DIPLOMASI EGO: ANTARA GEOPOLITIK DAN KEMANUSIAAN (AKHIR)
Tanpa meneliti butiran perjanjian penuh, Anwar Ibrahim diserang apabila didakwa bersedia mengeksport bahan mineral itu ke Amerika Syarikat, sebagaimana dijadikan salah satu kriteria untuk mendapat kadar tarif timbal balas 19 peratus (daripada 24 peratus) dan pelepasan terhadap lebih 1,700 produk.
Bagi sekumpulan yang tidak berpuas hati melihat persetujuan itu sebagai "menjual maruah negara" kepada sebuah kuasa besar yang sedang berusaha mempertahankan hegemoninya dalam situasi dunia semakin terarah kepada dunia pelbagai polar.
Bagaimanapun, jawapan daripada MITI, Malaysia tetap tidak akan mengeksport nadir bumi dalam bentuk bahan mentah, ia akan dieksport dalam bentuk produk siap atau sudah diproses. Ini bermakna, peluang pekerjaan akan terbuka luas dalam bidang tersebut.
Namun, ada beberapa buah negeri mula memberikan reaksi "tidak setuju" dengan menyatakan bahan tersebut adalah milik negeri, dan tidak akan membenarkannya diproses sebagaimana dilakukan ke atas sumber minyak dan gas.
Minyak dan gas berada di luar pantai sedangkan REE berada di dalam bumi yang tanahnya adalah milik negeri. Setakat ini, Kelantan dan Sarawak sudah pun menyatakan pendiriannya. Bahan mineral itu tersimpan dalam perut bumi Kelantan, Kedah, Terengganu dan Sarawak. Namun, tidak bermakna negeri-negeri lain tidak memilikinya.
Ia akan membuka kepada beberapa penyelidikan geologi yang lebih cekap. Tentunya, pada tahun 1970-an, isu REE pernah menjadi kendala politik yang besar setelah pemimpin DAP mengeksploitasikannya di Perak.
Kemudian, selepas itu dieksploitasi dengan kerasnya apabila munculnya kilang memproses nadir bumi di Kuantan, Pahang. Episod Lynas telah membakar suhu politik, tetapi Lynas terus beroperasi dan dalam perkembangan terbaharu, syarikat tersebut bersetuju membuka sebuah lagi kilang memproses nadir bumi dengan kos RM 500 juta.
Bagi kerajaan negeri, sumber mineral baharu ini akan dapat menumbuhkan peluang pekerjaan, dan hasil pendapatan baharu, maka mereka bersedia untuk mengawalnya. Hal ini bermakna, dengan tindakan untuk mengawal sendiri, ia tidak akan dapat membantu.
Sebabnya, kebenaran mengeksport adalah kuasa kerajaan Persekutuan, begitu juga piawaian pembinaan kilang memproses. Kemungkinan "mencuri bahan mineral" atau perlombongan haram akan menjadi lebih berleluasa, dan ini akan terus merugikan negara dari perspektif hasil cukai.
Sebahagian besar negara anggota ASEAN sedang mempertimbangkan penyertaan mereka dalam BRICS. BRICS dilihat bakal mengancam hagemoni Amerika Syarikat dalam perdagangan antarabangsa, kuasa dolar dan dasar geopolitik yang tidak menawarkan keadilan sejagat, terutama dalam persoalan Konflik Asia Barat.
Amerika Syarikat secara terbuka dikuasai oleh oligarki dan oligarki dikuasai oleh kapitalis Yahudi (atau Kristian pendokong Zionisme). Akibatnya, sejak selepas Perang Dunia II, sejak dilihat sebagai kuasa besar, tidak pernah menentang kehendak Zionisme, maka sebab itulah dasar perlindungan ke atas Israel terus kekal hingga sekarang. Ini bermakna Trump merupakan penerus dasar tersebut namun pada zaman pentadbirannya, Israel semakin keras kepala kerana dokongan kuatnya.
Sikap Trump cukup dikenali sebagai seorang pemimpin yang pemikirannya tidak stabil, banyak berpaksikan ego dan mahu dianggap sebagai "raja berkuasa mutlak". Sikap itu ditentang oleh rakyatnya sendiri, dan kerana itu, setiap negara yang berurusan dengan Trump terpaksa memahami bahasa diplomatik yang lebih berpaksikan "pengurusan emosi".
Ketika beliau hadir dan disambut sebagai tetamu negara (juga tetamu ASEAN) kelihatan jelas bagaimana PMX sebagai Perdana Menteri dah Pengurusi ASEAN perlu membaca rentak Trump untuk tidak mengganggu emosinya. Orang yang beremosi mempunyai tahap ego yang cukup tinggi, yang berada dalam tiga situasi yang berbeza dan kadangkala bersamaan serentak.
