‘GILA’, MASALAH MENTAL DAN CENDERUNG BUNUH DIRI YANG MEMBIMBANGKAN

Gila!! Gila  Sungguh!!!  Sungguh  Gila!!!!.”

“Kenapa Gila?.”

Itu adalah sebuah dialog kecil. Biarpun merupakan sebuah dialog kecil, ia bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sepele (remeh). Ia adalah penyakit yang semakin hari semakin berkembang dan menjadi masalah pada asalnya bersifat individu, tetapi kini turut menjadi trend penyakit yang sangat membimbangkan masyarakat dan negara.

Asalnya, dialog kecil itu berlangsung ketika kami ‘minum pagi’ di Taman Tun Sardon, Gelugor, Pulau Pinang. Bagi mereka yang pernah tinggal di Pulau Pinang, lokasi ‘minum pagi’ itu cukup terkenal, banyak pilihan menu dan kuih-kuih tradisional, aneka juadah orang Melayu dan bukan Melayu: capati, putu mayam, mee hailam dan sebagainya. Pendek kata, ia seperti tagline Astro pada suatu ketika: Macam-macam ada.

Dialog kecil itu kami rakamkan pada Ahad, 19 Mac 2023.

Secara umumnya, gila itu merujuk kepada satu bentuk gejala, iaitu dipanggil tidak siuman. Orang yang tidak siuman bererti orang yang tidak mampu membuat pertimbangan seperti biasa, iaitu orang yang siuman (bukan siluman).

Siluman maknanya ialah “bersembunyi”. Kalau disatukan sebagai orang siluman, ia  membawa makna ‘berhantu’ atau orang halus, orang bunian, ghaib (tapi suaranya kedengaran, mendayu-dayu) seumpama ‘bisikan’ yang hadir dalam lagu Misa Omar, “Pulangkan”, [Akan ku jejakimu ke mana jua], lagu tema filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004), lakonan Maya Karin dan arahan Suhaimi Baba.

Lagu Ombak Rindu juga berhantu, tetapi Maya Karin cukup yakin dengan pertolongan Tuhan untuk ‘lembutkan hati dia, untuk terima ‘ku seadanya’. Dia situasi yang berbeza, dan dua kesan yang cukup halus untuk kita ‘menyepuh diri’, agar dapat membataskan  untuk jadi ‘gila’ atau jadi ‘siuman’.

Siuman, menurut pemahaman lazim ialah: (1) ingat atau sedar kembali ( dari pengsan, mabuk, terperanjat, dan lain-lain): dia masih belum ---- daripada terperanjat; (2) waras (fikiran, ingatan), tidak gila: orang yang tidak ----; kesiuman keadaan siuman; ketidaksiuman keadaan tidak siuman; (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal. 1509).

Gila pula ditakrifkan sebagai: (1) tidak sihat atau tidak waras fikirannya (otaknya, ingatannya); (2) penyakit tidak sihat otak (fikiran atau otak); (3) (bahasa percakapan) tidak seperti yang seharusnya  (semestinya, selalunya), tidak normal, luar biasa; (3)   (kiasan) terlalu gemar (asyik, sayang, cinta dan lain-lain) akan sesuatu.

Terdapat beberapa jenis gila: Gila Angau atau Gila Urat [sangat ingin akan perempuan (lelaki)]; Anjing Gila [=penyakit anjing, sejenis penyakit virus yang merbahaya kepada anjing]; Gila Sawan [sejenis penyaki ayan, pitam (sawan) babi, epilepsi]; Gila Bahasa [rempang bahasa, kurang sihat sedikit atau tidak panjang fikirannya – cepat marah, pemberani, tidak malu]; Gila Bayang [cinta akan seseorang yang tidak tahu akan cintanya – tidak dibalas-]; Gila Bayang-Bayang [perasaan ingin akan sesuatu yang tidak mungkin diperoleh]; Gila Gadis atau Gila Perempuan [terlalu gemar akan perempuan]; Gila Isim [gila kerana tersalah mengamalkan (menuntut) ilmu batin)]; Gila Judi [terlalu suka bermain judi]; Gila Kebangsaan [selalu bersemangat (berusaha) untuk memperjuangkan (memajukan) bangsanya]; Gila Kuasa [sangat ingin mendapatkan kuasa]; Gila Pangkat [1. Sentiasa ingin mendapat (mengejar) pangkat; 2. Berubah kelakuannya (sikapnya) setelah mendapat pangkat tinggi]; Gila Politik [selalu asyik dengan cita-cita (kegiatan-kegiatan) politik]; Gila Renang = - - air [agak kurang sihat ingatannya (fikirannya)]; Gila Seks [kecenderungan atau keinginan yang melampau (kuat) terhadap aktiviti seksual]; Gila Talak [tidak sihat fikirannya kerana bercerai (selalu teringat-ingat akan bekas isteri atau suaminya]; Gila Urat [sangat ingin akan perempuan (lelaki), gila angau]; tiap – tiap berkongkong, tiap mandi tiap bergosok [peribahasa, seperti orang berbicara, setiap kali berbicara, setiap kali membayar belanja perbicaraan. Ada beberapa istilah terbitan: Gila-Gila, Bergila-Gila (gila-gilaan, menggila), Menggilai, Menggilakan, Tergila-Gila (tergila-gilakan), Kegilaan (kegila-gilaan).” (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal.473-474).

