DIPLOMASI EGO ANTARA GEOPOLITIK DAN KEMANUSIAAN
Sidang ASEAN ke-47 telah melabuhkan tirainya dan bermula tahun hadapan, Filipina diberikan tanggungjawab sebagai pengerusi kesatuan negara-negara Asia Tenggara termasuk Timur Leste yang diterima sebagai ahli terbaharu.
Kehadiran pemimpin utama dunia, kecuali Vladimir Putin dari Rusia telah membuktikan bahawa ASEAN adalah wilayah ekonomi yang cukup besar, bukan sahaja kerana jumlah penduduknya berkali ganda daripada populasi negara Kesatuan Eropah, ia kerana dasar yang dipersetujui sejak mula ditubuhkan (1967) kekal menjadi prakasa keunikannya, iaitu neutrality (tidak campur tangan) dan inklusif.
ASEAN telah berjaya menunjukkan kekukuhan penyatuannya dan kekal sebagai sebuah wilayah yang sama-sama bergerak ke arah kemakmuran bersama. Ia berbeza dengan Kesatuan Eropah yang muncul lebih suku abad selepas ASEAN (1993) telah menunjukkan "jalur keluar" yang dimulai oleh Britain atau dikenali sebagai Brexit (Britain Exit) pada tahun 2020. EU turut "tidak menepati janji" apabila tidak menerima Turkiye sebagai negara anggotanya walaupun kriteria yang ditetapkan berjaya dipenuhi.
ASEAN tidak melupakan "janji", Timur Leste diberikan status sebagai negara anggota penuh dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, ia menjadikan satu petunjuk bahawa prinsip tidak campur tangan dalam hak ehwal domestik negara ahli cukup istimewa dan sangat dihormati. EU pula mengalami keretakan akibat proses diplomasi antara negara anggota cukup bersandarkan kepada ego pemimpinnya.
Luka politik antara Timur Leste dengan Indonesia cukup mendalam, ia tidak menjadikan sebab penilaian politik untuk tidak menerimanya. Indonesia tetap bersama menggerakkan semangat ASEAN bersama-sama hingga ke hari ini.
Tiga kejayaan besar yang terserlah dalam Sidang Kemuncak kali ini: (1) kehadiran ramai pemimpin dunia daripada negara anggota BRICS dan Presiden Amerika Syarikat yang terkenal dengan mood yang berubah-ubah; (2) Kuala Lumpur Accord yang disaksikan oleh Trump Perjanjian Thailand-Kemboja dalam penyelesaian konflik dua negara jiran, dan; (3) Timur Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN setelah lebih dua dekad sebagai negara "pemerhati" sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 2002.
Timur Leste dahulunya dikenali sebagai Timur Timur merupakan wilayah jajahan Portugis. Timur Timur mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1975, tetapi ia tidak mendapat persetujuan Indonesia. Indonesia menuntut Timur Timur sebagai sebahagian daripada wilayah kedaulatannya. Setelah beberapa tahun berkonflik, akhirnya pada tahun 2002, Indonesia bersetuju melepaskan Timur Timur untuk membentuk sebuah negara baharu, selepas dilaksanakan satu referendum dibawah pengawasan PBB.
Sejarah juga tercipta di Kuala Lumpur apabila Presiden Amerika Syarikat yang gagal meraih Anugerah Nobel Keamanan 2025 hadir untuk menyaksikan perjanjian damai antara Thailand-Kemboja yang mana Malaysia memainkan peranan sebagai mediator.
Kehadiran Trump ke Kuala Lumpur ini adalah satu petunjuk bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang tidak ada maruah dan kekuatannya walaupun tidak kerap dikunjungi oleh negara adikuasa itu. Trump merupakan Presiden Amerika Syarikat yang mengunjungi Malaysia selepas Lyndon B Johnson (1966) dan Barrack Obama (2015).
Trump yang kemudiannya berlepas ke Jepun dan seterusnya ke Korea Selatan terus memuji Malaysia sebagai sebuah negara yang "hebat" baik dalam pembangunan infrastruktur mahupun kepimpinan politik Anwar Ibrahim, walaupun disifatkan sebagai iklimnya panas. Kata Trump dalam ucapannya di Korea Selatan: saya tinggalkan Malaysia sebuah negara hebat".
