebuah doktrin dan slogan pembasuhan minda (brainwashing) atau indoktrinasi.
Seperti tulis Hamka, seorang agamawan terkenal di Nusantara, buah fikirannya terus dikaji, dihayati dan masuk ke dalam minda kita kerana beliau cuba memperkasakan nilai-nilai agama dalam kehidupan. Hamka tidak mengosongkan pemikiran, ilmu dan pengetahuan sekadar untuk tujuan keduniaan, tetapi untuk membangun jiwa kesalihan sebagaimana dituntut oleh agama. Hamka melanjutkan apa yang disarankan oleh al-Ghazali.
Biarpun bunyinya agak kasar dan boleh menyakitkan hati, Hamka berjaya menyemai semangat agama yang cukup berpengaruh. Katanya: Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sebagai bekerja, kera juga bekerja. Kasar bukan?
Tapi dalam kekasaran itulah terkandung makna yang mendalam, bahasa majaz (kiasan) yang menginsafkan manusia agar tidak berperangai atau bertindak seperti binatang hanya kerana ingin dan kehendak menjalani proses ‘hidup’. Ada perihal lain yang perlu disemai, dipupuk dan diamalkan dalam hidup. Dan, tentunya, Islam meletakkan asas yang cukup besar dalam soal itu, yakni akhlak.
Apa itu akhlak? Apakah akhlak sama dengan prinsip moral yang dikenali dalam masyarakat bukan Islam? Atau apakah ia bersamaan dengan falsafah etika yang dibahaskan bertahun-tahun dan tidak putus-putus oleh ahli falsafah, barat dan Islam? Apa kaitannya akhlak dan adab?
Cinta juga ada adab. Cinta juga ada pantang-larangnya. Cinta juga ada manifestasinya. Cinta juga ada refleksinya. Cinta juga etikanya. Cinta juga ada pengertiannya, walaupun makna cinta berbeza-beza. Cinta akan tetap hidup dalam jiwa manusia.
Aneh bukan, bila gagal ‘bercinta’ sanggup menghabiskan hidup diri sendiri. Aneh bukan apabila jatuh cinta ada orang sanggup meninggalkan apa yang dimilikinya, termasuk status dan kedudukan. Aneh bukan, kerana cinta, hubungan saudara terputus dan keluarga menyingkirkan?
Ya! Dari seberang (Indonesia) kita pernah baca kisah seorang lelaki miskin. Tetapi, kerana cinta, lelaki miskin itu ada keberanian untuk menyunting gadis pilihan walaupun dihalang. Kerana cinta, mereka akhirnya berkahwin. Kerana cinta mereka melupakan kampong halaman sendiri, tinggal di ladang ayam, biarpun rumah yang disediakan oleh majikan hanya cukup untuk menumpang teduh. Mereka tidak kesal, mereka bertekad untuk membuktikan cinta menyebabkan mereka terus hidup dan berusaha ‘untuk terus hidup’. Kita doakan pasangan itu bahagia dan berjaya membuktikan bahawa kebahagiaan itu bukan kerana banyak wang, rumah besar dan hidup mewah.
Kita juga mengharapkan dalam kepimpinan politik tidak berlaku kemusnahan yang besar kerana memburu ‘harta, wanita dan takhta’. Kita harapkan mereka yang memimpin, tidak menjadikan tiga perkara itu sebagai tujuan berpolitik. Kita tidak mahu, persimpangan dilema yang kita hadapi sekarang akan terus berkembang menjadi situasi yang rosak, jiwa agama hilang, hati nurani berseberangan dan ego terus dipertaruhkan.
Terima kasih kepada pemimpin yang sudah banyak berkorban. Terima kasih kepada pemimpin yang mendahulukan rakyat, tidak mencuri, tidak berbohong dan setiap saatnya memikirkan masalah rakyat. Kita benci pemimpin yang sunglap. Kita benci pemimpin yang tidak menunjukkan adab yang baik. Kita tolak pemimpin yang hanya pandai berjanji, tapi bila menang memungkirinya. Kita tolak pemimpin yang hanya tahu menceritakan kesalahan orang lain, tetapi tidak pernah mengakui kesilapan dan kelemahan sendiri.
Secara bersahaja, saya cuba mengharapkan suatu perkembangan menarik dalam perubahan kepimpinan politik di Malaysia, terutama dalam kalangan mereka yang masih ada pegangan dan nilai Islam.
Secara spontan, empat rangkap pantun berkait ini (jika boleh dianggap pantun atau seloka orang pencen), adalah refleksi saya ketika mendengar gegak gempita di langit Johor.
Sudah lama tidak ke bendang, tinggilah rumput dari padi, sudah lama hati bimbang, apa yang dibuat semua tak jadi
Tinggilah rumput dari padi, padi ditanam berbuah hampa, apa dibuat semua tak jadi, di luar di dalam saling menghina
Padi ditanam berbuah hampa, tak dimakan ayam di reban, di luar di dalam saling menghina, rakyat susah pemimpin bersendolan
Tak dimakan ayam direban, musang mengamuk harimau membaham, rakyat susah pemimpin bersendolan, akibat rakus merebut saham
MAHANOR SALEHA