Jadi, apa sahaja tindakan melampaui kelaziman (bahasa sinis politikus, di luar tabii) adalah “gila”. Pada tahap piawaian kesihatan, gila peringkat rendah boleh dikawal dengan mengubahkan tabiat lazim (yang dianggap tidak lazim pada pandangan kelaziman berfikir). Misalnya menghabiskan masa melayari gajet atau media sosial sehingga menangguhkan sesi makan secara sihat bersama (ahli keluarga); kawalan disiplin (teringat nasihat seorang pakar perubatan dalam program Tanya Doktor dan My DoctorsAstro).

Jika gila itu tidak dapat dikawal menerusi perubahan tabiat, ia akan dikawal menggunakan ubat-ubatan (ubat penenang). Jika berada di peringkat kronik, kawalannya lebih ketat,  rundingan kaunseling dan ada ketikanya ‘dikurung’,  bagi mengehadkan tingkah laku tidak siuman itu, mengganggu ‘orang lain’. Sungguh Gila!. Gila Sungguh!.

Keluhan “Gila Sungguh” dianggap sebagai tahap kronik, sangat kritikal dan perlukan  kawalan dan  isolasi. Jika tahap kronik itu tidak mencapai ‘kelegaan’ (keselamatan), pesakit akan dikurung berpanjangan (setiap masa). Ia dilakukan dengan nasihat para pakar, bukan berdasarkan keputusan sendiri. Mengurung tanpa nasihat pakar akan menyebabkan mereka yang melakukannya boleh didakwa, atas kesalahan tidak berperikemanusiaan.

Di Malaysia, penyakit mental semakin membimbangkan. Petanda awal ialah, jika seseorang  tidak boleh ditegur, cepat marah, dilihat sebagai salah satu petunjuk (simptom) penyakit mental. Khabarnya,  menjelang tahun 2020,  29.2 peratus (berumur 16 tahun ke atas) rakyat Malaysia mempunyai gejala penyakit mental. (Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2018). Antara  penyakit mental secara umum ialah kemurungan, keresahan, gangguan bipolar dan skizofrenia.

Terdapat stigma sosial yang besar berkaitan penyakit mental. Ia berpunca daripada pendirian budaya yang dibentuk oleh kepercayaan tahyul dan salah faham. Persepsi negatif ini menyebabkan pesakit mental menderita dalam senyap, sering diketepikan masyarakat dan tiada harapan walaupun mendapat sokongan, menerusi pemulihan.

“Berbanding lelaki, wanita lebih mudah mengalami gangguan mental berpunca daripada tekanan di tempat kerja, bebanan kewangan dan masalah kekeluargaan seperti isu perkahwinan. Gangguan mental ini menyebabkan wanita mudah berhadapan kemurungan sehingga mendorong mereka membunuh diri.

“... Kebanyakannya lebih gemar menyimpan masalah, tidak mahu berkongsi dengan keluarga atau rakan sehingga akhirnya tekanan sukar dikawal. Ada pula bertindak ganas dengan mencederakan diri sendiri.” (Harian Metro, 5 April 2018)

Menjelang tahun 2030, kesihatan mental berisiko menjadi penyakit kedua tertinggi di Malaysia selepas penyakit yang berkaitan dengan jantung. (Malaysia Gazette, 20 September 2019). Belanjawan 2023, sejumlah RM 413.28 juta diperuntukkan di bawah Program Kesihatan Mental dan Psikiatri, meningkat sebanyak 2.42 peratus berbanding Bajet 2020.

Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Dr Fariza Yahya berkata, hospital itu menerima lebih 2,000 pesakit baharu (pesakit mental) setiap tahun dan pesakit paling muda ialah berumur 13 tahun. Remaja yang bermasalah mental disebabkan oleh dua faktor persekitaran yang terbesar, iaitu keluarga berantakan dan ibu bapa penagih dadah (atau salah seorang).

 “Masalah ini berlaku apabila mereka berada dalam keadaan memendam perasaan, kurang perhatian dan kasih sayang. Selain itu, individu dalam kalangan masyarakat kita juga lebih percaya kepada perubatan tradisional atau bomoh sehingga menyebabkan masih ramai pesakit mental tidak menerima rawatan awal di hospital.  

Dr Fariza akui bahawa pesakit “tidak akan pulih sepenuhnya dan hanya sembuh sekitar 70 hingga 80 peratus sahaja sekiranya pesakit lewat menerima rawatan. Kebanyakan pesakit mental mendapatkan rawatan selepas dua tahun kerana mereka lebih percaya kepada rawatan tradisional atau bomoh terlebih dahulu.

Apabila mereka mengambil masa yang lama untuk mendapatkan rawatan dan dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan berlakunya kemerosotan daripada segi semua fungsi termasuk pemikiran, cara selain perwatakan pesakit.” (Utusan Malaysia, 8 Mac 2023).

Beberapa akhbar utama Ahad, 19 Mac 2023, menyiarkan laporan “Kanak-kanak, remaja di Lembah Klang cenderung bunuh diri”) sebagai berita utama, laporan yang menggambarkan betapa parahnya penyakit mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Lembah Klang, yang dihadapi oleh penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ia adalah hasil kajian ke atas 37 PPR (Kuala Lumpur dan Selangor) oleh Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia), bekerjasama  dengan Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), 2022. Secara kuantitatif dan kualitif, hasilnya 13.4 peratus (daripada 1,578 rersponden, berusia 10 hingga 17 tahun), “mempunyai pemikiran membunuh diri dan mencederakan diri sendiri serta 12.3 peratus mengalami masalah kesihatan mental iaitu kemurungan dan kebimbangan.”

"Kita dapati faktor penyumbang terbesar isu itu ialah masalah ekonomi keluarga kerana selepas tiga tahun COVID-19, masyarakat kita mungkin jatuh daripada M40 kepada B40 dan peluang mendapatkan semula pekerjaan mengambil masa.

“Selain itu, cabaran seperti reka bentuk PPR itu agak terhad (sempit), tidak dapat tampung (kapasiti) terutama bagi yang berkeluarga besar serta gaya hidup dan (kurang) kasih sayang keluarga menyebabkan golongan ini keluar untuk hilangkan tekanan mereka.

"Salah satu kesan daripada masalah kesihatan mental akan menyebabkan penyalahgunaan bahan terlarang dan ini terbukti sebab itulah kita jalankan kajian ini supaya masyarakat sedar perkara ini berlaku depan mata kita," beritahu Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.  (Harian Metro online, Sabtu 18 Mac 2023).

Dalam risalah “Kesihatan Mental dan Kesihatan Fizikal” (https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Rujukan/NCD/Kesihatan%20Mental/Kesihatan_Mental_Kesihatan_Fizikal.pdf): Di seluruh dunia dianggarkan 17 juta kematian setiap tahun akibat penyakit jantung. Di Malaysia 15.2 peratus kematian disebabkan penyakit jantung. Satu daripada 2 orang pesakit jantung akan mengalami kemurungan. Setiap serangan penyakit jantung akan menambahkan keterukan kemurungan dan ini akan meningkatkan risiko kematian. Ini bermakna, separuh daripada mereka yang mengidap penyakit jantung mengalami kemurungan, dan boleh menyebabkan risiko kematian.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada keseluruhan kes kematian.  Ia telah meningkat daripada 11.6 peratus (2000) kepada 17 peratus (2020). Akibatnya, peruntukan dan perbelanjaan turut meningkat misalnya, RM 3.93 bilion daripada RM 9.65 bilion peruntukan penjagaan kesihatan awam (2017) digunakan untuk merawat pesakit jantung. (Malaysia Gazette, 29 September 2022).