Kenangan terbesar rakyat Malaysia terhadap kunjungan pertama Presiden Amerika Syarikat ialah sebuah kampung di Negeri Sembilan, Kampung Labu Jaya dinamakan semula kepada Felda LBJ sempena singkatan nama pelawat itu. Kunjungan LB Johnson ketika itu adalah sebagai simbolik terhadap pendirian Malaysia menentang peluasan ideologi komunis yang membawa kepada doktrin Perang Dingin, dan juga campur tangan Amerika Syarikat di Vietnam selama 10 tahun (1964-1974).
Tahun 2015, Presiden Amerika Syarikat ke- 44, Barrack Obama mengunjungi Malaysia semasa dibawah kepimpinan Najib Tun Razak. Kunjungan Obama adalah dalam rangka untuk menarik negara-negara Asia Pacific kepada sebuah peraturan perdagangan yang baharu, yang dikenali sebagai TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement).
Setelah Donald J Trump menang Pilihan Raya Presiden pada tahun 2017 beliau membatalkan TPPA dan seterusnya melaksanakan dasar perang perdagangan dengan China. Bagaimanapun, Trump kalah untuk penggal kedua (2020), namun beliau menang dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2024.
Trump terus memberikan tekanan lebih besar terhadap Perang Perdagangan, dengan memperluaskan sekatan menerusi Tarif Timbal Balas yang menyeluruh, hampir kesemua negara di dunia (kecuali Rusia, Iran dan negara-negara yang dikenakan sekatan ekonomi). Walaupun nampak sasaran asalnya adalah China, kini, Trump berusaha untuk menyekat mana-mana negara yang ada hubungan dagang dengan China, setelah China dilihat sebagai peneraju BRICS.
China juga diramalkan akan mengatasi hegemoni ekonomi Amerika Syarikat dalam tempoh dua puluh tahun akan datang. Inisiatif Belt and Road (BRI) yang dilaksanakan sejak akhir 1980-an telah berjaya melonjak kuasa ekonomi China dan pada tahun 2000 telah merampas kedudukan Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Hampir semua produk telah berjaya dikeluarkan oleh China, bahkan produk China semakin menguasai ekonomi seluruh dunia, termasuk barangan pengguna, tekstil dan makanan di Amerika Syarikat.
China juga sedang meningkatkan infrastruktur teknologinya dan dalam beberapa perkara, sudah melangkaui teknologi Barat. China menguasai lebih 80 peratus keperluan dunia dalam sumber pembangunan teknologi moden, iaitu pemprosesan nadir bumi.
Walaupun barat asalnya berjaya mengeksploitasikan sumber mineral tersebut, ia dilupakan disebabkan oleh kos ekstrak yang tinggi. Seorang pakar mineral China akhirnya berjaya melakukan proses ekstrak mineral tersebut dengan kos yang amat murah, menyebabkan Barat mengimportnya daripada China.
China menggunakan komoditi itu sebagai reaksi balas terhadap Perang Perdagangan yang dilancarkan oleh Trump dengan menyekat eksportnya. Trump tersedar dengan tekanan tersebut, lalu cuba berusaha untuk mendapatkanya daripada Ukraine. Ukraine pula dikuasai oleh Rusia, yang masih dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat. Bahan mineral itu turut kedapatan di Afrika dan negara-negara Asia Tenggara.
Dalam rundingan bulan Ogos lalu, Indonesia bersetuju untuk membekalkan bahan mineral termasuk tembaga berkualiti kepada Amerika Syarikat. Vietnam juga melakukan keputusan yang sama. Ketika itu, Malaysia kekal dengan hasrat tidak akan mengeksport bahan mentah nadir bumi, tetapi akan mengeskportnya setelah diproses.
Bahan mineral itu digunakan sebagai bahan utama dalam industri teknologi termasuk teknologi senjata moden. Ia menjadi lebih panas apabila bahan tersebut menjadi subjek bekalan senjata pembunuh yang digunakan oleh Israel datangnya daripada Amerika Syarikat. Amerika Syarikat disahkan menjadi dalang genosid Israel ke atas penduduk Palestin. Itu adalah antara asas yang digunakan oleh sekelompok mereka yang mendesak Perdana Menteri untuk tidak menjemput Trump hadir ke Malaysia, dan sedang dieksploitasikan untuk menjatuhkan Kerajaan Madani.
Ia menjadi salah satu pertimbangan oleh Trump dalam keputusannya sama ada mengekalkan tarif timbal balas atau menurunkan ke suatu kadar yang lebih rendah, sekiranya sesebuah negara yang mempunyai bahan mineral itu bersedia mengeskportnya ke Amerika Syarikat. Isu ini sedang hangat dieksploitasi oleh beberapa pihak setelah Malaysia menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
(bersambung)
KAMARUN KH