Dalam psikologi manusia, ada tiga tahap yang perlu kita fahami sebagai manusia, iaitu peranan sebagai penjaga (guardian), bapa (fatherhood) dan kanak-kanak (childhood). Sebagai "penjaga", Trump melihat dirinya mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan keluarganya selamat, dihargai dan dihormati.
Jika ada sesiapa yang mencabarnya, Trump akan bertindak keras untuk melindunginya, seperti seorang ayah mempertahankan anaknya dalam apa pun keadaan dan perilakunya, walaupun tindakannya dilihat tidak rasional. Dalam mempertahankan ego sebagai bapa itulah Trump kelihatan mudah merajuk, cepat berubah dan tidak kurang pula akan mengeluarkan reaksi menentang tanpa dapat diramalkan.
Jadi, mana-mana pemimpin negara yang dikunjungi oleh Trump terpaksa menyesuaikan diri dengan mood yang ditunjukkan agar tidak menjadi satu bentuk hentakan balas. Seorang yang egonya cukup kuat, tidak mudah mengalah. Sebaliknya, ia memerlukan satu strategi pujukan, termasuk melemahkan sebahagian ego dengan memuji dan mengikut rentaknya secara berpura-pura.
Tentunya, Anwar cukup faham psikologi seorang pemimpin jenis itu, maka itulah sebabnya Anwar ikut menarik bersama Trump rentak menjaga ego Trump agar tidak terganggu. Dari perspektif itu, Anwar sudah berjaya bukan "mengawal" tetapi "menguruskan emosi" Trump untuk menjayakan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN, dan Trump tidak melatah.
Satu lagi isu yang sengaja dieksploitasi ialah pembelian produk Amerika Syarikat yang dianggap seolah-olah "dipaksa", yang akan menyebabkan kerajaan terpaksa meningkatkan hutang. Sebenarnya, menurut MITI pembelian hampir RM 1 trillion itu bukan daripada kerajaan, tetapi syarikat-syarikat yang sudah pun membuat perancangan sebelum negosiasi tarif timbal balas dibuat pada bulan Ogos lalu. Pembelian pesawat komersial sudah lama dirancang oleh sektor penerbangan atas kapasiti untuk mengembangkan industri pengangkutan udara.
Begitu juga dengan pembelian LNG oleh PETRONAS. PETRONAS sebenarnya telah lama membeli LNG daripada banyak negara walaupun turut mengeksport LNG kekuatan tempatan. Kaedah itu adalah sesuatu yang lazim berlaku, apatah lagi dalam situasi pengeluaran LNG domestik yang dirancang untuk berada dalam jangka masa panjang. Jika semua stock yang ada dikeluarkan sepenuhnya, suatu hari nanti Malaysia akan menjadi negara pengimport bersih,
Tentunya, Malaysia yang sangat memerlukan pelaburan asing untuk terus kekal bersaing perlu membentuk strategi diplomasinya yang berkesan, bukan dalam bentuk strategi keras (hard strategy), tetapi strategi lembut (soft strategy) sebagaimana China berjaya laksanakan pada tahun-tahun 1980-an. Setelah ekonomi domestiknya kuat, China berupaya mengenakan strategi keras dan tidak lagi tunduk kepada apa yang Trump lakukan, kerana Amerika Syarikat masih memerlukan produk daripada China.
Dalam tindakan keras China, strategi berlembut terus menjadikan China semakin mantap dalam penguasaan ekonomi dan geopolitik antarabangsa. China sedar, tanpa kekuatan ekonomi mereka juga tidak akan mampu menguasai geopolitik dunia. Jadi, jika Malaysia melaksanakan strategi keras dengan Amerika Syarikat, bermakna pasaran produk ke negara itu akan tersekat, dan akan menyebabkan negara hilang sumber pelaburan, hasil pendapatan dan imbangan menjamin keselamatan Laut China Selatan.
ASEAN sedar dengan isu geopolitik itu, sebab itulah tidak ada negara-negara ASEAN mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Amerika Syarikat. Menjaga hubungan diplomatik dan perdagangan tidaklah semudah gesaan, pekikan dan retorik politik yang bergema berdasarkan sudut pandangan seolah-olah boleh hidup secara isolasi dan tanpa bekerjasama dengan negara lain. Dunia masa kini bukan dunia yang berasaskan situasi dunia masa silam, dunia tanpa pengaruh dan terkongkong dengan doktrin sendiri. Dunia dalam situasi saling berhubung dan saling memerlukan.
Begitulah keadaannya apaila masyarakat lebih percaya kepada apa yang didengar dan dibicarakan oleh komentator, politikus yang berlagak serba tahu sedangkan "serba tidak tahu, know-nothingism". Mereka hanya menerkam dalam gelap, dan membuat tafsiran tanpa melihat konteks serta "detail" nya sscara keseluruhan. Churnalism menjadi raja dalam perebutan setiap orang sebagai netizen, dan citizen journalist, wartawan papan kekunci. Kita semakin terarah kepada digital ignorance, dan populisme.
KAMARUN KH