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, keseluruhan jumlah kematian pada tahun 2020 ialah 166,507 kes. Lima punca kematian terbesar ialah (1) kematian perubatan (ischeamic heart diseases)  17 peratus (18,515 kes), (2) pneumonia (jangkitan kuman pada organ paru-paru) 11.4 peratus; (3) cerebrovascular diseases, atau dikenali sebagai CVA (gangguan darah di pembuluh otak) 8.3 peratus; (4) transport accident (kemalangan pengangkutan), 2.9 peratus, dan (5) malignant neoplasm of trachea, bronchus and lung, (kanser paru-paru, bronkus (karsinoma) dan paip angin dalam paru-paru) 2.5 peratus.

Dikenal pasti bahawa kemurungan akan memburukkan lagi keadaan penyakit jantung, boleh menyebabkan: jantung berdenyut dengan laju;  tekanan darah tinggi;  darah bertambah pekat;  dan, tahap hormon stres meningkat. Tanda-tanda kemurungan, ialah: hilang minat terhadap aktiviti harian; hilang tumpuan terhadap pekerjaan; masalah atau gangguan tidur; perubahan selera makan; penurunan atau peningkatan berat badan; mudah letih; rasa bersalah yang keterlaluan; putus harapan; dan rasa rendah diri yang keterlaluan.

                                                                                                ******

Menurut Muhammad Qadirun Nur, penterjemah kitab Mukasyaf al-Qulub tulisan Iman al-Ghazli (1058-1111M) dengan judul Penenang Jiwa: Pengubatan dan Rawatan, (Batu Caves, Selangor: Pustaka al-Ehsan, cetakan ke-2, 2021, hal. ix-x): …pada setiap jiwa manusia terjadi pergelutan dan peperangan yang dahsyat yang menentukan apakah dia akan tetap sebagai manusia atau akan menjadi binatang yang berbadan manusia, Itulah peperangan antara syaitan dan seruan agama. Antara kebatilan dan kebenaran.

Memang, sebuah nafas panjang ditarik dan dihembuskan. Bersama jutaan jeritan. Menanti suatu keputusan. Dunia ini menawarkan kenikmatan. Nuansa indah mendengungkan nilai-nilai kemanusiaan. Kaki, hendak ke mana melangkah? Antara syaitan dan malaikat bergelut. Berebut menguasai diri. Tetapi, hendak ikut siapa….? Demikianlah peperangan itu berlangsung.

“Kedua-dua belah pihak bertarung dalam kancah peperangan iaitu hati. Jika iblis menang, manusia akan kehilangan kemanusiaannya. Dan, apabila agama yang menang, ia akan menjadi manusia yang luhur, arif dan bijaksana.

“Setiap kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang, ia bagaikan bintik-bintik hitam yang akan mengotori dan mengeraskan hatinya. Semakin ia berani melakukan maksiat, kedudukan iblis bertambah kuat.

“Dan…iblis mengibarkan benderanya. Maka ketika itulah hati akan menderita penyakit. Suatu penyakit yang berbahaya namun tidak dapat dirasai. Penyakit yang sukar ditemukan doktornya. Penyakit yang akan menghantarkan seseorang ke neraka.”

Ertinya, dari pespektif psikologi dan persekitaran, seseorang yang siuman boleh bertukar menjadi ‘gila’ kerana terlalu mengikut emosi dan melayani kehendak jiwanya, tanpa banyak berfikir dan hanya untuk memenuhi ‘kehendak hati’. Sebagai jalan penyelesaian masalah ‘orang gila’, yakni sebelum ‘menjadi gila’, kata Imam Al-Ghazali hendaklah sentiasa merawat hati: Takutkan kepada Allah SWT kerana ‘keselamatan jasad terletak sedikitnya makan. Keselamatan roh pada sedikitnya dosa. Dan keselamatan agama terletak pada membaca selawat ‘Khairil Anam’ (Nabi Muhammad SAW).

Allah SWT berfirman, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang diusahakan untuk besok (hari Kiamat). Takutlah kepada Allah. Susngguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kami kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat ke-18).

Orang Mukmin adalah orang yang takut kepada Allah dengan seluruh anggota badannya. Sebagaimana Abul-Laits telah berkata: Tanda-tanda ketakutan kepada Allah itu dalam tujuh (7) perkara:

  • Pada lisannya (percakapan): tidak bercakap bodong, ghibah, fitnah dan menyebarkan fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap;
  • Pada hatinya (emosi): membuang rasa permusuhan, kebodohan, dengki kepada orang lain. Tiada ada ubat bagi penyakit hasad dengki, kecuali ilmu dan amal. Penyakit hati adalah sangat berbahaya;
  • Pada pandangannya (penglihatan): tidak terpesona dengan makanan, minuman, pakaian dan lain-lain (material) yang haram, atau terpesona dengan godaan duniawi;
  • Pada perutnya (makanan): tidak dipenuhi dengan makanan dari sumber yang haram dan tidak halal;
  • Pada kedua belah tangan (mengambil atau memegang) benda-benda yang haram (seperti mencuri, menerima rasuah, dan sebagainya) dan digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan sesuatu yang halal (mencari rezeki, bekerja dan memproses makanan dan sebagainya) dan taat kepada Allah (berdoa, menderma dan menjalin hubungan baik);
  • Pada langkahnya (kedua belah kaki): tidak memasuki jalan maksiat, melangkah ke destinasi bahaya dan bergaul dengan orang yang melakukan maksiat. Setiap langkah diarahkan untuk mencari keredhaan-Nya dan bergaul dengan para ilmuan yang soleh (bukan ulama politik atau ulama suu’); dan
  • Terlihat pada ketaatannya hanya untuk mencari keredhaan Allah SWT, jauhkan diri daripada riak, munafik, sombong, ego dan ‘kebesaran diri’. (Imam al-Ghazali, Penenang Jiwa: Pengubatan dan Rawatan, hal. 1-3)

Dalam Ihya Ulumuddin, Jilid III (rubu’ al-Muhlikat, Kitab Syarh ‘Ajaib al-Qalb/ Wonders of the Heart/Keajaiban Hati), al-Ghazali menulis: Sesungguhnya kemuliaan dan keutamaan manusia dibandingkan dengan jenis-jenis makhluk yang lainnya, terletak kepada kesiapan manusia untuk mengenali Allah SWT.

“Kemakrifatan kepada Allah itulah yang membolehkan manusia meraih  keindahan dan kesempurnaan dan kebanggaan hidup di dunia, dan di akhirat kelak ia akan mendapatkan apa yang telah dijanjikan oleh Allah SWT atas simpanan amal kebajikan yang dilakukannya selama di dunia.

Kesanggupan manusia untuk mengenal (makrifat) kepada Allah adalah melalui hatinya, bukan melalui anggota tubuh jasmaninya. Hatilah yang dapat mengenali Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya. Hatilah yang menjalinkan hubungan dengan Allah SWT dan selalu berjalan menuju ke hadrat-Nya.

“Terhadap hatilah kemungkinan apa yang ada di sisi Allah dan yang dimiliki-Nya, tersingkap. Sedangkan seluruh tubuh manusia tidak lebih dari sekadar pengikut atau pembantu hati menuju kepada-Nya.

Hubungan antara hati dan anggota tubuh, ibarat sang raja terhadap hambanya, atau ibarat sang pemimpin terhadap rakyat yang dipimpinnya. Ia juga ibarat seorang pekerja (teknikal) dengan peralatannya….

“Apabila seseorang mengenali hatinya, dia telah mengenali dirinya dan ketika dia telah mengenali dirinya, dia telah mengenali Tuhannya. Dan apabila seseorang tidak mengenali hatinya, dia  tidak mengenali  dirinya sendiri dan tidak mengenali Tuhannya.

“Dan sesiapa  yang tidak tidak mengenali hatinya, dia lebih tidak mengenali diri sendiri. Kebanyakan manusia tidak mengenali hati dan dirinya sendiri, seakan terdapat tembok pemisah antara diri dan hatinya.   (Imam al-Ghazali, Keajaiban Hati dan Keungulannya, terjemahan H Tajuddin Thalabi, Surabaya: Penerbit Amelia, 2007, hal.5-6).

Kesimpulan, persoalan kenapa orang siuman menjadi gila adalah disebabkan ketundukannya kepada perkara-perkara yang bersifat material dan terlalu mengikut ‘kata hati’ atau beremosi.

Hal itulah yang berlaku, kecuali faktor genetik (baka atau keturunan) dan tentunya jalan penyelesaian terbaik ialah memenuhi ketangguhan dan kemantapan emosi menerusi pendekatan rohani atau spiritual, bukan sekadar memenuhi kaedah pendekatan psikologi yang dipadankan daripada teori-teori empirik barat.

Teori-teori tersebut sebenarnya tidak menjamin ‘kesembuhan’, pengisian jiwa tidak didasarkan kepada kuasa yang menentukan, hakikat dan rencana Allah SWT untuk menguji manusia dalam upaya memenuhi tuntutan fitrahnya.

Al-Ghazali cukup cemerlang dalam memperkatakan kaedah merawat hati dan jiwa, yang dalam istilahnya kesemuanya terletak pada cara bagaimana hati itu berfungsi dan disirami dengan rasa takut kepada Allah SWT.

Mungkin juga beberapa kaedah yang ditawarkan oleh al-Ghazali menyebabkan ramai pakar psikiatri barat ‘mencuri formula’ tersebut dan mengubahsuaikannya menurut perspektif mazhab psikologi mereka.

Rasa takut itu bukanlah seperti takutnya seorang penjenayah kepada pihak berkuasa (kuasa menangkap), mendenda dan memenjarakan, tetapi rasa takut “tidak mendapat kasih sayang Allah SWT”. Mereka yang tidak mendapat kasih sayang-Nya sentiasa berada dalam ‘kebingungan’ dan  bergerak ke ‘jalan yang sesat’, jauh daripada gemerlap cahaya.

Akibat tersesat itulah menjadikan seseorang semakin celaru, berkonflik dan seterusnya hilang siumannya (rasional), sehingga sanggup ‘mencuba membunuh diri’.

Jelas Carl Gustav Jung (1875-1961), pakar psikiatri dan psikoanalisa kebanggaan Switzerland yang terpengaruh dengan Sigmund Freud (1856-1939: tugas doktor ialah merawat orang sakit, bukannya menyembuhkan penyakit yang abstrak” dan “….ilmu pengetahuan memperlihatkan sebuah gambaran dunia di mana jiwa manusia yang nyata terusir darinya, dan ia sangat bertentangan dengan ‘kemanusiaan’.(Carl Gustav Jung, Diri Yang Tidak Ditemukan, terjemahan oleh Rani Rahmanillah, Yogyakarta: IRCiSoD, 2018, hal. 18-19).

KAMARUN KH

  1. Comments (0)

  2. Add yours
There are no comments posted here yet

Leave your comments

  1. Posting comment as a guest. Sign up or login to your account.
Attachments (0 / 3)
Share Your Location

title 01

  • 2 Silaturrahim
  • 8
  • 9
  • 10
  • 11
  • 12
  • 1.0
  • 2.0
  • 3.0
  • 4.0
  • 5.0
  • 6.0

Subscribe

Dhomir TV


vid

Facebook

Dhomir


Baca topik

Terkini


Aktiviti

Dhomir


IMG-20220429-WA0022
IMG-20220429-WA0013
IMG-20220429-WA0014
IMG-20220429-WA0015
IMG-20220429-WA0016
IMG-20220429-WA0017
IMG-20220429-WA0018
IMG-20220429-WA0019
IMG-20220429-WA0020
IMG-20220429-WA0021
IMG-20220429-WA0010
IMG-20220429-WA0023
IMG-20220429-WA0024
IMG-20220429-WA0012
IMG-20220429-WA0011
IMG 20210602 085142
IMG 20210605 174636
IMG 20210605 181937
IMG 20210606 104939
IMG 20210606 105238
IMG 20210606 105529
IMG 20210606 111355
IMG 20210606 112729
IMG 20210607 084409
IMG 20210607 084823
IMG 20210608 101105
IMG 20210608 102528
IMG 20210608 110816
IMG 20210608 111235
IMG 20210612 185158
IMG 20210612 190017
IMG 20210626 123909
IMG 20210720 094416
IMG 20210720 095549
IMG-20200609-WA0026
IMG-20210211-WA0019
IMG-20210504-WA0042
IMG-20210605-WA0028
IMG-20210605-WA0030
IMG-20210605-WA0032
IMG-20210605-WA0033
IMG-20210610-WA0040
IMG-20210719-WA0028
IMG-20210719-WA0031
TEMPAT NYAMAN TAMAN BACAAN MASA DEPAN ANDA-JOM KITA MENULIS!!! dhomir.com ingin mengajak dan memberi ruang kepada para penulis khususnya penulisan yang berkaitan dgn agama Islam secara mendalam dan sistematik.Jika anda ingin mencurahkan isi hati mahupun pandangan secara peribadi dhomir.com adalah tempat yang paling sesuai utk melontarkan idea. Dengan platform yang sederhana, siapa sahaja boleh menulis, memberi respon berkaitan isu-isu semasa dan berinteraksi secara mudah.Anda boleh terus menghantar sebarang artikel kepada alamat email:dhomir2021@gmail.com.Sebarang pertanyaan berkaitan perkara diatas boleh di hubungi no tel-019-3222177-Editor dhomir. com